Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, September 14, 2012

Jual Beli Agama

Dahulu saya pernah berangapan bahawa, dalam dakwah dan menyampaikan agama kepada masyarakat, kita tidak boleh mengenakan harga dengan tujuan berniaga. Sehingga hari ini, saya masih mempunyai pandangan yang sama, cuma ada sedikit perubahan dan percanggahan dengan apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "menjual ayat Allah dengan harga yang murah".

Dalam Al-Quran Allah Ta'ala menyebut dengan banyaknya ayat yang berkaitan dengan tindakan orang-orang kafir, munafiq mahupun musyrik yang menjual ayat-ayat Allah dengan harga yang murah. Ayat di bawah adalah antaranya:


"And believe in what I have sent down confirming that which is [already] with you, and be not the first to disbelieve in it. And do not exchange My signs for a small price, and fear [only] Me." Surah Al-Baqarah, 2:41.


Exchange / jual ayat Allah dengan harga yang murah di sini, bukanlah bermakna kita tidak boleh menjual-beli Al-Quran. Juga tidak bermakna, hasil kreatif yang berkaitan dengan ayat-ayat Al-Quran, seperti Frame, dan lebih lagi, ceramah-ceramah yang berkaitan dengan agama, tidak boleh dijual-beli. Tetapi disebut dalam Tafsir Jalalain, bahawa perbuatan "exchange / jual" di sini merujuk kepada menukarkan agama atau segala ajaran yang terkandung di dalam Al-Quran dan segala yang dibawa oleh RasuluLlah SAW, dengan sesuatu yang lebih buruk atau lebih tepat, menukarkannya dengan dunia.

Mengambil kelebihan dunia, berbanding kelebihan akhirat. Memilih untuk bersenang-lenang di dunia, berbanding kesenangan dan nikmat di akhirat, inilah makna sebenar ayat ini.

Justeru, dalam berdakwah dan juga menyampaikan ajaran kepada manusia, kita tidak boleh mengejar bahagian dunia, sehingga meninggalkan akhirat. Kita digalakkan untuk mencari rezeki yang halal. Misalnya, jika kita bekerja, kita menerima gaji yang setimpal dengan kerja yang kita lakukan. Segala imbuhan dan ganjaran yang kita terima, diterima dengan ikhlas dan sesuai dengan apa yang kita lakukan. Jika ada lebih, kita berzakat dan infaq pula ke jalan Allah.

Ramai di kalangan kita, kerap kali mempersoalkan tindakan ustaz-ustaz mengenakan harga untuk ceramah mereka. Atau perkhidmatan yang mereka berikan kepada kita, sebagai contoh jampi untuk sembuhkan penyakit, berdoa dan solat hajat kepada Allah Ta'ala bagi pihak kita. Jika di Darul Mubarak, kami juga menerima upah untuk mengerjakan haji dan bacaan Al-Quran untuk arwah di Tanah Haram. Semua ini dipersoalkan, kononnya, memperniagakan agama. 

Saya kira, tuduhan ini tidak tepat, kerana kami mengambil upah yang bersesuaian dengan apa yang kami lakukan. Begitu juga ramai di kalangan penceramah-penceramah yang ikhlas, juga ustaz-ustaz yang mengamalkan perubatan alternatif yang ikhlas, mereka meminta apa yang sepatutnya menjadi hak mereka. Mereka juga ada keluarga yang perlu mereka sarai.

Justeru, sebagai pihak yang menerima khidmat dan ceramah yang berguna untuk kehidupan akhirat tersebut, kitalah yang terlebih dahulu perlu menghargai jasa mereka dengan memberikan upah-ganjaran yang setimpal.

Kadang-kadang, saya juga setuju dengan sebahagian yang berpendapat, jika kita berikan sesuatu itu secara percuma, ia tidak akan dihargai. 

Saya juga berpendapat, mereka yang menyertai politik kerana ingin mendapatkan kuasa bagi pihak Islam, adalah mereka yang ikhlas, (pasti ada juga yang diuji dengan niat yang tidak baik!). Maka, kedudukan mereka juga sama dengan orang lain yang masing-masing cuba melakukan kebaikan. Walaupun berbeza lapangan, tetapi matlamat tetap sama iaitu menyebar-luaskan kebaikan.

