Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, October 8, 2013

Cita-cita dunia bagi makhluk terpilih...

Cita-cita dunia....


Dunia ini ciptaan Tuhan.. Dia menciptakan dunia ini penuh dengan peraturan.. Setiap makhluk ada peraturan tersendiri, termasuk manusia. 

Namun Manusia sebagai makhluk terpilih, diberi sedikit kelebihan iaitu membuat pilihan. Haiwan, pokok, batu, juga angin, tidak boleh membuat pilihan. 

Sepanjang hidup seekor kucing hanya mampu mengiau, makan daging, dan berjalan dengan kaki yang empat. Kucing tidak boleh bercakap, tidak boleh menggoreng nasi, dan tidak pandai mensterika baju.

Sepanjang hidup sebatang pokok, hanya mampu membuat makanan sendiri, bernafas dan sedikit pergerakan. Pokok akan tetap di tempat yang sama selama bertahun2 hayatnya, kerana dia tidak boleh berlari jika takut ditebang, dan tidak boleh bersilat mengelak dari dikapak. Pokok di tepi sungai hanya akan faham betapa sejuknya air sungai, tanpa pernah kenal masinnya air laut..

Lain dengan manusia, kita diberi pilihan. Sedikit ruang kebebasan menjadikan dunia ini makmur dengan kebijaksanaan manusia, dan hancur dek kerakusan manusia.

Dunia ini hanyalah permainan. Siapa yang leka akan terus dipermainkan. Siapa yang bijak akan mengaturkan permainannya sendiri dan mencari jalan keluar kepada teka-teki.

Monday, October 7, 2013

TPPA: PM dan Kerajaan semakin hilang akal


Inilah penyakit akhir zaman apabila kita sendiri sudah tidak kenal yang mana musuh dan yang mana kawan.

Selain perpecahan umat Islam yang semakin teruk dan membarah, sikap pemimpin Negara Islam yang mengangkat Amerika sebagai idola adalah sma sekali tidak boleh diterima akal. Majoriti Negara Umat Islam kini diperintah oleh Pemimpin yang takut dan tunduk kepada kuasa Amerika.

Atas alasan apakah mereka perlu tunduk kepada Amerika?

Sejak tahun 2001, ketika kempen anti-pengganas dilancarkan oleh Amerika Syarikat, seluruh dunia seoalh terpukau dengan keikhlasan Amerika, lalu membenarkan perancangan jahat AMerika untuk menghancurkan dan melumpuhkan kekuatan Negara Umat Islam. Hasilnya, mereka yang kuat berpegang kepada Islam akan ditindas, manakala mereka yang mengangkat Amerika sebagai pemimpin tertinggi dunia akan dipelihara.

Sekalipun, TPP kononnya tidak membawa agenda politik dan ketenteraan, kononnya hanya melibatkan hubungan perdagangan, namun usaha Kerajaan Malaysia membina hubungan baik dengan Amerika sepatutnya dikutuk dan ditentang oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Sedangkan Allah Ta'ala telah menjelaskan bagaimanakah sikap kita terhadap orang Nasrani dan Yahudi, yang terbukti sentiasa bermuslihat dan berniat jahat terhadap Islam dan umatnya. Bagaimana mungkin seorang Perdana Menteri dari Negara Umat Islam sebagai majoriti, kononnya memiliki badan pengurusan jemaah Haji terbaik di dunia, membina masjid-masjid yang indah, dan kononnya menjadikan ISlam sebagai agama rasmi, menjadikan Amerika sebagai rakan kongsi.

Padahal, umum mengetahui kegagalan Amerika dalam mengurustadbir ekonomi negaranya sendiri sehingga tercatat sebagai negara yang memiliki hutang paling banyak di dunia, dalam masa yang sama syarikat-syarikat gergasi Amerika sedang berhadapan dengan krisis yang sangat dahsyat. Apakah Amerika benar-benar layak menjadi model ekonomi atau rakan kongsi perdagangan dengan Malaysia?
 
Jika Kerajaan tidak berminat dengan agenda jahat Nasrani dan Yahudi, Kerajaan perlulah sekurang-kurangnya memikirkan kelayakan Amerika dalam menjadi rakan kepada Negara Islam sebagai Agama Rasmi, Malaysia.

