Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, November 11, 2010

Sepuluh Hari... - Gambar Guangzhou, Shenzhen dan Hongkong.

Klik pada gambar untuk paparan "Saiz Asal"

Perabot Jalan yang menghiasi sepanjang jalan utama di Guangzhou. ("perabot" ialah istilah yang digunakan untuk sebarang objek tambahan jalan raya)

Bunga-bunga dihias dengan begitu cantik membentuk pelbagai corak.
Menziarahi Makam Saad Bin Abi Waqqas di Guangzhou.

Makam-makam lain di Kompleks Makam Sa'ad Bin Abi Waqqas R.A.. Keterangan terperinci gagal diperolehi kerana masalah bahasa... :-)

Bersama saudara-saudara muslim menikmati Teh Cina yang dihidangkan secara percuma kepada para pengunjung Kompleks Makam tersebut.

Perigi yang dikatakan berusia 1300 tahun dibina oleh Sa'ad bin Abi Waqqas R.A.

Laman Kompleks yang sangat cantik, bersih dan nyaman.

Suasana di dalam Masjid selepas solat Zuhur.

Teruja melihat saudara-saudara muslim dari Negara China.

Taman Bunga di Kompleks Makam.

"Wah, tangkap gambar tak tunggu aku!" jerit budak kecik tu barangkali.

Seorang lelaki muslim yang ditemui di Wan Ling City, menjual kulit haiwan.

Pemandangan malam di Plaza Tol Di Guangzhou.

Bergambar pada waktu pagi di Guangzhou.

Malam di Beijing Street di Guangzhou.

Di tepi Pearl River

Beratur menunggu giliran menaiki kapal, Pearl River Cruise.

Di dalam Kapal River Cruise.

Di Tingkat 3, mengambil gambar pemandangan.

Di Bee House of Guangzhou.

Di Shenzhen. (lupa plak nama jalannya). Tempat membeli belah.

Bergambar di Taman Window Of The World, Shenzhen.

Bersama En Affandi, di belakang kami bangunan2 di WIndow Of The World, memuatkan bangunan-bangunan dan simbolik tempat-tempat berprestij dunia.

Leng Chai.

Berjumpa dengan saudara seakidah yang menjual Kacang Keras.. (sempat pulak diorang mintak ditangkapkan gambar)

Di Avenue, Hong Kong.

Di restoran Muslim, Hong Kong.

Pemandangan dari dalam Bas, melalui Jambatan Terpanjang Di China

Di Hongkong Disneyland. Bila agaknya Mickey Mouse tu nak jatuh??

Keretapi yang membawa pengunjung mengelilingi Hong Kong Disneyland

Wednesday, November 10, 2010

Sepuluh Hari... - Gambar Bandung

Dalam pesawat menuju ke Jakarta.

Keluarga Haji Mohd Taib + Keluarga Darul Mubarak.

Laman homestay di Pesantren Darut Tauhid. Gambar diambil sekitar jam 7 pagi.

Di Masjid Darut Tauhid, Di sinilah A'a Gib selalu menyampaikan kuliahnya. A'a Gib merupakan pengasas dan pengetua Darut Tauhid.

Suasana pagi di Gegerkalong, lorong terletaknya Darut Tauhid

Sarapan pagi di salah sebuah Homestay Darut Tauhid.

Iklim yang agak sejuk membolehkan pokok-pokok yang cantik ini tumbuh dengan subur.

Bersama En Shahrul, Pegawai Operasi Darul Mubarak Cawangan Ipoh.

Tiga Beradik dan anak saudara di Gunung Berapi Tangkuban Perahu, Bandung. 
My beutiful Sisters and my nephew.

Di salah sebuah sudut bergambar yang terdapat di Kawah Ratu, Gunung Berapi Tangkuban Perahu.



Di salah sebuah tempat bergambar, tenang dar pedagang-pedagang yang jauh lebih ramai daripada pengunjung.

Haih~ Tak habis2 gambar dia ni la!


Antara teruna yang menyertai rombongan, dari kiri, Ust(to-be insyaAllah) Adib, En Shahrul, Dr (to-be InsyaAllah) Falihin. Dinner di Cafe Darut Tauhid.

Malam terakhir, berjalan-jalan di sepanjang jalan Gegerkalong, Jagung bakar dan macam-macam dijual di sini. Tengok aja pak.

Dalam bas, perjalanan pulang ke Bandara Soekarno-Hatta. Cowok yang ganteng gitu.

Suasana biasa keadaan lalu lintas di Bandung.

Pemandangan sepanjang lebuh raya ke Jakarta, Padi Bukit yang di tanam bertingkat-tingkat.

Salah satu papan tanda di Darut Tauhid.

Tuesday, November 9, 2010

Sepuluh Hari...

