Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, February 16, 2010

Walau di mana berada, keluarga tetap di hati...

...My Happy Family...


Mak dan Ayah saya, duduk atas kerusi paling kiri(Ayah sedang memangku kakakku yang sulung).

Mak dan Ayah saya, sebelah kiri Baris kedua dari atas.


Kali ini, ringkas sahaja pesanan En Otak kepada diri. Ingatlah orang-orang yang tersayang.

Walau di mana sekalipun kita berada, walau sehebat mana pun kita, siapalah kita tanpa keluarga. Kita tidak akan dapat berjaya sekiranya kita tidak mendapat sokongan daripada keluarga kita. Apalagi sekiranya kita tidak mendapat keredhaan dan restu daripada Ibu dan Bapa kita.

Tanpa kasih dan sayang ibu bapa kita, sudah pasti hidup ini akan menjadi tersangat sukar dan mencabar. Belum ada suatu benda pun yang dapat digantikan dengan keluarga. Wang dan harta semuanya boleh dicari, tetapi keluarga kita hanya satu, dan satu-satunya di dunia ini.

Kepada Mak dan Ayah, maafkan anakmu yang nakal ini. Tiada aku tanpa kasih dan sayangmu. Segala jasa dan pengorbanan Mak dan Ayah, hanya Allah yang mampu membalasnya.

Ya Allah, kasihanilah ibubapaku sebagaimana mereka mengasihi ku sewaktu kecilku hingga aku dewasa.

Friday, February 12, 2010

Kerajaan Bertanggungjawab Ke Atas Segala Maksiat Yang Berlaku Sepanjang 14/2.

Bermula di awal bulan Februari, telah rancak kedengaran kempen-kempen sambutan 14/2 yang lebih dikenali sebagai Hari Kekasih atau Valentine's Day. Dari segi istilah, saya lebih bersetuju sekiranya diterjemahkan Valentine's Day kepada Hari Valentine supaya kekeliruan terhadapnya dapat dikurangkan. Selain daripada menghalalkan yang haram dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat, Hari Valentine ini juga boleh membawa kepada salah laku agama dan saya yakin ramai yang lebih arif mengenainya.

Bagi saya, menolak Hari Valentine sama sekali tidak bermaksud menolak "romantik" dalam berpasangan dan berkasihan. Apalagi untuk menolak budaya memberi hadiah kepada mereka yang kita sayang. Bahkan Islam terlebih dahulu mengutamakan hal-hal yang sedemikian. Seperti di dalam sebuah hadith Nabi yang menyebut, "Siapa yang tidak mengasihi orang lain, dia tidak akan dikasihi".

Islam menganjurkan penganutnya supaya sentiasa berkasih-kasihan antara satu sama lain. Bahkan kasih-sayang di dalam Islam adalah rentas ras dan warna kulit. Konsep persaudaraan yang sejagat tidak membataskan umat Islam untuk melahirkan rasa kasih dan sayang sesama umat Islam. Islam meletakkan batas semata-mata untuk menjaga kehormatan umatnya supaya maruah dan keturunan dapat dipelihara dengan baik. Selagimana konsep dan kaedah berkasih-sayang yang diamalkan itu tidak melanggar batas yang ditetapkan oleh Islam, maka sambutlah kekasih anda walau diluar 14/2.

"Siapa yang tidak mengasihi orang lain, dia tidak akan dikasihi".
Dalam hal ini, saya menyalahkan Kerajaan Malaysia 100% kerana gagal mengawal rakyat dalam isu 14/2 ini. Masyarakat tidak dididik untuk menghayati agama masing-masing sehingga pegangan agama menjadi longgar dan cenderung untuk mengamalkan budaya hidup yang bebas dan tidak terkawal.

Kempen mengenai 14/2 ini dilihat lebih rancak daripada kempen Larangan Merokok, malah demonstrasi hiburan sempena 14/2 ini dihalalkan dan digalakkan penganjurannya. Adakah kerajaan sudah tidak berkuasa untuk mengawal bahan-bahan penerangan sehingga kandungan penerangan itu dilihat semakin melampau batas.

