Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, April 7, 2010

Bicara pelajar Tahun Akhir...

Setelah sekian lama mencari dan mengutip mutiara di lautan ilmu UKM ini, akhirnya tibalah masa yang ditentukan oleh Allah, pengakhiran kepada jodoh dan pertemuan di UKM. Sukar untuk disebutkan betapa kasih dan sayang saya terhadap bumi UKM ini. penghayatan yang mendalam terhadap "lagu varsiti kita", saya kira dapat memberikan penjelasan kenapa bumi ini sangat bermakna buat saya dan teman-teman saya yang lain.

FALSAFAH UKM

Saya mulakan dengan membuat koreksi terhadap falsafah penubuhan UKM itu sendiri. Secara jeas menyatakan kepentingan Ilmu, Iman dan Amal sebagai teras dalam pembangunan Universiti, pembudayaan dan perkembangan Ilmu, serta pembentukan masyarakat terpelajar. Saya jatuh cinta pada UKM disebabkan oleh kemurnian dan keindahan falsafahnya, sekaligus mengubah persepsi saya terhadap apa yang sebenarnya dikatakan "belajar dan mencabar".

UKM ditubuhkan oleh generasi terdahulu yang ingin benar menyelamatkan rakyat Malaysia daripada kematian adat dan asal-usul. Bukan sekadar bahasa yang ingin dipertahankan, bahkan mereka meletakkan nilai-nilai murni dan keunggulan budaya yang baik dalam masyarakat pada ketika itu, sebagai salah satu sebab utama yang membawa kepada penubuhan UKM ini.

Malangnya, keindahan itu semakin dicabuli. Bermula dengan salah anggapan penghuni dan warganya tentang kepentingan Bahasa, sehinggalah akhirnya menggadaikan hampir kesemua nilai-nilai murni yang terkandung di dalamnya.

Saya tertarik dengan kata kunci "pembentukan masyarakat terpelajar". Masyarakat terpelajar seperti yang pernah saya keutaraakan sebelum ini, merupakan masyarakat yang dipimpin oleh ilmu. Merasai kepentingan ilmu, mengutamakan kefahaman dalam tindakan dan perbuatan sehari-hari. Masyarakat yang terpelajar dicerminkan melalui tindakan, bukan sekadar kertas kerja yang berlambak, tetapi tiada satu kerja pun yang benar-benar berjaya dilaksanakan.

GMUKM sebagai wadah

Maka saya dan rakan-rakan saya membentuk dan memperkukuhkan kembali GABUNGAN MAHASISWA, GMUKM, sebagai wadah untuk kami perjuangkan kembali cita-cita murni Falsafah UKM ini. Anehnya, saya merasakan sendiri tekanan yang tersangat berat diberikan terhadap kelompok kami ini. Sebaliknya, golongan yang sentiasa kontra dengan falsafah UKM, diberikan tempat yang istimewa di kalangan pentadbir dan pihak pengurusan UKM, termasuklah kedua-dua Naib Canselor, dan Timbalan Naib Canselor yang sempat saya kenali sepanjang berada di UKM ini.

Idea penubuhan GMUKM ini bermula apabila Membina Mahasiswa Penggerak Ummah, MAMPU, merasakan perlunya kepada suara yang lebih padu dan besar di kalangan Mahasiswa yang pelbagai bangsa, agama, dan pandangan. Sehingga sekarang, GMUKM telah mempunyai lebih daripada 22 persatuan yang secara tidak langsung menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan mengembalikan UKM ini kepada keadaan asal penubuhannya. 3 teras, kebajikan, keintelektualan, dan falsafah UKM, telah berjaya menyatukan ramai aktivis Mahasiswa yang mencintakan kebenaran, keadilan dan kesejahteraan.