Apapun, saya lebih gemar untuk mempercayai bahawa, ganjaran yang Allah tentukan untuk mereka yang berbuat kebaikan sebenarnya amat jauh lebih baik daripada ganjaran yang diberikan oleh manusia. Kami(Darul Mubarak) juga pernah mengalami situasi ditipu, walaupun secara jelas dan terang, ia adalah hak yang tidak boleh dinafikan, semoga Allah melimpahkan rahmatNya, mengurniakan taufiq dan hidayah, serta memberikan kesedaran dan ganjaran buat mereka yang benar dan bersabar.


Saya pernah bertemu dengan ramai ustaz-ustaz yang "Totally" fi sabiliLlah. Mereka hanya bergantung kepada Allah dan Rasul. Mereka memenuhi undangan sedaya mampu mereka dan mereka tidak pernah sekali pun diabaikan oleh Allah Ta'ala. Sedang pencuri dan perasuah pun kenyang, inikan pula mereka yang berjuang di jalanNya...

Thursday, September 6, 2012

Anak

Saya sebenarnya masih belum mempunyai pendirian yang konkrit mengenai perancangan keluarga. Saya rasa ada wajarnya kita menjarakkan anak, dalam masa yang sama saya juga percaya kepada taqdir dan rezeki daripada Allah. Memang, bagi anak yang rapat, kebarangkalian untuk berlakunya "kekurangan-kasih-sayang" disebabkan perhatian yang sukar diberikan dalam satu-satu masa, adalah amat tinggi.

Tapi, baru-baru ni saya mendengar ceramah daripada seorang ustaz yang telah dikurniakan 6 orang anak. Dia berkata, anak ni rezeki dan kita tak berhak menghalang. Dan bagi saya, alasan beliau juga baik. Terutama dalam bab penggunaan pil-pil perancang dan kaedah-kaedah yang sememangnya boleh dianggap sebagai bahaya dan "mengubah" takdir Allah.

Mungkin terdapat satu atau dua kes yang benar-benar memerlukan kepada "kaedah perancang keluarga", misalnya melibatkan kesihatan. Ini kerana, ada ibu mengandung yang memerlukan tempoh yang agak lama untuk "kembali mengandung" disebabkan oleh kekurangan darah dan kecederaan yang dialami.

Apapun, biarlah kita pertimbangkan sesuatu itu dengan seluruh dan sepenuhnya, berpandukan kepada syariat dan sunnah kehidupan kita sebagai manusia.

Paling penting, hargai nikmat sebagai seorang hamba, dan hargai nikmat kurniaan anak. Pesanan buat diri.

Pelik bukan, ramai yang mengadu dan mengeluh kerana tidak mempunyai anak, tapi ramai jugak yang mengeluh kerana mempunyai terlalu banyak anak. 

Saya tidak boleh setuju, jika alasan "perancang keluarga" yang mereka gunakan ialah "kedudukan kewangan". Ini alasan yang paing tidak munasabah. Ada juga, yang tak nak anak kerana ingin menjaga kecantikan. Ada juga yang tak nak anak, kerana bimbang berkurangnya kasih sayang antara suami isteri.

Bagi mereka-mereka yang di atas ini (yang bagi alasan pelik2), sememangnya kalau dikurniakan anak sekalipun tetap tidak akan mengubah mentaliti mereka, bahkan mereka cenderung untuk berlaku zalim ke atas diri mereka, lebih-lebih lagi kepada anak yang tidak berdosa. Bagi mereka anak hanyalah beban dan menyusahkan. Sedangkan anak sebenarnya amanah, pengikat kasih sayang, dan penyejuk mata bagi mereka yang beriman dan menghargai nikmat kurniaan Allah.

Ingatlah, rezeki itu, hanya akan terasa nikmatnya, apabila disyukuri..

Bagi yang memberikan alasan kewangan. Tentu kita pernah bertemu dengan mereka yang mempunyai harta berjuta ringgit. Cuba tuan-tuan dan puan-puan tanya kepada mereka, cukupkah harta yang mereka ada?

