Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, August 8, 2011

Benarkah kawen itu seronok???

Saya belum ada jawapan untuk soalan di atas. Tapi, teman saya di Mekah pernah menyebut secara bergurau, "Kalaulah aku tahu macam mana seronoknya kawen tu, kalau boleh sebelum ayah aku kawen lagi aku nak nikah dah,". Apa sebenarnya yang dia maksudkan? Soalan ini lebih baik ditanyakan kepada mereka yang telah mendirikan rumah tangga, pasti mereka lebih arif. Bagi saya, seronok itu kawalan minda.

Walaubagaimanapun, jauh di sudut hati, saya dapat merasakan yang ungkapan di atas sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan saya lekas-lekas mendirikan rumah tangga. Sebagai menyahut seruan Nabi Muhammad SAW, "Wahai Pemuda, barangsiapa di antara kamu yang sudah sanggup untuk berkahwin, maka kahwinlah, kerana kahwin itu lebih merendahkan pandanganMU dan memelihara kehormatanmu. Barangsiapa yang tidak sanggup kahwin, maka berpuasalah, kerana puasa itu akan menurunkan keinginan syahwat." (HR Bukhari dan Muslim)

Saya agak kurang menulis mengenai Baitul Muslim sebelum daripada ini kerana beberapa sebab. Antaranya ialah agak kurang senang dengan tanggapan orang mengenai "urusan membina masjid" ini. Walaupun saya yakin mereka yang memberikan respon terhadap berita-berita atau kupasan mengenai Baitul Muslim ini sebenarnya langsung tidak berniat ingin "melaghakan" perbincangan, tetapi itulah yang biasa terjadi.

Mereka berbincang dan bersembang, seperti tiada hala tuju yang jelas dan dilihat seperti mempersendakan urusan membina masjid. Sedangkan kita tahu, bahawa urusan membina masjid ini, sebenarnya ialah urusan kebaikan dan kebajikan. Kita sepatutnya berlumba-lumba menyelesaikan masalah ini dengan matang dan dengan penuh semangat untuk melakukan kebaikan. Seingat saya, pernah sekali saya tuliskan mengenai urusan Baitul Muslim di laman ini, boleh baca lanjut di sini...

Urusan Baitul Muslim selalu dikaitkan dengan cerita "geli-geli" dan penuh dengan gosip-gosip liar di antara pasangan yang telah mempunyai hubungan, begitu juga gosip di antara mereka yang mungkin belum memiliki apa-apa status. Maaf, individu-individu yang kerap kali "bergosip" seperti ini sebenarnya telah mencemarkan "institusi keluarga Islam" yang hakikatnya lebih indah dan lebih hebat nilaiannya di sisi Allah dan Rasul.

Punca utama berlakunya konflik penilaian dan persepsi orang ramai terhadap Pernikahan dan perkahwinan ini ialah soal Jodoh dijadikan topik utama perbincangan. Soal jodoh yang saya maksudkan ialah, ramai yang teruja untuk mengetahui kesudahan Jodoh masing-masing mahupun kesudahan jodoh orang lain. Selalu yang bermain di fikiran mereka ialah, siapa agaknya pasangan sifulan dan sifulan, atau sifulanah dan sifulanah. Minat ini bukan hanya mencemarkan nama baik institusi keluarga Islam, bahkan telah menjadi punca utama tersebarnya fitnah.

Ya, saya tidak nafikan, soal jodoh ialah soal yang penting. Namun, institusi keluarga Islam ini sebenarnya mempunyai misi dan objektif yang jauh lebih besar daripada sekadar "melengkapkan" kehidupan bujang seseorang. Bahawa perkahwinan itu, bukanlah penamat kepada zaman bujang, tetapi permulaan kepada bentuk kehidupan yang baru yang jauh lebih indah dan mencabar.

Sepenting mana kita menumpukan usaha ke arah mencari jodoh, sepenting itu jugalah kita mengambil berat mengenai soalan pokok yang perlu kita jawab dalam soal perkahwinan ini, iaitu "Kenapa kita berkahwin?"

