Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, October 30, 2009

Amanat Ketua DMP Pusat(telah diwakili YB Zailah )dalam himpunan Semarakkan One-Black Perak

Disalin dan ditampal daripada blog Muslimat parit

Muslimat Pemangkin Perubahan

Hadirin dan hadirat yang dikasihi sekalian,

Terlebih dahulu saya mengucapkan tahniah kepada seluruh kepimpinan dan ahli-ahli Dewan Muslimat PAS Perak kerana berjaya mengadakan himpunan muslimat – “semarakkan one-black Perak” ini.
Sayugia kita ambil perhatian berat bahawa himpunan ini adalah tanda protes dan amarah kita yang mesti kita luah dan semarakkan kepada rakyat.

Kita menentang habis-habisan strategi jahat UMNO Barisan Nasional yang telah memerangkap 2 orang exco kerajaan Pakatan Rakyat dengan ugutan dan kes rasuah dimana akhirnya menjadikan isu tersebut sebagai batu loncatan untuk menculik dan merasuah serta memaksa mereka bersama Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Perak untuk memihak dan menyokong BN. Turut diculik juga ialah seorang wakil BN yang baru saja menyertai Pakatan Rakyat.
Maka berlakulah kudeta (coup de tat) one black Perak ini dan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat secara tidak demokratik. Tindakan jahat dan rakus UMNO BN ini bukanlah buat kali pertama, malah merupakan ulangan terhadap sejarah hitam tumbangnya kerajaan PAS di Terengganu pada 1961 dan kerajaan PBS di Sabah pimpinan Datok Seri Pairin Kitingan pada 1994 yang lalu.
Justeru itu tidak ada alasan syarie’ bagi kita untuk berpeluk tubuh memerhatikan saja kemungkaran yang telah berlaku di depan mata kita. Sesungguhnya dalam usaha kita mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran itu, para muslimat perlu bangkit bersama-sama secara terancang dan bertindak sebagai pemangkin kepada perubahan yang lebih baik.

Muslimat yang dikasihi sekalian,

Sebelum saya berbicara terus kepada tajuk amanat yang diberikan kepada saya –“Muslimat pemangkin perubahan” terlebih dahulu saya mohon berbanyak maaf kerana tidak dapat bersama-sama anda semua pada himpunan kali ini disebabkan komitmen program yang telah dirancang lebih awal untuk lawatan saya ke United Kingdom dan Ireland dari 21 hingga 30 Oktober ini.
Topik “Muslimat pemangkin perubahan” adalah manifestasi gerak kerja yang besar dan merupakan satu tanggungjawab yang berat untuk kita pikul bersama. Tetapi demi kedaulatan Islam yang masih tidak mampu dinobatkan di bumi tercinta ini, juga demi keadilan sejagat yang menuntut kesejahteraan rakyat, para muslimat mesti bangun, berani dan bersungguh-sungguh menyinsing lengan bersama-sama melaksanakan tugas dan amanah ini.

Muslimat yang dikasihi sekalian,
Sesungguhnya apabila disebut muslimat, sebenarnya siapakah insan itu? Jika kita rujuk al-Quran “muslimat” adalah gelaran daripada Allah s.w.t seperti firmanNya dalam ayat 78, surah al-Hajj yang bermaksud:

“ Ia Allah menamakan kamu muslimin sejak dari zaman berzaman dan juga (kamu dipanggil muslimin) di dalam kitab al-Quran…”
Oleh itu muslimat dari sudut kemanusiaan tidak berbeza dengan muslimin kerana asal-usul kejadian kita semua adalah satu. Ertinya Islam telah meletakkan persamaan gender sejak dulu lagi, tidak seperti yang dilaung-laungkan apa yang dikatakan sebagai “gender inequality” oleh puak-puak liberal sekarang. Manifestasi ini dirakamkan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran pada ayat 189, surah al-‘araf yang bermaksud:

“ Dialah yang menjadikan kamu daripada jiwa yang satu (nabi Adam a.s.)……”

Justeru itu muslimat yang dikasihi sekalian, muslimat yang dimaksudkan oleh Allah s.w.t itu adalah kita semua. Kitalah wanita-wanita Islam pendokong Parti Islam SeMalaysia – PAS yang tidak kenal penat lelah berjuang untuk meninggikan dan menegakkan syariat Allah s.w.t yang lengkap dan bermanafaat untuk semua insan, tidak kira apa bangsa dan paras rupa serta agama anutan mereka dibumi tercinta ini.
Oleh itu tugas yang terpikul kepada kita untuk membawa perubahan yang lebih baik secara jelas para muslimat disebut, diminta dan dirayu menjadi “pemangkin” kepada perubahan itu.