Saya pernah jumpa orang yang gajinya 5 angka. Dia sendiri tidak pernah cukup dengan gajinya.

Saya pernah jumpa orang yang gajinya rm700, anak 6, tetapi hidupnya sederhana, dan AlhamduliLlah, saya melihat keluarganya lebih "kurang" masalah berbanding keluarga yang hidup "kononnya" mewah.

Sekali lagi, rezeki yang diberikan, hanya akan terasa nikmatnya jika disyukuri.

Rezeki, walaupun sedikit sekiranya dibandingkan, akan lebih memberikan kesan sekiranya disyukuri, berbanding rezeki yang banyak tetapi dipandang sebelah mata.

-untuk diri dan orang lain-

Tuesday, September 4, 2012

Komited

Ketika ramai yang sedang memperkatakan tentang perlaksanaan hudud, ada yang mempertikai, ada yang mengatakan terdapat keringanan dan pengecualian, dan masih ada yang tegas menyatakan komitmen untuk terus memperjuangkan agar undang-undang ini dilaksanakan, mungkin ramai yang terlupa akan hakikat sebenar kehidupan di dunia. 

Hakikatnya, kita tidak berhak mengemukakan apa-apa pandangan selain apa yang diizinkan oleh Allah. Apalagi untuk mengeluarkan pandangan yang menyanggah pandangan Allah. Allah Ta'ala lebih berhak di atas segala sesuatu. Kita pula tidak mempunyai apa-apa hak melainkan tanggungjawab dan amanah yang telah ditetapkan oleh Allah. Kita hanya ada tugas sebagai hamba yang memikul amanah sebagai Khalifah di atas muka bumi ini.

Sebagai seorang muslim saya beriman bahawa Tiada Tuhan yang sebenar, melainkan Allah 'Azzawajalla, dan sesungguhnya Nabi Muhammad adalah hamba utusan Allah yang membawa khabar gembira bagi mereka yang percaya dan amaran buat mereka yang engkar.

Hudud, merupakan salah satu hak Allah yang wajib dilaksanakan. Meskipun, hudud ini sebenarnya adalah salah satu daripada ribuan hak Allah yang wajib ditunaikan, tidak bermakna satu hukuman yang kononnya disifatkan sebagai pecahan kecil boleh dikesampingkan.

Telah ditegaskan bahawa, Allah Ta'ala memerintahkan manusia untuk masuk ke dalam "As-Silmi" (Agama Islam) secara seluruhnya.

Juga, ditempelak manusia yang beriman kepada sebahagian isi kandungan Al-Quran, tetapi menolak sebahagian yang lain. 

Hakikatnya, kita tiada pilihan lain selain daripada beriman kepada seluruh isi kandungan Al-Quran dan memperjuangkan agar seluruh dunia berpedomankan kepada isi kandungan tersebut. Kita tidak punya pilihan lain, jika kita benar-benar beriman kepada Allah.

Saya suka titah Sultan Brunei, "siapakah kita untuk berkata tidak atau nanti dulu, sedangkan kita sudah punya kemampuan?". Katanya kepada sidang parlimen di Negara Brunei Darussalam..

Ini adalah contoh komitmen seorang pemimpin Islam yang diperlukan.

Begitupun kita punya alasan strategi dan pelbagai, kita sewajarnya tetap terus berpegang dengan ajaran Allah dan beriman terhadap kewajaran seluruh isi kandungannya dilaksanakan.

Saturday, August 18, 2012

Kemuliaan

Kata-kata hikmat yang pernah dikeluarkan oleh Amirul Mu'minin, Saidinia Omar Ibn Al-Khattab, "Kita pernah menjadi bangsa yang hina, tetapi Allah memuliakan kita dengan Islam. Barangsiapa yang mencari kemuliaan selain dengan Islam, maka kehinaan Allah baginya."


Pesanan yang hebat ini diberikan kepada Sa'ad Bin Abi Waqqas dan seluruh tentera Islam sebelum mereka menghadapi peperangan.