Sebenarnya, menjawab persoalan "kenapa kita berkahwin" akan dapat menyelesaikan hampir separuh daripada masalah utama perkahwinan. Hidup ini akan lebih terarah dan terurus apabila kita punya matlamat, misi dan visi yang jelas. Begitu juga hal perkahwinan, akan lebih terurus dan terarah sekiranya kita tahu dan sedar apakah tujuan utama kita mendirikan rumah tangga. 

Berkahwin, seperti yang saya sebutkan tadi, tidak terhenti setakat proses mencari dan mendapatkan pasangan. Visi kita jelas, untuk mencari redha Allah. Justeru, kita akan sedar dan mengerti, kepentingan bersabar dan bertahan sementara menunggu proses ini selesai.

Menggariskan objektif-objektif tertentu yang ingin kita capai dalam usaha membina rumah tangga ini juga, akan membantu kita mengawal segala tindak-tanduk dan perancangan hidup kita supaya menjadi lebih tersusun dan bermakna. 

Kita juga perlu akur, urusan jodoh bukanlah urusan yang mudah, dan sangat-sangat tidak boleh dibincangkan secara terbuka kerana melibatkan hal-hal yang bersifat peribadi. Maka, rancang dan bincanglah hal jodoh masing-masing dalam suasana yang terkawal dan berbincang secara matang dan profesional, apa sebenarnya yang anda mahu dan perlu lakukan untuk mencapai objektif dan misi perkahwinan anda yang tersendiri. Dibimbangi, jika kita tidak begitu jelas dengan perihal sebenar urusan membina masjid ini, menyebabkan usaha kita akan terbantut, dan masjid yang dibina menjadi masjid dhirar yang menjadi punca dan faktor kepada perpecahan umat dan keengkaran kepada Tuhan, kita berlindung dengan Allah dari hal-hal yang demikian.


Saya sekadar ingin berpesan kepada diri saya dan teman-teman saya yang masih bujang di luar sana. Sama ada bincangkan perkara ini secara serius, matang, secara objektif dan terarah, atau besabar dan bertahan sehingga tibanya masa yang sesuai untuk anda mula membuka mata.

Jom, berlumba ke arah kebaikan...

Thursday, August 4, 2011

Amanah

Sebagaimana kalamNya di dalam Al-Quran, "sesungguhnya Allah tidak memberatkan kamu kecuali dalam limitasi kemampuan kamu sendiri," Al-Baqarah, 2 : 286. Maka setiap manusia sememangnya ada kemampuan dan keupayaan yang tersendiri. Paling menarik, gabung jalin kemampuan inilah sebenarnya yang membentuk ketumbukan yang hebat seperti di zaman RasuluLlah SollaLlahu 'Alaihi wa sallam. Sinergi yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW bersama para Sahabat, telah meletakkan Islam tertinggi mengatasi segala jenis kekuasaan, fahaman dan ideologi.

Pengajaran yang boleh diperolehi daripada ayat di atas, salah satunya ialah kita wajib mengenal pasti potensi dan posisi kita masing-masing. Ayat di atas, sebenarnya bertujuan memberikan galakan dan rangsangan motivasi untuk manusia mencuba dan memberikan yang terbaik dalam hidup. Kenapa Allah Ta'ala menyebut "tidak akan membebankan kita kecuali dengan apa yang mampu kita lakukan"? 

Pertama, untuk menyedarkan kita bahawa setiap cabaran, dugaan dan ujian yang datang itu sebenarnya bersifat mampu-dihadapi. Benar, tiada yang mustahil dan setiap penyakit apalagi masalah, tetap akan ada penawar dan penyelesaiannya.

Kedua, sebagai rangsangan untuk memberikan yang terbaik dalam hidup dan di dalam setiap pekerjaan. Bahawa kemampuan manusia sebenarnya adalah jauh lebih hebat daripada apa yang dia sangka. Tidak terjangkau dek akal. Seolah-olah ingin memberitahu kepada kita bahawa, semuanya mampu kita selesaikan selagi kita mahu berusaha. Kemampuan kita tidak terhad selagi kita mahu untuk mencuba.

