Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, August 18, 2012

Kemuliaan

Kata-kata hikmat yang pernah dikeluarkan oleh Amirul Mu'minin, Saidinia Omar Ibn Al-Khattab, "Kita pernah menjadi bangsa yang hina, tetapi Allah memuliakan kita dengan Islam. Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dengan Islam, maka kehinaan Allah baginya."


Pesanan yang hebat ini diberikan kepada Sa'ad Bin Abi Waqqas dan seluruh tentera Islam sebelum mereka menghadapi peperangan.

Allah Ta'ala turut menjelaskan dalam puluhan ayat mengenai keistimewaan dan kemuliaan, juga ketinggian darjat bagi mereka yang beriman serta mengamalkan Islam. Melakukan 'amal soleh, seperti yang dianjurkan di dalam banyak ayat Al-Quran sebenarnya merujuk kepada mengamalkan Islam sebagai cara hidup, dengan meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman utama.

Islam bukan hanya membawa kebaikan dan kesejahteraan, tetapi Islam juga membawa kemuliaan dan bersamanya setiap kebaikan yang ada di atas muka bumi ini. 

Namun begitu, memilih Islam, dan memilih untuk bersama Islam, menyokong dan mendokong perjuangan Islam, tidak menjadikan seseorang itu kebal daripada ditimpa musibah dan cubaan. Hidup dipenuhi dengan cabaran. Sedang mereka yang tidak beriman turut diuji, inikan pula mereka yang beriman, semestinya ujian membuktikan keimanan itu sendiri amat payah, kerana ganjaran syurga bukanlah boleh dibeli dengan peluh keringat semata-mata.

Sebagaimana manisnya syurga, begitulah pahit yang menanti mereka yang ingin mencapainya.

Keistimewaan dan kemuliaan orang yang beriman tidak diukur dari segi ujian yang menimpa diri mereka. Tetapi, diukur hasil daripada kesabaran dan kejayaan mereka melawan cabaran dan dugaan yang menguji diri mereka. 

Kita juga tidak dikira hebat jika tidak menerima ujian atau hanya sekadar berjaya menewaskan halangan dan cabaran yang sedikit. Oleh kerana musuh manusia yang paling utama ialah dirinya sendiri, maka cabaran dan ujian yang paling hebat bagi seseorang muslim itu ialah dirinya sendiri. Nafsu manusia adalah acabaran ujian yang paling hebat yang Allah Ta'ala kurniakan kepada diri kita.

AlhamduliLlah, kita berjaya mengharungi Bulan Ramadhan, di mana nafsu kita dapat dikurangkan berbanding bulan-bulan yang lain. Syaitan dan Iblis dibelenggu untuk memberikan ruang yang secukupnya bagi kita mendidik dan melatih nafsu melakukan kerja taat.

Bermulanya syawal, bererti kita kembali kepada cabaran yang sebenar, dan nafsu yang hampir berjaya dikekang ketika bulan ramadhan akan kembali meronta meminta untuk dipuaskan.

Maka, kemuliaan dan ketinggian darjat adalah milik mereka yang tetap menyerah diri kepada Allah, dan terus melakukan kerja taat dan mengamalkan Islam, sekalipun berada di luar bulan ramadhan.. 

Semoga limpah taufik dan petunjuk daripada Allah terus menaungi kehidupa kita sehari-hari...

Minal Aidin Wal faizin...


Saturday, July 21, 2012

Bulan Perubahan

Bukan negara sahaja memerlukan transformasi, malah Imam Hudaibi pernah mengingatkan kepada kita, "tegakkan agama dalam diri kamu, maka agama akan tertegak atas bumi kamu". Bererti, perubahan penting yang perlu kita lakukan ialah perubahan yang dimulakan ke atas diri kita sendiri.

Guru saya pernah menasihatkan saya dengan katanya, "Jika kita ingin mengurangkan keburukan dan kekurangan yang ada pada kita, maka kurangkanlah melihat keburukan dan kekurangan yang ada pada orang lain". Bermulanya kebaikan dan keburukan itu adalah dari diri kita sendiri. Semakin banyak kita memperkatakan atau sekadar memikirkan keburukan dan menilai kekurangan orang lain, maka semakin banyak pula kekurangan dan keburukan yang akan diperlihatkan ke atas kita.

