Kegelisahan berada di bumi Bangladesh yang penuh sesak berkurang sesampainya kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Zia, Dhaka, lapangan terbang utama di Bangladesh. Saya katakan berkurangan kerana masih trauma dengan situasi ketika check-out untuk transit, ketika mula-mula sampai di lapangan terbang tersebut. Kami terpaksa beratur dengan agak panjang untuk melepasi kaunter imigresen tersebut. Kesian juga saya melihat pakcik dan makcik yang keletihan beratur dan terpaksa diarah ke sana dan ke mari oleh pegawai lapangan terbang di sana. Saya cuba sedaya-upaya mengekalkan senyuman untuk mengurangkan tekanan yang dialami oleh ahli jemaah.
Bahasa Inggeris menjadi perantara antara saya dengan pegawai lapangan terbang di sana. Mujur kualiti bahasa kami agak lebih kurang sama, dengan bantuan sedikit "bahasa isyarat", saya dapat bekerjasama dengan Encik Nazrool dengan agak baik, salah seorang pegawai yang kerap bersama saya menguruskan urusan check-out tersebut.
"Deme ni baru dapat komputer gamaknya," ujar salah seorang ahli jemaah sambil tersenyum melihat telatah pegawai lapangan tersebut menaip nama dan butiran salah seorang ahli jemaah. Satu demi satu butang ditekan dengan penuh ketekunan.
"He eh, biru matenye," sambut pula seorang lagi ahli jemaah yang berbaris di barisan bersebelahan.
Seperti biasa, senyuman sahaja yang mampu saya berikan sebagai membalas dialog tersebut.
Begini rupanya pengalaman di transit Bangladesh.
Kumpulan saya yang kedua tiba di Lapangan Terbang untuk urusan check-in di kaunter No-3, untuk mendapatkan boarding pass dari Dhaka ke Jeddah. Kali ini, saya agak lega kerana kesemua boarding pass telah disiapkan kecuali boarding pass seorang ahli jemaah yang tertukar namanya. Namun, hanya sedikit masa yang digunakan untuk membetulkan kesilapan tersebut.
Setelah semua boarding pass telah selamat diedarkan kepada setiap ahli jemaah, saya membawa mereka ke pintu 3/3A untuk menaiki kapal terbang. AlhamduliLlah, kami terpelihara dari masalah "delay" yang selalu melanda penumpang-penumpang BIMAN Airlines. Sesampai saya di tempat duduk, setelah memeriksa keadaan semua ahli jemaah, saya terus melelapkan mata.
Agak keletihan dan mungkin juga kerana tidak sanggup melihat gelagat warga Bangladesh yang berasak-asak mencari tempat duduk yang kosong.
Selang beberapa masa, makanan pun sampai. Hidangan yang seakan Nasi Briani berlaukkan ayam menjadi santapan kami ketika itu. Menu yang agak serupa dengan menu ketika perjalanan dari KLIA ke Dhaka. Untuk mengelakkan risiko kelaparan, walaupun dalam keadaan mamai, dan separuh sedar saya menghabiskan semua hidangan yang disediakan. Sungguh hairan, mata saya pejam semula sebaik semua makanan dihabiskan, dan kembali celik apabila hidangan seterusnya dihidangkan. Kejadian yang sungguh jarang-jarang berlaku.:-)
Sesampai di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz, KAAIA, Jeddah, sekali lagi urusan check-out, kali ini beserta dengan urusan bagasi jemaah. Mujurlah semuanya selamat kecuali dua kerusi roda yang terpaksa digantikan dengan kerusi roda milik KAAIA sementara menunggu BIMAN mengirimkannya kemudian.
Kami menaiki dua buah Bas, dan bertolak selepas semua jemaah selesai menunaikan solat subuh di lapangan terang tersebut. Perjalanan ke Madinah itu ditemani oleh seorang Mutawwif, Ustaz Azhuri, kelahiran Borneo, Kalimantan. Beliau memimpin bas yang pertama sementara saya berada di bas yang kedua.
Pemandangan padang pasir mengisi sepanjang perjalanan dari lapangan terbang ke bumi Madinah Al-Munawwarah. Sesekali terdapat RnR yang sangat mirip rupa pekan koboi dalam filem-filem barat. Bezanya, koboi disini memakai jubah dan mengenakan serban. Sherifnya pula memakai kereta SUV Ford.
