Taybah
Ilmu Itu Cahaya...
Sunday, April 29, 2018
Antara 3 Calon Perdana Menteri
Ulama, Kejora yang tetap bersinar....
Tapi, kita pada hari ini, sebenarnya tidak mengalami masalah dalam mengakui bahawa kebenaran adalah milik Allah, dan disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, kita pada hari ini berhadapan dengan masalah huraian kebenaran dan huraian petunjuk yang disampaikan kepada kita, berturutan daripada para Sahabat RA, bersalasilah sehinggalah kepada para Ulama' pada hari ini.
Disebabkan metodologi pemikiran ulama yang berbeza, maka huraian pengikutnya juga berbeza, maka tidak hairanlah kita pada hari ini mempunyai perbezaaan kefahaman dan penerimaan atas sesuatu ketetapan, sekalipun bersumberkan ayat dan hadith yang sama.
Inilah antara hikmah, Al-Quran, sebagai petunjuk yang menjadi mukjizat kekal hingga hancurnya bumi ini, menetapkan perkara-perkara pokok yang tetap dan boleh difahami dengan mudah, begitu juga hukum-hukum yang sebahagiannya amat jelas dan boleh difahami dengan jelas, sebahagian yang lain pula, memerlukan kepada huraian dan terdapat pula perbahasan yang panjang lebar dari kalangan Ulama yang ahli dalam bidang tersebut.
Pengajarannya ialah, Al-Quran meraikan kepelbagaian manusia, dan manusia selagi berpegang dengan dalil yang jelas dari Al-Quran dan Hadith, dengan interpretasi yang tidak menyalahi mana-mana bahagian dari kedua dalil yang tersebut, insyaAllah akan terselamat daripada bahaya "terkeluar" dari jalan yang lurus.
Justeru, dapat difahami dengan jelas, bahawa Ulama yang dikatakan Ulama itu, bukanlah mereka yang menulis beberapa buku hasil pemikiran kritis dan kreatif mereka semata-mata, kerana ribuan Ulama yang telah melepasi zaman mereka, mendalami Al-Quran dan Hadith secara seluruhnya, dan kitab-kitab yang mereka nukilkan memuatkan semua bahagian dalam Al-Quran dan Hadith..
Ulama, bukan calang-calang manusia. Sekalipun mereka berbeza pandangan, perbezaan itu lahir daripada penelitian luar biasa mereka terhadap ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadith. Bukan dari satu dua ayat, atau satu dua buku yang terdapat di pasaran. Untuk menghasilkan satu pandangan apalagi satu karya buku yang mantap dan padat dengan ilmu agama, usahanya bukan calang-calang dan bukan calang-calang orang mampu menyelesaikannya...
Saya merakamkan tulisan ini sebagai ingatan kepada diri saya dan teman-teman yang lain betapa hebat dan tingginya keilmuan para Ulama, begitu juga ustaz-ustaz yang telah mendidik ummah, menyampaikan ilmu agama kepada kita pada hari ini. Perbezaan pendapat dari kalangan mereka tidak boleh sama sekali dipandang remeh, apalagi digunakan untuk menyalahkan satu puak dengan puak yang lain.
Selagi mereka ada hujah dan dalil, disandarkan dengan Al-Quran dan Al-Hadith, maka ada kewajaran dan seharusnya pandangan mereka dihormati, sekalipun tidak mahu dituruti...
Sejujurnya, "mendengar" pandangan itu mudah, "Menurut" dan "melaksanakan" pandangan itu susah. Susah bukan kerana kefahaman yang berbeza, tetapi susah kerana nafsu dan iman yang berbeza...
Saturday, October 14, 2017
Gema Zikir & Munajat
![]() |
| Program edisi PERTAMA, berjaya mengumpulkan 176 peserta Pelajar Sekolah Rendah, dibantu oleh lebih 20 orang Fasi dan urusetia, program dengan kerjasama Masjid UTP... |
![]() |
| Ini pula program Kedua, pengisian dan sasarannya sama, iaitu Pelajar Sekolah Rendah, penyertaan lebih 150 orang peserta |
![]() |
| Ni Edisi ke-empat, ada 3 kelainan utama program ini iaitu pertama dibuka kepada semua peringkat umur, ada jemputan ustaz @ artis, dan penginapan berkhemah juga dibuka kepada semua... |
Friday, April 8, 2016
Dilema Pendidikan Negara: DLP satu lagi malapetaka pendidikan Malaysia.
