Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, April 30, 2011

Hadiah...

Terasa benar, Allah Ta'ala menjentik hati dan akal ketika berada di Tanah Suci ini. Hakikatnya, bumi dan langit, serta seluruh isinya adalah milik Allah Ta'ala, maka di mana pun kita berada pasti akan sentiasa ada jentikan yang Allah Ta'ala berikan kepada hambaNya. Dialah yang melintaskan ke dalam hati dan akal kita untuk melakukan perkara yang baik dan buruk. 


Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayah petunjuk kepadanya nescaya Ia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam; dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Ia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah ia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman. (Surah Al-An'am, 6:125)
Ayat di atas, selain menceritakan perihal "petunjuk" yang hanya diberikan kepada mereka yang dikehendaki(yang berusaha), juga bagaimana petunjuk itu memberikan kesan, ayat di atas turut menunjukkan kebenaran serta betapa tingginya ilmu Sains di dalam Al-Quran. (Tekanan berkadar langsung dengan ketinggian - belajar masa PMR dulu...) - kita kupas pasal sains ni lain kali...

Ketika berbual-bual cerita-masuk-tidur (Bedtime story) dengan beberapa orang jemaah, kami bertukar-tukar pandangan mengenai "kesaktian" dan "kesucian" Tanah Haram Mekah dan Madinah. Masing-masing menceritakan pengalaman masing-masing mengenai "kesaktian" dan keajaiban yang mereka alami di sini. Perkongsian mengenai keajaiban ini bermula ketika kami berbincang mengenai kaedah yang terbaik untuk mengucup Hajarul Aswad. Kebetulan, antara kami ketika itu,  saya seorang sahaja yang pernah mengucupnya. Lalu, saya berkongsi, untuk mengucup Hajarul Aswad, mestilah menghimpit ke dinding Ka'abah seawal melewati Rukun Yamani, dan jangan sesekali ke tengah.

"Rasa macam tak bergerak, tapi sebenarnya bergerak tapi sikit-sikit, sabar, insyaAllah dapat kucup," jelas saya. "Sepanjang pengalaman saya berada di Mekah, (yang setahun jagung ini), baru 2 kali je saya cuba kucup Hajarul Aswad, tapi yang pertama tu je saya dapat kucup," tambah saya.

Kemudian, seorang jemaah mencelah, "saya belum pernah cuba lagi, tapi ada satu hari tu, saya doa nak solat depan Multazam, tiba2 terbuka lorong dan dengan mudahnya saya dapat duduk kat depan Multazam. Kemudian saya doa lagi nak solat kat Hijir Ismail, sampai je kat pintu masuk tu, tiba-tiba saya nampak ada ruang kosong, AlhamduliLlah, dua kali saya dapat solat kat situ," jelasnya.

Saya berkongsi lagi, "Sebelum ni, ada seorang jemaah, ketika saya buat sesi perkenalan sesama jemaah (Sesi Taaruf / Ice-breaking), dia kongsikan bahawa antara hajat dia datang ke Mekah ni sebab nak mintak supaya ditambahkan zuriat, keesokan harinya, isterinya didapati hamil," kongsi saya pula.

Pernah suatu malam, ketika saya memimpin jemaah yang menunaikan Umrah pada bulan Mac, saya berdoa dan menunaikan Solat Hajat supaya saya dapat duduk di Tanah Haram Mekah ini lebih lama, keesokan harinya, saya terima mesej dari Pejabat Darul Mubarak, bahawa saya akan ke Mekah lagi sekali pada bulan 4 selama sebulan... ALLAHU AKBAR...

Hanya Allah Ta'ala sahaja yang tahu, betapa nikmatnya beribadah di sini. Kehidupan yang sangat terisi dan terpimpin.. Walaupun, tidak dinafikan, ada juga mereka yang melakukan penipuan, pengkhianatan, maksiat, dan sebagainya di Mekah mahupun di Madinah, tetapi bagi mereka yang inginkan kebaikan dan berusaha untuk memperolehinya, nescaya Allah Ta'ala akan bukakan jalan dan kurniakan kepada mereka petunjuk.