Begitulah halnya dengan amanah. Manusia, sekalipun tidak memegang apa-apa jawatan sentiasa memikul amanah daripada Allah. Manusia merupakan wakil Allah di atas muka bumi ini. Setiap manusia, memikul tanggungjawab asasi iaitu, menegakkan Islam dan mentadbir dunia ini dengan cara hidup Islam.

Sekiranya kita tidak terpilih untuk memegang apa-apa jawatan sekalipun, tanggungjawab asasi ini tetap perlu dipikul dan sentiasa berada di atas bahu kita semua, tanpa kita sedar atau tidak, dan tidak peduli sama sekali adakah kita mahu ataupun tidak.

Mungkin, ada manusia yang dimuliakan oleh Allah, maka dikurniakan pelbagai kelebihan sehingga dia mampu memimpin orang lain, seterusnya membawa perubahan ke atas dunia dan seluruh warganya. Seperti mana yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Kesemua mereka pernah melakar sejarah agung yang tersendiri.

Namun begitu, sekalipun tiada lagi Nabi atau Rasul, selepas Nabi Muhammad SAW, tetap akan ada manusia yang dipilih dan dimuliakan oleh Allah untuk melakukan perubahan dan pencerahan kepada manusia di dunia ini. Tiada satu zaman pun yang terlepas daripada dilahirkan seorang Mujaddid, yang bertanggungjawab melakukan pencerahan terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Sehingga kini, sumbangan para ilmuwan dan pejuang Islam yang terdahulu telah meninggalkan kesan yang sangat dalam dan penting terhadap kehidupan kita. 

Ini cerita dahulu. Sekarang, masing-masing di kalangan kita ada tugas dan tanggungjawab untuk meneruskan aktiviti pencerahan. Pencerahan dalam diri dan orang lain. Pencerahan dan perubahan perlu dilihat sebagai sesuatu yang sentiasa mampu dicapai oleh semua orang. Anda dan saya, kita mampu berubah dan melakukan pencerahan. 

Apa yang kita perlukan bukanlah jawatan, kerana tanpa jawatan sekalipun, tetap di bahu kitalah diletakkan segala beban pencerahan. Jawatan pula, perlu dilihat sebagai batu loncatan untuk membolehkan kita pergi lebih jauh... Peluang untuk memberikan yang terbaik..

Kita perlu berjuang kerana kita mampu, yang menentukan kejayaan ialah sejauh mana kita benar-benar mahu berjuang....


Jom,

Ubahlah Sekarang, Selamatkan Malaysia.....

Monday, August 1, 2011

Nasihat Ramadhan...



AlhamduliLlah, sempat juga akhirnya bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan. Bulan diturunkan di dalamnya Al-Quran, dibukakan pintu Syurga, dan ditutup pintu Neraka. Syaitan dibelenggu, dan segala amalan dilipatgandakan pahala dan kebaikan. Ramadhan ialah anugerah bagi mereka yang beriman. Anugerah yang tiada tolok bandingnya. Bukti kasih dan sayang Allah kepada manusia. 

Seperti mana seronoknya orang yang berpuasa ketika mereka berbuka, begitulah seronoknya mereka beraya setelah sebulan berpuasa. Keseronokan berbuka kerana berjaya menahan dari lapar dan dahaga, serta daripada perkara-perkara yang membatalkannya. Keseronokan beraya, kerana berjaya mengharungi sebulan berpuasa, menambah koleksi ibadah kita yang dilakukan tulus dan mulus kerana Allah 'Azza wa Jalla...

Semoga ramadhan kali ini bermakna, dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri dan peribadi kita. Ayuh, mulakan ramadhan kali ini dengan perlumbaan mengecap jiwa hamba!!!

Friday, July 29, 2011

Undangan Ke Majlis Ikatan Hati, Farid Dan Sakinah



Assalamu’alaikum WarahmatuLlahi Wabarakatuh,

Seindah senyuman, seikhlas hati.

