Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, August 31, 2013

Kemerdekaan

Ya, sebagai rakyat Malaysia, saya rasa pencapaian 56 tahun merdeka adalah satu pencapaian yang memuaskan dan membanggakan. Sebagai rakyat di sebuah Negara yang dikenali umum sebagai negara Merdeka, saya bangga dan saya cintakan negara saya.



Tapi, saya pernah tertanya, apakah faktor British menjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu? 

Dahulunya, Tanah Melayu tidak hanya dirujuk kepada semenanjung Tanah Melayu, malah rantau nusantara ini, seluruhnya dahulu adalah serumpun, sebangsa dan seagama. Maka datanglah penjajah yang membawa idea yang berbeza, lalu mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah. Mengambil kesempatan di atas sifat tamak raja dan pembesar tempatan pada ketika itu untuk mencampuri urusan pentadbiran negara.

Jika British telahpun berusaha bersungguh-sungguh untuk menjajah Tanah Melayu, kenapa British juga yang dengan mudahnya melepaskan Tanah Melayu? Apakah faktor sebenar di sebalik pembebasan Tanah Melayu?

Saya pernah terbaca, kenyataan seorang pembesar British bahawa Tanah Melayu ini hanya akan diberikan kepada mereka yang "sama" dengan British. Sudah pasti, dalam politik dunia, kekuasaan dan pengaruh adalah sangat penting. Malaysia, walaupun sudah merdeka, namun mereka menerima syarat daripada British antaranya perkara yang melibatkan undang-undang, ekonomi dan sosial. Mereka tunduk kepada British, kerana mahukan kuasa, agar perlembagaan yang dibentuk oleh Suruhanjaya Reid, diguna pakai, sehingga ke hari ini.

Jika kita benar-benar merdeka, kenapa Perlembagaan Persekutuan ini tidak boleh dicabar? Bahkan antara ketetapan utama Perlembagaan Persekutuan ialah jika mana-mana undang-undang atau peraturan yang bercanggah dengan Perlembagaan Warisan Penjajah ini adalah ditolak dan terbatal.

Maka, tidak hairanlah ekuiti ekonomi bumiputera masih berada di tahap yang membimbangkan kerana pembesar Negara yang mengambil alih pemerintahan negara ini sebenarnya bukanlah pejuang sebenar kemerdekaan. Bahkan apa yang ada di minda mereka hanyalah mendapatkan kekayaan dan kekuasaan semata-mata.

Akta Darurat, ISA dan OSA pula dirangka untuk menyekat sesiapa sahaja yang boleh membawa ancaman kepada keamanan negara (baca kestabilan kuasa politik pemerintah).

Saya tidak mengajak kepada menghapuskan perlembagaan persekutuan, kerana ianya disepakati dan diterima umum, tambahan ianya masih dapat berfungsi sebagai sandaran utama rakyat Malaysia. Walaupun sebahagian besar perlaksanaan dan kefahaman mengenainya telah dirosakkan oleh UMNO-BN, namun ianya masih relevan. Akan tetapi, akta draconian seperti ISA, OSA, dan Ordinan Darurat adalah satu malapetaka besar buat Negara, dan perlu dihapuskan segera.

UMNO-BN berjanji ingin menghapuskan akta ini, itupun selepas mereka menggantikan ISA dengan akta yang lebih kejam. Penjenamaan semula yang sangat ketara tidak membantu memulihkan keadaan, sebaliknya helah daripada kerajaan ini, sangat tidak boleh diterima dan memalukan.

Justeru, sempena hari kemerdekaan ini, saya mengajak agar kita kembali kepada gaya asal tanah Melayu. Membuang jauh gaya penjajah dan membebaskan seluruh rakyat Malaysia daripada pemikiran sempit dan negatif. Tanah ini tanah tumpah darah kita, maka kitalah yang bertanggungjawab mendaulatkannya. 

Tuesday, June 25, 2013

Bekas Hakim bangga khianat bangsa dan agama sendiri.



Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, menyatakan bahawa orang-orang bukan Melayu sepatutnya membalas pengorbanan orang Melayu yang merelakan bahasa mereka ditulis dalam skrip rumi demi perpaduan kebangsaan. 