Muslimat yang dikasihi sekalian,
Apakah pula yang dimaksudkan sebagai “pemangkin”? Merujuk kepada kamus DBP, pemangkin adalah faktor atau unsur yang dapat mempercepatkan atau menyegerakan berlakunya sesuatu perkembangan dan sama erti dengan catalyst (dalam Bahasa Inggeris).

Maka selaku pemangkin untuk melakukan satu perubahan yang lebih baik kita perlu kepada ciri-ciri utama atau sifat-sifat berikut:

1. Penyuluh – petunjuk kepada matlamat yang terang dan jelas. Selaku penyuluh muslimat perlulah memahami matlamat atau objektif yang hendak dicapai dan bagaimana untuk mencapainya,

2. Pendorong – mempertingkatkan keazaman dan kesungguhan untuk mencapai matlamat. Membantu membina sikap yang istiqamah dan fokus terhadap tugas dan tuntutan yang telah diamanahkan,

3. Pembimbing – membantu dan menunjuk ajar dalam melaksanakan tugas ke arah pencapaian yang cemerlang. Membina sikap agar tidak takut untuk mencuba, tidak phobia terhadap kegagalan. Berani kerana benar dan tidak segan untuk bertanya jika tidak tahu.

4. Pemantau – muhasabah, mengawas, memerhati dan menilai kerja-kerja yang telah dilaksanakan. Membina sikap berani memberi teguran ikhlas serta mengakui kesilapan dan memperbetul tatacara, kerana asasnya mengikut hukum fiqh matlamat tidak menghalalkan cara, mestilah semua gerak kerja berlandaskan cara Islam.

5. Pengiktiraf – memberikan pujian atau pengiktirafan terhadap kejayaan dan kecermelangan pelaksanaan satu-satu tugas. Memberikan kata-kata semangat agar para muslimat merasai benar-benar hasil kerja yang ia jalankan. Bak kata-kata pendorong dalam Bahasa Inggeris - “give credit to where it is due”.

Kesimpulannya dalam usaha mengajak kepada makruf dan mencegah kemungkaran, setiap tenaga muslimat harus bersedia dilatih sebagai pemangkin yang efektif dan berjaya dibentuk menjadi mujahidah solehah yang amat prihatin dan memahami sasaran dakwahnya.

Seharusnya seluruh tenaga muslimat Perak khasnya dan merata muslimat di Malaysia ini amnya mengambil semangat dan iktibar daripada ikon-ikon pemangkin mujahidin dan mujahidah Islam di sepanjang zaman. Ikon sebagai contoh teladan seperti Sultan Muhammad al-Fateh remaja Islam yang telah menawan kota Constantinople yang sekarang bergelar Istanbul ataupun Salahuddin al-Ayubi yang telah menawan kembali kota suci Baitul Mukaddis, selain ikon contoh teladan paling unggul Rasulullah s.a.w. bukannya “Madonna’’ ataupun “Mariah Carey”.

Akhirnya marilah kita sama-sama memanjatkan doa, bermunajat memohon agar Allah s.w.t memudahkan segala gerak kerja kita dan mengembalikan hak rakyat Perak untuk memilih kerajaan yang mereka inginkan. Ingatlah pesanan baginda Rasulullah s.a.w bahawa doa itu adalah senjata bagi orang-orang yang beriman.

Wa Allahu ‘alam bis sawab.


USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua, Dewan Muslimat PAS Pusat
24 Oktober 2009.
Ayer Tawar, Perak Darul Ridzuan.

Thursday, October 29, 2009

Perak No 1: Mempertahankan Kuasa @ Menjalankan amanah?

"Perak Nombor 1" tajuk lagu seluruh rakyat perak. Tapi bukan semangat asabiah, sekadar menyuntik semangat rakyatnya untuk berusaha sebaik mungkin dan menjadi yang terbaik. Saya juga adalah rakyat yang mempunyai semangat "Perak Nombor 1".