Institusi Pendidikan Negara bakal menghadapi satu lagi detik sukar dengan pelaksanaan Prorgram DwiBahasa (DLP). Tentu sekali isunya bukanlah semata-mata kerana ia melibatkan bahasa penjajah, walaupun itu sebenarnya cukup untuk kita berhenti terlalu mengagungkan bahasa inggeris. Soal literasi dan medium perantaraan dalam proses pengajaran dan pembelajaran dalam kelas juga, sebenarnya turut menjadi antara faktor utama kenapa program ini perlu dihentikan.
Namun, persoalan paling penting ialah, ke mana sebenarnya hala tuju pendidikan Negara yang semakin caca merba disebabkan pelbagai perubahan sistem yang mendadak sedangkan, sebelum ini PPSMI sendiri dihentikan kerana terbukti kegagalannya?
Apa yang diperlukan oleh rakyat, khususnya anak-anak yang berada di bangku sekolah pada ketika ini bukanlah sistem baru yang mencelarukan. Sebaliknya pengukuhan kepada sistem sedia ada, dan memberikan penekanan kepada aspek pembentukan rohani, jasmani, dan fizikal anak-anak, sebagai tambahan kepada aspek intelektual yang sudah sekian lama dijadikan keutamaan.
Bahasa Inggeris telah menjadi subjek WAJIB lulus di peringkat sekolah menengah. Jika sekalipun ianya penting, tindakan yang lebih bijak ialah dengan menambah pelaburan untuk mempertingkatkan penguasaan di peringkat guru dan murid-murid di samping menambah baik sistem penilaian supaya tidak terlalu bergantung kepada apa yang berada di atas kertas. Natijah kepada kebergantungan ke atas kertas ini, ialah murid-murid hanya akan tahu membaca dan menulis, tetapi lemah dalam berkomunikasi. Ditambah dengan faktor guru yang “membatalkan” niat murid-murid untuk bercakap dalam bahasa inggeris, menjadikan Bahasa Inggeris bukan sahaja ketinggalan dari segi angka di atas kertas, malah literasi komunikasi dalam bahasa itu turut terjejas.
Saya simpati dengan nasib yang menimpa anak-anak pada masa kini. Mereka terpaksa dibebankan dengan latihan, malah masa lapangnya diisi dengan pelbagai program akademik seperti kelas tambahan dan sebagainya. Sedangkan ruang untuk mereka meneroka alam ini mengikut kemampuan deria dan akal mereka amat terbatas. Apalagi disajikan pula dengan gajet yang semakin mengasingkan mereka dari dunia sebenar.
Namun, ibu bapa tidak mempunyai pilihan kerana dunia kini adalah dunia perlumbaan. Sesiapa yang terlambat akan ketinggalan. Bertambah malangnya, yang ketinggalan ini akan semakin dilupakan dan dikesampingkan. Lihatlah apa yang terjadi kepada anak-anak yang berada di kelas-kelas yang terkebelakang. Mereka bukan sahaja tertinggal pelajaran, malah ditinggalkan pula oleh sistem pendidikan Negara yang kononnya ingin membangunkan potensi.
Maka ibu bapa tidak diberikan pilihan lain, terpaksa memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan, menghantar anak-anak untuk ke kelas tambahan, pagi, petang, malam dan hujung minggu. Inilah hebatnya anak-anak masa kini dibandingkan dengan anak-anak dahulu.
Justeru, perkara yang perlu menjadi keutamaan Kerajaan, khususnya kementerian pendidikan bukanlah mengubah atau mencipta sistem baru. Sebaliknya mengukuhkan dan memberi nilai tambah kepada sistem pendidikan yang ada, supaya tidak terlalu kejam dalam pelaksanaan dan penilaian. Kita menyaksikan keruntuhan dan kerosakan pada Institusi Pendidikan apabila hilangnya rasa hormat murid kepada ibu bapa, murid kepada guru, ibu bapa kepada guru, malah masyarakat umumnya kepada guru. Bimbang, akan luput pula rasa kasih dan sayang guru kepada murid-murid.
