Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, October 20, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - Bahagian 4, Mencari kebenaran dan penyelesaian.

Izinkan saya mengalihkan tumpuan encik otak kepada agenda Memimpin Perubahan. Tapi tak bermakna agenda sayur ini diluputkan, cuma disimpan dalam perhatian (KIV) sebentar untuk memberi laluan kepada agenda yang lebih besar. Namun tidak bermakna agenda sayur ini kecil, cuma ianya perlu kekal dengan sifat keUBIan dan kekal di bawah pengawasan dan ketentuan Ilahi.


Otak
merupakan organ bagi pusat kawalan utama bagi badan. Ia menerima maklumat melalui deria dari dalam dan luar tubuh. Ia menganalisa maklumat ini dan kemudiannya menghantar perutusan kepada badan yang mengawal fungsi dan tindakannya. Otak meningati pengalaman lepas, dan merupakan punca fikiran, mood, dan emosi. - wikipedia

Jika kita adalah seorang manusia kita seharusnya mampu untuk berfikir mencari kebenaran dan penyelesaian. Berfikir untuk mencari kebenaran merujuk kepada kemampuan kita untuk mencari dan menganalisis segala maklumat yang ada untuk menentukan kebenaran sesuatu perkara. Corak berfikir seperti ini sering dikaitkan dengan pemikiran vertikal atau paralel oleh Edward De Bono.

Dalam proses mencari kebenaran ini, kita memerlukan maklumat yang secukupnya dan pertimbangan akal yang waras untuk membuat analisis terhadap maklumat yang diperolehi. Berfikir jenis ini memerlukan seseorang itu untuk mencari maklumat dan ilmu dengan banyak sehingga sampai ke peringkat membuat tapisan terhadap ilmu dan maklumat yang mereka perolehi.

Corak berfikir yang kedua, Mencari Penyelesaian. Jika dalam proses mencari kebenaran, kita akan berhadapan dengan situasi betul atau salah yang akhirnya akan bertumpu kepada satu jawapan yang benar sahaja, maka dalam situasi mencari penyelesaian kita berdepan dengan pelbagai jenis jawapan dan kemungkinan.

Kita akan mendapati sebenarnya terlalu banyak ruang dan peluang yang masih belum diterokai serta dieksploitasi dengan sebaiknya oleh manusia.

Anak muda, seperti kita memerlukan kedua-dua fungsi otak yang ada ini untuk menjadikan diri kita agen perubahan yang baik. Kita perlu membuat analisis yang kritikal pada masa yang sama kita juga perlu mencari dan merebut segala peluang dan meneroka setiap jalan yang ada untuk mencapai kejayaan, lebih-lebih lagi dalam proses memimpin perubahan.

Walaupun Edwar De Bono menyatakan bahawa kebanyakan manusia akan bertumpu kepada satu-satu bentuk pemikiran sahaja, namun tiada salahnya jika kita menggunakan segala potensi otak yang ada untuk menjadikan diri kita manusia yang lebih baik. Nabi Muhammad adalah contoh pemikir yang baik. Baginda mempunyai kemampuan vertikal dan lateral yang baik. Maka kita sebagai umatnya juga perlu berazam untuk meneladani pemikiran Baginda.

Tiada yang mustahil dalam hidup. Yang lemah itu semuanya datang dari persepsi negatif akal kita sendiri, sedangkan yang baik sentiasa terhidang daripada Tuhan untuk manusia yang mahu berfikir.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
Ali-Imran, 3:190-191.


2 comments:

musafir cinta said...

TERBAEK!!!!!!!!!!
^_^

ibnuzul said...

rase nyer kene minum susu anmum essential kerana DHA akan menghubungkan sel2 dendrit otak...

Antara Yang Menarik