The Star misalnya, pernah menyiarkan hebahan mengenai sambutan ini secara melampau dan tidak terkawal. Maka peranan kerajaan adalah perlu dalam memantau perkara ini, bukan sahaja dalam hal-hal yang berkaitan dengan 14/2 bahkan banyak lagi isu-isu lain yang perlu ditangani secara serius. Kerajaan mempunyai kuasa dalam mentadbir dan menguruskan rakyat, maka setiap kesalahan dan kehancuran yang berlaku di kalangan rakyat adalah berpunca daripada kegagalan kerajaan yang memerintah.


Tuesday, February 2, 2010

Adil dan Telus: Bacaan Dunia dan Akhirat.

Beberapa hari kebelakangan ini berlaku terlalu banyak peristiwa yang berkaitan dengan urus-tadbir sama ada yang melibatkan kerajaan Malaysia, kerajaan Negeri bahkan di UKM sendiri berlaku krisis urus tadbir.

Namun begitu, dalam tulisan saya pada kali ini, saya akan memberi penumpuan yang lebih kepada krisis urus-tadbir di UKM kerana konteksnya yang lebih kecil. Hakikatnya perkara urus tadbir ini bersangkutan dengan pelbagai jenis krisis yang berlaku dalam masyarakat dunia ini umumnya, dan Malaysia ini khususnya.

Pertamanya, apabila menyentuh mengenai aspek urus tadbir, sebagai seorang Muslim, kita perlu melihat dalam konteks kita sebagai hamba yang ditugaskan sebagai khalifah yang bertanggungjawab dalam segala urusan hidup kita. Setiap jawatan yang kita pegang, akan disoal satu-persatu di hadapan Allah di Hari Akhirat kelak. Adil dan telus jika dibaca mengikut bacaan akhirat, adalah melakukan sesuatu urusan dengan pertimbangan yang tepat dan jujur serta sesuai dengan kehendak dan nilai-nilai Islam. Masalahnya, bagaimanakah adil dan telus ini menurut bacaan dunia?

Justeru persoalan mengenai urus tadbir yang baik perlulah difahami dan dihayati dengan sebaiknya supaya kadar kerosakan akibat krisis urus tadbir dapat dikurangkan. Urus tadbir merupakan proses bagaimana sesuatu keputusan itu dibuat dan bagaimana keputusan itu dilaksanakan (atau tidak dilaksanakan). Manakala urus tadbir yang baik pula didefinisikan sebagai satu sistem pentadbiran yang telus, bertanggung jawab, adil, demokratik dan responsif kepada kehendak rakyat.

Kesalahan utama masyarakat dalam memahami konsep urus tadbir yang baik ini ialah menganggap takrifan "baik" sebagai mempunyai makna yang abstrak dan implementasi yang pelbagai. Maka, baik dinilai dari sudut peribadi semata-mata tanpa melihat kepada ciri-ciri teknikal tentang apa yang dikatakan sebagai urus tadbir yang baik.

Telus misalnya, bukanlah bermaksud kudus dan memuaskan hati semata-mata. Sebaliknya telus ialah apabila rakyat serta segala komponen dalam pentadbiran tersebut berupaya mengetahui dan memahami dengan jelas bagaimana sesuatu proses dan keputusan dibuat dan dilaksanakan. Urusan kewangan misalnya, tidak terhenti sekadar memilih ahli yang pakar atau beramanah untuk menguruskan akaun, bahkan setiap aliran keluar masuk duit atau aset perlulah diketahui oleh setiap individu juga entiti yang terlibat.

UKM masih gagal dalam bab ketelusan apabila tuntutan untuk membentangkan akaun kegiatan pelajar masih gagal dipenuhi sehingga sekarang. Seingat saya, ketika saya menjadi Naib Yang DiPertua Persatuan Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan (07/08) hal ini telah dibangkitkan. Malah saya sendiri bertanyakan soalan ini kepada Dato' Wahid, TNC ketika itu dalam satu perjumpaan bersama pemimpin-pemimpin persatuan Mahasiswa. Malangnya, sehingga sekarang akaun kegiatan pelajar UKM masih menjadi misteri nusantara yang gagal dijelaskan statusnya. Untuk rekod, sekurang-kurangnya RM 50,000 dimasukkan setiap tahun, ditambah dengan segala jenis pemasaran yang dilakukan dengan susah payah oleh Mahasiswa sendiri. Namun, aliran keluar masuk akaun ini seolah-olah menjadi milik mutlak pentadbiran UKM yang angka sebenar kandungannya dirahsiakan.