Sudah bersawang laman ini ditinggalkan. Hampir 2 minggu laman ini tidak dikemaskini, walaupun banyak yang terlintas di hati dan akal untuk ditulis, namun kekangan masa dan tenaga menyebabkan blog ini menjadi suram dan tidak bermaya. Sepuluh hari yang lepas, saya tidak berada di Malaysia. Cuma sehari ditengah-tengahnya, itupun di atas jalan dan di bandaraya menyelesaikan beberapa urusan kerja. Duniawi sungguh...

Memang, hakikatnya, saya sudah dewasa dan mula menempuh bahkan sudah menemui jalan permulaan jalan cerita kehidupan saya yang tersendiri. Susah dan senang yang akan berlaku selepas ini, semuanya terletak atas bahu saya, mahu atau tidak saya perlu tetap menggalasnya. Ini fitrah yang Allah Ta'ala tetapkan ke atas setiap manusia. Masing-masing akan mempunyai tanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat, bangsa, negara dan lebih-lebih lagi yang paling utama ialah terhadap agama.

Sepuluh hari yang lalu dimulakan dengan trip melancong ke Jakarta/Bandung, Hari Keluarga Syarikat Darul Mubarak Travel n Tours Sdn Bhd. Hampir kesemua kakitangan dan pekerja syarikat termasuk agen-agen yang diberikan tawaran harga istimewa pergi bersama rombongan seramai 52 orang, menaiki 3 pesawat berbeza.

4 Hari di sana, kami pulang ke Malaysia pada tanggal 2 November, berlepas pada jam 8.30 malam(waktu tempatan), tiba di LCCT jam 11.30 malam(juga waktu tempatan). Keesokan harinya separuh hari bekerja, dan malamnya terus ke LCCT membawa rombongan seramai 21 orang ke Guangzhou-Shenzhen-Hongkong. Negara ke-4 dan ke-5 selepas Indonesia, Arab Saudi, dan Bangladesh yang saya kunjungi sejak memulakan khidmat di tempat kerja saya yang baru ini, Darul Mubarak Travel n Tours Sdn Bhd.

AlhamduliLlah, rombongan ke China begitu mengujakan. Pengalaman berjumpa dengan saudara-saudara muslim, melihat pemandangan dan suasana yang jauh berbeza dengan yang ada di Malaysia menjadikan tempoh 5 hari begitu panjang dan sangat bermakna buat saya. Kami cukup beruntung kerana, berbetulan dengan tarikh kami melancong ke China, Guangzhou menjadi tuan rumah untuk Sukan Asia 2010, yang dijadualkan bermula pada 12 November. Seluruh bandar Guangzhou diserikan dengan hiasan jalan daripada pokok-pokok bunga yang cantik dan menarik, lampu-lampu pelbagai warna dan replika tikus, simbolik kepada wilayah Guangdong.

Keadaan trafik yang dikawal dengan begitu rapi juga keadaan bandar yang dijaga sepenuhnya oleh sukarelawan yang digajikan oleh Kerajaan untuk menjaga kebersihan dan keselamatan sepanjang tempoh temasya sukan terbesar Asia itu berlangsung.

Pelbagai tempat menarik yang kami lawati termauk menaiki kapal menyelusuri Pearl River, sungai yang tercantik dan memiliki sejarah tersendiri di Guangzhou. Pemandangan malam Bandar Guangzhou yang indah dan bercahaya mengisi perjalanan selama 90 minit di atas kapal setinggi 3 tingkat itu. Melalui 7 jambatan yang merentasi sungai yang selebar hampir 200 meter. Kedinginan malam, cuaca sejuk dan tiupan angin menjadikan ianya pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Seterusnya hari ke-3, kami ke Shenzhen, Bandar Ekonomi pertama di China sejak era kejatuhan ekonomi rakyat China sekitar tahun 1980-an. Rakyat China menganggap 10 tahun, bermula tahun 1974 hingga 1984 merupakan 10 tahun gelap bagi rakyat China. Polisi Kerajaan Komunis Republik China begitu menyesakkan dan memberi tekanan hidup kepada seluruh rakyat China. Dikatakan pada temph tersebut, setiap rakyat hanya diberi gaji sama rata sebanyak 300 yuen sebulan, sedang setahun hanya semeter kain yang mampu dimiliki, dan setengah kilo daging seorang setiap bulan.  

Akhirnya, mereka bangkit dari ketinggalan dan kini menjadi kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia. Diramalkan, dalam beberapa tahun akan meninggalkan Amerika Syarikat.

Shenzhen merupakan syurga bagi mereka yang gemar membeli-belah( ini bukan ayat saya, pinjam dari orang lain). Di Shenzhen terdapat puluhan ribu outlet yang menjual barang-barang dengan harga yang sangat murah. Pakaian, barangan kulit, perkakas elektrik, gajet elektronik dan macam-macam lagi yang terkini dan canggih terdapat di Shenzhen. Dua hari di sana sudah pasti tidak cukup untuk diteroka semua jenis peluang perniagaan yang ada di sana. 

