Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, June 5, 2008

aku mereka dan dunia...[4]

Semalam aku bermimpi terbayang wajah aku ketika dewasa. Walaupun gambaran kurang jelas, tapi seingat aku wajah aku ketika itu boleh diklasifikasikan sebagai “boleh tahan”. Ketika aku terjaga, mak dan ayah sedang bersiap untuk pergi ke tempat kerja. Terdiam sejenak memikirkan siapa agaknya aku bila besar nanti?

“Aik, bangun-bangun terus senyum?” tegur Inspektor Hamlud, ketika menjenguk aku di bilik yang aku kongsi bersama angah. Inspektor Hamlud merupakan pegawai di Balai Polis Cheras, merangkap ayah yang aku kagumi. Bagi aku, ayah dan ibu adalah dahan tempat aku berpaut, juga payung untuk aku berteduh. Rumah, mahligai yang mengumpulkan kami sekeluarga, juga “kubu” yang menghindarkan kami dari bahaya bencana.

Pn Fauziah, heroin keluarga kami, berkhidmat di Ibu Pejabat Kastam DiRaja Malaysia, di Damansara. Ayah menghantar ibuku ke tempat kerjanya, along pula ke sekolah menaiki bas, ngah sekolah petang tapi hari itu dia ke sekolah awal dari biasa. Ida pulak berjalan kaki ke sekolah kira-kira 6 blok dari rumah. Tapi sekolah ida ni pelik skit, perempuan berbaju kurung, dan lelaki berbaju melayu bersampin, warna kain dan sampan kedua-duanya hijau, letaknya pula di halaman surau taman cheras indah.

Aku suka pergi ke sekolah ida pada waktu petang selepas azan asar. Sebabnya? Ketika itu satu sekolah akan mengalunkan nasyid, “ﺍﻠﻠﻬﻢ ﺍﺭﺣﻤﻨﺎ ﺑﺎﻠﻘﺭﺀﺍﻥ ” lagu itu abgiku cukup merdu, kenapa? Aku pun belum begitu pasti akan jawapannya. Ada sesekali tu, walaupun sedang asyik bermain, aku akan berhenti dan bergegas ke sekolah ida hanya untuk mendengar nasyid tersebut.

Pagi itu, masih lagi aku dan bibik di rumah. Aku pun menikmati sarapan yang agak pelik menunya hari tu. Nasi putih, sardin, ikan bilis, dan sayur.

“bibik, makanan ni untuk tengahari sekali ke?” Tanya aku kehairanan.

“oh, ni bukan lauk tengahari! Ni lauknya sahur pagi tadi,” balas bibik yang berasal dari Indonesia.

“sahur?” balasku inginkan penjelasan.

“iya sahur, hari ini sudah mula berpuasa,” jawab bibik.

Wah, Puasa? Sahur? Apa maknanya? Aku enggan merumitkan kepala, lantas terus melicinkan pinggan untuk menyambung penerokaan aku selanjutnya hari ni. Aku menyeru dan memanggil keluar semua “rakan-rakan” sepenerokaan dan juga kelengkapan-kelengkapan yang aku perlukan dari bilik stor.

Memulakan hari ini dengan bermain bersama encik Batman, menemaninya bertarung dengan Incredible Hulk. Hari ni, Hulk telah dirasuk oleh orang jahat. Jalan cerita yang diadaptasi dari cerita Suria Baja Hitam, episod 34. Akhirnya, seperti biasa Batman menang, dan berjaya memulihkan ingatan Hulk dan mereka berdua kembali berkawan baik.

Setelah berpuas hati kerana berjaya memulihkan Hulk, aku memutuskan untuk kelua rumah. Destinasi tujuan hari ni adalah rumah aman.

“Assalamualaikum,” sapa aku meminta izin untuk masuk ke rumah aman.

“Eh, Farid! Masuklah,” sambut ibu aman.

“aman, ko tau tak sahur tu apa?” ujar aku kepada aman.

“sahur? Pagi tadi aku sahur. Mak aku cakap kalau nak puasa kena sahur,” jawab aman ringkas.

“puasa tu apa plak?” ujar aku yang semakin hairan.

“ko tak puasa ke? Macam mana nak raya? Kalau tak puasa tak bleh raya kan mak?” perli aman sambil memalingkan pandangan kepada Mak Cik Minah yang tekun menjahit baju.

“Takpe, farid kecik lagi. Puasa tu, tak makan dan minum dari pagi sampai petang. Dah habis puasa boleh raya,” jawab mak cik Minah ringkas sambil tersenyum melihat telatah kami berdua.

Aku memaksa diriku untuk terima sahaja jawapan Mak Cik Minah lantas menarik tangan aman ke satu sudut rumahnya. aku berbisik kepada aman bertanyakan hal ikan yang kami tangkap tak lama dulu. Aman sekadar menggelengkan kepala, sambil mencebik muka. Dengan nada yang perlahan dia memberitahu bahawa ikan-ikan tersebut dah mati. Tak sempat pun nak tengok bertukar jadi katak atau tidak, ujarnya.

Aku pun turut bersedih bersimpati mengenangkan betapa sayangnya aman terhadap ikan-ikan yang berhempas-pulas kami tangkap bersama. Aku mengajaknya bermain bagi mengelakkan kesedihan berlarutan dan menjejaskan misi meneroka kami pada hari itu.

bersambung...

No comments:

Antara Yang Menarik