Hakikat yang paling utama yang perlu kita sedar ialah kita sebenarnya sangat lemah. Saya adalah orang yang paling lemah di antara kalian. Tiada nilai dan darjat pada diri saya, melainkan kemuliaan dan kurnia yang Allah Ta'ala berikan kepada kita. Setiap inci, setiap zarah kelebihan yang ada pada kita, semuanya adalah nikmat Allah yang tidak patut kita banggakan. Dialah yang selayaknya memiliki segala puji dan puja, segala murni dan mulia atas segala perkara yang berlaku ke atas kita. 

Mudah-mudahan, bulan ramadhan ini menjadi batu loncatan kepada perubahan yang drastik dari jiwa manusia kepada jiwa hamba. Segalanya adalah milikNya, tiada yang kekal melainkan Dia. 

Selamat Menjalani Ibadah Puasa.

Friday, July 20, 2012

Debat PRU 13: Anak Muda Pilih Siapa?


Debat Anjuran Sinar dan Astro Awani, antara Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nasrudin Hassan dengan Ulama Muda UMNO, Ustaz Fathul Bari.

Friday, July 13, 2012

Politik Islam

Saya cukup senang dengan kenyataan Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai cadangan UMNO Johor, Datuk Ayub Rahmat untuk melaksanakan Hudud. Dalam kenyetaan balas beliau berkata, (baca lanjut di sini).


Ada beberapa pengjaran yang dapat diambil di sini.

1. Politik Islam berteraskan nilai bukan kepentingan Parti, Kaum, apalagi individu.
        Perkara utama yang menjadi rebutan ialah melaksanakan dan menganjurkan nilai yang sejagat yang membawa kebaikan kepada masyarakat ramai. Kepentingan Islam merentasi kepentingan parti dan semangat asabiah. TGNA mengajar kita bahawa nilai Islam itu lebih utama sekalipun datangnya daripada UMNO.

2. Politik Islam mengajar kita supaya membuat penilaian secara objektif.
        Walaupun cadangan perlaksanaan Hudud itu datangnya daripada Adun UMNO, padahal UMNO terbukti menyalahgunakan Agama untuk kepentingan Parti dan Kuasa, namun TGNA memberikan respon yang positif tanpa mengambil kira latar belakang kepartian. Kalau dilihat dari segi mileage politik, mungkin tindakan TGNA menunjukkan bahawa beliau menyokong tindakan UMNO, seteru kuat beliau sejak dahulu lagi. Malah, beliau sendiri amat berang dengan cadangan untuk mewujudkan "kerajaan perpaduan", iaitu cadangan yang melibatkan kerjasama UMNO-PAS. Namun, hal ini berbeza apabila melibatkan kepentingan Islam. Menunjukkan bahawa TGNA tidak pernah membelakangkan Islam melebihi kepentingan politik.

3. Politik untuk mencari pahala, bukan mencari harta.
        Apabila tujuan politik kita ialah Islam, maka sudah pasti yang dikejar adalah pahala dan keredhaan Allah. Sentiasa meletakkan Allah sebagai matlamat perjuangan. Walaupun tidak mampu berkorban harta demi perjuangan, untuk menjadikan perjuangan batu loncatan dalam memperbaiki taraf hidup adalah amat jauh, dan tidak sama sekali.

4. Politik Islam ialah politik yang paling berkesan dan bersifat sejagat.
        Sekiranya kita mengamalkan ISlam seluruh dan sepenuhnya, sudah pasti kita akan berpolitik dengan cara yang paling sihat dan pasti boleh diterima ramai. Mungkin, kalau ada yang menentang, puak-puak yang menentang tersebut adalah puak-puak yang berkepentingan dan tidak mahu menerima kebaikan yang mungkin akan menjejaskan kedudukan dan periuk nasi mereka. Terbukti dalam sejarah, ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, kebanyakan masyarakat Arab dapat menerima dakwah Nabi kecuali mereka yang mempunyai kepentingan tertentu. Apabila melihat pengaruh mereka terjejas disebabkan oleh kehadiran Nabi, maka  mereka memusuhi Nabi dengan memberikan label-label yang negatif dan berniat jahat kepada Nabi Muhammad SAW.