Pengakuan terbuka bahawa orang Melayu sanggup mengorbankan tulisan jawi atas nama perpaduan sama sekali tidak boleh diterima akal. Beliau sendiri mengakui bahawa mengorbankan tulisan jawi bekemungkinan menjauhkan orang Melayu daripada Al-Quran dan Al-Hadith. Pengakuan tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa beliau sanggup mengorbankan agamanya untuk perpaduan.

Pengakuan tersebut sebenarnya menguatkan lagi hujah bahawa UMNO sanggup meletakkan agama pada kedudukan yang bahaya semata-mata ingin mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam. Sedarkah UMNO dan Datuk Mohd Noor Abdullah bahawa tulisan masyarakat india dan cina juga bukanlah tulisan rumi? Sedarkah bahawa tulisan rumi sebenarnya adalah tulisan penjajah?

Atas alasan apakah tulisan rumi sahaja yang boleh membawa perpaduan? Sedangkan setiap negara di dunia mempunyai bahasa dan tulisan yang tersendiri, sehingga kini, masih dapat mengekalkan perpaduan dan kerukunan sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama. Tidakkah pernah mereka terbaca dalam sejarah bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca, iaitu Bahasa Perantaraan yang digunakan oleh pedagang asing yang berdagang di Tanah Melayu dahulu?

Ketika Bahasa Melayu menjadi lingua franca, tulisan yang digunakan adalah tulisan jawi. Hanya setelah penjajah datang menjajah Tanah Melayu mereka memperkenalkan tulisan rumi, dan satu-satunya kelompok masyarakat Melayu yang setuju dengan tulisan penjajah ini adalah UMNO. Untuk makluman penyokong dan pendokong UMNO-BN, tulisan bahasa cina dan india juga masih dalam tulisan asal. Orang-orang cina dan india yang belajar tulisan mereka, pasti dapat menguasai tulisan tersebut tanpa perlu dirumikan. 

Maka, merelakan penggunaan tulisan penjajah, sanggup menggadaikan tulisan bahasa sendiri, malah meletakkan Al-Quran dan Al-Hadith, pada kedudukan yang terancam adalah jenayah terbesar UMNO dan sesuatu yang sama sekali buruk untuk dibangga-banggakan. Memaksa kaum lain berterima kasih atas kezaliman terhadap kaum sendiri pula adalah sesuatu yang sangat memalukan.

Sebenarnya, isu ni dah lama. Tapi kerana tiada kesempatan, baru kini dapat menulis.

Friday, May 10, 2013

Tiga sebab rakyat tolak BN, Najib mesti baca...

Najib sebenarnya sedar bahawa kedudukannya sebagai PM dan Pengerusi BN, malah Presiden UMNO juga belum terjamin. Justeru, Najib pasti sedang mencari-cari formula dan kaedah untuk memastikan karier politiknya tidak terkubur begitu sahaja.

Saya tak pasti sama ada, beliau masih belum puas mengaut keuntungan, atau mungkin juga Hajah Rosmah sendiri mendapati ada kekurangan dalam koleksi perhiasan yang beliau kumpul sepanjang menjadi FLOM. Tapi, saya rasa untuk menyelamatkan maruah diri sendiri, langkah terbaik untuk Najib ialah berundur. Secara jelas, rakyat bencikan Najib. Slogan Better Nation, kini difahami sebagai Buang Najib.

Hanya dengan ketiadaan Najib, barulah ada kemungkinan untuk direalisasikan Better Nation tersebut.

Kadang-kadang saya sendiri pelik, kenapa pipi kita tersorong-sorong, sedang hidung kita sudah tak mancung?

Rakyat dan buat keputusan. 

BN sepatutnya menunjukkan contoh teladan sebagai Pemerintah Paling Lama dalam sejarah Malaysia, untuk menerima dengan lapang hati keputusan PRU-13. Kenyataan yang berbaur perkauman sebenarnya menunjukkan BN sendiri tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti Rakyat, khususnya bangsa cina, inginkan perubahan. Sewajarnya, keputusan PRU-13 ini dijadikan medan muhasabah dan diambil sebagai kritikan membina buat kepimpinan BN.

Rakyat dan saya sendiri mahukan Perubahan. Sehingga ke saat ini, kami masih menanti-nanti dan sentiasa berharap agar ada perubahan positif dalam negara. Jika tidak mahu kecundang, strategi terbaik bagi UMNO-BN ialah berubah.

