Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, June 9, 2008

Cinta..



Situasi pertama (masih belum bercinta):

Pada waktu tengah hari ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, Rieza memilih untuk berjalan kaki pulang ke rumah walaupun bapanya telah membayar duit bas. Tujuan? Ingin mengekori Diana, pelajar perempuan yang berada di kelas bersebelahan dengan Rieza, dengan niat ingin mengetahui tempat tinggal Diana, memastikan Diana selamat pulang ke rumah, dan meng"ushar" Diana. Walaupun akibat daripada perbuatan tersebut, Rieza terpaksa berjalan kaki sejauh 3 km dan mungkin lebih untuk sampai ke rumah dalam cuaca yang panas terik.

Situasi kedua (sedang berusaha mencari cinta):

Sewaktu di rumah, sedang enak menjamu selera bersama keluarga selepas selesai solat maghrib, tiba-tiba telefon berdering. Lina dengan pantas menyambar gagang telefon, berebut dengan kakaknya untuk menjawab telefon. Namun malangnya, orang yang ditunggu panggilannya masih belum muncul. Lalu dengan hampa dan kecewa menyerahkan gagang tersebut kepada yang kakaknya yang sepatutnya menjawab panggilan. Berulang-kali peristiwa yang sama berlaku. Hinggalah pada lewat malam, dalam pukul 11, deringan panggilan ke 15 malam itu, Lina masih cergas seperti sebelumnya menyambar gagang, dan akhirnya yang ditunggu, muncul... dialog mereka seperti berikut,

Ahmad: salam.
Lina: salam.
Ahmad: Maaf lambat, saya janji nak telefon pukul 8, tapi tadi ada hal sikit.
Lina: Eh takpe, tak ada masalah(sambil menyembunyikan keadaan termengah2).


Situasi 3 (Dalam proses mengekalkan Cinta):

Esok hari jadi Lina, tapi masalahnya Ahmad berada di Seremban, Lina yang menetap bersama keluarganya di Temerloh mengajak Ahmad keluar. Ahmad dengan penuh yakin dan selamba, menerima ajakan lina. Maka dengan tekad meminjam motorsikal adik saudaranya untuk bertemu dengan Lina di Pahang. Pada keesokan harinya, Ahmad selamat tiba di Pahang. Walaupun terpaksa bertolak selepas subuh, dan menunggang motorsikal Honda Wave 100cc selama 5 jam, Ahmad masih tenang dan bersahaja menemani Lina menyambut hari jadi di Pahang. Walaupun ditambah dengan keadaan Ahmad yang kesempitan wang, Ahmad sanggup mengeluarkan duit simpanannya untuk menghiburkan hati Lina.

Situasi 4 (sudah berkahwin dan berkongsi Cinta):

Mak Limah merupakan seorang suri rumah tangga sambil mengambil upah menjahit baju, manakala suaminya Pak Abu mencari rezeki dengan mengambil upah menoreh getah dan berkebun, pendapatan yang mereka peroleh tak sampai pun RM500 sebulan. Pada suatu hari, Ali, 17, anak sulung dari 8,mengeluh keletihan ketika pulang dari sekolah. Walaupun tiada perkataan yang terungkap, namun keletihan jelas tergambar di wajahnya. Ali terpaksa berjalan kaki 4 batu ke sekolah setiap hari kerana tidak mampu untuk mnyewa bas. Basikal di rumahnya pula diutamakan kepada adik2nya yang juga masih bersekolah. Pak Abu yang melihat situasi tersebut menyimpan tekad untuk lebih rajin menoreh, dan membuat kerja2 tambahan. Pak Abu keluar rumah seawal 4 pagi dan pulang untuk sarapan selepas subuh, pukul 8 pagi, selepas anak-anaknya ke sekolah, Pak Abu keluar mencari kerja2 tambahan, menebas rumput, mengangkat barang, menjadi buruh pembinaan, kerja perpaipan, dan lain-lain. Mak Limah pula, semakin tekun menjahit siang dan malam. Mak Limah menerima dan mencari sebarang tempahan walaupun ternyata tidak menang tangan. Selepas dua bulan, mereka menghadiahkan motor EX5 Classic kepada Ali, dengan deposit RM500 dan masih perlu mencari wang untuk bayaran bulanan sebanyak RM150.