Dengan lafaz penuh syukur, dengan rasa penuh hormat dan sukacita, menjemput sahabat-sahabat, rakan-rakan, teman-teman dan semua yang mengenali saya ke Majlis Perkahwinan saya, Mohd Farid Bin Hamlud, dengan pilihan hati saya, Sakinah Binti Ropien.

Mohon doa dan restu kalian, mengiringi penyatuan ikatan antara dua hati ini.



Majlis akan diadakan seperti berikut:

Tarikh: 11 September 2011  bsm  13 Syawal 1432H (AHAD)
Masa:  12 tengahari – 4 petang
Tempat: Dewan Serbaguna, Parcel 5R3, Precint 5, Putrajaya.

~Turut mengundang: seisi keluarga~

Untuk maklumat lanjut (permintaan kad) boleh hubungi saya di talian 013-6727827

(klik gambar untuk paparan saiz yang lebih besar)



Turut disertakan, undangan ke Majlis Perkahwinan bagi Pengantin Perempuan.




Untuk maklumat lanjut, sila lawati 

Wednesday, July 27, 2011

Nak Mati Ke Tak Nak?

Macamlah kita boleh pilih, sama ada nak mati ataupun tidak. Sedang jasad ini pun Allah Ta'ala yang pinjamkan, apalagi nyawa yang masing-masing ada tamat tempohnya. Soal mati, bukan pilihan tapi ketetapan.

Jadi, kita tanya kepada diri kita sendiri, benarkah kita tahu tentang mati? Apa sebenarnya yang tergambar di fikiran kita, tatkala menyebut tentang mati? Jika disebut tentang mati, apakah bentuk persediaan yang kita rasakan relevan untuk mempersiapkan diri kita menghadapi mati?


Orang ramai berlumba-lumba menghantar anak mereka untuk belajar di Pusat Tuisyen, sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan. Ramai yang sentiasa memerhati dan membuat tindakan susulan ke atas anak mereka dalam soal pelajaran. Mengambil berat soal kerja rumah, latih tubi, bertanyakan mengenai perkembangan pelajaran anak-anak, tidak cukup dengan menyoal anak-anak, sanggup pula ke sekolah untuk bertemu secara langsung dengan guru, kerana bimbangkan pelajaran anak-anak. Semua ini dilakukan kerana mereka ingin mempersiapkan diri anak-anak mereka menghadapi masa depan. Bagi mereka, lulus peperiksaan dengan cemerlang adalah jaminan bagi masa depan yang cerah.

Ada juga yang bermati-matian mencari rezeki. Peniaga dengan karenah perniagaan, pekerja dengan karenah pekerjaan, majikan dengan karenah pengurusan, pengemis dengan karenah permintaan. Semuanya berusaha dalam lapangan masing-masing. Ada yang kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang, tiada kais tiadalah makan. Namun, tetap mereka berusaha untuk mencarirezeki kerana rezeki itu bagi mereka, adalah jaminan kehidupan akan datang. Berlumba-lumba mencari dan menyimpan harta, kerana harta menurut mereka adalah jaminan kepada masa depan yang cerah.

Macam-macam yang kita lakukan untuk hidup. Sebagai manusia, kita berjuang untuk mendapatkan pendidikan sebagai persediaan akal dan fikiran kita menghadapi masa depan, maka persiapan akademik sebenarnya tidaklah menjadi satu kesalahan. Kita juga berjuang untuk mendapatkan makanan dna minuman, sebagai menyambung nyawa dan usia kita, kerana badan kita memerlukan tenaga. Manusia yang hidup juga memerlukan ruang, maka berusaha untuk mencari rezeki sebagai modal mendapatkan makan-minum dan juga ruang yang secukupnya ini, adalah keperluan sebagai menjamin kehidupan kita sebagai manusia. Begitu juga, manusia hidup perlu kepada pergerakan, maka berusaha ke arah mendapatkan kenderaan yang sesuai untuk bergerak juga adalah satu keperluan, melainkan mereka yang suka berjalan kaki.