Susulan sidang Dun Perak 28 Oktober, yang menyaksikan 2 sidang berlangsung secara serentak. 2 sidang yang dipengerusikan oleh 2 speaker, dengan 2 Menteri Besar, dan 2 kelompok ADUN yang berbeza, dalam satu dewan yang sama. Sangat bertentangan dengan semangat "Perak Nombor 1".

2 sidang berlangsung secara serentak. 2 sidang yang dipengerusikan oleh 2 speaker, dengan 2 Menteri Besar, dan 2 kelompok ADUN yang berbeza, dalam satu dewan yang sama

Anehnya, kedua-dua pihak enggan bertolak ansur. Kerajaan BN dengan prinsip dan kaedah undang-undangnya, Kerajaan PR dengan prinsip dan kaedah undang-undangnya. Masing-masing enggan melepaskan jawatan apalagi berundur daripada terus melakukan kekacauan dan keributan. Bajet 2010 untuk rakyat Negeri Perak yang sepatutnya diperbincangkan dengan baik, sebaliknya menjadi bahan gelak ketawa seluruh rakyat Malaysia, malah ianya juga mungkin menjadi bahan "just For Laugh" di peringkat dunia.

Kerajaan PR perlu mempertahankan amanah yang telah diberikan kepada mereka. Sebagai pemimpin, kita tidak boleh sewenang-wenangnya membiarkan amanah dan jawatan yang dikurniakan itu dirampas, apalagi jika dianiaya dan dizalimi. Jika pemimpin itu mengalah, maka hancurlah harapan rakyat terhadap pemimpin itu, dan mereka tidak lagi layak memimpin kerana gagal mempertahankan amanah dan hak rakyat.

Kerajaan BN pula perlu melakukan muhasabah. Adakah dengan corak pentadbiran sebegini mampu menjadikan Negeri Perak kembali kepada keadaan asalnya. Perlembagaan Negeri Perak benar-benar teruji dengan peristiwa ini. Malangnya, BN mendapat jawatan ini, bukan melalui proses demokrasi yang sebenar. Penglibatan Polis dan segala instrumen kerajaan dalam isu Perlembagaan Negeri Perak ini sangat memalukan dan mengaibkan BN selaku parti yang telah lama memerintah Negeri Perak dan Malaysia. BN sepatutnya menunjukkan contoh teladan sebagai parti majoriti dalam melaksanakan tuntutan perlembagaan Negeri dan Negara.

Untuk menyelesaikan krisis ini, terdapat beberapa jalan penyelesaian. Yang pertama, salah satu kerajaan, sama ada Kerajaan BN @ Kerajaan PR berundur dan redha dengan ketentuan ini. Namun begitu, telah saya jelaskan bahawa kerajaan PR tidak boleh berundur kerana amanah ini datangnya daripada rakyat. Kerajaan BN pula nampaknya tidak akan berundur. Bukti yang jelas apabila mereka bersungguh-sungguh membentangkan Bajet dan mengawal Dewan dengan segala kekuatan yang mereka mampu janakan.

Yang Kedua, campurtangan pihak Istana. Pada awal krisis ini berlaku, Pihak Istana telah terlibat dalam memecat Jawatan Menteri Besar. Walaupun mengikut perlembagaan Jawatan Menteri Besar hanya boleh dilucutkan dengan 3 cara, undi tak percaya, letak jawatan, pembubaran DUN. Jika perkara ini berlaku, maka doktrin pengasingan kuasa dalam perlembagaan Malaysia akan terlucut serta-merta.

Yang ketiga, campurtangan pihak Mahkamah. Mengikut perlembagaan, Mahkamah tiada kuasa dalam menentukan keputusan dalam Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri. Namun, sepertimana yang telah dibuat oleh BN ketika membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan Dato' Seri Ir Nizar sebagai Menteri Besar, maka moleklah sekiranya DUN perak juga diputuskan kedudukannya oleh Mahkamah. Maka perlantikan Menteri Besar oleh Hakim Negara perlulah diterima dengan hati yang terbuka. Sekali lagi, jika perkara ini berlaku, maka Doktrin Pengasingan Kuasa di Malaysia akan terhapus serta-merta.