KELESUAN DAN RETORIKA PERJUANGAN MAHASISWA

Pun begitu, perjuangan Mahasiswa semakin hari disempitkan dengan pelbagai kekangan dan doktrin yang melesukan. Saya terkesan dengan rakan-rakan Mahasiswa yang berada di luar negara. Di Thailand misalnya, Mahasiswa bukan sahaja memimpin kampus dengan baik, malah turun ke dalam kancah masyarakat dan tampil membawa solusi kepada masalah yang membelenggu rakyat di negara itu. Krisis di selatan Thai misalnya, ketumbukan Mahasiswa mampu menggerakkan rakyat untuk turun menyatakan bantahan mereka terhadap kerajaan Thai yang sehingga sekarang enggan memberikan kuasa autonomi kepada wilayah di selatan siam itu.

AlhamduliLlah, saya diberi kesempatan untuk bertemu dan bertukar-tukar pandangan dengan mereka, dan sejak daripada saat itu, saya mula merasakan, perjuangan Mahasiswa Malaysia ini sarat dengan retorika dan kelesuan. Bagaimana dengan nilai intelektual Mahasiswa Malaysia? Bagaimana pula dengan suasana "mencabar" di kalangan Mahasiswa di IPT mahupun di peringkat nasional? Apakah sebenarnya nilai yang diperjuangkan oleh Mahasiswa secara konsiten dan berkesan, berbanding populariti dan publisiti, yang pada pendapat saya terlebih diberikan penekanan?

Sejauh mana kesan yang terhasil daripada gerakan dan aksi-aksi yang telah dilakukan oleh Mahasiswa selama ini terhadap masyarakat kampus? Begitu susah dan payah Mahasiswa Malaysia merancang dan berfikir, adakah begitu kesan yang diterima oleh masyarakat kampus masing-masing? Ini baru masyarakat kampus, bagaimana pula kehadiran Mahasiswa ini, adakah disedari kewujudan mereka oleh rakyat?

AGENDA REFORMASI

Saya ingin membawa perbincangan ini ke arah sudut yang lebih luas, iaitu menegakkan Islam di bumi masing-masing. Reformasi yang terbaik, ialah melkukan reformasi daripada keadaan tidak Islam kepada keadaan lebih Islam. Islam bukan sekadar anutan, memperjuangkan Islam bukanlah sekadar memperjuangkan agar Islam dianuti oleh semua manusia. Bahkan memperjuangan Islam itu ialah sehingga nilai-nilai sejagat yang diajarkan oleh Islam itu menjadi nilai pegangan semua manusia.

"Dia lah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan cara hidup yang benar (Islam), supaya Ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala cara hidup yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya." As-Saff, 61:9.

Maka KPI yang sewajarnya dijadikan ukuran bukanlah kuantiti mahupun kualiti sokongan yang diperolehi terhadap persatuan mahupun figure sesebuah gerakan, sebaliknya sejauh mana NILAI dan CARA HIDUP ISLAM itu mendominasi pemikiran dan tindakan masyarakat di dalam dan di luar kampus.

Walaubagaimanapun, trend perkembangan gerakan Mahasiswa Islam semakin berkembang dan menjadi bertambah mantap. Saya melihat sendiri kreativiti dan produktiviti Mahasiswa pada hari ini, sudah jauh meninggalkan generasi terdahulu sebelum mereka. Semakin banyak idea-idea baru yang lahir, begitu juga dengan aksi-aksi yang sangat menghiburkan hati pencinta keadilan dan kebenaran. Mungkin kita perlu mempergiatkan sesi kerahan minda supaya idea-idea yang lebih membumi dan memberi kesan dapat dihasilkan.

Idea untuk melakukan reformasi terhadap umat mesti dipercambahkan supaya berkembang dan menusuk ke dalam hati dan pemikiran setiap ahli gerakan.

Kita perlu terus membina idea-idea mengenai gerakan, dalam masa yang sama idea-idea ini diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan aksi yang benar-benar mendatangkan kesan dan membawa transformasi pada diri Mahasiswa dan masyarakat. Saya menyatakan kesediaan saya untuk terus bersama dalam perjuangan ini, dan bersedia melapangkan pemikiran, masa dan tenaga saya untuk gerakan.

Salam ikhlas daripada Pelajar Tahun Akhir,

Hidup mulia, atau mati syahid!!!

Beramal kerana dan ke arah Allah....

No comments:

Antara Yang Menarik