Musim panas sedang berada di bulan kedua ketika kami sampai di Madinah. Menurut Ustaz Azhuri, Bulan Rejab merupakan kemuncak kepada musim panas di sana. Bahang panas tersebut, bagaimanapun sedikitpun tidak menjejaskan semangat para jemaah yang tidak sabar untuk sampai ke bumi bersemadinya jasad insan agung, Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda RA.A. Kami singgah untuk sarapan kira-kira jam 9 pagi, 3 jam daripada lapangan terbang.
Dengan baki hampir 2 jam perjalanan, kami meneruskan perjalanan ke Kota Madinah. Hari ni, hari Jumaat, tidak sabar rasanya ingin merasai solat jumaat di Masjid Nabawi. Tidak sampai 40km sebelum sampai ke Madinah, terdapat sekatan jalan oleh pegawai polis Arab Saudi. Sekatan jalan tersebut menahan pak-pak arab yang memandu melebihi had laju, 120 km/j. Mujurlah bas yang saya naiki, sempat memperlahankan kenderaan sebelum sampai di tempat "menembak" had laju.
Tiba-tiba bas tersebut mengalami masalah clutch, Saya dan beberapa orang ahli jemaah terpaksa menolak bas dengan berat tanpa muatan, BTM seberat 5 tan tersebut ke tepi. Cuaca panas padang pasir sekejap sahaja sudah membakar tekak kami. Pegawai polis tersebut cepat-cepat menyuruh kami masuk ke dalam bas kerana bimbang mudharat cuaca panas tesebut.
Sejam kemudian, bas gantian tiba untuk membawa kami ke Madinah. Malangnya, sesampai sahaja saya di Masjid Nabi, Imam sudahpun duduk tahiyat akhir dan memberikan salam ketika saya dalam perjalanan ke tempat mengambil wudhuk.
Ratusan ribu manusia berada di dalam Masjid berkenaan. Ada yang sampai bersolat di kawasan mengambil wudhuk kerana kepadatan manusia yang membanjiri masjid tersebut.
Selesai menunaikan solat zohor, saya kembali ke hotel untuk menguruskan bilik-bilik para jemaah. Sambil memberikan penerangan mengenai aktiviti ziarah dalam dan luar, saya mengagihkan kunci dan ahli jemaah mengikut bilik masing-masing. AlhamduliLlah, selesai sahaja mengagihkan kunci, azan asar berkumandang. Berpusu-pusu manusia di Tanah Haram tersebut menuju ke Masjid untuk menunaikan solat Asar.
Satu waktu diberikan ganjaran 1000 kali ganda, begitu juga dengan segala bentuk ibadah yang dilakukan di Masjid Nabawi tersebut.
Tidak sabar rasanya ingin memulakan ziarah ke tempat-tempat tinggalan sejarah Nabi Muhammad dan para sahabat. Akhirnya aku sampai di bumi yang pernah dipijak dan dibangunkan oleh Nabi bersama para Sahabat. AlhamduliLLah...
Bersambung...
7 comments:
subhanallah...dengkinya baca citer abg...
tapi ayat ni cam ada kepeningan skit:
Sungguh hairan, mata saya pejam semula sebaik semua makanan dihabiskan, dan kembali celik apabila hidangan seterusnya dihidangkan. Kejadian yang sungguh jarang-jarang berlaku.:-)
huhu..bila la boleh sampai kat sana...
really interesting experience....
ata: haha, seperti biasa, nta memang pandai mencuit... tapi, ana betul2 hairan dan betul2 jarang berlaku... ahaha
Allen: indah rupa dari khabar.. :-)
mengimpikan saat berdoa di depan kaabah :) alangkah indah nya saat itu
hoho..nta p x ajak ana..hoho.. Doakan ana pun akan sampai ke sana.InsyaAllah. :)
ana sgt stuju ngan ata..
cmne ada statement yg sungguh pelik itu..hehe
Hakim & Junaidi: InsyaAllah, semoga dipermudahkan.
Pijan: Ana sendiri pun pelik gak sebenarnya.. haha
Post a Comment