Merujuk kepada rajah "Good Governance" di atas, kedaulatan undang-undang juga menjadi indikator penting dalam menentukan urus tadbir yang baik. Kedaulatan undang-undang ialah apabila undang-undang mengatasi semua individu dan tiada individu yang terlepas daripada undang-undang. Dalam konteks undang-undang, hak asasi manusia perlulah dipelihara terutamanya mereka yang lemah dan ditindas. Sekiranya undang-undang sedia ada tidak melindungi kaum yang lemah dan ditindas, undang-undang ini dianggap GAGAL.

Undang-undang juga boleh dikaitkan dengan sistem yang mengatur urusan pentadbiran. Maka, dalam konteks ini, tiada individu atau kelompok yang dikecualikan daripada mengikut sistem yang sedia ada. Jika kita perhatikan, UKM sekali lagi gagal dalam soal ini apabila kelompok yang dianggap "anti-establishment" sering gagal dalam mendapatkan hak mereka sama ada di kolej mahupun di peringkat pusat sendiri. Hak untuk bersuara dan berpersatuan juga dinafikan melalui Sistem Penilaian Kompetensi Generik (SPKG) yang secara jelas mendatangkan keuntungan untuk sesetengah pihak dan kerugian untuk pihak yang lain.


Pilihanraya Kampus yang telah berlangsung di UKM baru-baru ini telah memperlihatkan kegagalan yang Maha Dahsyat UKM dalam soal urus tadbir ini. Bermula daripada proses membubarkan PMUKM sehinggalah kepada proses pengumuman keputusan, secara jelas menunjukkan urus tadbir UKM perlu dirawat dengan segera. Mahasiswa yang sepatutnya menjadi pemain utama dalam proses pilihanraya ini dinafikan hak untuk terlibat secara langsung dalam proses pilihanraya ini, apabila mereka hilang hak untuk diwakili dan mewakili secara bebas dan tidak dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak sihat.

Elemen ugutan, penafian hak wakil calon semasa tempoh pengundian dan pengiraan, juga ketidak-telusan pentadbiran dalam mengumumkan keputusan telah menimbulkan pelbagai reaksi yang tidak senang di kalangan Mahasiswa. Malangnya, berdasarkan pengalaman saya sepanjang 5 tahun di UKM ini, semangat untuk mengubah dna merawat keadaan ini selalunya akan luntur dan tidak berpanjangan. Hanya sebilangan kecil sahaja Mahasiswa yang sanggup untuk bersengkang mata dan bertungkus-lumus dalam memperjuangkan isu ini secara konsisten setiap tahun.
Kedaulatan undang-undang ialah apabila undang-undang mengatasi semua individu dan tiada individu yang terlepas daripada undang-undang. Dalam konteks undang-undang, hak asasi manusia perlulah dipelihara terutamanya mereka yang lemah dan ditindas. Sekiranya undang-undang sedia ada tidak melindungi kaum yang lemah dan ditindas, undang-undang ini dianggap GAGAL.
Saya sendiri, terlibat dalam membuat tuntutan selama 4 tahun berturut-turut. Malah tuntutan saya ini juga adalah kesinambungan tuntutan abang-abang dan kakak-kakak saya terdahulu semenjak AUKU dan sistem baru pilihanraya kampus diperkenalkan. Rakan-rakan saya yang kini sedang berentap dengan "jentera kerajaan" juga sedang menyambung perjuangan ini. Saya yakin, mereka sedikitpun tidak akan gentar, semangat mereka juga akan terus membakar.

Namun, mereka sangat-sangat memerlukan sokongan seluruh warga UKM sama ada di kalangan Mahasiswa mahupun kakitangan akademik sendiri untuk bersatu mengubah dan merawat keadaan UKM yang semakin kritikal ini. Sedarlah bahawa setiap daripada kita akan dipertanggungjawabkan ke atas setiap tindakan dan amalan kita. Malah diam kita juga akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Oleh itu, jangan mendiamkan diri, bangun dan bersatu Memimpin Perubahan!

Monday, February 1, 2010

Bulan Pertama Yang Penuh Kontroversi, Bagaimana dengan bulan-bulan mendatang?