#bantahDLP
Mohd Farid Bin Hamlud
Pengerusi Lajnah Pendidikan Pas Parit,
Guru Besar SRITI AT-TA'ALIM, Seri Iskandar,
Pengarah Urusan Pusat Latihan & Pendidikan Taybah
Rakyat Malaysia
Saturday, March 26, 2016
Meneruskan misi...
Sunday, June 7, 2015
Tragedi Jun Kuala Selangor
Alhamdulillah, ini adalah kali pertama saya menghadiri sepenuhnya Muktamar Pas Pusat, dan kali pertama menghadirinya sebagai perwakilan. Pendirian saya, mewakili apa yang telah diamanahkan oleh kawasan. Saya melaksanakan tugas mengikut kehendak kawasan, kerana mereka yang menugaskan saya untuk menjadi perwakilan.
Jika sebelum berlangsungnya pemilihan, ahli dan pimpinan Pas seolah terbahagi kepada tiga, hijau, merah dan putih. Golongan hijau tegas mempertahankan Presiden dan maruah Pas, tidak seinci pun batang tubuh presiden dan nama baik Pas yang dibiarkan diusik tanpa mereka membelanya. Mereka sanggup berkerat rotan dengan Rakan dalam Pakatan Rakyat kerana dilihat memperkotak-katikkan Pas. Golongan merah pula, mereka yang tidak mempedulikan batang tubuh presiden. Premis mereka, Pas bukan perjuangan individu, seluruh kepimpinan Pas wajar untuk sama-sama berkongsi dan bertukar pandangan. Memperkukuhkan perjuangan Pas dengan bersama-sama dalam Pakatan Rakyat.
Golongan Putih, mereka yang sayang pada Presiden, namun mereka juga tidak mahu melihat Pas memilih jalan yang salah. Mereka tidak mahu berpihak, namun golongan hijau melihat keengganan golongan putih untuk mempertahankan Tuan Guru Presiden, mendedahkan Presiden kepada bahaya.
Saya suka nak keutarakan 2 pihak lagi yang tidak terlihat dalam pertembungan kali ini. Bagi saya, 3 golongan di atas, kesemuanya sayangkan PAS. Mereka punya pandangan berbeza, namun keinginan mereka adalah sama, memperjuangkan Islam dengan Pas sebagai wadah.
Namun, 2 golongan yang tidak begitu diambil berat, ialah yang pertama, Tuan Guru Presiden itu sendiri. Beliau ibarat air, jernih tidak berwarna. Beliau pada pandangan saya mahu bersama Pakatan Rakyat dan mahu bekerjasama dengan DAP. Beliau sendiri sedar bahkan merasai kelebihan apabila kita mempunyai rakan yang sama-sama memperjuangan kebenaran dan keadilan. Bahkan beliau yang mencadangkan Pas bertahaluf sejak awal dahulu. Namun, satu-satunya perkara yang beliau tidak akan berkompromi, ialah soal prinsip dan dasar.
Beliau boleh menerima jika DAP dan PKR tidak boleh menerima Hudud sebagai agenda Pakatan Rakyat. Tapi, beliau tidak boleh benarkan PKR atau DAP menghalang niat dan cita-cita Pas untuk melaksanakan syariat Islam. Begitu juga soal prinsip dalam bertahaluf, mesti ada kesepakatan dan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi kepentingan parti apalagi individu. Jika perkara-perkara ini tidak terabai dalam Pakatan Rakyat, saya yakin, Tuan Guru akan sentiasa memberikan kerjasama yang sangat baik dalam setiap keputusan. Saya rasa, kebanyakan kita telah tersalah faham tindakan Tuan Guru Presiden.
Malangnya, dalan pertembungan kali ini, pihak ke lima, golongan hitam, yang masih tidak kita ketahui asal-usul dan rupa bentuk mereka, pihak yang menjadi batu api, dan merencanakan permusuhan terhadap keempat-empat golongan di atas.
Terhadap Presiden, mereka katakan bersekongkol dengan UMNO. Golongan Hijau dikatakan Taksub dan konservatif, golongan merah dikatakan sekular dan liberal. Golongan putih pula dipaksa untuk berpihak, dan setengah mereka memilih hijau dan setengah mereka dinampakkan seolah berpihak kepada merah. Hasilnya, yang menang menjadi arang, yang kalah menjadi abu, sama-sama terluka.