Manusia hidup juga perlukan teman, maka berusaha bermati-matian untuk mendapatkan teman, dan mengekalkan teman itu juga adalah satu keperluan. Manusia hidup juga mempunyai harga dan maruah diri. Maka mereka akan berusaha menjaga dan memelihara maruah diri mereka, malah sentiasa berusaha keras untuk memastikan taraf kehidupan mereka meningkat. Peningkatan kualiti dan taraf kehidupan ini pula tergantung atas "paradigma" mereka yang tersendiri terhadap Tahap dan Kualiti hidup itu sendiri.

Seperti keperluan asasi manusia yang lain, manusia perlu berjuang untuk mendapatkan teman. Makan, minum, ruang, pergerakan, teman, dan macam-macam lagi keperluan asasi manusia yang lain, merupakan perkara asas yang diperlukan manusia untuk hidup. Mereka jelas terhadap perkara ini, maka bersungguh-sungguh mereka berkejar-kejaran sehingga sanggup bercakar-cakaran. Kalau yang ingin berteman, sehingga sanggup berindu-rinduan kerana memikirkan teman mereka. Salahkah ini semua? Ya, sebagai manusia, semua ini adalah kebenaran dan dibenarkan.

Satu perkara yang kita terlepas pandang, ialah soal mati. Semua manusia, tidak boleh memilih sama ada ingin mati atau tidak, kerana semuanya akan mati. Begitu berat dan gigih mana sekalipun dia berusaha untuk mendapatkan mana-mana keperluan dunianya, sekiranya tiba saat kematian, sekalipun belum sempat dia mengucupi isterinya, tetap sampai di situlah riwayat kehidupannya. 

Mati, ialah proses di mana ruh dicabut dari badan. Malaikat Maut, Izrail, ditugaskan untuk mencabut nyawa setiap anak Adam. Namun begitu, mati sebenarnya bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada sebuah kehidupan yang kekal abadi. Mati, bukan sekadar tamatnya nyawa, tetapi mati ialah perpindahan Ruh manusia dari alam dunia ke alam akhirat, iaitu kembalinya manusia menemui Tuhannya.

Mati, sering dilihat sebagai penghujung kehidupan. Ramai yang berusaha untuk hidup sementara menunggu mati. Yang lebih teruk, berusaha untuk hidup sehingga lupa tentang mati. Dunia diraih, dicari dan digali sebanyak dan sedalamnya, kononnya  untuk dijadikan bekal bagi dirinya dan seluruh keturunannya di dunia ini. Banyak yang mereka cari dan banyak pula yang mereka gali, kerana memikirkan kepentingan hidup di dunia.

Aneh, kerana dunia ini tidak akan mengiringi kematian kita, kerana yang kita bawa ke mati hanyalah amal, dosa dan pahala. Berusaha untuk mati, tidak bermakna kita menjadikan segala urusan hidup ini yang terkemudian selepas urusan mati. Tetapi, bersedia untuk mati ialah memprogramkan akal dan minda, juga emosi dan rohani kita untuk sentiasa memikirkan tentang mati serta meningkatkan usaha menghadapinya.

Dalam setiap perbuatan dan usaha kita sebagai manusia hidup yang telah saya sebutkan di atas, masih sangat perlu diteruskan, cuma perlu ditambah dengan nilai "dosa dan pahala", "syurga dan neraka". Kedua-dua nilai inilah yang kita perlu tambahkan dalam urusan dunia dan kehidupan kita, supaya mati kita nanti tidak miskin dan papa kedana.

Makan dan minum dari sumber yang halal. Bekerja dengan baik dan tekun, untuk mendapatkan rezeki yang halal dan tidak menzalimi orang lain. Beradab ketika belajar dan belajarlah ilmu-ilmu yang berguna dan menggunakan ilmu itu ke tempat dan saluran yang berguna. Menjaga kehormatan dan nilai diri, juga orang lain dan memeliharanya sebaik mungkin. Malah mencintai teman dan mereka yang penting dalam hidup kita sebaik mungkin, dalam suasana dan saluran yang baik, bersungguh-sungguh menyayangi dan mencintainya kerana kasih dan cinta kita pada Yang Esa. 