Yang keempat, serahkan krisis ini kepada Pihak Polis atau SPRM untuk menyiasat dan memutuskan siapa yang bersalah dan siapa yang benar. Atau, serahkan sahaja Negeri Perak kepada pentadbiran Tentera. Maka jadilah Negeri Perak, negeri lanun yang dikawal oleh syerif.

Yang kelima, semua ADUN meletakkan jawatan masing-masing. Berundur setapak ke belakang demi menjaga Kedaulatan undang-undang dan perlembagaan Malaysia, seterusnya diadakan Pilihanraya semua dengan meletakkan Rakyat sebagai pemutus dalam krisis perlembagaan ini. Rakyat diberikan kepercayaan penuh untuk memilih dan menentukan siapa pemimpin yang mereka suka. Dengan jalan ini, tiada penghapusan doktrin, tiada salahlaku perlembagaan. Cuma sedikit merugikan apabila banyak perkara yang telah menjadi aspirasi dan misi kerajaan sedia ada terpaksa dirombak semula selain melibatkan wang pengurusan yang banyak. Malah masa juga terganggu dengan proses demokrasi ini.

Mungkin ada lagi pilihan ke-6 dan seterusnya, tetapi tidak boleh tidak, Semangat Perak Nombor 1 perlu dikembalikan. Satu Negeri, satu Menteri Besar, Satu Speaker, dalam satu dewan yang mulia menjalankan amanah rakyat Negeri Perak Nombor 1.

Monday, October 26, 2009

Inni Akhafullah...

Orang-orang yang beriman wajib mempercayai akan adanya hari kebangkitan. Beriman dengan hari kebangkitan ini termasuklah beriman bahawa semua manusia akan dibangkitkan semula, dihitung segala amalan, dan diberikan ganjaran syurga atau dibalas dengan api neraka. Malah turut beriman bahawa alam akhirat ini adalah alam yang kekal abadi. Kemewahan dan kenikmatan dunia hanyalah bersifat sementara.

Hadith Nabi yang masyhur menerangkan perihal hari kebangkitan ini antaranya

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: (1)Pemerintah yang adil, (2)pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, (3) orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, (4) dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, (5) orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", (6) orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan (7) orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Perkara utama yang perlu menjadi pengajaran terhadap orang-orang yang beriman ialah hari kiamat ini adalah hari milik Allah Ta'ala secara mutlak, dan Dialah Raja Yang berkuasa,. Hari di mana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah Ta'ala. Sepertimana diperjelaskan bahawa hari kiamat ini tiada naungan melain naungan Allah Ta'ala.

Jika di dunia, mungkin ada yang berbangga dengan lindungan dan pertolongan daripada pihak kerajaan, pemimpin yang berkuasa, orang-orang yang kaya atau individu-individu yang berpengaruh, maka Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita dalam hadith ini bahawa pada hari kiamat nanti, semua individu dan mana-mana kerajaan yang besar yang pernah wujud di dunia ini akan tunduk kepada Allah Ta'ala di hari kiamat.

Hari kiamat ini adalah hari milik Allah Ta'ala secara mutlak, dan Dialah Raja Yang berkuasa. Hari di mana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah Ta'ala.

Seterusnya Nabi membuat klasifikasi manusia yang akan berada di bawah naungan Allah Ta'ala. Kesemua tujuh golongan ini, walaupun tidak disebutkan, adalah beriman kepada Allah Ta'ala kerana ianya menjadi syarat wajib untuk berada di dalam Parti Allah Ta'ala, firman Allah Ta'ala:

"Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin, iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, dan mereka adalah orang-orang yang rukuk (tunduk dan patuh pada perintah Allah). Barang siapa yang memilih Allah, Rasul dan orang mukmin (sebagai pemimpin), maka sesungguhnya itulah Parti Allah. Merekalah yang akan berjaya." Al-Maidah, 5:55-56)

Bagi mereka yang beriman, sudah pasti akan berebut-rebut untuk menjadi salah satu daripada golongan yang disebutkan dalam hadith dan ayat Al-Quran di atas. Mereka percaya bahawa kesusahan dan derita yang mereka alami di dunia ini hanyalah bersifat sementara, sebaliknya dalam azam dan amal mereka sentiasa mengharapkan ampunan dan rahmat Allah Ta'ala agar terhindar daripada kesusahan dan derita di Akhirat.