Antara yang menarik, alarm kereta yang dimuatkan dengan kamera kecil yang boleh merakam video. Begitu juga pen yang boleh merakam video. Teknologi tercanggih pada harga yang sangat berpatutan.

Kemudian, hari terakhir kami, di Hong Kong, negara kecil yang suatu ketika dulu ditadbir oleh British, kemudian diserahkan kepada China pada tahun 1997. Kesan mendalam yang ditinggalkan oleh British jelas kelihatan pada struktur budaya dan bangunan-bangunan tinggalan British. Jika di China, hampir kesemuanya tidak faham bahasa Inggeris, namun di Hong Kong, hampir kesemunya boleh bertutur dengan bahasa penjajah, yang juga menjadi bahasa "kebanggaan" pemimpin Kerajaan Malaysia.

Pulau besar Hong Kong sebenarnya dikelilingi oleh ribuan plau kecil yang sangat cantik indah. Dalam perjalanan kami dari Imgresen ke Pusat Bandar Hong Kong, kami sempat berhenti di Avenue, untuk mengambil gambar pemandangan tepi pantai. Lautnya hijau, meski berdekatan dengan pelabuhan. Jauh nak dibandingkan dengan Pulau Pangkor, walaupun menteri besar menyandang jawatan di situ, keadaan pantainya busuk dan kotor. Berbeza di Hong Kong,keadaan air lautnya cantik, hijau, bersih, tidak berbau, malah selamat untuk memancing. Kebetulan saya melihat sendiri seorang kaki pancing menaikkan ikan di Avenue tersebut.

Perjalanan kami ke China dan Hong Kong, diakhiri dengan lawatan ke Hong Kong Disneyland, taman tema yang besar dan menarik (untuk budak2 je boleh la). Di pintu masuknya tertulis, "Here you enter today, to the world of tomorrow, yesterday anda the world of fantasy". Memang menarik. (sekali lagi, untuk budak2 belasan tahun ke bawah).

Semuanya menarik, kerana semuanya baru bagi saya. Termasuklah makanan China Muslim yang sangat enak dan pelik. Sungguh sihat kerana begitu banyak sayur yang dihidangkan, beserta teh cina yang tidak sampai 20 ml isipadunya. 

Akhirnya, sepuluh hari tamat di LCCT, jam 12.40 pagi, 9 November 2010. Kembali meneruskan kehidupan di Malaysia. Tentu sekali, Malaysia yang terbaik, walaupun Satu Malaysia menerima nasib buruk dalam PRK pada kali ini, namun perjuangan di bumi tumpah darah ini akan tetap diteruskan. 

Apalagi kalau hati sudah ditambat di sini, ke mana jauh pun pergi, ke sini juga kembali... 

Seronok memanglah seronok, tetapi sebenarnya tidak semudah yang disangka. Tapi inilah yang dikatakan adat hidup, susah dan sesal dahulu pendapatan, senang dan untung kemudian... InsyaAllah.

p/s:gambar bakal menyusul kemudian.

Monday, October 25, 2010

Mini Islamic State: Mempopularkan kebenaran.


Mungkin ada yang pernah berkata, "Zaman sekarang susah nak cari orang yang jujur. Masing-masing akan berlumba mengejar dan menjaga kepentingan masing-masing. Jika kita jujur dan tidak menipu kita akan ditindas," Malah tidak sedikit pula yang mempercayainya. Falsafah yang dipopularkan oleh P Ramlee dalam Filem "Masam-masam Manis", adegan Ramli ditipu oleh seorang gadis di sebuah kedai makan. 


Benar, kata-kata ini popular dan semakin menular. Tetapi saya masih menanam harapan, kata-kata ini bukan kata-kata yang sebenar. Saya yakin bahawa masih ada yang jujur dan tidak mementingkan diri yang hidup di kalangan kita pada hari ini. Masih ada lelaki yang tidak suka mempermainkan orang lain. Berpolitik untuk menyelesaikan masalah, bukan untuk menghalalkan yang salah. Masih ada ramai wanita yang memiliki harga dan maruah diri. Mahal dan sedikitpun tidak mampu digugat oleh harta benda apalagi kata noda dan nista.


Masih ada pemimpin politik yang benar-benar ikhlas memperjuangkan nilai yang didokonginya. Masih ramai anggota pihak berkuasa yang menjalankan amanah sebaiknya. Masih ramai guru-guru yang bersedia berkorban dan bersungguh mendidik anak bangsa, masih ramai yang tidak terpengaruh dengan dosa yang dipahalakan, neraka yang disyurgakan...


masih ramai yang tidak terpengaruh dengan dosa yang dipahalakan, neraka yang disyurgakan...