Mengagung-agungkan Presiden Amerika, Barack Obama juga adalah satu tindakan yang sangat khianat kepada saudara-saudara seagama yang teruk ditindas oleh rancangan jahat Amerika dan sekutunya. Apakah Najib langsung tidak sensitif terhadap krisis yang berlaku yang melibatkan negara-negara Umat Islam? Perlukah diterangkan kepada Kerajaan dan orang-orang UMNO bahawa Amerika adalah dalang kepada setiap keganasan dan kezaliman yang menimpa umat Islam di seluruh dunia?

Satu soalan yang sangat bernas pernah dilontarkan dan tidak mampu dijawab oleh Kerajaan UMNO-BN, JIKA BENAR TPPA ADALAH BAIK KENAPA ISI PERJANJIAN TIDAK DIDEDAHKAN???

Semoga Allah melimpahkan taufiq dan hidayahNya untuk kita semua....

Sunday, September 1, 2013

Kita masih perlu bebaskan Malaysia daripada "pewaris British"...

Malaysia sudah merdeka, tapi masih perlu bebas daripada UMNO-BN. Sejarah menceritakan segala-galanya. Kalau kita guna sedikit sahaja bahagian akal kita, kita akan dapati bahawa UMNO-BN ini sebenarnya bukanlah parti orang Melayu, tetapi Parti British berbangsa Melayu. 

Satu contoh paling konkrit ialah ketika semua Parti dan Pergerakan Politik di Tanah Melayu diharamkan oleh British, UMNO satu-satunya Parti yang tidak diharamkan. Ketika rakyat bangkit menentang penjajahan British, ketika itu Balai Polis Bukit Kepong di bawah British, UMNO-BN menganggap mereka yang mempertahankan Balai Polis British sebagai wira, malah tempat berlakunya peristiwa tersebut dijadikan monumen bersejarah yang paling berharga. Inilah kesan pengaruh British terhadap Orang Melayu, khususnya UMNO.

Ketika rakyat bangkit ingin memperjuangkan kemerdekaan, rakyat melaungkan slogan Merdeka, UMNO melaungkan slogan "Hidup Melayu". Mereka tidak mahu merdeka, apa yang mereka mahu hanyalah melayu, itupun diragui ketulusannya.

Hari ini, seluruh rakyat Malaysia perlu bangkit untuk satu lagi perjuangan kebebasan, iaitu perjuangan membebaskan Malaysia daripada UMNO-BN. Mereka adalah petualang di muka bumi ini. Rakyat dizalimi dan ditindas. Paling ketara, maruah rakyat tergadai dek rm500, sedang kepahitan yang ditanggung adalah 5 tahun lamanya. Selama 55 tahun merdeka, nilai kepentingan Rakyat di sisi UMNO-BN hanyalah RM500, itupun digula-gulakan.

Inilah asal-usul bendera Malaysia yang diperkenalkan oleh pewaris British...
Hakikatnya, penderitaan yang dialami oleh rakyat sudah lama bermula. Kini, ianya semakin bertambah. Kenaikan harga barang, pelbagai cukai dikenakan kepada rakyat bahkan hak untuk mendapatkan biasiswa kini menjadi punca utama anak muda berdepan dengan risiko muflis. Sistem pendidikan Negara kucar-kacir, bermula dengan penghapusan tulisan jawi (tulisanasal bahasa ibunda), memartabatkan Bahasa Penjajah, kini dengan pelbagai sistem yang karut menyebabkan potensi anak-anak merosot dan membimbangkan. Tidak kurang, tumbuh pula bagai cendawan pusat perniagaan ilmu, iaitu universiti yang hanya memikirkan tentang keuntungan.

Atas alasan apakah, rakyat Malaysia perlu menanggung beban hutang lebih setengah trilion akibat sifat boros dan kegagalan urustadbir UMNO-BN? Atas alasan apakah, rakyat terpaksa dihukum oleh akta kejam, sedang Kerajaan membiarkan segala anasir negatif yang merasuk pemikiran rakyat? Harapkan pagar, pagar yang makan padi.

Sejak Negara masih belum merdeka lagi, kita sudah pun menerima kaum cina dan india sebagai jiran. Mengapakah tempoh yang begini lama masih belum dapat membuang prejudis dan prasangka antara kaum dan agama di Malaysia? Muncul pula filem “Tanda Putera”, seolah ingin menanam sejarah palsu yang hanya akan memanjangkan sengketa.

Jadilah kita bangsa Malaysia yang benar-benar merdeka, akal, jiwa, akal dan raga. Sudah sampai masanya kita bebaskan Malaysia daripada cengkaman UMNO-BN yang sama sekali tidak pernah simpati dengan nasib rakyat. Ayuh bangkit, selamatkan Malaysia! 