Maka benarlah sabda Nabi bahawa, Orang yang paing bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia untuk menghadapinya. Tidak cukup sekadar kita ingat dan bercakap tentang mati, malah kita dituntut untuk sentiasa melakukan persediaan yang cukup untuk menghadapinya.

Saya meyakini hakikat ini seluruh dan sesungguhnya, justeru saya sentiasa berharap dan berusaha ingin mencapainya. Jom ikut saya, atau jadilah rakan yang membantu saya, tetapi Jangan rosakkan impian saya untuk menggapai CintaNya. Inni AkhafuLlah.

Hanya cintaMu ku harap tumbuh, dibajai bangkai dunia yang ku bunuh!!!

Thursday, October 22, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - bahagian 5, Kuasa Pidato, Piket dan Demonstrasi.

Pidato merupakan perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika diperintahkan oleh Allah Ta'ala untuk berdakwah secara terang-terangan. Baginda mengadakan PIKET di bukit safa yang dihadiri oleh kaum Quraisy yang terdiri daripada kaum kerabat dan sahabat handai Baginda.

Pidato tersebut secara relatifnya menandakan permulaan peperangan Nabi menentang Jahiliyyah. Disebabkan PIKET yang ADHOC itulah, Abu Lahab dikutuk sekeras-kerasnya dalam Al-Quran yang termaktub dalam surah Al-Masad.

Sudah pasti terbayang di fikiran kita bagaimanakah suasana dakwah Nabi Muhammad SAW ketika itu. Sebenarnya, kebijaksanaan dan kepintaran Nabi dalam berpidato dapat diperhatikan apabila Nabi memulakannya dengan soalan yang sangat unik dan menarik.

"Sekiranya aku khabarkan kepada kamu semua, bahawa di belakang bukit ini ada segerombolan tentera yang datang memerangi kamu, adakah kamu mempercayaiku?" tanya Nabi Muhammad kepada sekalian Kaum Quraisy yang hadir.

"Sudah tentu, tidak pernah kami mendengar kata-kata dari lidahmu melainkan yang benar, wahai Muhammad," sahut mereka yang hadir.

Tatkala Nabi menyebut, "sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang mengajak kamu untuk tidak menyembah selainNya dan bahawa Aku adalah pesuruhnya."

Maka Abu Lahab bingkas bangun dan menudingkan jari hinanya ke arah muka Nabi Muhammad, seraya menyumpah, "Celaka engkau wahai Muhammad! Adakah kerana repekan ini engkau kumpulkan kami?"

Nabi Muhammad menyambut sumpahan itu dengan hati yang bercampur baur. Lalu Allah Ta'ala menurunkan wahyu, "Celakalah tangan Abu Lahab(yang menuding itu) dan celakalah. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelojak (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal." Al-Masad, 111:1-5.

Di sinilah bermulanya perang Nabi terhadap jahiliyyah dan perang kaum musyrikin terhadap Nabi Muhammad. Bermula dengan pidato inilah yang berjaya menyebarkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat.

Seterusnya, mari kita imbas peristiwa pengislaman Umar R.A dan Hamzah R.A. Dua insan ini menjadi tulang belakang dan perisai kepada usaha dakwah Nabi setelah dikurniakan hidayah oleh Allah.

Ketika di rumah seorang sahabat, Umar yang baru sahaja selepas singgah di rumah adiknya datang menemui Nabi. Ramai Sahabat yang pada ketika itu bersedia menghadapi kebengisan Umar kerana ingin mempertahankan nyawa Nabi. Namun, Jaafar Bin Abu Talib dengan tenang berkata, "Biarkan Umar, jika dia inginkan kebaikan kita berikan kebaikan. Jika sebaliknya maka kita akan sentiasa bersedia menghadapinya." Demikian kegerunan lawan terhadap Umar dan keberanian yang ada pada Sahabat di masa-masa kritikal.