Allah Ta'ala turut menjelaskan dalam puluhan ayat mengenai keistimewaan dan kemuliaan, juga ketinggian darjat bagi mereka yang beriman serta mengamalkan Islam. Melakukan 'amal soleh, seperti yang dianjurkan di dalam banyak ayat Al-Quran sebenarnya merujuk kepada mengamalkan Islam sebagai cara hidup, dengan meletakkan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai pedoman utama.

Islam bukan hanya membawa kebaikan dan kesejahteraan, tetapi Islam juga membawa kemuliaan dan bersamanya setiap kebaikan yang ada di atas muka bumi ini. 

Namun begitu, memilih Islam, dan memilih untuk bersama Islam, menyokong dan mendokong perjuangan Islam, tidak menjadikan seseorang itu kebal daripada ditimpa musibah dan cubaan. Hidup dipenuhi dengan cabaran. Sedang mereka yang tidak beriman turut diuji, inikan pula mereka yang beriman, semestinya ujian membuktikan keimanan itu sendiri amat payah, kerana ganjaran syurga bukanlah boleh dibeli dengan peluh keringat semata-mata.

Sebagaimana manisnya syurga, begitulah pahit yang menanti mereka yang ingin mencapainya.

Keistimewaan dan kemuliaan orang yang beriman tidak diukur dari segi ujian yang menimpa diri mereka. Tetapi, diukur hasil daripada kesabaran dan kejayaan mereka melawan cabaran dan dugaan yang menguji diri mereka. 

Kita juga tidak dikira hebat jika tidak menerima ujian atau hanya sekadar berjaya menewaskan halangan dan cabaran yang sedikit. Oleh kerana musuh manusia yang paling utama ialah dirinya sendiri, maka cabaran dan ujian yang paling hebat bagi seseorang muslim itu ialah dirinya sendiri. Nafsu manusia adalah acabaran ujian yang paling hebat yang Allah Ta'ala kurniakan kepada diri kita.

AlhamduliLlah, kita berjaya mengharungi Bulan Ramadhan, di mana nafsu kita dapat dikurangkan berbanding bulan-bulan yang lain. Syaitan dan Iblis dibelenggu untuk memberikan ruang yang secukupnya bagi kita mendidik dan melatih nafsu melakukan kerja taat.

Bermulanya syawal, bererti kita kembali kepada cabaran yang sebenar, dan nafsu yang hampir berjaya dikekang ketika bulan ramadhan akan kembali meronta meminta untuk dipuaskan.

Maka, kemuliaan dan ketinggian darjat adalah milik mereka yang tetap menyerah diri kepada Allah, dan terus melakukan kerja taat dan mengamalkan Islam, sekalipun berada di luar bulan ramadhan.. 

Semoga limpah taufik dan petunjuk daripada Allah terus menaungi kehidupa kita sehari-hari...

Minal Aidin Wal faizin...


Saturday, July 21, 2012

Bulan Perubahan

Bukan negara sahaja memerlukan transformasi, malah Imam Hudaibi pernah mengingatkan kepada kita, "tegakkan agama dalam diri kamu, maka agama akan tertegak atas bumi kamu". Bererti, perubahan penting yang perlu kita lakukan ialah perubahan yang dimulakan ke atas diri kita sendiri.

Guru saya pernah menasihatkan saya dengan katanya, "Jika kita ingin mengurangkan keburukan dan kekurangan yang ada pada kita, maka kurangkanlah melihat keburukan dan kekurangan yang ada pada orang lain". Bermulanya kebaikan dan keburukan itu adalah dari diri kita sendiri. Semakin banyak kita memperkatakan atau sekadar memikirkan keburukan dan menilai kekurangan orang lain, maka semakin banyak pula kekurangan dan keburukan yang akan diperlihatkan ke atas kita.

Hakikat yang paling utama yang perlu kita sedar ialah kita sebenarnya sangat lemah. Saya adalah orang yang paling lemah di antara kalian. Tiada nilai dan darjat pada diri saya, melainkan kemuliaan dan kurnia yang Allah Ta'ala berikan kepada kita. Setiap inci, setiap zarah kelebihan yang ada pada kita, semuanya adalah nikmat Allah yang tidak patut kita banggakan. Dialah yang selayaknya memiliki segala puji dan puja, segala murni dan mulia atas segala perkara yang berlaku ke atas kita. 