Akhir kata, marilah sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, berpolitik cara Islam, kembalilah kepada ajaran ISlam yang sebenar, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!.

Tuesday, June 19, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 6-

Destinasi seterusnya, KhalilurRahman. Yahudi menamakannya Hevron. Dinamakan KhalilurRahman sempena gelaran yang diberikan kepada Nabi Ibrahim A.S. yang jasadnya disemadikan di sini. Di sinilah terdapat sebuah masjid yang dinamakan Masjid Ibrahim (The Mosque of Abraham), menempatkan jasad insan agung, Nabi Ibrahim A.S bersama ahli keluarganya.

Di sini jugalah tempat berlakunya peristiwa hitam di mana umat Islam yang sedang mendirikan solat berjemaah di bunuh dengan kejamnya. Perjalanan mengambil masa kira-kira sejam untuk sampai ke Hevron, walaupun jarak antara Hevron ke Al-Quds hanyalah sekitar 20 batu. Perjalanan menjadi agak perlahan disebabkan kesesakan lalu lintas. Almaklum, ketika itu orang ramai berpusu-pusu keluar dari pejabat dan kelihatan juga pelajar sekolah yahudi sedang berkeliaran di jalan selepas tamat sesi persekolahan pada hari terebut.

Namun, hikmah jelas di sebalik perjalanan yang tersekat itu, kami dihidangkan dengan pelbagai cerita menarik mengenai Hevron, Masjid Ibrahim, kekejaman orang Yahudi. Ragam kesibukan orang-orang yahudi pula menjadi "background" kepada penceritaan yang disampaikan penuh bersemangat oleh Mr Kassim.

Baruch Goldstein, watak utama dalam kisah kejam yang tidak berperikemanusiaan. Kisah berlaku pada 25 Februari 1994, ketika umat Islam sedang menyambut perayaan, begitu juga masyarakat Yahudi juga menyambut perayaan mereka. Waktu itu, terdapat kira-kira 300 umat Islam yang menetap sekitar Hebron sedang menunaikan solat secara berjemaah. Baruch melulu masuk ke dalam Masjid, berpakaian tentera, lalu melepaskan tembakan secara rambang ke arah ratusan jemaah yang sedang menunaikan solat. Menurut saksi yang meliat kejadian tersebut, Baruch melepaskan tembakan seolah-olah dia mahu membunuh semua manusia yang ada di dalam masjid tersebut. Setelah kehabisan peluru, Baruch dengan muka puas dan bangganya bergerak melangkah keluar dari dewan utama masjid tersebut.

Terkejut dan berang dengan tindakan Baruch, beberapa orang muslim bertindak menyerang Baruch dan membelasahnya sehingga mati. Semoga Allah Ta'ala memberikan balasan yang setimpal ke atas Baruch. Serangan Baruch mengakibatkan 25 orang syahid, dan lebih seratus orang cedera.

Tindakan kejam Baruch menimbulkan reaksi yang pelbagai dari kalangan umat Islam di Hebron, di seluruh Palestin, malah seluruh dunia mengecam tindakan tersebut. Namun begitu, pihak Kerajaan Israel cuba meredakan kebangkitan rakyat Palestin, juga tekanan yang dikenakan oleh dunia Islam ke atas mereka dengan mereka-reka cerita kononnya Baruch mengidap penyakit mental dan serangan di buat tanpa sedar. Namun, alasan tersebut tidak dapat diterima sama sekali, bahkan bagi Umat Islam yang mengenali Baruch, serta parti Kach yang diwakilinya, sudah tentu tidak dapat memaafkan kesalahan tersebut malah yakin bahawa motif serangan adalah kerana permusuhan yang ketara antara orang Israel, khususnya Parti Kach (Ekstrem Yahudi) terhadap umat Islam.