Masalahnya berpunca daripada istilah "popular" itu sendiri. Tentu ramai yang sudah terbiasa dengan modul Titik Hitam yang dilukis pada sehelai kertas putih. Jika ditanyakan apa yang kita lihat? Maka respon awal kita ialah, "saya melihat ada satu titik hitam pada sehelai kertas putih," Kemudian kita dididik bahawa sudah menjadi kebiasaan bagi manusia untuk peka dan prihatin terhadap kesalahan, walaupun kesalahan itu hanyalah setitik di tengah-tengah jutaan kebenaran dan keindahan yang ada.

Begitulah halnya yang sedang berlaku sekarang. Perkara-perkara negatif walaupun sedikit, ianya menjadi tarikan perhatian masyarakat, justeru popular dan mendapat tempat dalam medium-medium penerangan. Walhal yang baik dan positif itu juga masih banyak. Media memainkan peranan menceritakan dan menyajikan laporan serta bahan-bahan  yang hanya menarik perhatian, iaitulah yang negatif dan jauh dari kebenaran.

Lama kelamaan, nilai yang negatif ini, walaupun pada asalnya tidak diterima oleh masyarakat, menjadi neutral bahkan akhirnya menjadi "positif" mengikut bacaan dan pandangan semasa. Minat untuk berfesyen misalnya, dahulu dipandang jelek dan janggal dalam masyarakat. Model-model yang memperagakan pakaian diberikan gelaran-gelaran yang tidak enak kerana begitu sekali mereka memandang dan menilai dunia peragaan. Sekarang, model-model ini diangkat dan semakin diberikan tempat. Walhal, tidak sedikitpun "kesenonohan" mereka bertambah berbanding model-model terdahulu. Hanya kerana ianya popular, akhirnya yang salah dibenarkan.

Rasuah juga dibenci dan menjadi musuh utama masyarakat. Asal sahaja diketahui, maka rosak dan hancurlah kariernya sama ada sebagai tokoh sosial, ekonomi, teologi, apalagi politik yang memegang amanah dan tanggungjawab rakyat. Malangnya, disebabkan amalan rasuh ini semakin popular dan istilah "hadiah" dan "wang saku" digantikan untuk memberikan imej yang lebih friendly, maka amalan ini membarah dari sebesar-besar posisi sehinggalah ke sekecil-kecil entiti dalam masyarakat. Permohonan wang zakat juga boleh dipercepatkan dengan wang pengurusan, apalagi wang-wang yang gagal dikenal pasti sumber dan statusnya.

Maka, jalan selamat untuk mengelakkan diri daripada dipengaruhi oleh "populariti" yang menyesatkan ini ialah mewujudkan suasana Islam, atau dengan kata lain menubuhkan negara Islam yang mengawal segala bentuk doktrin dan aktiviti warganya. Di sinilah fungsi yang dimainkan oleh sesebuah persatuan atau organisasi Islam, iaitu menjadi alternatif kepada Negara Islam yang masih belum dibentuk secara fizikal.

Sebab itulah, Kaleem Siddiqui menyatakan bahawa Gerakan atau Jemaah Islam ini sebenarnya adalah sebuah Negara Islam Mini(Mini Islamic State) yang tertegak di dalamnya nilai-nilai Islam yang syumul. Pemimpin gerakan Islam bertanggungjawab mengawal persepsi dan aktiviti ahlinya supaya sentiasa meletakkan keutamaan Allah Ta'ala dan RasulNya di hadapan dan tertinggi di dalam setiap tindakan dan amalan.

Berada di dalam Gerakan Islam, mempopularkan kebenaran. Kebenaran menjadi popular dan kebenaran inilah yang diamalkan. Cuba kita lihat bagaimana perilaku seseorang ketika bersama dengan Gerakan atau Persatuan Islam, berbanding keadaannya di luar Gerakan atau Persatuan Islam itu tadi. Ternyata, kebenaran dan kebaikan yang diamalkan dalam Gerakan Islam itu menjadi popular dan kebenaran itulah yang diamalkan. Sekembalinya ke dunia nyata, nilai-nilai yang tadinya dominan sudah tidak lagi major malah langsung diketepikan, semakin dia berjauhan, semakin tipis iman semakin kurang amalan. Nilai-nilai bukan Islam pula yang popular dan sekiranya tapisan dan dinding yang ada padanya nipis dan rapuh, maka dengan mudah doktirn populariti yang menyesatkan tadi menembusi jiwa dan pemikirannya.

Saya yakin, kerana saya berada dalam sebuah gerakan Islam, di kalangan kami masih ada ramai lelaki idaman dan wanita pilihan yang masih terpelihara serta jauh dari doktirn dan aruhan pemikiran yang menyesatkan. Bagi saya dan mereka, apa yang benar menurut pandangan Tuhan, itulah yang popular dan itu jugalah yang kami amalkan. Apa yang salah menurut pandangan Tuhan, itulah yang lapuk dan itu jugalah sejak awal-awal lagi kami tinggalkan dan kami jauhkan. Pencerahan di kalangan kami sentiasa berlaku kerana di dalam Mini Islami State ini, kami mempopularkan kebenaran.