Salah seorang jemaah saya berkongsi lagi, "Kita bukan hebat pun, tapi bila berlaku macam ni, rasa seronok dan terasa hebat dan kasihnya Allah Ta'ala pada kita. Seolah-olah Dia sentiasa melihat dan bersama dengan kita," jelasnya. "Dekat benor rasenye dengan Tuhan," celah seorang jemaah saya yang lain.

Sebenarnya banyak lagi yang kami sembangkan dan kami kongsikan. Dari mula-mula kecoh, disebabkan semuanya bersemangat nak bercerita, hinggalah semakin senyap dan hanya tinggal seorang dua yang masih bertahan. Inipun antara "kesaktian" yang ada, tanpa kami sedar, tahu-tahu dah berdengkur.. Hebat!!

Memang, inilah hadiah yang Allah Ta'ala kurniakan. Panjang manapun saya tulis, takkan dapat menggambarkan betapa hebatnya kasih dan sayang Allah Ta'ala yang sentiasa mengurnaikan "hadiah" kepada hambaNya. Bagi yang bersyukur, dan inginkan petunjuk, pasti peristiwa-peristiwa tersebut menjadikan imannya semakin bertambah. Hakikatnya, ada juga yang tidak berubah, bahkan menjadi lebih teruk kerana berbangga dengan apa yang berlaku dan sedikit pun tiada nilai tambah pada iman... Kesaktian menjadi "istidraj", aku berlindung denganMu Ya Allah dari semua itu...

Seinfiniti syukur atas segala nikmat dan rahmat, kelebihan dan kasih sayang yang Allah Ta'ala curahkan. Tidak terhitung kurnianNya, sekalipun diri ini penuh dengan silap dan dosa. Ya Allah, kurniakanlah daku rasa bersyukur terhadap nikmatMu yang Engkau kurniakan kepada aku dan juga kedua ibubapaku.


Munajat Seorang Hamba - Hijjaz...

Sunday, April 17, 2011

Satu lagi episod...

AlhamduliLlah, segala puji dan puja, seinfinti dipanjatkan kepada Allah Ta'ala, Maha Pencipta, milikNya segala kerajaan, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah yang Maha Berkuasa ke atas segala sesuatu. Hari ini, ziarah ke tempat-tempat menarik dan bersejarah di Mekah. Bermula dengan Jabal Thur, kemudian ke 'Arafah, Muzdalifah, Mina, bermiqat di Ja'ranah, melewati Tanah Perkuburan Mahala', Masjid Jin dan juga Masjid Syajar. 

Tempat-tempat yang sentiasa menyegarkan dan menguatkan ingatan terhadap insan agung, Muhammad Bin Abdullah SAW. Kemuliaan dan kehebatan perjuangan Nabi begitu terasa saat melewati tempat-tempat yang suatu ketika dulu menjadi saksi terhadap usaha dakwah Nabi Muhammad SAW.

Selesai ziarah, membawa jemaah yang kurang sihat ke hospital. Selama hampir 10 jam kami di sana, banyak perkara yang dapat saya pelajari. Selain mengukuhkan kemahiran berbahasa arab, banyak juga gelagat dan telatah para tetamu Allah yang dilayan secara percuma di sini..

Hebat, Kerajaan Arab Saudi menyediakan perkhidmatan perubatan dan kesihatan secara percuma untuk semua jemaah yang datang dari seluruh dunia. Ada yang dari Pakistan, Bangladesh, Turki, India, Mesir, England, Indonesia dan ramai lagi. Semuanya dilayan sama rata oleh petugas. 

Lebih menarik, pengalaman ke Hospital ini mengukuhkan pendirian saya, bahawa memang Kerajaan Arab Saudi dan segala jentera pentadbiran dan pengurusannya sahaja yang lebih layak menguruskan jemaah Haji dan Umrah. Juga, yang paling layak menguruskan kedua-dua tanah suci.

Salah seorang jemaah saya yang sakit merupakan seorang wanita, maka saya dibenarkan untuk menemaninya ke kawasan rawatan yang diasingkan antara lelaki dan perempuan. Semua jururawat dan doktor di situ memakai hijab. Jika nak dibandingkan, suasana di Hospital ini jauh lebih "islamik" daripada suasana di mana-mana Masjid di Malaysia.