Najib sendiri mengakui, bahawa belajar dari kesilapan adalah erti kepimpinan yang sebenar. Nah, kamu sendiri sedar salah kamu, mengapa kamu tidak berubah?

Adakah kesalahan kamu ialah KALAH semata-mata?

Adakah kesalahan kamu ialah gagal memikirkan strategi untuk meraih undi semata-mata?

Kamu perlu sedar, rakyat khususnya di Negeri Selangor, di Bandar2 besar yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India, kesemuanya menolak kamu atas 3 sebab utama.

Pertama ialah kerana Rasuah. Rasuah diakui ialah penyakit terbesar bagi pemimpin khususnya di negara demokrasi. Penyakit rasuah dalam UMNO-BN membarah sehingga ke Usus, diakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir.

Kedua hilangnya rasa percaya kepada sistem pentadbiran dan penyampaian Kerajaan Persekutuan. Rakyat yang celik, melihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa pihak keselamatan dan badan-badan yang sepatutnya menjaga kepentingan rakyat gagal berfungsi dengan baik. Sebagai contoh, pihak polis dan SPR hanya menjaga kepentingan UMNO-BN. Kerajaan sepatutnya insaf dan bertaubat. Semakin ditutup pekung, semakin pula ia terdedah. Contoh lain, ketika kenaikan harga barang dan pelbagai taktik menghisap darah rakyat dikenakan, alasan tidak logik yang diberikan oleh pihak kerajaan menyebabkan rakyat berasa terhina dan direndahkan akal mereka. 

Kami bukan budak kecil. Ada di kalangan kami yang juga bekerja sebagai kakitangan kerajaan, melihat sendiri bahawa apa yang disebut oleh Kerajaan tidak serupa dengan apa yang dibuat. Cakap tak serupa bikin. Kamu suruh rakyat berjimat, tapi kamu sanggup membazir ratusan ribu hanya untuk nombor plat kereta. Ke mana letaknya akal?

Ketiga, diskriminasi dan penindasan. Banyak hak rakyat yang kamu abaikan. Hak kebebasan untuk bersuara adalah hak paling ketara yang kamu nafikan. Guru-guru yang lantang ditukarkan. Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan yang tidak sebulu kamu pecat atau tukarkan. Lihat apa yang terjadi pada ratusan guru yang telah dipindahkan dalam tempoh 24 jam. Tidakkah kamu terfikir tentang anak murid mereka yang sangat memerlukan gurunya? Bagaimana dengan keluarga mereka yang terpaksa berpisah? Patutkah mereka didera untuk berjalan jauh semata-mata hanya kerana mereka mengkritik tindakan kamu?

Layakkah kamu digelar pemimpin jika tidak berani bersemuka dengan orang yang mengkritik diri kamu?

Begitu juga dalam siri-siri himpunan rakyat yang dianjurkan oleh Parti yang tidak sealiran dengan kamu. Kamu nafikan hak mereka, dan kamu tindas dan zalimi mereka. Ke mana letaknya undang-undang yang sepatutnya kamu tegakkan?

Apapun, segala kesilapan ini sepatutnya tidak perlu diulang. Rakyat hendakkan BRIM, tapi rakyat perlukan pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik tidak akan mengumpan rakyatnya. 

Akhir sekali, ancaman perang antara kaum ini, rakyat amat berharap ia dihentikan.

Cukuplah.

Sekarang adalah masa untuk kita bina kekuatan. Negara semakin nazak disebabkan permainan politik kamu sendiri. Rakyat hanya mahukan pemimpin yang adil, telus, dan berkebajikan. Jika kamu tidak mampu untuk telus, berlaku adil dan membuat kebajikan, tinggalkanlah kerusi itu untuk orang yang lebih baik...

Wednesday, May 8, 2013

BN belum menang lagi... Rakyat jangan mengaku kalah...

Masih ada tempoh sehingga 25 Mei 2013 untuk kita tumbang-ranapkan UMNO-BN. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, pastinya kita akan dapat menegakkan kembali keadilan di Malaysia. Selagi belum sampai tarikh luput, kita perlu bekerja keras.