Akhirnya Umar menyatakan keislaman beliau di hadapan Nabi. Maka bersoraklah seluruh isi rumah itu sehingga terdangar oleh kaum musyrikin yang sedang berada di Masjidil Haram. Takbir bergema menandakan kesyukuran yang teramat sangat oleh Nabi dan para Sahabat, setelah sekian lamanya mereka berada dalam suasana yang sangat tertekan oleh penindasan dan kezaliman kaum musyrikin Mekah.

Sejurus selepas itu ini kata Umar, "Wahai Nabi, bukankah kita di pihak yang benar?"

Sambil tersenyum Nabi mengganggukkan kepalanya. Umar berkata lagi, "Kalau begitu, kenapa kita perlu bersembunyi dan berada dalam ketakutan?"

Maka berlakulah demonstrasi Keislaman (demonstrasi menyatakan keislaman secara terbuka) oleh Nabi dan para sahabat ketika itu. Dengan penuh keberanian, dua barisan Muslimin berarak menuju ke Baitullah AlHaram untuk menunaikan solat secara terbuka. Satu barisan dipimpin sendiri oleh Umar, manakala satu lagi dipimpin oleh Hamzah yang juga baru memeluk Islam.

Keberanian dan kekuatan ini telah menimbulkan gelombang kesedaran yang sangat kuat. Bermula daripada saat itulah, kaum muslimin sudah tidak lagi gentar untuk menunaikan ibadah secara terbuka dan menyatakan keislaman mereka.

Sejarah membuktikan PIKET dan DEMONSTRASI mempunyai peranan yang sangat luar biasa. Sudah tentu, agenda penerangan seperti inilah yang ditakuti oleh pihak-pihak berkepentingan sambil menuding jari dan menuduh yang bukan-bukan sebagai meniru kembali apa yang dilakukan oleh Abu Lahab.


Kecanggihan dunia moden pada hari ini, sama sekali tidak menghalang kita untuk meneruskan agenda penerangan seperti ini. Cuma apa yang dikesalkan pada masa kini ialah, PIKET dan DEMONSTRASI hanya digunakan untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati yang akhirnya dipandang negatif oleh masyarakat. Sebaliknya, agenda PIKET dan DEMONSTRASI perlu digunakan sebagai aktiviti penerangan dan mendidik masyarakat.

Mahasiswa dan sekalian Anak muda juga perlu meneruskan aktiviti seperti ini. Malah kita perlu mengembalikan kegemilangan fungsi PIKET dan DEMONSTRASI dalam menjadi agen penerangan, pendidikan dan pembentukan masyarakat.

Wednesday, October 21, 2009

Budak 3 tahun didera sampai mati, KDN masih berasa selamat?

Manusia dikatakan mati dengan dua sebab, hilang nyawa dan hilang rasa.

Sebab itu jangan hairan jika terjumpa dengan manusia yang memukul anak perempuannya yang berumur 3 tahun sehingga lebam seluruh badan dan kemudian meninggal. Jangan terkejut jika doktor memberitahu bahawa budak itu juga mengalami penderaan seksual sebelum dia meninggal.

Jangan pelik jika ada anak yang mengerat ibunya hidup-hidup. Sekalipun darah ibunya yang penat mengandungkannya itu terpecik di mukanya, sedikit pun riak muka anak itu tidak berubah. Tidak mustahil untuk anak itu mengelar leher ibunya terlebih dahulu kerana terlalu geram dan tidak tahan mendengar jeritan ibunya yang meminta belas kasihan.

Sedangkan saudara kandung pun sanggup ke tahap ini, inikan pula manusia-manusia lain yang telah berbunuhan hingga jutaan nyawa telah menjadi korban. Ada yang ditikam, dilapah hidup-hidup, dimasak dan dibakar, ditembak berkali-kali walaupun sudah tidak bernadi, malah dibom sehingga berkecai segala daging dan tulang.

Mereka ini sebenarnya tidak lagi boleh dikategorikan sebagai manusia kerana telah hilang deria rasa. Mereka bukan gila, cuma akal mereka telah gagal berfungsi dengan baik akibat daripada deria yang sudah rosak. Hakikatnya, jumlah manusia-manusia seperti ini adalah sangat ramai bahkan mereka juga mungkin berada di sekeliling kita.

