Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, June 5, 2008

aku mereka dan dunia..[5]

Kami ke rumah najib dan kebetulan adi dan hafiz juga berada di rumah najib. Mereka bertiga sedang leka bermain permainan video, “micro genius” yang begitu terkenal dengan game contra, ninja turtle, dan super Mario. Terliur aku melihat mereka begitu seronok menekan butang kawalan. Kami berempat bergilir-gilir bermain, menentang najib dalam gam street fighters. Terangkat-angkat kaki terikutkan watak Ryu pilihan najib, bertarung dengan Ken pilihan adi.

Hamper setiap hari kami berkumpul di rumah najib. Selang beberapa hari, aman mengajak aku ke rumahnya. Rupa-rupanya ayah aman turut membelikannya satu set permainan “micro genius”. Kami bermain berdua secara senyap kerana enggan memberitahu kawan-kawan yang lain.

Hampir sebulan telah berlalu, malam tu aku menyertai ahli keluargaku yang lain menikmati makan malam, walaupun ditegur oleh angah kerana aku tak berpuasa. Peduli apa, salahkah kalau nak makan sekali dengan orang yang berpuasa?

Ayah menenangkan kami, dan mengumumkan satu berita gembira.

“Esok kita balik kampong,” umum ayah sambil tersenyum menantikan reaksi kami sekeluarga.

Hiphip Hooray!!! Kami semua gembira mendengar berita gembira tersebut. Terus terbayang wajah atuk, opah, makcik-makcik, pakcik-pakcik, sepupu-sepapat, halaman rumah, tali air, pokok jambu, manggis, durian, rambutan, pisang, cempedak, ayam, itik, angsa, kambing, hampir kesemuanya dimuatkan dalam ingatan dan bayangan. Makan malam tersebut berakhir agak awal kerana kami semua bergegas membuat persiapan untuk perjalanan jauh yang bakal ditempuh esok hari.

“kenapa kita balik kampong?” Tanya aku inginkan kepastian.

“Lusa kita raya,” jawab mak ringkas.

Raya? Apa pulak raya ni? Namun, seperti malam-malam sebelumnya, dentam-dentum bunyi mercun dan bunga api terus memeriahkan suasana. Tapi hari ni kelihatan bunyi dan kekarapannya agak berbeza. Semakin banyak dan kerap. Aku menyertai keghairahan dan kemeriahan malam itu bersama rakanku bermain bunga api di atas jalan di hadapan rumah.

Keesokan harinya, selepas subuh, kami bertolak pulang ke kampong. Berkumandang di radio lagu-lagu yang merdu menyebut berulang-ulang mengenai hari raya dan puasa. Aka bertambah pelik dan hairan. Namun kegusaran dan kehairanan tak menghalang senyuman terukir di wajahku membayangkan kampong yang dirindu.

bersambung...

No comments:

Antara Yang Menarik