Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, July 27, 2011

Nak Mati Ke Tak Nak?

Macamlah kita boleh pilih, sama ada nak mati ataupun tidak. Sedang jasad ini pun Allah Ta'ala yang pinjamkan, apalagi nyawa yang masing-masing ada tamat tempohnya. Soal mati, bukan pilihan tapi ketetapan.

Jadi, kita tanya kepada diri kita sendiri, benarkah kita tahu tentang mati? Apa sebenarnya yang tergambar di fikiran kita, tatkala menyebut tentang mati? Jika disebut tentang mati, apakah bentuk persediaan yang kita rasakan relevan untuk mempersiapkan diri kita menghadapi mati?


Orang ramai berlumba-lumba menghantar anak mereka untuk belajar di Pusat Tuisyen, sebagai persiapan untuk menghadapi peperiksaan. Ramai yang sentiasa memerhati dan membuat tindakan susulan ke atas anak mereka dalam soal pelajaran. Mengambil berat soal kerja rumah, latih tubi, bertanyakan mengenai perkembangan pelajaran anak-anak, tidak cukup dengan menyoal anak-anak, sanggup pula ke sekolah untuk bertemu secara langsung dengan guru, kerana bimbangkan pelajaran anak-anak. Semua ini dilakukan kerana mereka ingin mempersiapkan diri anak-anak mereka menghadapi masa depan. Bagi mereka, lulus peperiksaan dengan cemerlang adalah jaminan bagi masa depan yang cerah.

Ada juga yang bermati-matian mencari rezeki. Peniaga dengan karenah perniagaan, pekerja dengan karenah pekerjaan, majikan dengan karenah pengurusan, pengemis dengan karenah permintaan. Semuanya berusaha dalam lapangan masing-masing. Ada yang kais pagi, makan pagi, kais petang makan petang, tiada kais tiadalah makan. Namun, tetap mereka berusaha untuk mencarirezeki kerana rezeki itu bagi mereka, adalah jaminan kehidupan akan datang. Berlumba-lumba mencari dan menyimpan harta, kerana harta menurut mereka adalah jaminan kepada masa depan yang cerah.

Macam-macam yang kita lakukan untuk hidup. Sebagai manusia, kita berjuang untuk mendapatkan pendidikan sebagai persediaan akal dan fikiran kita menghadapi masa depan, maka persiapan akademik sebenarnya tidaklah menjadi satu kesalahan. Kita juga berjuang untuk mendapatkan makanan dna minuman, sebagai menyambung nyawa dan usia kita, kerana badan kita memerlukan tenaga. Manusia yang hidup juga memerlukan ruang, maka berusaha untuk mencari rezeki sebagai modal mendapatkan makan-minum dan juga ruang yang secukupnya ini, adalah keperluan sebagai menjamin kehidupan kita sebagai manusia. Begitu juga, manusia hidup perlu kepada pergerakan, maka berusaha ke arah mendapatkan kenderaan yang sesuai untuk bergerak juga adalah satu keperluan, melainkan mereka yang suka berjalan kaki.

Manusia hidup juga perlukan teman, maka berusaha bermati-matian untuk mendapatkan teman, dan mengekalkan teman itu juga adalah satu keperluan. Manusia hidup juga mempunyai harga dan maruah diri. Maka mereka akan berusaha menjaga dan memelihara maruah diri mereka, malah sentiasa berusaha keras untuk memastikan taraf kehidupan mereka meningkat. Peningkatan kualiti dan taraf kehidupan ini pula tergantung atas "paradigma" mereka yang tersendiri terhadap Tahap dan Kualiti hidup itu sendiri.

Seperti keperluan asasi manusia yang lain, manusia perlu berjuang untuk mendapatkan teman. Makan, minum, ruang, pergerakan, teman, dan macam-macam lagi keperluan asasi manusia yang lain, merupakan perkara asas yang diperlukan manusia untuk hidup. Mereka jelas terhadap perkara ini, maka bersungguh-sungguh mereka berkejar-kejaran sehingga sanggup bercakar-cakaran. Kalau yang ingin berteman, sehingga sanggup berindu-rinduan kerana memikirkan teman mereka. Salahkah ini semua? Ya, sebagai manusia, semua ini adalah kebenaran dan dibenarkan.