Dunia semakin menuju kehancuran, dan kehancuran itu bermula apabila manusia putus harapan terhadap usaha pemulihan dan perubahan. Maka, janganlah berhenti daripada mencari dan cuba menjadi harapan untuk perubahan dan kebenaran. Kerana sesungguhnya, janji Allah itu benar dalam kitabNya,

Dan katakanlah:" Telah datang kebenaran (Islam), dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap", Surah al-Isra', 17:81. 

Saturday, October 23, 2010

Hikmah Kembara di Nanggroe Acheh Darussalam

AlhamduliLlah, pengalaman dan hikmah kembara yang begitu banyak dan tinggi nilainya di wilayah yang sedang pulih dari bencana, Nanggroe Acheh Darussalam. Pada awalnya agak berat untuk berangkat, respon daripada mereka yang pernah ke Acheh, perjalanannya tidak seperti destinasi popular lain di dunia seperti China dan Negara-negara Eropah mahupun Timur Tengah. Namun, atas komitmen kerja, kaki disusun berbekalkan azam untuk bermusafir melihat kebesaran Allah Ta'ala yang diciptakan untuk mereka yang bersyukur. (macam pernah dengar lirik ni kan?)

Perjalanan ke Acheh bermula pada pagi Ahad, jam 11.55 pagi, penerbangan di LCCT menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, dan mendarat dengan selamat jam 12.20 tghari. Saya mendapat tempat duduk di sisi tingkap. Sebaik sahaja memakai tali pinggang keselamatan, langsung saya menumpukan sepenuh perhatian dan pandangan ke luar tingkap memerhatikan keadaan dan pemandangan. Begitu pramugari memberikan penerangan, tidak sedikit mengalih perhatian saya.

Sungguh asyik saya memerhatikan keadaan muka bumi Malaysia. Sebaik sahaja melepasi kawasan laut, pemandangan sudah mulai kosong dan kelopak mata mulai memberat. Tiba-tiba, pengumuman pramugari mengejutkan saya dari tidur. Rupanyaa, hampir sejam saya lena. Langsung saya melemparkan pandangan keluar tingkap, SubhanaLlah, rupa dan warna langit sahaja sudah begitu indah. Cerah dan sangat segar! 

Pemandangan bumi Acheh dari sisi tingkap Kapal Terbang Air Asia begitu memukau. Buminya menghijau lautnya membiru, dari atas dapat dilihat kedudukan tulang-belulang Bukit Barisan yang menjadi pasak kepada bumi yang dahulunya dikenali sebagai Samudera Pasai. SubhanaLlah. Cinta pandang pertama!!  

Sesampai di Lapangan Terbang, kami disambut oleh Pak Jack, atau nama panjangnya Jackzaharul yang bekerja sebagai Free Lance Tour Guide sekitar Acheh, Medan, Surabaya dan macam-macam tempat lagi di Indonesia.

Semenjak 2005, setelah diberikan Autonomi Luas oleh Kerajaan Republik Indonesia, Acheh dikenali sebagai Nanggroe Acheh Darussalam. Dahulunya digelar “Serambi Mekah” dan kini digelar “Syariat Islam”. Ternyata bumi ini sangat diberkati kerana tanahnya yang subur dan persekitarannya yang cukup menakjubkan. Pemandangan yang indah menghiasi perjalanan 7 jam kami dari Lapangan Terbang yang terletak berdekatan dengan Banda Acheh ke Daerah Lhok Seumawe yang terletak di sebelah timur kepulauan Acheh.

Kami menempuh perjalanan sejauh 350 km melewati kawasan pergunungan Bukit Barisan, menelusuri kampong-kampung dan pecan-pekan yang terdapat di Acheh. Perjalanan yang sungguh padat diisi dengan pelbagai informasi yang menarik mengenai Acheh, Indonesia, rakyatnya, dengan keadaan muka bumi dan social yang cukup berbeza dengan Malaysia.

Acheh mempunyai penduduk yang mempunyai peratusan Muslim terbesar di Indonesia. Hampir 95% dan di sesetengah kawasan mencatatkan 100% muslim. DI sana, semua wanita dan perempuan wajib memakai tudung sebagai tanda dia seorang Muslim. Jika tidak memakai tudung maka hukum ke atasnya ialah Kafir. (Superb!!)