Terbaru, seorang ibu dan teman lelakinya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penderaan hingga membawa kepada kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun. Kejadian yang berlaku di Cheras itu kembali menyegarkan ingatan rakyat Malaysia mengenai siri jenayah penculikan dan pembunuhan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam masa yang sama, Hisyamuddin, Menteri KDN menafikan perasaan tidak selesa rakyat Malaysia dengan peningkatan kadar jenayah yang berlaku saban hari. Sambil menafikan culaan pada laman web KDN, bahawa hanya 1% rakyat Malaysia yang berasa selamat selepas perlantikan Musa sebagai KPN, beliau menyatakan bahawa peningkatan jenayah di Malaysia hanyalah sebanyak 6%, iaitu suatu kadar yang rendah.

Dua situasi gila yang biasa berlaku dalam negara dan dunia pada ketika ini, Menteri KDN(UMNO) yang gila kuasa dan satu lagi kes ialah sepasangan kekasih yang gila babi. (Sorry, I lost my word to describe this craziness)

Hilang punca untuk hidup, merasakan hidup mereka terlalu kosong dan tidak bermakna. Bermula dengan penafian wujudnya Tuhan, selesa dengan kejahatan dan keburukan, seterusnya bergelumang dengan dosa dan kezaliman. Beginilah turutan segala jenis gila yang ada di dunia. Gila nyawa, gila kuasa, gila harta, gila nama, gila seks, gila babi dan gila-gila lain yang ada.

Perasaan menjadikan kita ini manusia yang bernyawa. Jika terasa berdosa dan bersalah, lekas-lekaslah bertaubat. Jangan biarkan perasaan bersalah berlalu meninggalkan kita, kerana perasaan itu menjadikan kita hamba kepada Yang Esa. Nabi bersabda, salah satu di antara 3 perkara yang dapat membuatkan kita merasai kemanisan iman ialah apabila kita benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana kita benci dicampakkan ke dalam api neraka, hadith riwayat Al-Bukhari.

"Ku harapkan pintu taubatMu terbuka luas
Untuk hambaMu yang sering leka,
Dengan rahmatMu dan kasih sayangMu,
Kau ampunilah segala dosaku,
Moga selamat di dunia dan akhirat"
- InTeam, Tuhan Yang Esa -

Tuesday, October 20, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - Bahagian 4, Mencari kebenaran dan penyelesaian.

Izinkan saya mengalihkan tumpuan encik otak kepada agenda Memimpin Perubahan. Tapi tak bermakna agenda sayur ini diluputkan, cuma disimpan dalam perhatian (KIV) sebentar untuk memberi laluan kepada agenda yang lebih besar. Namun tidak bermakna agenda sayur ini kecil, cuma ianya perlu kekal dengan sifat keUBIan dan kekal di bawah pengawasan dan ketentuan Ilahi.


Otak
merupakan organ bagi pusat kawalan utama bagi badan. Ia menerima maklumat melalui deria dari dalam dan luar tubuh. Ia menganalisa maklumat ini dan kemudiannya menghantar perutusan kepada badan yang mengawal fungsi dan tindakannya. Otak meningati pengalaman lepas, dan merupakan punca fikiran, mood, dan emosi. - wikipedia

Jika kita adalah seorang manusia kita seharusnya mampu untuk berfikir mencari kebenaran dan penyelesaian. Berfikir untuk mencari kebenaran merujuk kepada kemampuan kita untuk mencari dan menganalisis segala maklumat yang ada untuk menentukan kebenaran sesuatu perkara. Corak berfikir seperti ini sering dikaitkan dengan pemikiran vertikal atau paralel oleh Edward De Bono.

Dalam proses mencari kebenaran ini, kita memerlukan maklumat yang secukupnya dan pertimbangan akal yang waras untuk membuat analisis terhadap maklumat yang diperolehi. Berfikir jenis ini memerlukan seseorang itu untuk mencari maklumat dan ilmu dengan banyak sehingga sampai ke peringkat membuat tapisan terhadap ilmu dan maklumat yang mereka perolehi.

Corak berfikir yang kedua, Mencari Penyelesaian. Jika dalam proses mencari kebenaran, kita akan berhadapan dengan situasi betul atau salah yang akhirnya akan bertumpu kepada satu jawapan yang benar sahaja, maka dalam situasi mencari penyelesaian kita berdepan dengan pelbagai jenis jawapan dan kemungkinan.

