Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, September 28, 2010

Saya hormat Najib

Sudah tentu sebagai Perdana Menteri Malaysia, Najib berhak mendapatkan penghormatan daripada saya. Benar, saya hormat dia selaku ketua negara ini dan sama sekali tidak pernah lebih dari sekadar itu.


Islam mengajarkan saya untuk bertindak begini. Saya hormat akan perlembagaan dan undang-undang yang ada walaupun amalan undang-undang di Negara ini begitu mengecewakan. Walaupun saya membencinya, saya perlu akur bahawa ketika ini, mereka yang memegang amanah, maka mereka berhak untuk menjalankan pentadbiran dengan sesuka hati mereka. Lagipun, rakyat yang telah membuat keputusan, maka terimalah keputusan yang ada seadanya.

Namun, Islam juga mengajar saya untuk berjuang memulihkan keadaan.

Sebagaimana Nabi Muhammad tidak pernah memulakan pemberontakan di Mekah. Sekalipun dipulau selama 3 bulan, menurut sesetengah riwayat 3 tahun, namun Baginda meneruskan hidup di Mekah, menyampaikan risalah dan menghormati pembesar-pembesar Mekah yang ada pada kaetika itu. Inilah konsep yang perlu difahami oleh semua rakyat Malaysia.

Benar, kita sebagai rakyat, tiada masalah untuk kita patuh kepada undang-undang dan pentadbiran mereka yang mempunyai kuasa. Bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian. Tetapi, dalam masa yang sama, kita sama sekali tidak boleh memejamkan mata sekiranya berlaku sesuatu perkara yang tidak betul.

Tidak kira siapa pun yang memerintah, mereka semua berhak untuk dinilai dan diberi peringatan oleh mana-mana rakyat Malaysia. Hatta di Kelantan sekalipun, negeri itu bukan milik mutlak PAS, dan rakyat juga perlu kritikal dalam menilai dan memilih pemimpin di kalangan mereka. 

Kita perlu serahkan urusan kepimpinan kepada pemimpin kerana mereka telah dipilih. Namun begitu urusan memilih pemimpin ini adalah urusan kita. 

Saya gemar menggunakan analogi lampu trafik, kebetulan saya dari jurusan kejuruteraan awam. Ada satu kejadian yang benar-benar berlaku di tempat kerja saya baru-baru ini. Lampu isyarat trafik di simpang empat utama yang menghubungkan antara Seksyen 7, Seksyen 8 dan Taman Putra Kajang(lokasi pejabat saya) rosak dan gagal berfungsi selama 24 jam. Dalam tempoh waktu itu, keadaan trafik berada di luar kawalan dan sepanjang tempoh itu, setahu saya ada 2 kemalangan yang berlaku(mungkin lebih sebab saya tidak terpacak di situ). Salah satunya, berlaku di depan mata saya sendiri apabila seorang penunggang motosikal melulu masuk ke simpang dan bertembung dengan sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan yang juga ingin masuk ke simpang yang sama.

Lelaki tersebut bergolek-golek di atas jalan. Ketika pengguna-pengguna lain mengangkat beliau ke tepi, darah mengalir dari mulutnya. Termuntah-muntah darah dan berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Langsung di bawa  ke hospital oleh pemandu kereta yang bertembung dengannya tadi.

Nah, kesan daripada ketiadaan peraturan!

Tidak lama sebelum daripada kejadian di atas, ketika di bulan Ramadhan yang lalu. Selepas menemani sahabat saya yang menyampaikan kuliah di Sepang, kami bertolak ke Gombak untuk menghadiri satu lagi program. Ketika itu jam menunjukkan pukul 10.00 malam. Myvi Hijau milik syarikat saya manfaatkan untuk membawa kami keluar dari Sepang menuju ke Gombak melalui Lebuhraya Putrajaya-Klia.

Sesampai di simpang empat yang menghubungkan antara Dengkil, Sepang, Klia dan Putrajaya, lampu isyarat trafik berfungsi dengan baik dan kami berhenti sebagai mematuhi isyarat lampu merah. Kami berada dari arah Sepang ingin memasuki simpang yang menuju ke Putrajaya. Di tepi kereta kami, dua buah motosikal polis (rempit), dan sebuah motosikal yang ditunggangi oleh seorang lelaki dan membonceng isterinya di belakang.

Sejurus selepas lampu bertukar hijau, kedua-dua buah motosikal polis terlebih dahulu mendahului kenderaan-kenderaan yang ada, kami bergerak agak lambat kerana ada sebuah kereta yang berada di hadapan kami. Tiba-tiba, sebuah kereta viva, yang datang dari arah Putrajaya melulu laju dan merempuh pasangan yang berada di sebelah kami. Lelaki tersebut terpelanting tinggi, lebih tinggi daripada tiang lampu isyarat (bayangkan!) dan perempuan tersebut terperusuk bersama-sama motosikal di bawah kereta viva tersebut.

MasyaAllah. Nah, kesan daripada tidak mematuhi peraturan!

Begitu juga sebagai rakyat Malaysia, saya hormat Najib kerana dia pada ketika ini diikitiraf oleh undang-undang sebagai Perdana Menteri yang sah. Tapi pada bila-bila masa yang saya suka, saya berhak melontarkan pandangan saya kepadanya.

Dia juga berhak untuk menolak atau menerima pandangan saya. (lagipun, siapalah saya ni) Tapi, inilah yang akan menentukan jangka hayat dia sebagai seorang Perdana Menteri. Saya lebih sayangkan negara dan masa depan bangsa dan agama saya berbanding maruah seorang Perdana Menteri yang langsung tidak hormatkan rakyat yang menghormatinya.

Lupakah Najib bahawa kemewahan dan keselesaan hidup yang dia kecapi ini adalah hasil daripada titik peluh rakyat yang mengundinya? Lupakah bahawa dia menjadi Perdana Menteri adalah hasil kepercayaan rakyat kepadanya?

Sekalipun jika dia menyangka rakyat boleh ditipu dengan mudah, apakah dia menyangka ketika dibangkitkan kelak, dia mampu untuk berselindung dan berdolak-dalih dengan kerajaan Allah?

Bersempena dengan kes teman-teman saya di UKM. Saya kira sudah masa kita sedar akan tanggungjawab dan peranan kita sebagai Mahasiswa mahupun sebagai rakyat. Kita punya tanggungjawab dan hak untuk bersuara dan menyatakan pendapat. Sampai bila kita mahu lihat teman-teman kita yang aktif di pentas kebenaran dan keadilan ditindas oleh Kerajaan?

Dan bersempena PRK Dun Galas tidak lama lagi, dan PRU yang semakin hampir, ayuh gerakkan perubahan!!

Hormat-hormat juga, tetapi sampai masa tukar, tukar juga!!! 


1 comment:

Ahmad Tajuddin said...

yessss,hormat2 jugak tapi kalu dah kurang tersangat ajar,patut kena pancung!!!

Antara Yang Menarik