Setelah pelbagai isu yang melanda Negara Malaysia pada sejak kebelangan ini, rakyat tidak patut sama sekali untuk berkira-kira dengan UMNO-BN dalam memilih wakil parlimen di Hulu Selangor nanti. 17 April adalah tarikh rasmi penamaan calon, Parti Keadilan Rakyat pula akan mengisytiharkan calon yang akan mewakili Pakatan Rakyat pada 13 April ini, manakala G Palanivel disebut-sebut sebagai calon yang akan mewakili BN-MIC pada pilihanraya kecil kali ini. Bahkan sudah ada pemimpin tempatan yang bersedia untuk bertanding atas tiket BEBAS dalam PRK tersebut.
Rakyat yang mengikut perkembangan Siasah di Malaysia sudah pasti akan mengetahui secara jelas kenapa UMNO-BN perlu ditunjukkan jalan keluar dari Dewan Rakyat. Namun ada juga segolongan yang tidak menerima maklumat selain yang dibekalkan oleh media arus perdana, maka mereka akan cenderung untuk mengekalkan penguasaan UMNO-BN. Lebih-lebih lagi, apabila pemimpin parti itu dilihat seperti satu-satunya parti yang mampu menjalankan pembangunan di Malaysia.
Pelbagai perancangan pembangunan di Negara pada ketika ini bertumpu di kawasan Hulu Selangor, isteri Perdana Menteri sendiri turut terlibat dalam menabur janji-janji manis untuk memperdayakan pengundi di kawasan tersebut. Hampir kesemua pemimpin tertinggi parti-parti politik di Negara pada ketika ini menumpukan perhatian terhadap pengundi-pengundi di Hulu Selangor.
Pakatan Rakyat, mungkin tidak ketinggalan kerana Negeri Selangor ini adalah di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat. Namun, bukan soal janji pembangunan mahupun perubahan yang lebih utama untuk dibincangkan di dalam Pilihanraya Kecil kali ini. Sebaliknya usaha ke arah menyelamatkan Negara dari segala macam masalah adalah jauh lebih penting dari segala kepentingan politik yang ada.
Rakyat Perak mengalami proses kartunisasi. Perlembagaan Persekutuan yang selama ini menjadi sandaran dan tempat berlindung daripada penindasan ditikam lima kali oleh penjaga undang-undang itu sendiri. Tambah menyedihkan apabila kronologi kejadian tersebut melibatkan institusi yang selama ini dianggap berdaulat.
Isu keselamatan Negara sudah sekian lama terdedah kepada ancaman. Jawapan kepada kehilangan jet masih belum dijelaskan, muncul pula isu APCO-PDRM yang sama sekali mengundang kemarahan rakyat. Menteri Dalam Negeri sendiri mengakui kehadiran Asiasoft, syarikat yang mempunyai cawangan di Singapura dan berpengakalan di Tel Aviv, Negara Haram Israel. Haram lagi mengharamkan. Lebih malang lagi, Najib bertalakki dengan Ulama' dari Israel itu untuk mencipta slogan Satu Malaysia yang dibangga-banggakan itu.
Akhbar tidak sunyi dari melaporkan kesan daripada kebejatan sosial yang melanda remaja dan anak muda di Malaysia. Sistem pendidikan yang ada gagal sama sekali di dalam fungsinya untuk mendidik dan melahirkan anak bangsa yang benar-benar merdeka jiwanya. Isu remeh 10 subjek SPM, masalah PPSMI, aliran vokasional, lambakan guru, penempatan guru-guru, masih gagal ditangani dengan baik, timbul pula projek Permata Pintar yang sangat diragui tahap "keikhlasan"nya dalam usaha membantu memulihkan prestasi akal, sosial dan rohani anak muda. Tidak cukup dengan kegagalan sistem yang ada, ditambah pulak dengan usaha memasukkan elemen pendidikan seks dalam Sukatan pelajaran yang sedia ada.
Bermula dari sekecil-kecil masalah sehinggalah kepada sebesar-besar masalah ini tidak akan selesai dengan tamatnya Pilihanraya kecil Selangor. Keputusan mengenai siapa yang akan diberi kepercayaan oleh rakyat tidak akan menamatkan segala penderitaan yang dialami oleh semua rakyat Malaysia. Tidak terlampau sekiranya saya katakan, langsung tidak memberikan kesan dan perubahan.
Namun begitu, ianya dapat mengukur sejauh mana rakyat kebanyakan sedar mengenai keadaan sebenar yang berlaku di Malaysia pada ketika ini. Sekiranya BN-UMNO masih mempunyai tempat di hati rakyat Hulu Selangor, maka amatlah Jauh Panggang Dari Api, untuk melihat perubahan di Malaysia. Sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mendidik pengundi di kawasan tersebut sedikit sebanyak harapan untuk melihat keamanan dan kesejahteraan di Malaysia ini akan pulih dan mententeramkan hati ramai pihak.
BN-UMNO langsung tiada tempat di hati mereka untuk mewujudkan suasana yang penuh dengan keadilan dan kesejahteraan, apalagi untuk menjadi Juara kerana merekalah punca segala kemalangan dan kecelakaan yang menimpa rakyat Malaysia pada ketika ini. Pakatan Rakyat masih belum sepenuhnya teruji, tetapi mereka adalah satu-satunya alternatif untuk rakyat yang cinta akan kesejahteraan dan kebajikan.
No comments:
Post a Comment