Kita akan mendapati sebenarnya terlalu banyak ruang dan peluang yang masih belum diterokai serta dieksploitasi dengan sebaiknya oleh manusia.

Anak muda, seperti kita memerlukan kedua-dua fungsi otak yang ada ini untuk menjadikan diri kita agen perubahan yang baik. Kita perlu membuat analisis yang kritikal pada masa yang sama kita juga perlu mencari dan merebut segala peluang dan meneroka setiap jalan yang ada untuk mencapai kejayaan, lebih-lebih lagi dalam proses memimpin perubahan.

Walaupun Edwar De Bono menyatakan bahawa kebanyakan manusia akan bertumpu kepada satu-satu bentuk pemikiran sahaja, namun tiada salahnya jika kita menggunakan segala potensi otak yang ada untuk menjadikan diri kita manusia yang lebih baik. Nabi Muhammad adalah contoh pemikir yang baik. Baginda mempunyai kemampuan vertikal dan lateral yang baik. Maka kita sebagai umatnya juga perlu berazam untuk meneladani pemikiran Baginda.

Tiada yang mustahil dalam hidup. Yang lemah itu semuanya datang dari persepsi negatif akal kita sendiri, sedangkan yang baik sentiasa terhidang daripada Tuhan untuk manusia yang mahu berfikir.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
Ali-Imran, 3:190-191.


Sunday, October 18, 2009

Saya nak tulis pasal Baitul Muslim - Tolong Jangan Ketawa!

Topik Baitul Muslim(BM) ini merupakan topik yang tergolong dalam senarai topik-topik sayur. Kenapa sayur? Mungkin kerana kebanyakan tumbuhan sayur-sayuran ialah tumbuhan yang tidak berkayu atau bahasa mudahnya "lembik". Sekalipun lembik, kebanyakan Pakar Jiwa mendapati, ianya adalah ubat mujarab untuk merawat penyakit sosial yang merebak dengan bahayanya di kalangan remaja.

Aneh, BM mempunyai sifat yang hampir serupa dengan sayur yang ada di pasaran. Oleh itu, kita sebenarnya sudah boleh mula membuat penilaian dan pemilihan jenis sayur yang macam manakah BM kita?

Seperti kebanyakan sayur, ianya akan hilang zat dan kelebihan sekiranya di masak secara berlebihan. Semakin lama dimasak, semakin berkurangan zatnya, malah rasanya juga tidak sesegar sayur yang dimasak dengan tempoh masa yang sedikit. Begitu juga BM, ianya tidak boleh terlalu lama dditangguhkan, juga tidak boleh terlalu panjang dan kerap untuk diperkatakan, malah kesan yang amat buruk akan diterima oleh orang yang suka menyebar-luaskan berita mengenainya.

Kita perlu bersikap matang mengenai hal ini. Matang ketika memikirkan halnya, juga matang ketika berbicara mengenainya. Ianya melibatkan kehidupan yang sangat panjang. BM bukanlah soal yang boleh dipermainkan, bukan untuk dijadikan bahan ketawa, apalagi untuk menjadi bahan ujikaji.

Justeru pemilihan sayur adalah sangat penting dalam kehidupan. Kagagalan kita berfikir secara matang mengenainya akan membawa kepada kerugian yang sangat-sangat akan dikesali. Ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak BM buruk padahnya.

Maka, buatlah pilihan dengan baik. Berikut merupakan amalan rutin untuk memilih sayur masing-masing.

1. Kenali diri anda. Ketahui zat yang ada mahupun yang tiada pada diri anda.

2. Kenali sayur pilihan anda. Selidik zat dan perhatikan jika ada sebarang kerosakan pada sayur. pilihlah sayur yang segar.

3. Jangan simpan sayur terlalu lama kerana ianya akan mudah layu.

4. Masak juga tidak boleh terlalu lama kerana seperti yang telah saya tekankan, zatnya akan hilang.

5. Sebelum makan, baca bismillah.(kawin)

6. Ucapkan AlhamduliLlah. Bersyukur dan memanfaatkan dengan baik zat yang telah dimakan.(pasangan masing-masing)

Saya pilih ubi, sebab diam-diam ubi berisi... :-)

Antara Yang Menarik