Kita baru sahaja melepasi bulan pertama untuk tahun 2010. Walaupun hanya sebulan, tetapi rentetan peristiwa yang berlaku ke atas dunia ini seolah berbulan-bulan lamanya. Terasa lama mungkin disebabkan oleh begitu banyak peristiwa yang melukakan dan sukar untuk dilupakan.

Dunia digemparkan dengan gempa bumi di Haiti, Malaysia digemparkan dengan isu Kalimah Allah, bahkan di merata-rata tempat berlaku pelbagai kegemparan yang membimbangkan. Dalam masa yang sama, golongan penindas terus dengan penindasan. Pejuang kebenaran terus vokal menyuarakan pandangan, yang muda terus hanyut dengan arus dunia, sedang yang berpeluk tubuh, asyik dengan keseronokan masing-masing. Solusi yang pada hakikatnya perlu dicari dan digali sesegera mungkin pula dilihat seakan menjauh dari capaian manusia.


Walaupun baru sebulan berada di tahun baru, gegaran dan getarannya semakin membimbangkan. Malaysia bakal memulakan bulan ini dengan keputusan Mahkamah berkaitan perlembagaan Negeri Perak yang akan menentukan sama ada maruah "kedaulatan undang-undang" di Malaysia ini terus diperkosa atau sebaliknya. Golongan muda pula berhadapan dengan sesi kepimpinan baru di kampus masing-masing yang semuanya dipenuhi misteri dan kontroversi.

Semoga penantian untuk melihat kebenaran ditegakkan berakhir dalam masa yang terdekat.

Friday, January 29, 2010

PRK 2010, Kemenangan Mahasiswa ditangguhkan lagi...

AlhamduliLlah, segala puji bagi Allah Ta’ala yang memiliki segala yang berada di langit dan di bumi. Tiada satu perkara pun yang akan terlepas daripada pandanganNya. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih menyambung nyawa untuk berada di pentas dunia yang penuh dengan mehnah dan tribulasi.

25 Januari 2010 merupakan tarikh penamaan bagi proses pilihanraya kampus di UKM. Setiap tahun, seluruh warga UKM akan meraikan “perayaan” peralihan kepimpinan tertinggi Mahasiswa. Seluruh jentera pentadbiran UKM daripada pembantu am di pejabat sehinggalah kepada pegawai-pegawai keselamatan akan dikerah untuk terlibat dalam proses demokrasi kepimpinan di peringkat Mahasiswa.

Tiga hari diperuntukkan kepada semua pihak yang bertanding untuk berkempen dan memasarkan diri masing-masing dalam usaha meraih undi daripada Mahasiswa-mahasiswa UKM. Sekiranya proses demokrasi ini berlaku secara adil, maka keputusan yang diumumkan pada 28 Januari(semalam) akan menjadi penentu terhadap selera sebenar Mahasiswa UKM. Mahasiswa keseluruhannya akan menjadi pengadil dalam menentukan calon mana yang lebih layak bergelar pemimpin di kalangan mereka.

Dalam suasana demokrasi yang tulen, Mahasiswa perlu mempunyai hak untuk diwakili dan mewakili. Kita perlu mengakui bahawa perlu ada ketua di kalangan Mahasiswa yang mampu memimpin dan mewakili Mahasiswa keseluruhannya. Tidak cukup sekadar itu, pemimpin ini perlulah menjadi suara sebenar Mahasiswa yang mampu mewakili hak dan kepentingan Mahasiswa secara berkesan.

Sekiranya kita beranggapan bahawa Mahasiswa yang ada pada masa kini sebagai bakal pemimpin Negara pada masa akan datang, maka kita seharusnya mengambil berat proses yang dialami oleh Mahasiswa dalam tempoh kematangan mereka. Malangnya, semasa di kampus Mahasiswa disajikan dengan suasana yang penuh dengan penipuan dan penindasan. Kesempitan ruang dan peluang yang tersedia menyekat potensi dan penjanaan minda di kalangan Mahasiswa. Proses yang dialami Mahasiswa kini, akhirnya hanya akan mendatangkan kerugian kepada kerajaan dan masyarakat pada masa akan datang.

