Tapi, kita pada hari ini, sebenarnya tidak mengalami masalah dalam mengakui bahawa kebenaran adalah milik Allah, dan disampaikan melalui Nabi Muhammad SAW. Sebaliknya, kita pada hari ini berhadapan dengan masalah huraian kebenaran dan huraian petunjuk yang disampaikan kepada kita, berturutan daripada para Sahabat RA, bersalasilah sehinggalah kepada para Ulama' pada hari ini.
Disebabkan metodologi pemikiran ulama yang berbeza, maka huraian pengikutnya juga berbeza, maka tidak hairanlah kita pada hari ini mempunyai perbezaaan kefahaman dan penerimaan atas sesuatu ketetapan, sekalipun bersumberkan ayat dan hadith yang sama.
Inilah antara hikmah, Al-Quran, sebagai petunjuk yang menjadi mukjizat kekal hingga hancurnya bumi ini, menetapkan perkara-perkara pokok yang tetap dan boleh difahami dengan mudah, begitu juga hukum-hukum yang sebahagiannya amat jelas dan boleh difahami dengan jelas, sebahagian yang lain pula, memerlukan kepada huraian dan terdapat pula perbahasan yang panjang lebar dari kalangan Ulama yang ahli dalam bidang tersebut.
Pengajarannya ialah, Al-Quran meraikan kepelbagaian manusia, dan manusia selagi berpegang dengan dalil yang jelas dari Al-Quran dan Hadith, dengan interpretasi yang tidak menyalahi mana-mana bahagian dari kedua dalil yang tersebut, insyaAllah akan terselamat daripada bahaya "terkeluar" dari jalan yang lurus.
Justeru, dapat difahami dengan jelas, bahawa Ulama yang dikatakan Ulama itu, bukanlah mereka yang menulis beberapa buku hasil pemikiran kritis dan kreatif mereka semata-mata, kerana ribuan Ulama yang telah melepasi zaman mereka, mendalami Al-Quran dan Hadith secara seluruhnya, dan kitab-kitab yang mereka nukilkan memuatkan semua bahagian dalam Al-Quran dan Hadith..
Ulama, bukan calang-calang manusia. Sekalipun mereka berbeza pandangan, perbezaan itu lahir daripada penelitian luar biasa mereka terhadap ayat-ayat Al-Quran dan Al-Hadith. Bukan dari satu dua ayat, atau satu dua buku yang terdapat di pasaran. Untuk menghasilkan satu pandangan apalagi satu karya buku yang mantap dan padat dengan ilmu agama, usahanya bukan calang-calang dan bukan calang-calang orang mampu menyelesaikannya...
Saya merakamkan tulisan ini sebagai ingatan kepada diri saya dan teman-teman yang lain betapa hebat dan tingginya keilmuan para Ulama, begitu juga ustaz-ustaz yang telah mendidik ummah, menyampaikan ilmu agama kepada kita pada hari ini. Perbezaan pendapat dari kalangan mereka tidak boleh sama sekali dipandang remeh, apalagi digunakan untuk menyalahkan satu puak dengan puak yang lain.
Selagi mereka ada hujah dan dalil, disandarkan dengan Al-Quran dan Al-Hadith, maka ada kewajaran dan seharusnya pandangan mereka dihormati, sekalipun tidak mahu dituruti...
Sejujurnya, "mendengar" pandangan itu mudah, "Menurut" dan "melaksanakan" pandangan itu susah. Susah bukan kerana kefahaman yang berbeza, tetapi susah kerana nafsu dan iman yang berbeza...