Seperti pesan Malaikat Jibril kepada kakasih Allah yang mulia, RasuluLlah SAW,

‘Hiduplah seperti apa yang kamu suka, tapi ingat bahwa akhirnya kamu akan mati. Cintailah siapapun, tapi ingat pada suatu saat kamu akan berpisah dengan orang yang engkau cintai itu. Berbuatlah sekehendak hatimu, tapi ingat kamu akan menerima balasannya.’


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (At-Taubah: 9:24)


Tapi, ada satu lagi fakta yang sangat menarik tentang dunia ini, iaitu jika kita cintakan mati, dunia akan mencintai kita.... Jom Mati!!! 

Thursday, July 21, 2011

Menahan Diri...

Sebagai persiapan menghadapi bulan Ramadhan Al-Mubarak, mari kita membuat sedikit ulangkaji terhadap ibadah puasa yang setahun sekali kita laksanakan ini.

Rukun Puasa.

Rukun puasa ada dua. Rukun merupakan perkara yang wajib dibuat. Jika tidak sempurna rukun, maka ibadah puasa kita akan menjadi tidak sah. Rukun puasa ada dua, Niat dan Menahan diri dari makan dan minum serta dari perkara yang membatalkan puasa.

Niat mestilah dilakukan sebelum terbit fajar, iaitu sebelum waktu subuh. Bagi mereka yang agak sukar bangun subuh (sebelum azan), maka eloklah berniat ketika sebelum tidur dengan niat berikut:


Maksudnya: Sahaja Aku berpuasa esok hari, Fardhu Bulan Ramadhan, tahun ini, kerana Allah Ta'ala.

Perbuatan menahan diri, bermula dari terbit fajar sehinggalah terbenamnya matahari. Iaitu daripada waktu subuh sehinggalah masuknya waktu maghrib. Selain daripada makan dan minum, kita juga perlu menahan diri daripada perkara-perkara yang boleh membatalkan puasa. Ada 9 perkara yang boleh membatalkan puasa, iaitu:

1. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan yang terbuka. Termasuk makan, minum, dan merokok.

2. Muntah dengan sengaja.

3. Mengeluarkan air mani. (kecuali jika terkeluar air mani disebabkan mimpi atau ketika tidur)

4. Melakukan jimak.(hubungan kelamin)

5. Kedatangan haidh, nifas, atau kelahiran bagi wanita.

6. Gila

7. Pitam sepanjang hari.

8. Mabuk (yang menghilangkan pemikiran waras) sepanjang hari.

9. Murtad (keluar daripada Islam)


Ibadah puasa ini lebih istimewa daripada ibadah-ibadah yang lain kerana, Sabda RasuluLlah SAW, 

"Semua amalan anak Adam digandakan kebaikannya sepuluh kali ganda serupa dengannya hingga tujuh ratus kali ganda, Allah Azza Wajalla berkata: " Melainkan puasa, kerana ianya untuk-Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya, mereka meninggalkan syahwat dan makanannya kerana-Ku." Bagi orang yang berpuasa akan mendapat dua kegembiraan: kegembiraan berbuka puasa dan kegembiraan ketika menemui Tuhannya, dan bau busuk (dari mulut orang yang berpuasa) kerana berpuasa lebih wangi di sisi Allah S.W.T" ( Riwayat al-Bukhari dan Muslim )


Semoga Ramadhan kali ini, lebih bermakna dan meninggalkan kesan ke dalam kehidupan kita... Jom, menahan diri....

Tuesday, July 12, 2011

Gila Kentang!!!

AlhamduliLlah, seperti pencinta Kebenaran dan Keadilan yang lain, saya juga berkesempatan untuk berada di Ibu Kota, berjalan untuk Kebebasan dan Demokrasi. Usaha yang sedikit itu, semuanya dilakukan untuk sama-sama menjalankan tanggungjawab asasi rakyat Malaysia, menyatakan pendirian.


Memang tak ahh!!