Saturday, August 31, 2013

Kemerdekaan

Ya, sebagai rakyat Malaysia, saya rasa pencapaian 56 tahun merdeka adalah satu pencapaian yang memuaskan dan membanggakan. Sebagai rakyat di sebuah Negara yang dikenali umum sebagai negara Merdeka, saya bangga dan saya cintakan negara saya.



Tapi, saya pernah tertanya, apakah faktor British menjajah Tanah Melayu suatu ketika dahulu? 

Dahulunya, Tanah Melayu tidak hanya dirujuk kepada semenanjung Tanah Melayu, malah rantau nusantara ini, seluruhnya dahulu adalah serumpun, sebangsa dan seagama. Maka datanglah penjajah yang membawa idea yang berbeza, lalu mereka melaksanakan dasar pecah dan perintah. Mengambil kesempatan di atas sifat tamak raja dan pembesar tempatan pada ketika itu untuk mencampuri urusan pentadbiran negara.

Jika British telahpun berusaha bersungguh-sungguh untuk menjajah Tanah Melayu, kenapa British juga yang dengan mudahnya melepaskan Tanah Melayu? Apakah faktor sebenar di sebalik pembebasan Tanah Melayu?

Saya pernah terbaca, kenyataan seorang pembesar British bahawa Tanah Melayu ini hanya akan diberikan kepada mereka yang "sama" dengan British. Sudah pasti, dalam politik dunia, kekuasaan dan pengaruh adalah sangat penting. Malaysia, walaupun sudah merdeka, namun mereka menerima syarat daripada British antaranya perkara yang melibatkan undang-undang, ekonomi dan sosial. Mereka tunduk kepada British, kerana mahukan kuasa, agar perlembagaan yang dibentuk oleh Suruhanjaya Reid, diguna pakai, sehingga ke hari ini.

Jika kita benar-benar merdeka, kenapa Perlembagaan Persekutuan ini tidak boleh dicabar? Bahkan antara ketetapan utama Perlembagaan Persekutuan ialah jika mana-mana undang-undang atau peraturan yang bercanggah dengan Perlembagaan Warisan Penjajah ini adalah ditolak dan terbatal.

Maka, tidak hairanlah ekuiti ekonomi bumiputera masih berada di tahap yang membimbangkan kerana pembesar Negara yang mengambil alih pemerintahan negara ini sebenarnya bukanlah pejuang sebenar kemerdekaan. Bahkan apa yang ada di minda mereka hanyalah mendapatkan kekayaan dan kekuasaan semata-mata.

Akta Darurat, ISA dan OSA pula dirangka untuk menyekat sesiapa sahaja yang boleh membawa ancaman kepada keamanan negara (baca kestabilan kuasa politik pemerintah).

Saya tidak mengajak kepada menghapuskan perlembagaan persekutuan, kerana ianya disepakati dan diterima umum, tambahan ianya masih dapat berfungsi sebagai sandaran utama rakyat Malaysia. Walaupun sebahagian besar perlaksanaan dan kefahaman mengenainya telah dirosakkan oleh UMNO-BN, namun ianya masih relevan. Akan tetapi, akta draconian seperti ISA, OSA, dan Ordinan Darurat adalah satu malapetaka besar buat Negara, dan perlu dihapuskan segera.

UMNO-BN berjanji ingin menghapuskan akta ini, itupun selepas mereka menggantikan ISA dengan akta yang lebih kejam. Penjenamaan semula yang sangat ketara tidak membantu memulihkan keadaan, sebaliknya helah daripada kerajaan ini, sangat tidak boleh diterima dan memalukan.

Justeru, sempena hari kemerdekaan ini, saya mengajak agar kita kembali kepada gaya asal tanah Melayu. Membuang jauh gaya penjajah dan membebaskan seluruh rakyat Malaysia daripada pemikiran sempit dan negatif. Tanah ini tanah tumpah darah kita, maka kitalah yang bertanggungjawab mendaulatkannya. 

Tuesday, June 25, 2013

Bekas Hakim bangga khianat bangsa dan agama sendiri.



Bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah, menyatakan bahawa orang-orang bukan Melayu sepatutnya membalas pengorbanan orang Melayu yang merelakan bahasa mereka ditulis dalam skrip rumi demi perpaduan kebangsaan. 