Hasilnya, beberapa tunjuk perasaan dan protes dibuat di sekitar Bandar Hebron. Perang tercetus antara umat Islam Palestin dan tentera Yahudi yang membela tindakan dan kematian Baruch. Perang yang mencetus berlangsung selama 3 bulan, mengakibatkan 3 orang tentera Yahudi mati dan mengorbankan hampir 25 nyawa umat Islam. Namun, keadilan masih tidak berpihak kepada umat Islam, nyawa 25 orang umat Islam langsung tidak bernilai, malah umat Islam Palestin dipersalahkan kerana membunuh 3 orang tentera Israel. Malah, dua peristiwa BOM-BERANI-MATI yang dikatakan dilakukan oleh tentera Hamas, Briged Izzudin Al-Qassam mengakibatkan 15 orang Israel terbunuh dan puluhan lagi cedera.

Tentera Israel lalu menutup jalan keluar dan masuk ke bandar Hebron dan sekatan ketat dikenakan, mereka "mengurung" lebih 100 000 umat Islam di Hebron, dan Masjid Ibrahim juga ditutup sepenuhnya. Pemulauan dan sekatan dibuat sehingga hampir 5 bulan, malah Masjid Ibrahim tersebut pula ditutup selama 10 tahun, dibuka pada tahun 2005. Atas alasan menjaga keamanan dan keadilan, Masjid Ibrahim yang diasaskan pembinaannya dibina oleh Saidina Omar Al-Khattab ini dipecahkan kepada dua bahagian. Mengekalkan binaan asal bangunan masjid tersebut, Umat Islam diberikan ruang hadapan, termasuk bahagian yang menempatkan Maqam Nabi Ishaq dan Siti Rafiqah, dan sebahagian daripada Maqam Nabi Ibrahim dan Siti Sarah.

Kisah kejam dan menyayat hati tersebut membuatkan kami semakin tidak sabar untuk melihat sendiri rupa bentuk masjid tersebut, dan merasai atmosfera penindasan dan tekanan yang dihadapi oleh Umat Islam Palestin khususnya di Hebron tersebut.


Thursday, June 7, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 5-

Kami makan agak banyak ketika itu. Maklumlah, begitu banyak menu hidangan yang istimewa. Tentu sahaja akan berasa kerugian sekiranya tidak mencuba menu masakah penduduk Palestin. Antara yang kerap ditambah-semula oleh penjaga restoran tersebut ialah ayam panggang ala palestin dan kebab kambing yang dimasak menggunakan besi satay.


Saya antara yang paling akhir meninggalkan restoran, sebagai ketua rombongan saya diberikan minuman percuma yang berbeza daripada jemaah. Selesai menghabiskan minuman tersebut, saya terus ke laman restoran sambil menunggu jemaah selesai "meronda" di kedai yang terdapat di bawah restoran tersebut, bersama seorang jemaah, Haji Malek. Sedang asyik memerhatikan gelagat pelancong yang datang dari seluruh pelusuk dunia tersebut, tiba-tiba seorang lelaki yang tingginya melebihi 7 kaki datang menyapa saya dari depan.

"Hi, where are you come from? Are you from Malaysia?" sebut lelaki mat saleh tersebut sambil menghulurkan tangan berjabat tangan dengan saya.

"Yes, we came from Malaysia. Where are you from?" balas saya tersenyum sambil berjabat tangannya.

Rupanya, lelaki Mat Saleh yang tinggi lampai tersebut datang dari New York, Amerika. Melancong bersama teman-temannya yang juga mungkin telah selesai menjamu selera di situ. Sebelum kami menamatkan perbualan, dia semput menunjukkan tanda bagus kepada kami dan menyebut bahawa hubungan Amerika dan Malaysia sangat baik, "We are good friends, you know" katanya kepada kami.

Saya hanya tersenyum sambil memikirkan apakah yang sebenarnya dirujuk sebagai "friends" itu tadi. Namun, jauh di dalam hati saya, turut tersimpan sedikit rasa bangga kerana Negara Malaysia yang kerdil ini turut dikenali di seluruh dunia.

Jalan ke Al-Quds (jerussalam) yang dipenuhi kereta berplat kuning.