Kegiatan utama rakyat Acheh masih lagi pertanian, dan agak tradisional. Di sana belum ada jentera yang digunakan secara meluas. Jika adapun hanyalah jentera bajak menggantikan kerbau itupun hanya di sesetengah tempat. Bersawah secara gotong-royong menjadi amalan kelaziman rakyatnya. Jika sampai tempoh menuai padi, mereka akan tolong-menolong menuai dari satu petak ke satu petak walaupun yang dituai itu bukanlah petak miliknya. Untuk memproses padi, mereka gunakan mesin bergerak. Dari rumah ke rumah, mesin itu di bawa menaiki motor yang disambung dengan gandar dan dibawa ke seluruh kampong. HEBAT!!

Acheh merupakan bumi yang suatu ketika dulu menjadi pusat pemerintahan Kerajaan Islam Samudera Pasai. Kerajaan Islam pertama di Asia Tenggara, dibuka pada kurun ke-12, 300 tahun sebelum Kerajaan Islam Melaka dibuka oleh Sultan Muhammad Syah (Parameswara) pada tahun 1511. Merah Silau, ataupun dikenali dengan Nama Malikus Saleh Merah Silau merupakan Sultan Pasai yang pertama dan pengasas kerajaan Islam Samudera Pasai yang telah melebar dan meluas pengaruhnya di Asia Tenggara. Bahkan Wali Songo juga dikatakan berasal dari Acheh dan menuntut dengan ‘alim Ulama’ yang berada di Acheh.

Di Lhok Seumawe inilah terletaknya makam Malikus Saleh, raja yang bertanggungjawab mengasaskan kerajaan Islam Samudera Pasai, bersama kaum kerabatnya. Makam beliau terletak bersebelahan dengan Makam Anak Sulungnya, Sultan Zahir. Begitu banyak sejarah dan kehebatan Kerajaan ini. Allah Ta’ala memuliakan beliau, ketika berlakunya Tsunami, kawasan kompleks Makam beliau dinaiki air setinggi 3 meter, namun makamnya dan kubur-kubur yang berada di sekitarnya sedikit pun tidak terjejas. Bahkan batu tanda kubur para Syuhada dan pahlawan Kerajaan Islam Samudera Pasai yang terletak berhampiran makam Malikus Saleh ini juga tidak terjejas semasa berlakunya Tsunami yang mengorbankan hampir 220 000 nyawa.

Acheh juga terkenal dengan bencana Tsunami yang melanda wilayah itu di penghujung tahun 2004. Jika ditanyakan kepada warga Acheh, kebanyakannya masih ingat, seawall jam 7 pagi, bumi Acheh bergema dengan gempa bumi yang kuat. Selang 5 minit dari gempa bumi yang kuat tersebut, berlakunya gelombang tsunami yang pertama yang tidak berapa kuat. Disusuli beberapa saat kemudian gelombang kedua seterusnya gelombang ketiga yang jauh lebih kuat berbanding gelombang pertama. Dikatakan, semasa gelombang pertama air naik setinggi 2 meter, tetapi ketika golombang kedua air dikatakan mencecah sehingga 2 pohon kelapa atau setinggi 30 meter tinggi sehingga menenggelamkan rumah-rumah malah bukit-bukit juga ada yang hapus dilewati air tsunami ini.

Sehingga ke hari ini, masyarakat Acheh belum dapat melupakan kejadian yang berlaku. Semasa berada di salah sebuah Pondok (di Indonesia dikenali dengan nama Pesantren) Darussalam, salah seorang mangsa Tsunami yang terselamat menceritakan detik-detik kecemasan ketika berlakunya Tsunami tersebut. Muliadi Ariffin, yang terselamat bersama-sama adik-adiknya telah kehilangan ibunya dalam nahas itu. Ketika kejadian berlaku, setelah berlakunya gempa, dia dan penduduk berada dalam kebingungan dan bertempiaran lari. Masing-masing menyelamatkan diri masing-masing. Ibu melupakan anak, anak juga melupakan emak, masing-masing berada dalam kecemasan dan tidak mampu berfikir apa-apa selain menyelamatkan diri sendiri. Ketika gelombang pertama datang, ramai yang sempat berlari menuju ke kaki bukit dan gunung yang terletak kira-kira 1 km dari kampong tersebut.

Ketika Muliadi bercerita, salah seorang di kalangan kami mencelah, “Ketika kamu melarikan diri, ibumu berada di mana?” soalan yang agak keras diajukan kepada Muliadi.

Sambil tertunduk Muliadi menjawab, “Ibu di dalam rumah tidak sempat melarikan diri, kami adik-beradik pula hanya bertemu 5 hari selepas kejadian.” Jawab Muliadi.

Sebak dada kami mendengar ceritanya. Begitu terperinci dan detail cerita yang disampaikan oleh Muliadi, seolah baru semalam peristiwa itu berlaku. Semoga Allah merahmati roh-roh mereka yang terkorban dalam bencana alam itu.