Satu perkara yang kita terlepas pandang, ialah soal mati. Semua manusia, tidak boleh memilih sama ada ingin mati atau tidak, kerana semuanya akan mati. Begitu berat dan gigih mana sekalipun dia berusaha untuk mendapatkan mana-mana keperluan dunianya, sekiranya tiba saat kematian, sekalipun belum sempat dia mengucupi isterinya, tetap sampai di situlah riwayat kehidupannya. 

Mati, ialah proses di mana ruh dicabut dari badan. Malaikat Maut, Izrail, ditugaskan untuk mencabut nyawa setiap anak Adam. Namun begitu, mati sebenarnya bukanlah penamat, tetapi permulaan kepada sebuah kehidupan yang kekal abadi. Mati, bukan sekadar tamatnya nyawa, tetapi mati ialah perpindahan Ruh manusia dari alam dunia ke alam akhirat, iaitu kembalinya manusia menemui Tuhannya.

Mati, sering dilihat sebagai penghujung kehidupan. Ramai yang berusaha untuk hidup sementara menunggu mati. Yang lebih teruk, berusaha untuk hidup sehingga lupa tentang mati. Dunia diraih, dicari dan digali sebanyak dan sedalamnya, kononnya  untuk dijadikan bekal bagi dirinya dan seluruh keturunannya di dunia ini. Banyak yang mereka cari dan banyak pula yang mereka gali, kerana memikirkan kepentingan hidup di dunia.

Aneh, kerana dunia ini tidak akan mengiringi kematian kita, kerana yang kita bawa ke mati hanyalah amal, dosa dan pahala. Berusaha untuk mati, tidak bermakna kita menjadikan segala urusan hidup ini yang terkemudian selepas urusan mati. Tetapi, bersedia untuk mati ialah memprogramkan akal dan minda, juga emosi dan rohani kita untuk sentiasa memikirkan tentang mati serta meningkatkan usaha menghadapinya.

Dalam setiap perbuatan dan usaha kita sebagai manusia hidup yang telah saya sebutkan di atas, masih sangat perlu diteruskan, cuma perlu ditambah dengan nilai "dosa dan pahala", "syurga dan neraka". Kedua-dua nilai inilah yang kita perlu tambahkan dalam urusan dunia dan kehidupan kita, supaya mati kita nanti tidak miskin dan papa kedana.

Makan dan minum dari sumber yang halal. Bekerja dengan baik dan tekun, untuk mendapatkan rezeki yang halal dan tidak menzalimi orang lain. Beradab ketika belajar dan belajarlah ilmu-ilmu yang berguna dan menggunakan ilmu itu ke tempat dan saluran yang berguna. Menjaga kehormatan dan nilai diri, juga orang lain dan memeliharanya sebaik mungkin. Malah mencintai teman dan mereka yang penting dalam hidup kita sebaik mungkin, dalam suasana dan saluran yang baik, bersungguh-sungguh menyayangi dan mencintainya kerana kasih dan cinta kita pada Yang Esa. 

Seperti pesan Malaikat Jibril kepada kakasih Allah yang mulia, RasuluLlah SAW,

‘Hiduplah seperti apa yang kamu suka, tapi ingat bahwa akhirnya kamu akan mati. Cintailah siapapun, tapi ingat pada suatu saat kamu akan berpisah dengan orang yang engkau cintai itu. Berbuatlah sekehendak hatimu, tapi ingat kamu akan menerima balasannya.’


Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk ugamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka). (At-Taubah: 9:24)


Tapi, ada satu lagi fakta yang sangat menarik tentang dunia ini, iaitu jika kita cintakan mati, dunia akan mencintai kita.... Jom Mati!!! 

No comments:

Antara Yang Menarik