Power is corrupt, Absolute power corrupt absolutely. (kuasa membawa kepada kemusnahan, kuasa yang mutlak akan membawa kemusnahan yang mutlak) Justeru, Mahasiswa sendiri perlu bangkit mengubah keadaan mereka sendiri. Tiada siapa yang akan dapat membela nasib Mahasiswa sekiranya Mahasiswa sendiri berpeluk tubuh.

Sekiranya perubahan tidak dilakukan sekarang, sudah semestinya kebobrokan yang ada akan terus menyempitkan dan menindas potensi dan keunggulan Mahasiswa.

Sunday, January 3, 2010

Penggunaan Kalimah Allah dan kegagalan Najib.

Assalamualaikum.

Renungkan ayat ini, "Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku berlindung kepada (Allah) Pemulihara sekalian manusia' ", (An-Nas, 114:1)

Bahkan bagi mereka yang beragama Islam wajib menyebutkan ayat ini, "Segala Puji Bagi Allah, Tuhan seru sekalian Alam", sebanyak 17 kali sehari semalam. Maka perlu membulatkan keyakinan dalam hati bahawa Allah Ta'ala, Tuhan Yang Maha Esa, tiada Tuhan yang layak disembah melainkan Dia, dan Dialah Tuhan sekalian umat manusia.

Oleh yang demikian, perkataan Allah Yang Maha Mulia, juga adalah milik semua. Bahkan semua manusia perlu sedar bahawa Allah adalah Tuhan Yang Maha Esa.

Keputusan Mahkamah jika dilihat pada satu sudut, ianya akan mendatangkan komplikasi yang negatif terutamanya apabila ianya disalahgunakan. Namun, Najib sebagai orang No 1, dalam 1 Malaysia yang dipimpinnya ternyata gagal menangani isu ini secara berkesan apalagi untuk membawa konsep perpaduan dokongannya itu dalam menyelesaikan masalah ini dengan menggunakan kaedah yang terbaik.

Sebagai ketua kerajaan, Najib perlu sedar yang dia sebenarnya memiliki kemampuan yang jauh lebih besar daripada sekadar menggunakan kuasa politik dan jawatan yang ada padanya. Isu ini perlu ditangani secara ilmiah dan akademik. Saya yakin, sekiranya isu ini ditangani secara ilmiah melalui dialog atau penerangan yang berkesan, masyarakat bukan Islam akan menerima dengan hati yang terbuka mengenai pendirian dan kefahaman Islam yang tegas tetapi fleksibel ini.

Saya melahirkan rasa simpati saya kepada seluruh masyarakat bukan Islam di Malaysia kerana mereka tidak berpeluang untuk mengenali Islam secara lebih jelas dan menurut pandangan yang sebenar. Sekiranya Najib dan bala pemimpinnya gagal menangani isu ini dengan cara yang berkesan, 1 Malaysia dokongannya bukan sahaja akan berdepan dengan perpecahan, bahkan kebencian yang tidak sepatutnya berlaku masyarakat bukan Islam terhadap Islam dan umatnya.

Daripada bertempik dengan tidak tentu hala, lebih baik menumpukan tenaga untuk memberi kefahaman kepada masyarakat Bukan Islam mengenai Allah Yang Maha Esa, yang Menghidupkan dan Mematikan semua makhluk dan manusia. Lebih teruk daripada itu, bertempik dan mendabik dada mengatakan Allah Ta'ala Tuhan Orang Melayu. Saya berlepas diri dari kejahilan orang-orang Melayu yang jahil ini.

Semoga Allah Ta'ala memberikan bimbingan dan petunjukNya kepada saya dan kita semua.

"Sesungguhnya kata-kata yang paling benar adalah kata-kata Allah Yang Maha Mulia"

Lagu Varsiti Kita - UKM

Lihat Kampusku Yang Tenang,
Damainya alam ciptaan Tuhan,
Paduan ilmu dan keimanan,
Amal dan jerih digabungkan,
Lautan ilmu kita harumkan,
sumber ilmuan berkembangan,

Inilah varsiti kita,
Ditengahkan hasrat rakyat kita,
Dari mula untuk semua,
Bagai tanda perjuangan kita,

Bangun berbakti membela,
Memupuk insan jiwa bertaqwa,
Memimpin manusia semua,
Kenal akan adat unggulnya,
Membina negara sentiasa Maju Berilmu dan Bahagia.

Antara Yang Menarik