Pengakuan terbuka bahawa orang Melayu sanggup mengorbankan tulisan jawi atas nama perpaduan sama sekali tidak boleh diterima akal. Beliau sendiri mengakui bahawa mengorbankan tulisan jawi bekemungkinan menjauhkan orang Melayu daripada Al-Quran dan Al-Hadith. Pengakuan tersebut seolah-olah menunjukkan bahawa beliau sanggup mengorbankan agamanya untuk perpaduan.

Pengakuan tersebut sebenarnya menguatkan lagi hujah bahawa UMNO sanggup meletakkan agama pada kedudukan yang bahaya semata-mata ingin mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam. Sedarkah UMNO dan Datuk Mohd Noor Abdullah bahawa tulisan masyarakat india dan cina juga bukanlah tulisan rumi? Sedarkah bahawa tulisan rumi sebenarnya adalah tulisan penjajah?

Atas alasan apakah tulisan rumi sahaja yang boleh membawa perpaduan? Sedangkan setiap negara di dunia mempunyai bahasa dan tulisan yang tersendiri, sehingga kini, masih dapat mengekalkan perpaduan dan kerukunan sesama masyarakat berbilang bangsa dan agama. Tidakkah pernah mereka terbaca dalam sejarah bahawa Bahasa Melayu pernah menjadi lingua franca, iaitu Bahasa Perantaraan yang digunakan oleh pedagang asing yang berdagang di Tanah Melayu dahulu?

Ketika Bahasa Melayu menjadi lingua franca, tulisan yang digunakan adalah tulisan jawi. Hanya setelah penjajah datang menjajah Tanah Melayu mereka memperkenalkan tulisan rumi, dan satu-satunya kelompok masyarakat Melayu yang setuju dengan tulisan penjajah ini adalah UMNO. Untuk makluman penyokong dan pendokong UMNO-BN, tulisan bahasa cina dan india juga masih dalam tulisan asal. Orang-orang cina dan india yang belajar tulisan mereka, pasti dapat menguasai tulisan tersebut tanpa perlu dirumikan. 

Maka, merelakan penggunaan tulisan penjajah, sanggup menggadaikan tulisan bahasa sendiri, malah meletakkan Al-Quran dan Al-Hadith, pada kedudukan yang terancam adalah jenayah terbesar UMNO dan sesuatu yang sama sekali buruk untuk dibangga-banggakan. Memaksa kaum lain berterima kasih atas kezaliman terhadap kaum sendiri pula adalah sesuatu yang sangat memalukan.

Sebenarnya, isu ni dah lama. Tapi kerana tiada kesempatan, baru kini dapat menulis.

Friday, May 10, 2013

Tiga sebab rakyat tolak BN, Najib mesti baca...

Najib sebenarnya sedar bahawa kedudukannya sebagai PM dan Pengerusi BN, malah Presiden UMNO juga belum terjamin. Justeru, Najib pasti sedang mencari-cari formula dan kaedah untuk memastikan karier politiknya tidak terkubur begitu sahaja.

Saya tak pasti sama ada, beliau masih belum puas mengaut keuntungan, atau mungkin juga Hajah Rosmah sendiri mendapati ada kekurangan dalam koleksi perhiasan yang beliau kumpul sepanjang menjadi FLOM. Tapi, saya rasa untuk menyelamatkan maruah diri sendiri, langkah terbaik untuk Najib ialah berundur. Secara jelas, rakyat bencikan Najib. Slogan Better Nation, kini difahami sebagai Buang Najib.

Hanya dengan ketiadaan Najib, barulah ada kemungkinan untuk direalisasikan Better Nation tersebut.

Kadang-kadang saya sendiri pelik, kenapa pipi kita tersorong-sorong, sedang hidung kita sudah tak mancung?

Rakyat dan buat keputusan. 

BN sepatutnya menunjukkan contoh teladan sebagai Pemerintah Paling Lama dalam sejarah Malaysia, untuk menerima dengan lapang hati keputusan PRU-13. Kenyataan yang berbaur perkauman sebenarnya menunjukkan BN sendiri tidak dapat menerima hakikat bahawa majoriti Rakyat, khususnya bangsa cina, inginkan perubahan. Sewajarnya, keputusan PRU-13 ini dijadikan medan muhasabah dan diambil sebagai kritikan membina buat kepimpinan BN.

Rakyat dan saya sendiri mahukan Perubahan. Sehingga ke saat ini, kami masih menanti-nanti dan sentiasa berharap agar ada perubahan positif dalam negara. Jika tidak mahu kecundang, strategi terbaik bagi UMNO-BN ialah berubah.