Sunday, March 24, 2013

Politik Berteraskan Nilai

Saya rindukan suasana demokrasi yang tulen. Walaupun istilah rindu sebenarnya tidak tepat kerana ianya tidak pernah berlaku, tapi saya sentiasa merasainya dalam mimpi. Bahkan, saya dapat rasakan bahawa inilah sebenarnya yang dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW ketika Baginda memerintah bumi Hijjaz dahulu. 


Saya tidak bermaksud bahawa Nabi Muhammad SAW mengamalkan demokrasi. Kerana Islam, pengertiannya jauh lebih murni dan lebih indah daripada Demokrasi. Demokrasi hanyalah sebahagian daripada kesyumulan Islam. 

Islam, agama yang sangat toleran. Islam bermakna menyerah diri kepada ALlah. Serahan diri ini membawa kepada kesejahteraan dan keselamatan di dunia dan di akhirat. Menyerah diri, bermakna membiarkan diri diperintah oleh Islam. Bukan memerintah Islam untuk kepentingan diri sendiri. Islam diperlukan, sama sekali tidak pernah memerlukan.

Kembali kepada istilah Demokrasi. Walaupun pengertian asalnya, demokrasi ini merujuk kepada kuasa rakyat. Maka, saya lebih suka kepada istilah demokrasi terpimpin. Walaupun, rakyat memegang kuasa membuat keputusan, namun mestilah berteras kepada nilai yang sejagat. Seringkali, dalam konteks demokrasi yang biasa, sesuatu yang lebih dikenali akan lebih diterima. Maka, penerimaan sesuatu itu, bergantung kepada populariti, walaupun nilai yang dibawa adalah nilai yang tidak sejagat.

Saya ambil contoh, UMNO, sangat popular dan mendominasi media arus perdana. Maka merekalah yang paling dikenali. Liputan mengenai mereka sangat meluas, sehingga rakyat, sekalipun dari parti pembangkang lebih mengetahui hal-hal berkaitan dengan UMNO daripada hal-hal berkaitan parti mereka sendiri. Maka, rakyat yang berada di atas pagar, akan cenderung memilih UMNO, kerana hanya UMNO yang mereka kenali. Mungkin, mereka juga berhikmat dengan amanat Tun M, lebih baik syaitan yang dikenali, daripada malaikat yang tidak dikenali.

Sekali lagi, amanat Tun M ini menjadi bukti bahawa amalan dan pemikiran rakyat Malaysia menjurus kepada politik yang tidak berteraskan kepada nilai, sebaliknya populariti. 

Nah, di sinilah timbulnya Demokrasi Terpimpin, iaitu penilaian dibuat berteraskan kepada nilai yang sejagat. Nilai yang sejagat, bererti nilai yang boleh diterima oleh semua. LGBT bukan nilai sejagat, kerana ia tidak boleh diterima oleh semua orang. Nilai ketuhanan, adalah nilai yang paling sejagat. Manusia, walau bagaimana hebat sekalipun, memerlukan kepada Tuhan. Kita menyembah dan berdoa kepada Tuhan, kerana Dia Maha Mengetahui dan menentukan segala-galanya. Islam, adalah agama Tuhan, bukan ciptaan ahli-ahli agama. Tiada seorang pun boleh menafikan kata-kata Allah, sekiranya dia menafikan kata-kata Allah, bahkan menafikan kata-kata Rasul SAW, maka dia tidak lagi dikira sebagai orang yang beragama.

Nilai keadilan dan kebajikan adalah nilai sejagat yang sangat diterima malah diperlukan. PAS menawarkan negara berkebajikan, kerana PAS mengamalkan Islam yang menjaga kepentingan agama dan syariat. Syariat Islam diperjuangkan kerana syariat Islam bertujuan memelihara hak-hak dan tanggungjawab asasi manusia. Paling penting, syariat Islam melunaskan hak-hak Allah.

Dalam prinsip demokrasi, rakyat sebagai kuasa pemutus, maka rakyat perlu dibekalkan dengan maklumat yang cukup. Justeru, pemimpin bertanggungjawab melaksanakan kaedah urustadbir yang telus dan terbuka. Ketelusan menjamin hak-hak rakyat untuk mengetahui bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat dan dilaksanakan. Sekiranya maklumat yang dibekalkan mencukupi, barulah keputusan dan penilaian yang dibuat oleh rakyat tepat dan berasas.