Di suatu kampong, di pertengahan jalan dari LapanganTerbang ke Lhok Seumawe, terdapat sebuah kawasan yang menempatkan 30 000 mangsa yang ditanam di dalam satu lahad. Di kawasan tersebut dibina sebuah arca yang tertulis ayat 82 surah Yasin, “Hanya sanya perintah Allah itu, apabila Dia mengkehendaki sesuatu, jika Dia berkata KUN FAYAKUN (‘Jadi’ maka jadilah ia)”. SubhanaLlah.

Ternyata ujian yang Allah Ta’ala kenakan kepada saudara-saudara seakidah kita di Acheh sangat berat. Bahkan ada yang kehilangan seluruh kaum keluarga, hidup sebatang kara. Lebih menyedihkan, kampong halamannya juga sudah tiada kerana ditenggelami air. Allahu Akbar!! Derita yang mereka lalui, sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk membina kembali Negara dan tanah air yang mereka sayangi. AlhamduliLlah, keadaan di wilayah Islam pertama Asia Tenggara itu sudah semakin pulih walaupun parut yang ditinggalkan oleh Tsunami 2004 begitu besar dan hampir mustahil untuk dihilangkan.

AlhamduliLlah, perjalanan yang memberikan hikmah yang sangat banyak. Didedahkan dengan sejarah pemerintahan Kerajaan Islam samudera Pasai, dibawa melawat ke tempat-tempat bersejarah, melawat ke kawasan-kawasan bencana Tsunami, dan juga mengembara di sepertiga kawasan Acheh dari Barat ke TImur melihat kajadian Alam dan kebesaran Tuhan yang Maha Agung dan tiada tandingannya.

Antara yang menarik, kami di bawa ke Maka Sheikh Abdurrauf AlFansuri atau dikenali dengan Syiah Kuala. Terletak di pesisir pantai, namun komplek makamnya bersama pengikut-pengikutnya langsung tidak terjejas. Begitu juga Masjid Baiturrahim yang terletak di tepi pantai. Masih elok, walaupun bangunan-bangunan lain yang terdapat di kawasan tersebut habis musnah kesemuanya dihentam ombak Tsunami yang sangat ganas. Begitu juga Masjid tertua di Acheh dan Asia Tenggara, Masjid Baiturrahman. Semua orang yang berlindung di dalam masjid tersebut terselamat dari bencana. Mereka yang berada di dalam Masjid menyaksikan sendiri air naik setinggi masjid namun hanya tempiasnya sahaja yang masuk ke dalam masjid. Langsung tidak terjejas dan menyelamatkan semua yang berada di dalamnya, termasuk seorang Non-Muslim berbangsa Cina ketika itu.

Diceritakan, ketika berlakunya Gempa, ada yang menjerit, “Siapa yang berlindung di dalam Masjid akan selamat!”

Maka dia pun turut mengikut orang-orang yang berlari masuk ke dalam Masjid. Kegerunan dan keganasan Ombak Tsunami dilihat secara langsung semasa berada di dalam Masjid tersebut. Lalu, selepas berlalunya ombak tsunami itu, dia melihat orang-orang ramai melakukan sujud syukur dan bertakbir memuji Allah. Dia juga turut melakukan perkara yang sama walaupun dia sendiri tidak mengerti apa yang dibacanya. Setelah kejadian itu, dia memeluk agama Islam, bahkan seluruh kaum keluarganya juga memeluk Islam. SubhanaLlah.

ROmbongan seramai 11 orang dari Darul Mubarak Travel n Tours berakhir pada pagi Rabu. Kami pulang dengan dengan muatan barang yang sederhana tetapi terisi dengan begitu banyak pengalaman dan pengajaran yang sungguh bermakna. Walaupun begitu, belum lagi kapal terbang berlepas, hati saya sudah sampai di Malaysia. Benar bagai dikata, Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, seronok lagi kat negeri sendiri... :-)

Batu nisan pahlawan Kerajaan Samudera Pasai yang juga tidak terjejas akibat Tsunami. Menurut sesetengah pendapat, mereka dikatakan mati syahid.

Makam Ratu Nahrisyah di Lhok Seumawe. Salah seorang ratu yang pernah memerintah Kerajaan Islam Samudera Pasai.

Bergambar bersama semua peserta rombongan di Kapal Apung yang dihanyutkan 5km dari pantai.

Pantai Lhok Ngah, dahulunya meriah dengan aktiviti mandi-manda kini suram dan lengang.

Papan tanda amaran Banjir Tsunami dapat dilihat dengan banyak di sekitar kawasan yang teruk terjejas.

Melawat kapal nelayan yang tersadai di atas sebuah rumah. 

Bergambar di Masjid Baiturrahman

Di Pondok Anak Yatim Darussalam

Bergambar bersama Haji Salam di Makam salah seorang panglima yang sepanjang 6m.

Gambar kawasan yang dahulunya merupakan sebuah perkampungan, kini ditenggelami air.

Saturday, October 9, 2010

Selagi ada masa...

