Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, September 2, 2014

Membina Negara - Kebebasan Beragama

Jika kebebasan bersuara dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan dalam perkara 10, maka perkara 11 Perlambagaan Persekutuan Malaysia pula menjamin hak kebebasan beragama. Selalu dipersoalkan, jika seorang Muslim boleh mengajak orang-orang bukan Islam untuk memeluk agama Islam, mengapa orang-orang bukan Islam tidak boleh mengajak orang Islam untuk murtad? Kenapa orang Islam punya mahkamah sendiri yang menghalang orang-orang Islam untuk tidak mengamalkan Islam atau murtad?
Adakah kita, sebagai orang Islam ada jawapan lain selain daripada alasan undang-undang?

Agama Islam adalah agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Islam bukan hanya untuk diamalkan oleh orang Islam, bahkan keindahan ajaran Islam sesuai untuk praktis semua manusia, sekalipun mereka masih memeluk agama mereka masing-masing. Islam mementingkan hujah, sebab itu Al-Quran sarat dengan hujah dan keterangan yang dapat membantu kita memilih dan membuat keputusan.

Jika kita lari daripada berpandukan Al-Quran, maka kita sebenarnya telah memilih untuk sesat dan binasa. 

Di manakah titik penyelesaian bagi konflik antara agama dan kaum di Malaysia?

Mengapa sehingga ke hari ini, orang-orang Melayu dan Islam sukar untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan daripada orang-orang bukan Islam?

Di manakah batas "meraikan" perbezaan antara agama" di Malaysia?

Berdasarkan kepada hakikat ini, kemerdekaan Malaysia sebenarnya hanyalah satu sandiwara. Rakyat Malaysia belum benar-benar merdeka untuk berfikir menjangkaui sempada perbezaan agama dan kaum. Walaupun Negara kita telah 57 tahun Merdeka, pemikiran rakyat terus dikongkong oleh semangat perlembagaan yang feudal dan autokratik.

Jawapan sebenar ada pada Islam.

Kenapa Islam tidak membenarkan orang-orang Islam murtad? 

Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu terlebih dahulu jelas bahawa Islam adalah agama yang benar di sisi Allah Ta'ala. Ia diturunkan kepada seluruh umat manusia melalui utusan Allah, Nabi Muhammad SAW. Ajaran asas dalam Islam tidak pernah ditokok tambah. Hanya sebahagian sahaja yang berubah dari sudut perlaksanaan, tetapi asas setiap sesuatu itu masih kekal seperti dahulu. Misalnya, jika dahulu Al-Quran dihafal, kemudiannya telah ditulis, dan hari ini Al-Quran boleh di dapati secara atas talian. Namun, ketetapan dan keistimewaan membaca Al-Quran, juga kewajipan melaksanakan segala isi kandungannya tidak pernah berubah.

Hal ini, disebabkan oleh, ianya adalah agama yang diturunkan oleh Allah Ta'ala kepada manusia seluruhnya. Allah Ta'ala yang telah menjadikan segala makhluk, bulan, bintang, bumi dan matahari. Segala yang ada di atas muka bumi ini adalah ciptaan Allah. Dia melestarikan alam ini dengan segala peraturan yang telah ditetapkan olehNya. Al-Quran menceritakan bahawa Allah Ta'ala yang menetapkan peredaran dan putaran bumi pada paksinya. Begitu juga silih pergantian malam dan siang, segalanya diterangkan di dalam Al-Quran.

Lalu, untuk manusia Allah Ta'ala menurunkan Al-Quran sebagai petunjuk dan bimbingan. Kenapa diturunkan kepada manusia? Tidak kepada haiwan atau tumbuhan? Kerana hanya manusia sahaja yang memiliki akal, dengan akal manusia membuat keputusan untuk sekalian makhluk. Malah pemimpin di kalangan manusia membuat keputusan untuk sekalian manusia. Jika salah manusia membuat keputusan, maka natijah kerosakan akan dirasai oleh semua makhluk.

Justeru, perintah melarang orang-orang Islam daripada murtad adalah perintah Allah yang telah sedia ada ditetapkan dalam Al-Quran. Ianya bukan pilihan, tapi ketetapan. Sepertimana seorang lelaki tidak boleh memilih untuk berkahwin dengan lelaki, seperti itu jugalah seorang Islam tidak boleh memilih agama selain Islam.

Jika Islam tidak membenarkan, kenapa orang bukan Islam pula dibenarkan masuk Islam?

Merujuk kepada keterangan di atas, ketetapan melarang umat Islam untuk murtad ada di dalam Islam. Ia merupakan perintah agama. Justeru, jika benar seseorang itu ingin mengamalkan ajarannya, dia perlu melihat kepada ajaran agamanya sendiri. Adakah agama selain Islam yang menghalang umatnya daripada murtad?

Jawapannya perlulah kembali kepada kepercayaan masing-masing. Jika tiada dalam ketetapan agama masing-masing, maka untuk melarang orang bukan Islam memeluk Islam bukanlah suatu yang bersifat keagamaan dan melarangnya adalah salah dari segi naluri kemanusiaan. Sedang Islam meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagi Allah dalam segala hal, apalagi dalam menetapkan ketetapan yang melibatkan agama.

Namun, di sana masih perlu ada ruang untuk perbincangan dan komunikasi yang berkesan antara agama. Jika ruang perbincangan ini disekat, maka salah faham dan konflik akan semakin berlarutan. Orang Islam dan orang bukan Islam di Malaysia seolah-olah disekat daripada membincangkan isu-isu yang sensitif dan kontroversi. Soalnya, jika tidak dibincangkan, bilakah akan ada penyelesaian?

Sekarang, media telah menyalurkan begitu banyak maklumat berkaitan agama, bukan sahaja agama Islam. Tanpa sedar, filem-filem yang mengenengahkan ajaran daripada agama lain telah banyak disiarkan. Hasilnya, pelbagai konflik tercetus di dalam masyarakat. Filem-filem yang memperkenalkan konsep gay, lesbian, tahyul dan kebejatan sosial juga terlalu banyak mengisi ruangan dalam hiburan dan madia di Malaysia.

Anehnya, segala pemikiran ini lebih mendapat sambutan berbanding usaha untuk menyatupadukan rakyat Malaysia. Usaha menyatupadukan rakyat bermula daripada menggabungkan pemikiran yang berbeza untuk sekurang-kurangnya 'bersetuju untuk tidak bersetuju". Jika perkara kecil ini tidak dapat dilakukan, untuk melihat Negara Malaysia menjadi aman dan sejahtera adalah mustahil sama sekali.

Saya yakin kepada hujah agama saya, kemukakan hujah anda, jika anda rasa anda di pihak yang benar.

1 comment:

Collection said...

Islam guide all of creature in the world, if we want to life happily just read coran Telecharger Sahih boukhâri

Antara Yang Menarik