Begitu juga tiap kali masuk waktu solat, maka bergegaslah mereka yang tidak mempunyai urusan untuk menunaikan solat. Setiap kali itu jugalah, saya dan jemaah saya yang turut ke Hospital itu diajak untuk sama-sama berjemaah. Suasana tegur-menegur dan "fastabiqul-khairat" yang sangat sihat di sini.

Mereka juga, sangat menjaga Syiar dan Syariat. SANGAT-SANGAT menjaga dan komited dalam melaksanakannya.
Walaupun terpaksa beratur dan menunggu agak lama, kerana kekurangan doktor, namun penantian saya selama hampir 10 jam itu sangat berbaloi kerana begitu banyak perkara yang boleh dijadikan pedoman dan pengetahuan baru.

Suka untuk saya tekankan, keseronokan dan ketenangan berurusan dengan "tekanan" oleh orang Arab, hanya akan dirasai sekiranya kita "bermain" dengan jiwa yang besar.

Bayangkan, setelah hampir sejam saya bercakap seperti "ayam dan itik" dengan doktor, barulah saya tahu rupanya doktor tersebut boleh bercakap Bahasa Inggeris. (Berlagak nak cakap Arab punya pasal). Saya juga, seperti orang lain, kerap mendesak para doktor dan jururawat untuk mempercepatkan rawatan (kat Malaysia tak pernah macam ni!). Selain faktor bahasa, mungkin kerana saya berdarah Melayu Islam, maka masih agak sopan dan lemah lembut di situ (Beralah kata orang tua). Sedangkan, orang-orang Arab ini, memang diciptakan kasar, bising, dan sangat berterus-terang. Jika anda tidak berkeras dan "bising", anda sebenarnya menafikan kewujudan anda di sana.

Ya, jiwa besar dengan kita menyelami budaya mereka dengan sebenar-benarnya (sampai sekarang pun masih tidak mengerti sebenarnya), kemudian bermain dengan jiwa yang lapang dan besar. Di mana juga anda berada, pada bila-bila masa, dengan sesiapa juga, berjalanlah di atas bumiNya dengan jiwa yang besar, kerana bagi yang beriman, sentiasa ada sesuatu yang Allah sediakan untuk menghiburkan hati dan akalnya...
Sedihnya muka, waktu ni jam 5, BARU 5 jam je kami menunggu...
Di dalam Hospital, di satu penjuru yang dibentangkan karpet untuk mereka yang ingin mendirikan solat. Solat di mana sahaja anda berada... HEBAT!!!



Sempat juga saya rakamkan suasana ketika sebuah ambulans sampai membawa pesakit. Lihat, jururawatnya mengenakan Hijab dan sungguh, mereka semua sangat senang bekerja dengan memakainya. Kagum!



Sebab utama saya memilih KSA, walaupun kerap tersinggung dan ramai juga yang tersinggung dengan pengurusan KSA ini, namun komitmen mereka untuk memlihara kedua-dua Tanah Suci ini, sama sekali sukar ditandingi oleh mana-mana bangsa dan negara. Kalau nak harapkan Melayu Islam Malaysia? Terlebih-lebih jauhnya panggang dari api... Serawak pun kalah... (Baru je dapat tengok berita pasal Serawak ni, isk3, sabar jelah ye, usaha lagi insyaAllah...)


Mekah, 17 April,
1.10 a.m.

Friday, April 15, 2011

Buat kerana Allah...

Umrah, walaupun wajib, tetapi tidak ramai yang mempunyai kesedaran dan keinginan awal untuk menunaikannya.. Ada yang berpendapat, masih belum sempurna dan belum bersedia untuk "menjadi baik" maka hasilnya, ramai yang pergi menunaikan umrah ketika baki umur yang masih tersisa, maka enjin dan badannya juga sudah lama dan tidak secergas dulu.