Lalu, mereka beroleh kemenangan yang pertama. Luka antara hijau dan merah semakin besar dan merebak. Kuman fitnah menjadikan luka semakin membengkak. Golongan putih yang pada asalnya hanya mahukan pendamaian diheret untuk turut sama dalam pertikaian.
Dengan media baru, masing-masing menghalakan kata-kata yang tidak enak kepada rakan dan sahabat seperjuangan masing-masing. Dahulunya pernah tidur sebantal, makan sedulang, berkongsi sel tahanan, menghidu asap dan gas fru, berlari, berceramah dan segala-galanya bersama. Kini, semuanya mengikut pihak dan sentimen masing-masing.
Ini tragedi jun di Kuala Selangor.
Seluruh ahli dan rakyat amat berharap agar ribut ini lekas reda.
Untuk mengalahkan dan menggagalkan perancangan golongan hitam ini, tidak boleh dengan hanya kita menuding apalagi menyangka. Tindakan kita sepatutnya pada ketika ini ialah berdiam diri dan meneruskan gerak kerja seperti biasa. Saya yakin kebenaran akan terserlah. Allah sayangkan mereka yang ikhlas bekerja. Mereka yang bertaqwa, Allah akan membantu memperelokkan gerak kerja dan mengampunkan segala dosa. Barangsiapa yang mentaati Allah, mereka itulah sebenar-benar orang yang berjaya dengan kejayaan yang paling agung.
3 perkataan yang mampu menyelamatkan kita semua,
I love u...
uhibbukum fillah..
Mohd Farid Bin Hamlud
Ketua Penerangan Pemuda
Pas kawasan Parit.
7 Jun 2015.
Thursday, June 4, 2015
Amanah terhadap rakyat lebih besar berbanding amanat PM.
Menyedari tekanan yang semakin tinggi terhadap kewibawaannya Perdana Menteri, para pemimpin kerajaan, khususnya para Menteri perlu sddar bahawa amanah rakyat jauh lebih penting untuk difikirkan berbanding amanat daripada seorang PM yang juga merupakan rakyat Malaysia.
Najib juga adalah rakyat Malaysia yang wajar mengikut proses dan sistem keadilan. Perlu dibicarakan dan diadili seadil mungkin oleh proses undang-undang Negara Malaysia. Laporan yang telus adalah sangat perlu untuk memastikan beliau ada Perdana Menteri yang bersih daripada tuduhan penyelewengan yang dilemparkan ke atasnya.
Selaku Perdana Menteri kepada rakyat Malaysia, Najib wajat bertanggungjawab sepenuhnya ke atas segala tindakan beliau.
Menteri-menteri juga perlu sedar, amanah rakyat yang telah memberi mandat kepada Barisan Nasional. Negara ini milik rakyat Malaysia, bukan milik Perdana Menteri, apalagi bukan milik Barisan Nasional. Takutlah akan azab Allah yang menanti mereka yang zalim dan tidak berlaku adil, pada hari tiada kerajaan selain kerajaan Allah yang memiliki segala bentuk kerajaan di langit dan di bumi.
Laporan 1MDB perlu dibentangkan secara telus, dan rakyat pasti akan menilai dan menjatuhkan hukuman yang setimpal kepada pemimpin yang melakukan kesalahan.
Mohd Farid B Hamlud
Prime Care Malaysia
Klang, 4 Jun 2015.
Antara Yang Menarik
-
Adakah kalian semua setuju dengan pernyataan di atas? Barangkali ada yang setuju, iaitu mereka yang berfikir selangkah kehadapan. Namun pa...
-
Topik Baitul Muslim(BM) ini merupakan topik yang tergolong dalam senarai topik-topik sayur. Kenapa sayur? Mungkin kerana kebanyakan tumbuhan...
-
Yang mulia Tun, Sebenarnya saya telah lama terfikir untuk menulis surat ini. Saya telah termenong berfikir bekali-kali tentang baik burukn...
-
Dipetik dari blog Bila Bunga Melayang AL-FATIHAH MOGA ROH AS-SYAHID IBRAHIM MAHMOOD DICUCURI RAHMAT Mengimbau kembali p...
-
Inilah rupa dapur bilik yang saya gunakan untuk membuat Unta Panggang Albariti. Ramuan: Daging Unta SEGAR setengah kilo.(kat Mekah ni ...