Desakan kami, tidak lain dan tidak bukan, untuk memulihkan keadaan. Memulihkan sistem pemilihan kepimpinan Negara kerana di sinilah bermulanya segala bentuk penindasan dan kezaliman. Rakyat yang matang dan berpengetahuan tentu sekali akan faham bahawa berjalan beramai-ramai di sebuah Negara Demokrasi sepatutnya tidak menjadi masalah kepada polisi dan undang-undang. Hanya mereka yang rasa dirinya tergugat akan melenting dan berasa tidak senang duduk.

Kerajaan UMNO-BN sudah terlalu Uzur sehingga mereka gagal membaca mesej yang ingin disampaikan oleh rakyat yang berhimpun. Kami, para penyokong dan pendokong PAS, jelas sekali menyertai himpunan ini kerana taat setia kami kepada perjuangan PAS. Akan tetapi, ribuan rakyat yang lain, terdiri daripada pelbagai jenis latar belakang yang sama-sekali berbeza pandangan dan pendirian khususnya mengenai PAS dan agama Islam. Untuk ribuan rakyat yang lain ini, mesej mereka adalah jelas, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

Najib perlu sedar, "Ubah" di sini, tidak semestinya merujuk kepada mengubah seluruh kepimpinan Negara dan menggantikannya dengan yang lain. Walaupun, jutaan rakyat sudah meluat dan hampir tiada sedikit pun perasaan belas terhadap Najib dan rakan-rakannya, namun, Najib sebagai seorang yang mempunyai daya kepimpinan yang tinggi seharusnya menerima "mesej" ini secara positif dan optimis terhadap peluangnya untuk mengekalkan jawatan dan penguasaan.


Apa yang rakyat mahukan ialah perubahan. Perubahan total terhadap segala sistem yang digunapakai oleh kerajaan pada ketika ini, berubah kepada sistem urustadbir yang baik dan berkesan. Ketelusan, kedaulatan undang-undang, responsif terhadap kehendak rakyat dan pelbagai aspek lain yang perlu diberikan penekanan dan perhatian serius oleh Najib dan rakan-rakan pemerintah yang lain.

Inilah sebenarnya yang rakyat mahukan perubahan ke arah sistem urustadbir yang baik dan berkesan. Mereka adalah rakyat Malaysia yang celik dan berperasaan. Mereka juga perasan dan peka terhadap perubahan yang berlaku di Malaysia. Tanah air yang dahulunya dimiliki oleh orang Melayu(kononnya), kini perlu dikongsi bersama. Tanah Air yang dahulunya mundur, kini perlu dibangunkan dan dimajukan bersama. Rakyat Malaysia sudah tentu sangat memahami konsep Satu Bumi, Satu Bulan dan Satu Matahari. Setiap pagi, kita menatap Matahari yang sama, di waktu malam, bulan yang sama yang menerangi kita, dan kita juga berkongsi udara, air dan tanah yang sama. Maka apa yang diperlukan ialah hidup bersama-sama , dengan rukun, aman dan sejahtera.

Benar, saya dan jutaan rakyat yang lain, sangat bencikan Rosmah. Akan tetapi, cubalah fikir secara positif. Apa yang Najib perlu lakukan, bukanlah menceraikan Rosmah dengan Talak seratus, sebaliknya didiklah Rosmah menjadi Isteri yang cerdik dan solehah. Najib, anda hebat, mendidik Isteri tidak sepatutnya menjadi masalah untuk anda. Walaupun dia agak nakal, buas dan ganas, optimislah dengan perubahan setiap manusia. Sedangkan Khalid Al-Walid yang pernah mengetuai Tentera Musyrik membunuh Syuhada Uhud pun akhirnya diberikan petunjuk oleh Allah, apalagi Rosmah yang memang dilahirkan sebagai seorang Islam. Saya percaya, kita semua juga mempunyai peluang yang sama. Selagi kita tidak berputus asa daripada rahmat Allah, Dia pasti akan sentiasa bersama..

Najib, inilah mesej sebenar yang perlu difahami dan diambil tindakan segera, jom sama-sama, Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia!


Antara Yang Menarik