Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, September 13, 2010

Berlindung dari syaitan yang direjam

Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih.

"Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamu mengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf?" Ya Sin, 36:62.



Sebelum membaca, jemput untuk menjenguk laman teman saya yang sangat menarik untuk dikongsi dan direnung bersama... klik di sini...

Syawal dikaitkan dengan pembebasan syaitan daripada dibelenggu dan kembali menyesatkan manusia. Semangat dan ruh beribadah berlalu pergi bersama Ramadhan yang telah meninggalkan kita. Suasana yang berbeza, begitu terasa sebaik sahaja Ramadhan melabuhkan tirainya.

Manusia yang beriman meraikan kemenangan atas mujahadah dan amalan yang mereka lakukan sepanjang Ramadhan di bulan Syawal yang mulia. Dengan penuh insaf dan kesyukuran, terus-menerus meletakkan setinggi-tinggi perhambaan kepada Allah Ta'ala.

Ayat di atas menerangkan kepada kita perihal syaitan yang sentiasa berusaha menyesatkan manusia, dan Allah Ta'ala mengingatkan kita bahawa "jibillan" manusia yang telah disesatkan. Ramai yang disebutkan dalam ayat terebut bukan setakat juta, bahkan kebanyakan manusia di setiap zaman, menunjukkan bilangan yang disesatkan oleh syaitan ini sebenarnya adalah sentiasa majoriti berbanding jumlah manusia yang berjaya dalam ujian dan godaannya. Saya berlindung dengan Allah Ta'ala dari syaitan yang direjam.

Allah Ta'ala menerangkan di dalam ayat yang lain, golongan yang akan berjaya daripada godaan syaitan, iaitu janji Iblis:-

"Iblis berkata: " Wahai Tuhanku! Kerana Engkau telah menjadikan daku sesat, (maka) demi sesungguhnya aku akan memperelokkan segala jenis maksiat kepada Adam dan zuriatnya di dunia ini, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,"Kecuali di antara zuriat-zuriat Adam itu hamba-hambaMu yang ikhlas", Al-Hijr, 15 : 39-40.

Orang-orang yang ikhlas ialah orang yang bersih hatinya dari sebarang niat dan matlamat selain Allah Ta'ala. Tentu sekali kita yang kerdil, hina dan lemah ini belum mampu untuk menjadi orang yang ikhlas, hati kita tidak bersih, kotor dan mengotorkan. Maka berlindunglah diri daripada Allah dalam setiap perkara yang kita lakukan dengan mengingat dan menyebut namaNya selalu.

Baca di sini untuk banyak lagi kerosakan yang dibawakan oleh syaitan.. Satu daripadanya yang menarik untuk sama-sama kita renungkan,





"Persamaan syaitan, apabila ia berkata kepada manusia, 'Jangan percaya'; kemudian apabila dia tidak percaya, ia berkata, 'Sesungguhnya aku berlepas diri daripada kamu. Sesungguhnya aku takut kepada Allah, Pemelihara semua alam.'" (Al-Hasyr, 59:16)

Ayat di atas memberikan kita dua pengajaran, pertama syaitan menyesatkan manusia walaupun hakikatnya mereka sentiasa sedar tentang keesaan Allah Ta'ala. Mereka menyesatkan manusia sehingga manusia syirik dan melakukan kerosakan yang terkadang lebih teruk dari kerosakan dan kejahatan syaitan itu sendiri. Kedua, mereka memperdaya kita sehingga kita berasa selamat melakukan dosa dan kejahatan, dan apabila kita terperangkap dan dihukum atas kejahatan dan kerosakan yang kita lakukan, syaitan akan menjawab kepada kita, "Ko yang pilih, ko la yang tanggung, 'aku berlepas diri dari kejahatan kamu' ". Saya berlindung dengan Allah Ta'ala, dari kejahatan syaitan yang direjam.


Syaitan sentiasa mengekori kita, mencuba dan sentiasa berusaha menggelincirkan saya, juga kita semua daripada mengingati Allah. Kelalaian kita daripada mengingati Allah memberikan peluang kepada syaitan untuk menghasut dan memperdayakan kita untuk melakukan dosa dan kejahatan. Saya berlindung dengan Allah Ta'ala, dari kejahatan syaitan yang direjam.

Saya lemah, iman dan amal saya juga sangat lemah dan dengan mudahnya terpedaya pada godaan serta tipu daya syaitan. Hidup penuh dosa dan kesilapan. Saya tidak kebal daripada provokasi syaitan. Kita semua begitu. Maka, mulakanlah setiap aktiviti dan perbuatan kita dengan menyebut namaNya selalu. Dengan nama Allah kami hidup dan kami mati, kami berlindung dengan Allah Ta'ala dari kejahatan syaitan yang direjam.

Semoga kita terus hidup bersamaNya, kekal di dalam jagaanNya, dan ditempatkan di kalangan kekasih-kekasihNya, dari kalangan para Nabi, orang-orang yang sentiasa membenarkan, para syuhada', dan juga orang-orang yang soleh.

Saya berlindung dengan Allah Ta'ala dari kejahatan syaitan yang direjam...

No comments:

Antara Yang Menarik