Ketika muda, jantung dan badan kita berada di tahap optimum, kita boleh berlari, mengangkat barang yang berat, mencabar keupayaan diri, dan melakukan pelbagai aktiviti yang kita suka. Tapi, badan yang dipinjamkan ini, ada tarikh tamat tempohnya. Setiap jasad dan anggota tubuh badan ini akan menurun keupayaannya, berkadaran langsung dengan masa.

Seperti kata Nabi, semua penyakit ada ubatnya, kecuali Mati dan Tua.. Tua, juga tiada penawar, dan semua yang sihat akan sakit, semua yang tegang akan kendur, dan semua yang kuat-kuat akan lemah. Walaupun, persoalan ini bergantung kepada bagaimana seseorang itu menjaga badannya, namun sehebat dan sebaik mana pun kita menjaga badan, yang mampu kita buat ialah melambatkan, tetapi Tua itu tetap akan datang...

Tinggalkan dulu persoalan Tua ini, saya ingin menarik perhatian kita semua kepada ibadah umrah yang kita lakukan. Sepanjang menguruskan dan menjadi pembimbing Umrah, saya dapati ramai yang menunaikan umrah ini di kalangan mereka yang sudah lama. Kalau ada pun yang muda, tidak ramai yang pergi atas kemahuan dan usaha mereka sendiri. Sebaliknya, pergi semata-mata ingin menemani mak cik, kakak, mak, nenek atau saudara-saudara yang inginkan teman untuk menunaikan umrah. 

Ketika berada di dewan makan pagi tadi, Haji Omar, 78, salah seorang jemaah saya berkata, dalam setiap perbuatan dan pekerjaan kita kena buat kerana Allah. Walaupun nak belikan ole-ole, kena beli kerana Allah. Baru ada nilai ibadah. Kalau buat kerana nak menunjuk-nunjuk atau kerana mengikut orang lain, maka tidak dikira sebagai ibadah.

Di sini, semuanya memerlukan mujahadah. Hatta membeli-belah pun, jika tiada mujahadah, tentu tak dapat dilaksanakan dengan baik. Mujahadah kerana terpaksa berjalan jauh, mengangkat barang, berhadapan dengan jurujual yang langsung tidak pernah meletakkan tanda harga, dan pertembungan pelbagai budaya. Semuanya memerlukan kepada mujahadah. 

Pokoknya, membeli itu sendiri boleh menjadi wajib, dan adakalanya boleh menjadi haram. maka perlu meletakkan niat yang utama dan pertama iaitu kepada Allah. Dalam setiap aktiviti di Tanah suci ini, yang paling utama ialah kita lakukan keran Allah.

Seperti firmanNya,
"ghanimah" di luar pintu Masjid, "berperanglah" kerana Allah... Supaya harta itu memberikan kebajikan kepada kita kelak..

"And Those who strive for Us - We will surely guide them to Our ways. And indeed, Allah is with the doers of good," The Spider (Al-Ankabut), 29:69

Sekali lagi... Seinfiniti Terima Kasih Ya Allah...


Pemandangan dari bilik Hotel,
Masjid An-Nabawi - 10 April 2011 - 10 pagi..


Jannatul Baqi' - 8.00 pagi - 12 April 2011 (Sebelum bertolak ke Mekah)

Pemandangan yang sentiasa indah menghiasi perjalanan ke Mekah Al-Mukarramah...
(Lebuhraya Mekah - Madinah - 12 April 2011 - 5.00 p.m.)

AlhamduliLlah, sekali lagi...


Ya Allah, 
Pada hari yang mulia ini, 
Pada saat yang berkat ini, 
Di Tanah Haram Mu yang mulia ini, 
Janganlah Engkau tinggalkan kami Ya Allah
Dalam keadaan berdosa melainkan Engkau ampunkan,
Dalam keadaan sakit melainkan Engkau sembuhkan,
Dalam keadaan berhutang melainkan Engkau langsaikan,
Dalam kesempitan melainkan Engkau lapangkan,
Dalam peperiksaan dan ujian melainkan Engkau berikan kejayaan dan kemenangan,
Dalam keadaan berhajat melainkan Engkau tunaikan dan permudahkan,
Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang....