Saya masih ingat, ketika masih kecil, saya selalu bermimpi tentang remaja. Ingin bersekolah, berkawan, dan bermain. Setelah remaja, mula memasang angan-angan untuk dewasa. Saya teringat dan masih dapat menggambarkan, ketika saya dan kakak saya, bersembang tentang dewasa. Kakak saya bertanya,

"Kamu rasakan, kalau kamu ada RM50,000, kamu nak buat apa dengan duit tu?" soal kakak saya, Along memulakan bicara.

"hmm, Along?" balas saya sambil berkerut-kerut membayangkan duit RM50,000.00 berada di tangan.

"Kalau along, RM10,000,00 nak bagi kat mak ngan ayah..." tiba-tiba bertukar fikiran, "eh, tak jadilah, apa kata kalau kita bayangkan RM100,000?" ujar Along sambil menggerak-gerakkan keningnya.

"boleh jugak," balas saya sepontan sambil menelan air liur yang semakin banyak dirembeskan.

Berterusan dialog kami hingga ke lewat malam. Cita-cita dan selera yang tinggi. Paling menarik, ialah soalan penutup kepada dialog tersebut, "Agaknya, macam mana kita nak dapat duit RM100,000.00 tu ek?" soal saya setelah agak lama berkhayal dengan impian masing-masing.

Memang seronok untuk bermimpi, apalagi mimpi yang indah tentang masa depan. Selalu bercita-cita untuk mendapatkan dan melakukan sesuatu yang bermakna serta berharga dalam hidup.

Tapi pelik, kita tidak pernah bermimpi bahawa pada bila-bila masa sahaja kita akan mati. Kita mungkin akan terlupa bahawa sejauh dan setinggi mana pun mimpi kita, pada akhir nanti semuanya akan ditinggalkan. Disebutkan oleh Abu Laits As-Samarqandi di dalam Kitab Tanbihul Ghafilin, ketika berlakunya hari kiamat, pada saat itu bumi akan bergoncang. Manusia bagaikan mabuk sehingga ibu yang mengandung menggugurkan kandungannya, dan yang menyusui akan lupa terhadap bayinya dan anak-anak segera beruban serta syaitan-syaitan pun akan berlarian.

Menceritakan kepada kita, sebenarnya, dunia ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Tetap akan ditinggalkan walau sebanyak mana pun yang mampu kita kutip semasa hayat kita. Seperti kata-kata Ulama', dunia ini adalah hamparan buat bekal menuju ke negeri akhirat. 

Kita hanyalah seorang hamba yang bekerja untuk Tuhan. Pada bila-bila masa kita akan dijemput untuk kembali kepadaNya. Sekiranya baik amalan kita, maka baiklah kesudahan yang menanti kita di sana. Orang putih kata, in the blink of eye!! Betul, saya rasa baru semalam saya main-main dengan kawan-kawan kat tepi longkang masa kecil-kecil dulu. Terasa seperti baru semalam saya menjawab soalan peperiksaan akhir tahun, terasa baru semalam saya bersama kawan-kawan belajar dan mencabar, dan kini berada di atas kapal kehidupan sendirian mencari hala tuju dan panggilan dari Tuhan.

Tapi Allah Ta'ala sukakan hambanya yang bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu perbuatan. Muslim yang kuat adalah lebih dikasihi dan disayangi oleh Allah daripada muslim yang lemah dan tidak berupaya. Tambahan pula, zaman mutakhir ini, cabaran dan mehnah yang menunggu kita sangat besar dan ganas. Sesiapa sahaja yang tidak bersedia akan hanyut dan ditelan oleh arus dan masa.

Komuniti Islam di dunia memerluka mereka yang mempunyai kelebihan dan kekuatan. Sekurang-kurangnya mampu memelihara diri sendiri daripada godaan dan tipuan syaitan dan musuh-musuh Islam. Sepanjang mana dalam kehidupan kita seharian ini, kita berdepan dengan cabaran ini. Musuh sentiasa mencuba dan berusaha untuk mengajak kita menemani mereka di neraka. 

Sabar, bukan sahaja menanti apa yang dihajati. Atau menahan dari menangisi apa yang tidak mampu dimiliki, tetapi sabar di dalam melakukan kerja taat. Dan sabar sementara menanti giliran dipanggil untuk bertemu dengan Tuhan. Selagi ada masa ni, kerja dan hiduplah sungguh-sungguh. Berjuang dan berkorban sedaya upaya yang kita ada. Demi diri, keluarga, negara dan lebih-lebih lagi agama.

Jom, kita teruskan cita-cita dan mimpi kita, sementara masih belum sampai giliran kita ni, semoga ketika kita dijemput nanti kita pulang dengan hati yang sejahtera dan disambut oleh Allah Ta'ala dengan ucapan yang sejahtera.


Antara Yang Menarik