Menyembunyikan fakta dan keadaan sebenar, hanya akan mengundang pelbagai persepsi. Islam mengajar kita, persepsi tidak akan dapat membantu kita mencari kebenaran. Bahkan persepsilah yang akan memusnahkan institusi dan menghapuskan nilai serta kepercayaan. Sedang kepercayaan itulah "nadi" utama hubungan antara rakyat dan pemimpin. Rakyat memberontak dan beralih arah, kerana tiada lagi rasa percaya.

Justeru, ditekankan sekali lagi, peri penting ketelusan dan keterbukaan bagi setiap pemimpin. 

Sekalipun kita berada di pihak yang benar, Kita tidak boleh menafikan hak-hak orang yang berada di pihak yang salah. Misalnya, seorang yang terbukti mencuri, merompak malah merogol seseorang perempuan di hadapan mata kita sendiri, tidak boleh terus dihukum. Sebaliknya perlu diadili dan perlu diberi ruang untuk membela diri. Ini praktik kerajaan Islam dibawah pentadbiran Nabi dan Khulafa' Ar-Rasyidin.

Islam adalah agama yang benar. Maka orang-orang yang memimpin secara Islam, perlu yakin bahawa mereka sentiasa bersama dengan kebenaran. Kebenaran adalah nilai yang sejagat. Ia juga adalah hak semua manusia, sekalipun mereka belum beragama Islam. Islam sarat dengan hujah yang mampu difikirkan dengan akal. Alam ini adalah saksi dan bukti yang sangat jelas untuk mereka yang mahu berfikir.

Sebab itulah, antara tujuan perlaksanaan Syariah ISlam, ialah memelihara akal fikiran. Manusia perlu dibekalkan dengan ilmu dan pengetahuan. Pemimpin yang demokratik, sangat mengutamakan ilmu dan pengetahuan. Maka mereka akan menyogok rakyatnya dengan ilmu dan pengetahuan. Kebajikan, harta dan hak-hak untuk mendapat kehidupan yang selesa juga tidak dikesampingkan, kerana ini juga tanggungjawab. Namun, bukan ini yang menjadi sogokan utama kepada rakyat.

Pepatah cina berkata, "jika engkau beri ikan, malam ni dia dapat makan, jika engkau beri pancing tiap-tiap pagi, petang, malam di boleh makan."

Sikap menutup mulut dan suara rakyat, sekalipun kita berada di pihak yang benar adalah salah sama sekali. Hal ini, pernah berlaku di sebuah negeri, di mana pemimpin yang benar itu cuba menutup mulut rakyatnya yang ingin mendapatkan penjelasan. Sedangkan, tanggungjawab pemimpin tersebut ialah memberikan penjelasan. Proses pengadilan terbuka adalah sangat diperlukan kerana isu itu adalah isu umum yang menyentuh semua pihak. 

Hal kalimah Allah juga begitu. Pengadilan mesti dibuat secara terbuka. Tidak eksklusif apalagi provokasi dan hasutan yang sama sekali tidak menyumbang kepada keharmonian dan kerukunan. Kita tidak layak menghukum, hanya diberikan amanah untuk melaksanakan apa yang telah diturunkan.

In Sya Allah, jika politik seperti ini yang kita amalkan, kita akan dapati, negara ini makmur, berkebajikan, dan mendapat keampunan Tuhan.



Tuesday, March 5, 2013

Lahad Datu

Saya sendiri tidak pasti apa hal sebenarnya yang berlaku di Lahad Datu. Di awal isu ini meletus, saya sedikit pun tida tertarik untuk membaca, apalagi untuk membuat ulasan. Saya risau, sekiranya sumber rujukan saya tidak tepat, maka saya hanyalah membawa berita palsu dan Islam memandang keji orang-orang yang mereka-reka malah yang menyebarkan berita palsu ini juga adalah sangat keji.

Akan tetapi, saya rasa isu ini agak tempang dari sudut bagaimana kerajaan Malaysia menangani masalah ini. Saya terperasan, Menteri KDN pernah ke Sabah, dan dikatakan berunding dengan puak bersenjata tersebut. Sepertinya, hasil pertemuan tersebut adalah positif. Tapi, apa yang kita saksikan hari ini, anggota di bawah KDN sendiri yang terkorban..