Makkah, 14 April 2011
11:50 p.m..

Saturday, April 2, 2011

Bersyukur dan berbangga...


Dah lama saya tidak berkongsi apa yang encik otak fikirkan. Memang banyak yang difikirkan (Dah memang keje dia, BERFIKIR!) Tadi, ketika sedang memandu kereta menuju ke tempat kerja, tiba-tiba Encik Otak menyebut, kenapa ada yang suka merendahkan atau memandang rendah terhadap orang lain. Dan, kenapa pula ada yang suka berbangga dengan diri sendiri. Biasanya, kepada mereka yang suka berbangga dan memandang tinggi diri sendiri ni, saya katakan pada mereka, "Cukup baguskah mereka ni??" atau "Bajetlah sikit kalau betul bagus pun!!"
 
Sebenarnya, saya sendiri tidak cukup bagus kalau begitulah yang saya katakan kepada mereka. Saya tiba-tiba terfikir, mungkin mereka tidak bermaksud untuk bangga diri, atau memandang tinggi diri sendiri, apalagi untuk sombong dan berlagak. Mungkin mereka sekadar bermaksud ingin bersyukur dengan kelebihan yang ada, dan memanfaatkan nikmat dan kelebihan yang Allah Ta'ala kurniakan kepada mereka.

Begitu juga dalam hal memandang rendah atau merendahkan orang lain. (Sebenarnya belum jumpa istilah yang sesuai dalam hal ini, huhu) Tapi, cubalah fikirkan yang positif tentang diri orang lain, dan juga diri kita sendiri. Saya pasti, anda akan temui satu bentuk ketenangan yang luar biasa. Badan anda akan menjadi sangat ringan dan hati anda akan selapang dan seluas langit yang cerah.

Encik Otak turut berpesan, jika kita tidak bodoh, maka kita tidak akan kata bodoh kepada orang lain. Hanya orang yang bodoh akan mengatakan bodoh kepada orang lain, meskipun orang lain itu memang secara jelas tidak tahu dan kelihatan bodoh (pada pandangan dialah kan..). Isk3, saya pun termasuk orang yang bodoh sekiranya mengatakan orang yang mengatakan orang lain bodoh itu sebagai bodoh.. Tapi, ada orang pernah berpesan, "Tak baik cakap bodoh", jadi buanglah segala kebodohan dengan mengelakkan diri dari berkata bodoh kepada orang lain mahupun kepada diri sendiri.

Begitu juga halnya, sekiranya kita seorang yang sabar, kita tidak akan mengatakan orang lain tidak sabar / atau mengkritik ketidaksabaran orang lain. Maka, bersabar di atas ketidaksabaran orang, dengan sama sekali mengelakkan diri kita dari membincangkan secara negatif isu ketidaksabaran itu.

Kita adalah apa yang kita fikirkan dan yang kerap kali kita bahasakan. Bahasa jiwa bangsa. Jika bahasa kita elok, maka eloklah bangsa kita. Dengan kata lain, kalau kita cakap, fikirkan, rasakan yang baik-baik je terhadap diri kita dan orang lain, maka pasti akan baiklah seluruh kehidupan kita.

Jom, bentuk dunia yang lebih baik!!!

Wednesday, March 30, 2011

Isu Kitab Injil: Dialog Boleh Menyelesaikan.

Terlalu banyak isu dan pertembungan antara Agama Kristian dan Agama Islam di Malaysia. Bahkan dengan agama-agama lain di Malaysia juga begitu, seringkali isu dan perbezaan antara agama dianggap sebagai isu sensitif yang tidak perlu dibincangkan secara terbuka. 


Saya bersetuju bahawa isu ini adalah isu sensitif, jika tidak ditangani secara baik dan berkesan, hanya akan menimbulkan konflik yang lebih teruk dan berpanjangan. Namun, kita juga perlu bersetuju, konflik perlu ditangani dengan komunikasi dan interaksi yang berkesan.