Lagi kereta berplat kuning. 


Setelah memastikan bilangan jemaah mencukupi, Mr Kassim membawa kami keluar daripada Bandar Ariha (Jericho) meneruskan perjalanan dan kembara kami di bumi Palestin. Di suatu persimpangan, beliau menunjukkan kepada kami, laut mati yang dikongsi bersama negara Jordan. Kelihatan Laut Mati yang sangat luas dan membiru terbentang tidak jauh dari bandar Ariha. Rupanya, Laut Mati sebenarnya lebih tepat dipanggil Tasik kerana kedudukannya yang terpisah daripada laut dan sepatutnya tergolong di kalangan kawasan air tawar, namun kerana kandungan garam yang tinggi, juga keluasan yang melebihi 650km persegi, kawasan ini lebih terkenal dengan panggilan laut mati.

Kami tidak diceritakan dengan panjang lebar mengenai kisah ajaib disebalik laut mati ini, kerana kami akan melawati laut mati ini ketika berada di Jordan. Lalu, kami meneruskan perjalanan ke Bandar Jerussalam, ibu kota Negara Palestin yang kini telah dirampas menjadi ibu kota  Negara Israel. Dahulunya, diceritakan, bahawa Negara Palestin merupakan pecahan daripada Negeri Syam, dan ibu kota Negeri Syam pada ketika itu ialah Jurussalam, atau Al-Quds.

Al-Quds merujuk kepada Baitul Maqaddis, iaitu rumah suci yang menempatkan Masjid Kedua di dalam Islam, dan Kiblat pertama bagi orang Islam. Yahudi dan Kritian juga mendakwa bumi inilah bumi pertama ajaran mereka dan kiblat pertama agama mereka.

Sebelum sampai ke Jerussalam, kami dibawa melalui sebuah lebuh raya yang melewati kawasan padang pasir. Didapati begitu banyak papan tanda arah yang menuju ke arah Maqam para Nabi dan pejuang yang disemadikan di sini. Benarlah kata Mr Kassim, selain menjadi kiblat pertama Umat Islam, Baitul Maqdis, atau Palestin ini merupakan bumi para Nabi dan juga bumi para Sahabat. Begitu ramai para Nabi dan Rasul yang membesar di sini, dan menamatkan riwayat mereka di sini. Malah dikatakan, daripada 126,000 orang Nabi yang pernah diutuskan oleh Allah ke bumi, sebahagian besarnya ialah di sini, bumi yang dahulunya dihuni oleh Bani Israel ataupun orang-orang yahudi yang ada pada hari ini.

Dakwaan orang Yahudi bahawa bumi ini ialah bumi nenek moyang mereka sebenarnya adalah benar dan tepat. Tiada yang dapat menafikan bahawa penghuni dan tuan asal bumi ini ialah Orang Yahudi. Tetapi mereka telah diusir oleh Kerajaan Rom yang memerangi habis-habisan orang Yahudi pada suatu ketika dulu. Sehingga mereka bertaburan di dunia. Bahkan, mereka juga mengkhianati para Nabi dan Rasul yang telah diamanahkan oleh Allah untuk menjaga bumi tersebut. 

Hari ini, orang-orang yahudi bermati-matian memperjuangkan agar bumi ini menjadi milik mereka sepenuhnya. Mereka merampas tanah dan memusnahkan kediaman orang Islam, mengusir mereka keluar dari bumi Palestin bahkan ada yang "dipenjarakan" di dalam penjara terbesar dan terzalim ciptaan Yahudi di bumi Palestin.

Dalam perjalanan tersebut, Mr Kassim menerangkan wilayah-wilayah yang dibahagikan antara orang-orang Yahudi dan Palestin. Terdapat lebih kurang 7 juta orang Yahudi di Negara Israel dan lebih kurang 3.4 juta orang Palestin yang terbahagi kepada Tebing Barat dan Gaza. Jurussalam, atau Al-Quds pula terletak ditengah-tengah pembahagian wilayah tebing barat dan Negara Haram Israel.