Mula-mula, saya ingatkan main-main. Tapi, bila dah terkena kepada saudara sendiri, barulah saya sedar akan keseriusan kes Lahad Datu ini.

Rakyat, walaupun tidak terlibat dalam soal pentadbiran negara, tetap perlu mendapatkan maklumat yang sohih. Di sini, saya rasa pengajaran dari kisah pengembala kambing dengan serigala perlu dijadikan iktibar. Kisah pengembala tersebut, yang pada mulanya hanya berniat ingin mempermainkan orang-orang kampung dengan berita palsu, akhirnya menelan akibatnya kerana beritanya sudah tidak lagi dipercayai.

Begitulah sifat manusia, jangan sesekali menipu, kelak kita tidak lagi akan dipercayai. Sentiasalah bercakap benar, dan berada di pihak yang benar. Kerana janji Allah, hanya kebenaran yang akan dibela.

Sebenarnya, para pemimpin negara perlu berbincang secara telus dan bersungguh-sungguh untuk menangani isu ini. Sidang khas parlimen adalah sangat baik untuk diadakan kerana pertemuan dan perbincangan di antara kedua-dua belah kuasa politik utama di Malaysia ini insyaAllah akan menghasilkan kebaikan.

Sejujurnya, saya berharap agar sidang ini ditayangkan secara langsung. Kerana Negara kini sedang mengalami kucar-kacir bukan disebabkan oleh serangan bersenjata, tetapi disebabkan oleh maklumat.

Maklumat ialah pemnadu tindakan manusia. Jika maklumat salah, maka salahlah tindakan.

Kerajaan tidak bijak memberikan maklumat, menyebabkan rakyat cenderung mencari sumber maklumat alternatif.

Jika Najib benar-benar mahukan kepercayaan rakyat, maka percayalah terlebih dahulu bahawa rakyat sebenarnya mahukan pemimpin yang boleh dipercaya. Maklumat yang dibekalkan oleh Najib sangat diragui, dan sukar dipercayai, maka tidak hairanlah rakyat mengambil keputusan untuk tidak memberikan kepercayaan.

Maka, dalam isu Lahad Datu, saya sebagai rakyat Malaysia, benar-benar berharap agar Najib benar-benar berubah dan memberikan maklumat benar seterusnya mengambil tindakan yang tepat untuk memastikan keselamatan negara terjamin dan terpelihara.

Thursday, February 7, 2013

Nak mengadu pada siapa?

Macam mana yg dikatakan mengadu pada Facebook?

Macam ni, bila kita merasai sesuatu, contoh sedih, gembira, "terpukul", terhina, teruja, bangga, atau rasa insaf sekali pun, mana yang kita buat dulu?

A-tulis status dalam facebook.
B-tweet.
C-tulis dalam blog.
D-sebut nama Allah di dunia "asal"

Kalau kita buat D dulu, baru buat yang lain2, saya kira kita lulus dari godaan.. Tapi kalau kita buat A,B,C dulu baru D, ada masalah iman.. Malang sekali kalau kita hanya buat ABC, langsung tidak memikirkan untuk buat D.

Alat2 komunikasi ni memang penting untuk kita menyampaikan dan berkongsi... Malah saya juga suka melakukan perkara yang sama..

Tapi, apakah ertinya, jika kita hanya "bertasbih" atau "bertahmid" menggunakan papan kekunci, tapi lidah dan hati kita tidak mengucapkan perkara yang sama.. Seolah mahu menunjuk kepada makhluk, kononnya kita sedang memuji dan memuja, sedang namaNya tidak meniti di bibir kita seperti yang kita dakwa?


Sekalipun atas tujuan dakwah, apalah maknanya kita nampak "ustaz" dalam Facebook, sedang kita membuat maksiat di dunia asal kita?

Dunia yang sebenar, bukanlah di facebook. Ya, setiap kekunci yang kita tekan sama ada di Facebook atau di mana sahaja ruang akan dipersoalkan. Tetapi, bukankah di dunia nyata inilah tempat kita hidup, dengan kehidupan yang sebenar?

Matematik diri kita, sebelum kita diMatematikkan...

Antara Yang Menarik