Ironinya, isu kalimah Allah, juga isu cetakan bible dalam Bahasa Melayu sudah menjadi isu bualan rakyat. Ianya sudah diketahui umum dan sudah ramai yang mempunyai pendirian yang tersendiri mengenai hal ini. Malaysia sebagai sebuah negara Demokrasi dan sangat menjaga baik Hak Asasi Manusia, menerusi perlembagaannya sangat menjamin kebebasan rakyat untuk mempunyai pandangan dan bebas mengamalkan kepercayaan masing-masing di mana Islam diletakkan sebagai agama rasmi perlembagaan Malaysia.

Maka, sudah semestinya, kita perlu meraikan perbezaan dan kepelbagaian pandangan ini. Maka interaksi dan komunikasi yang berkesan akan dapat memelihara hubungan baik antara kaum dan agama bila masing-masing bebas memberi dan menerima pandangan masing-masing. Berdialog, selain untuk mencari kebenaran, merupakan jalan yang terbaik untuk mencari penyelesaian. Kita bukan ketandusan kebenaran, kerana yang benar itu sudah sekian lama terang, jelas dan tersuluh, namun masing-masing dengan kebenaran masing-masing dan tidak pernah terfikir untuk "hidup" bersama sekalipun dalam perbezaan kebenaran.

Agama Islam merupakan ajaran yang benar, merupakan ajaran yang menekankan aspek toleransi dalam hubungan antara agama, dan hormat-menghormati di kalangan anggota masyarakat tanpa mengira sempadan usia, harta dan kedudukan. Malah, Islam mengajar umatnya supaya memimpin menggunakan pengaruh bukan semata-mata kuasa. 

Memimpin menggunakan pengaruh, bermakna aspek utama dan terpenting dalam menjalankan amanah kepimpinan, ialah pendidikan kepada rakyat dan orang bawahan. Pendidikan yang berkesan mencakupi aspek peningkatan dan penguasaan ilmu, kebertanggungjawaban dan komitmen dalam setiap tindakan, dan juga penekanan dari segi akhlak, penampilan dan integriti. 

Rakyat yang maju dan bertamadun, ialah rakyat yang berpendidikan tinggi. Matang dan rasional dalam membuat pertimbangan, komited dan bertanggungjawab dalam melaksanakan keputusan.

Islam, satu-satunya agama yang dari awal lagi menyatakan hukum secara jelas terhadap mereka yang murtad. Begitu juga Islam, secara jelas menyatakan bahawa tiada paksaan dalam beragama. Satu-satunya agama yang terpelihara dari segi sumber rujukan utama perlembagaan penganutnya, ialah agama Islam. Bahasa Arab yang digunakan dalam penulisan Al-Quran, terpelihara dengan penurunan Al-Quran itu sendiri. Kaedah Bahasa Arab dapat difahami dengan baik menggunakan Al-Quran. Sehingga ke saat ini, tiada buku yang mampu menandingi Al-Quran dari segi isi mahupun kaedah penyampaian dan penulisan.

Sejarah juga menunjukkan usaha penulisan Al-Quran itu sendiri dipelihara dan dijaga sebaiknya oleh Allah sehingga tiada satu pun kecacatan dan kelompangan, maka Al-Quran yang digunakan di Malaysia, adalah Al-Quran yang sama digunakan diseluruh dunia semenjak kedatangan Nabi Muhammad SAW.

Berbeza dengan kitab bible yang ditulis oleh penganut agama kristian. Kepelbagaian dalam penulisan dan amalan pengikutnya bukan sekadar isi dna penyampaian, malah doktrin utama mengenai akidah orang kristian juga berbeza. Ada yang berpegang bahawa tuhan bagi kristian hanyalah Tuhan yang Esa, (ada yang merujuknya sebagai Allah), tetapi ada juga yang berpegang kepada konsep Trinity (iaitu Tiga Tuhan dalam satu). Namun bagi penganut agama kristian, kedua-kedua konsep ini tetap membawa kepada Tuhan yang satu walaupun jalan penceritaan dan pemahamannya berbeza. Mereka mengatakan Tuhan mereka juga ialah Allah. 

Hal ini, sangat berbeza bagi umat Islam, Tiada Tuhan Yang Layak Disembah Melainkan Allah yang Maha Esa, tiada sekutu baginya. Dialah Allah, Tuhan Yang Maha Esa, tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Tidak ada yang menyerupainya dan setara dengannya.