Mudah-mudahan, bulan ramadhan ini menjadi batu loncatan kepada perubahan yang drastik dari jiwa manusia kepada jiwa hamba. Segalanya adalah milikNya, tiada yang kekal melainkan Dia. 

Selamat Menjalani Ibadah Puasa.

Friday, July 20, 2012

Debat PRU 13: Anak Muda Pilih Siapa?


Debat Anjuran Sinar dan Astro Awani, antara Ketua Pemuda Pas, Ustaz Nasrudin Hassan dengan Ulama Muda UMNO, Ustaz Fathul Bari.

Friday, July 13, 2012

Politik Islam

Saya cukup senang dengan kenyataan Tuan Guru Dato' Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai cadangan UMNO Johor, Datuk Ayub Rahmat untuk melaksanakan Hudud. Dalam kenyetaan balas beliau berkata, (baca lanjut di sini).


Ada beberapa pengjaran yang dapat diambil di sini.

1. Politik Islam berteraskan nilai bukan kepentingan Parti, Kaum, apalagi individu.
        Perkara utama yang menjadi rebutan ialah melaksanakan dan menganjurkan nilai yang sejagat yang membawa kebaikan kepada masyarakat ramai. Kepentingan Islam merentasi kepentingan parti dan semangat asabiah. TGNA mengajar kita bahawa nilai Islam itu lebih utama sekalipun datangnya daripada UMNO.

2. Politik Islam mengajar kita supaya membuat penilaian secara objektif.
        Walaupun cadangan perlaksanaan Hudud itu datangnya daripada Adun UMNO, padahal UMNO terbukti menyalahgunakan Agama untuk kepentingan Parti dan Kuasa, namun TGNA memberikan respon yang positif tanpa mengambil kira latar belakang kepartian. Kalau dilihat dari segi mileage politik, mungkin tindakan TGNA menunjukkan bahawa beliau menyokong tindakan UMNO, seteru kuat beliau sejak dahulu lagi. Malah, beliau sendiri amat berang dengan cadangan untuk mewujudkan "kerajaan perpaduan", iaitu cadangan yang melibatkan kerjasama UMNO-PAS. Namun, hal ini berbeza apabila melibatkan kepentingan Islam. Menunjukkan bahawa TGNA tidak pernah membelakangkan Islam melebihi kepentingan politik.

3. Politik untuk mencari pahala, bukan mencari harta.
        Apabila tujuan politik kita ialah Islam, maka sudah pasti yang dikejar adalah pahala dan keredhaan Allah. Sentiasa meletakkan Allah sebagai matlamat perjuangan. Walaupun tidak mampu berkorban harta demi perjuangan, untuk menjadikan perjuangan batu loncatan dalam memperbaiki taraf hidup adalah amat jauh, dan tidak sama sekali.

4. Politik Islam ialah politik yang paling berkesan dan bersifat sejagat.
        Sekiranya kita mengamalkan ISlam seluruh dan sepenuhnya, sudah pasti kita akan berpolitik dengan cara yang paling sihat dan pasti boleh diterima ramai. Mungkin, kalau ada yang menentang, puak-puak yang menentang tersebut adalah puak-puak yang berkepentingan dan tidak mahu menerima kebaikan yang mungkin akan menjejaskan kedudukan dan periuk nasi mereka. Terbukti dalam sejarah, ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, kebanyakan masyarakat Arab dapat menerima dakwah Nabi kecuali mereka yang mempunyai kepentingan tertentu. Apabila melihat pengaruh mereka terjejas disebabkan oleh kehadiran Nabi, maka  mereka memusuhi Nabi dengan memberikan label-label yang negatif dan berniat jahat kepada Nabi Muhammad SAW.

Akhir kata, marilah sama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan, berpolitik cara Islam, kembalilah kepada ajaran ISlam yang sebenar, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!.

Antara Yang Menarik