Dari dalam bas, kami ditunjukkan beberapa "pusat tahanan" termasuk kem Orang Badwi Palestin yang sangat dhaif. Malah, pusat tahanan orang Palestin tersebut, dibinakan tembok batu yang sangat tinggi, dilengkapi sistem pencegah pencerobohan yang mengelakkan "tahanan" keluar dari pusat tahanan tersebut. Kononnya, orang Palestin suka memberontak dan suka membuat kacau bilau, dan orang yahudi pula mendakwa diri mereka diancam keganasan orang Palestin.

Tembok "tahanan" yang memenjarakan orang Palestin di bumi Palestin sendiri.

Kami ditunjukkan juga, bahawa diskriminasi yang dikenakan terhadap orang Palestin bukan sahaja pada tanah dan tempat kediaman, malah orang-orang Palestin menerima tekanan dan disekat daripada bebas bergerak. Nombor plat orang yahudi berwarna kuning, sementara orang-orang palestin berwarna hijau dan putih. Manakala, untuk masuk ke Jurussalam, hanya plat kuning sahaja yang dibenarkan. Sampai di suatu simpang, Mr Kassim menunjukkan laluan yang khusus untuk orang yahudi Mala'oun sahaja yang dibenarkan masuk. Kami masuk ke simpang tersebut kerana bas tersebut merupakan bas pelancong yang memiliki plat berwarna kuning, tanda perjanjian dengan kerajaan Israel. Walaupun berat, namun kami terpaksa kerana hanya itu pilihan yang ada.

Ke kanan ialah jalan ke Al-Quds, selain daripada Plat berwarna kuning tidak dibenarkan melalui jalan ini.

Kami meneruskan perjalanan sehinggalah masuk ke sebuah terowong. Mr Kassim menyambung lagi cerita diskriminasi berpanjangan yang dikenakan kepada orang-orang Palestin di bumi Palestin. Ketika menghampiri penghujung terowong, Mr Kassim menyebut, "Dear Friends, when we reach at the end of this tunnel, please look at your left, you'll be seing the Masjidil Aqsa and the dome of the rock. Please look at your left," kata Mr Kassim.

Kami menanti dengan penuh debaran untuk melihat sendiri rupa Masjid Al-Aqsa dan Kubah Sakhra yang dikatakan kiblat suci umat Islam. Mr Kassim membacakan sekali lagi ayat pertama dari Surah Al'Isra' menceritakan betapa Allah Ta'ala melindungi dan memberkati bumi para Nabi dan Rasul A.S ini.
Kubah Sakhra (Dome Of the Rock)(Kubah Emas) dan Banguna Masjid Al-Aqsa (Kubah kelabu)


"Allahu Akbar" tempik Mr Kassim, serentak disambut oleh para jemaah, "Allahu Akbar," kami mengulangi takbir dengan begitu gembira dan terharu, akhirnya dipertemukan dengan kiblat pertama umat Islam. Tempat yang pernah dikunjungi Nabi Muhammad SAW ketika dalam peristiwa Isra' dan Mikraj. Bumi yang pernah dihuni oleh Nabi Ibrahim, Nabi Musa, Nabi Harun, bahkan sejarah Nabi Isa juga banyak tercatat di sini. SubhanaLlah. Indahnya kubah As-Sakhra dilihat dari lebuhraya tersebut, di tengah-tengah kota Baitul Maqdis.

Antara puluhan, malah ratusan gereja yang terdapat di sana.
Namun, pandangan yang indah tersebut segera dicacatkan oleh puluhan gereja yang terbina disekelilingnya. Puluhan menara jam bersalib dibina disekeliling Masjid Al-Aqsa dan bumi Jerussalam itu. Turut mengisi pemandangan kami ialah masyarakat yahudi Orthodox yang berkeliaran di merata-rata tempat. Itulah kali pertama saya melihat orang-orang yahudi orthodox, dan ketika itulah baru saya rupanya inilah orang-orang yahudi orthodox. Yahudi Orthodox membentuk kira 1% daripada keseluruhan orang-orang yahudi di Negara Haram Israel. 



Orang Yahudi Orthodox di sekitar bandar Jerussalam.

Antara Yang Menarik