Perbezaan inilah yang bakal menimbulkan konflik sekiranya Bible edisi Bahasa Melayu tersebut yang dikatakan menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan bagi agama kristian. Maka, Kerajaan memutuskan untuk menarik semula penahanan 35 000 kitab bible tersebut dengan dua syarat iaitu diletakkan cop "Untuk kegunaan penganut agama Kristian Sahaja", dan diletakkan nombor siri supaya tidak berlaku ketirisan.

Presiden Iran, Ahmadinejad memegang Kitab Injil dan Alquran
ketika di sebuah persidangan PBB.
Syarat ini pula dilihat sebagai satu penghinaan dan sekatan bagi penganut agama kristian. Seorang kristian, ketika mengulas mengenai isu ini berkata, "Orang Islam yang bersalah kerana tidak menekankan aspek akidah kepada penganutnya,". Ada benarnya pendapat ini, maka ianya tidak boleh dipandang sebelah mata.

Kekurangan utama kita ialah ilmu dan juga kebolehan untuk toleransi, sama ada bagi penganut agama kristian yang minoriti di Malaysia, juga kepada Umat Islam yang majoriti, tetapi lemah di Malaysia.

Saya terpaksa mengaku, kerana inilah hakikat yang berlaku. Usaha pemantapan akidah umat Islam perlu dijalankan terus, kerana memimpin mestilah menggunakan pengaruh, tidak semata-mata kuasa. Tindakan yang diambil oleh kerajaan itu, bagi saya ada relevannya, dan saya sokong. Namun, pendidikan dan penerangan mengenai isu ini juga perlu dipergiatkan. Agar bumi ini, udara ini, tanah dan segala hasilnya ini, dapat kita nikmati dengan baik, harmoni, dan dengan rukun dan damai antara warganya...

Objektif utama dialog, selain mencari kebenaran, mencari jalan keluar daripada kekusutan, dan menjernihkan kembali keadaan. Setidak-tidaknya, kata akhir yang mampu kita capai ialah bersetuju untuk tidak bersetuju...


Oleh Mohd Farid Bin Hamlud
Sukarelawan Pendidikan Rakyat, KAWAN (NGO)
Bangi.

Anda bersalah kerana hari ini anda lahir!

Saya tidak berniat untuk menyanggah atau menafikan kajian yang dibuat oleh sesetengah orang yang Pakar dalam bidangnya, mengenai kajian psikologi manusia berdasarkan keterangan-keterangan tertentu dalam hidupnya. Tahniah atas kajian dan dapatan yang pastinya tidak semborono dikeluarkan segala hasil kajian tersebut.

Misalnya, bagi mereka yang lahir pada 18 Februari pastinya seorang yang kacak, sopan-santun dan memiliki perwatakan yang menarik seperti saya. Saya tidak nafikan, ciri-ciri itu ada pada saya, akan tetapi, saya yakin hidup tidak semudah apa yang kita percaya.

Untuk berjaya, kita memerlukan lebih dari sekadar percaya, iaitu BERUSAHA!! Anda berusaha, anda pasti akan dapat hasil yang anda citakan. Benar seperti Firman Allah Ta'ala di dalam Al-Quran:

Bagi tiap-tiap seorang ada malaikat penjaganya silih berganti dari hadapannya dan dari belakangnya, yang mengawas dan menjaganya (dari sesuatu bahaya) dengan perintah Allah. Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkanNya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripadaNya. Ar-Ra'du, 13:11.

Hebat bukan? Inilah Islam, mengajar dan mendidik manusia supaya sentiasa mengeluarkan yang terbaik dari diri mereka tanpa perlu bergantung sedikitpun pada nasib diri sendiri yang kononnya malang tak tentu pasal.

Kali ni agak ringkas, sekadar lontaran untuk kita fikir-fikirkan sedalam-dalamnya...

Ingat, untuk berjaya bukan sekadar percaya, tetapi USAHA!!!! Ayuh!!!~


Antara Yang Menarik