Najib sendiri mengakui, bahawa belajar dari kesilapan adalah erti kepimpinan yang sebenar. Nah, kamu sendiri sedar salah kamu, mengapa kamu tidak berubah?

Adakah kesalahan kamu ialah KALAH semata-mata?

Adakah kesalahan kamu ialah gagal memikirkan strategi untuk meraih undi semata-mata?

Kamu perlu sedar, rakyat khususnya di Negeri Selangor, di Bandar2 besar yang terdiri daripada Melayu, Cina dan India, kesemuanya menolak kamu atas 3 sebab utama.

Pertama ialah kerana Rasuah. Rasuah diakui ialah penyakit terbesar bagi pemimpin khususnya di negara demokrasi. Penyakit rasuah dalam UMNO-BN membarah sehingga ke Usus, diakui sendiri oleh Tun Dr Mahathir.

Kedua hilangnya rasa percaya kepada sistem pentadbiran dan penyampaian Kerajaan Persekutuan. Rakyat yang celik, melihat dengan mata kepala mereka sendiri bahawa pihak keselamatan dan badan-badan yang sepatutnya menjaga kepentingan rakyat gagal berfungsi dengan baik. Sebagai contoh, pihak polis dan SPR hanya menjaga kepentingan UMNO-BN. Kerajaan sepatutnya insaf dan bertaubat. Semakin ditutup pekung, semakin pula ia terdedah. Contoh lain, ketika kenaikan harga barang dan pelbagai taktik menghisap darah rakyat dikenakan, alasan tidak logik yang diberikan oleh pihak kerajaan menyebabkan rakyat berasa terhina dan direndahkan akal mereka. 

Kami bukan budak kecil. Ada di kalangan kami yang juga bekerja sebagai kakitangan kerajaan, melihat sendiri bahawa apa yang disebut oleh Kerajaan tidak serupa dengan apa yang dibuat. Cakap tak serupa bikin. Kamu suruh rakyat berjimat, tapi kamu sanggup membazir ratusan ribu hanya untuk nombor plat kereta. Ke mana letaknya akal?

Ketiga, diskriminasi dan penindasan. Banyak hak rakyat yang kamu abaikan. Hak kebebasan untuk bersuara adalah hak paling ketara yang kamu nafikan. Guru-guru yang lantang ditukarkan. Begitu juga pegawai-pegawai kerajaan yang tidak sebulu kamu pecat atau tukarkan. Lihat apa yang terjadi pada ratusan guru yang telah dipindahkan dalam tempoh 24 jam. Tidakkah kamu terfikir tentang anak murid mereka yang sangat memerlukan gurunya? Bagaimana dengan keluarga mereka yang terpaksa berpisah? Patutkah mereka didera untuk berjalan jauh semata-mata hanya kerana mereka mengkritik tindakan kamu?

Layakkah kamu digelar pemimpin jika tidak berani bersemuka dengan orang yang mengkritik diri kamu?

Begitu juga dalam siri-siri himpunan rakyat yang dianjurkan oleh Parti yang tidak sealiran dengan kamu. Kamu nafikan hak mereka, dan kamu tindas dan zalimi mereka. Ke mana letaknya undang-undang yang sepatutnya kamu tegakkan?

Apapun, segala kesilapan ini sepatutnya tidak perlu diulang. Rakyat hendakkan BRIM, tapi rakyat perlukan pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik tidak akan mengumpan rakyatnya. 

Akhir sekali, ancaman perang antara kaum ini, rakyat amat berharap ia dihentikan.

Cukuplah.

Sekarang adalah masa untuk kita bina kekuatan. Negara semakin nazak disebabkan permainan politik kamu sendiri. Rakyat hanya mahukan pemimpin yang adil, telus, dan berkebajikan. Jika kamu tidak mampu untuk telus, berlaku adil dan membuat kebajikan, tinggalkanlah kerusi itu untuk orang yang lebih baik...

Wednesday, May 8, 2013

BN belum menang lagi... Rakyat jangan mengaku kalah...

Masih ada tempoh sehingga 25 Mei 2013 untuk kita tumbang-ranapkan UMNO-BN. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh, pastinya kita akan dapat menegakkan kembali keadilan di Malaysia. Selagi belum sampai tarikh luput, kita perlu bekerja keras.

Antara Yang Menarik