Cinta..


Walaupun situasi di atas agak biasa dan tidak terlalu mengujakan. Namun situasi tersebut kerap berlaku bagi mereka yang ber"cinta". Perasaan dan keperluan sendiri tidak lagi menjadi keutamaan asalkan dapat menghiburkan dan memenuhi permintaan yang tersayang.

Sanggup berpenat, menunggu, bersusah, dan menderita kerana yang tersayang. Inilah yang disebut sebagai pengorbanan ketika dilanda perasaan Cinta. Apabila kita mencintai dan mengasihi seseorang, kita sanggup berkorban dan memberikan sepenuhnya jiwa dan raga. Acap kali sukar untuk kita membuat pertimbangan yang waras sekiranya bertembung dengan pilihan yang melibatkan orang yang kita sayang, asalkan segala yang diminta olehnya dapat kita penuhi dengan sedaya upaya kita.

Sememangnya cinta itu buta, kerana ia bukan sahaja tidak mengenal siapa, malah tidak mengenal bila, berapa, di mana, ke mana, dan mengapa. Lamunan cinta menyebabkan manusia tenggelam, lena dibuai mimpi dan mabuk asmara. Ada yang mandi tak basah, makan tak kenyang, dan tidur pun tak lena kerana cinta.

Manusia, secara fitrah dan nalurinya mempunyai sifat-sifat ini, mementingkan cinta dan kasih sayang. Cinta dan kasih sayang "memanusiakan" manusia. Tanpa cinta dan kasih sayang manusia akan berubah menjadi binatang, malah lebih teruk daripada binatang. Namun begitu, perasaan jemu, benci dan putus asa sering menjadi penghalang kepada perasaan kasih dan sayang. Malah, sikap cemburu dan iri hati akibat daripada cinta ini juga boleh menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku.

Perceraian dan perpisahan, gejala buang anak, bunuh, rompak, rogol, sumbang mahram, adalah tanda bahawa manusia tersebut sudah hilang sifat manusianya. Mereka bertindak dan berkelakuan di luar batas kerana sudah hilang pertimbangan akal yang waras. Mereka tersalah tafsir erti cinta dan kasih sayang, seterusnya menterjemahkan tafsiran yang salah itu dengan tindakan yang salah.

Antara sebab utama yang membawa kepada bala ini adalah kerana ciri-ciri dan sifat cinta yang ada pada manusia itu sendiri. Cinta manusia ada sempadan dan hadnya. Terkadang tidak telus dan terlalu rapuh. Wujudnya umpama langit yang tidak terduga mendung dan cerahnya. Sifat hadirnya umpama awan yang mudah ditiup dan mudah pula berubah berubah haluannya, tidak kekal bentuknya hingga akhirnya bercerai menitiskan hujan.

Cinta yang sejati dan hakiki adalah cinta Ilahi. Tuhan sangat cinta dan mengasihi hambanya. Tanpa had dan sempadan. Saban hari dan setiap waktu, Tuhan akan menjaga hambanya. Diberikan rezeki, udara, perlindungan, dan bimbingan di sepanjang perjalanan. Walaupun berjuta kesilapan yang dibuat oleh hambaNya, namun kasih sayangnya tidak sedikit pun berkurangan. Pintu dan jalan untuk hambanya "kembali" sentiasa terbuka luas. Maha Suci Tuhan dengan kasih dan sayangNya kepada kita.

Hanya dengan bantuan cinta dan kasih sayang Tuhan yang abadi ini sahaja yang akan dapat mengabadikan cinta dan kasih sayang manusia terhadap manusia. Bercinta dan berkasihan keranaNya akan membantu kita mengekalkan diri kita pada peraturan dan adab yang baik sebagai manusia. Kehilangan dan berpisah keranaNYa memandu kita untuk kekal tabah dan sabar menjalani hidup.

Kebergantungan kita padaNYa jualah yang menjadi sumber segala kekuatan dan kejayaan. Kealpaan dan kelekaan kita terhadap cinta ini, akan menyebabkan kita terjerumus ke lembah yang sememangnya tidak kita ingini....


No comments:

Antara Yang Menarik