Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, April 11, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 1-



Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Al-Isra', 17:1.

Meremang seluruh badan tatkala pemandu pelancong, Mr Qassim, membacakan ayat di atas sebagai permulaan bicaranya memberikan penerangan mengenai kunjungan kami ke bumi Palestin, yang kini dikuasai oleh Rejim Yahudi laknatuLlah. AlhamduliLlah, pada 21 Mac 2012 lalu, saya diberikan peluang untuk mengetuai rombongan peserta Umrah Baitul Maqdis seramai 32 orang (termasuk saya), menziarahi Jordan dan Baitul Maqdis, seterusnya membawa rombongan tersebut bagi menunaikan ibadah umrah dan ziarah di Mekah Dan Madinah.

Perjalanan kami bermula pada hari Rabu, 21 Mac 2012, menaiki pesawat Royal Jordan, berlepas pada jam 10.00 malam dan tibadi Queen Alia International Airport, Amman, Jordan pada jam 5.15 pagi. Setibanya kami di Amman, kami disambut oleh wakil Malhas Tours (Agensi pelancongan di Jordan), kami dikejutkan dengan berita bahawa pihak Israel menolak permohonan visa 3 orang peserta dari kumpulan kami. Oleh kerana mereka datang berempat, maka keempat-empat mereka terpaksa tinggal di Amman (mereka diberikan hotel di Arena Space Hotel, Amman, Jordan), sementara rombongan seramai 28 orang akan meneruskan perjalanan ke Baitul Maqdis.

Sekitar pukul 6.00 pagi, kami semua menaiki bas ke Hotel setelah selesai menunaikan solat subuh dalam waktu yang tersisa. Sesampai di hotel, kami menurunkan sebahagian beg untuk disimpan di hotel tersebut, dan sebahagian lagi di bawa ke Palestin. Selesai kami menikmati sarapan pagi (ala arab), kami pun meneruskan perjalanan ke Palestin, menuju ke Jambatan Raja Hussein (King Hussein Bridge) iaitu sempadan antara Jordan dan Negara Haram Israel.( Orang Yahudi Laknatullah menamakannya “Allenby”).

Kedudukan Amman terletak kira-kira 3000 kaki di atas paras laut, sebab itu cuaca di sana agak sejuk dan telinga kami berdengung kerana kami bergerak menuruni bukit sehingga ke bawah paras laut. Dalam perjalanan, sebelum sampai ke Palestin, kami singgah di sebuah tempat yang terdapat batu tanda menunjukkan aras paras laut, rupa-rupanya sebahagian bumi Palestin, termasuk laut mati terletak di bawah paras laut.

Laut mati, menurut papan tanda yang terdapat di situ, berada kira-kira 1000 kaki di bawah paras laut.
Pemandangan Di Jordan, dalam perjalanan menuju ke Sempadan Paelstin. Dapat diperhatikan keadaan dan perjalanan menuruni bukit
Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan kira-kira setengah jam sebelum sampai di Sempadan Imigresen Jordan. Pemandu pelancong kami di Jordan terpaksa turun pusat imigresen tersebut kerana hanya pelancong sahaja yang dibenarkan berada di sempadan. Segala urusan daftar masuk ke Palestin diserahkan kepada saya.

Tempat singgah yang menandakan paras aras laut. Batu Asas menunjukkan aras paras laut dan papan tanda yang menunjukkan kedudukan laut mati yang berada 1000 kaki di bawah paras laut.
Kebanyakan jemaah mula menampakkan kerisauan kerana begitu banyak pesanan yang diberikan oleh Mr Aqeef sebelum melepaskan kami ke Palestin. Menurut Mr Aqeef, sesampai di sempadan perkara yang perlu kami masing-masing hafal ialah nama agensi yang bakal menguruskan kami di Palestin dan kami dinasihatkan untuk menurut apa sahaja kehendak pegawai-pegawai yang menjaga sempadan tersebut, termasuk menjawab sahaja segala persoalan yang ditanyakan kepada kami, dan memberikan kerjasama yang baik sepenuhnya ketika berada di pintu sempadan tersebut.

Menurutnya, kebanyakan pegawai yang menjaga sempadan tersebut adalah orang yahudi, maka adalah lebih baik kita menurut sahaja apa yang diminta oleh orang-orang yahudi tersebut untuk mengelakkan sebarang masalah.

Bertemankan pemandu Bas, kami menuju ke sempadan Palestin. Disepanjang perjalanan ke sempadan tersebut, kami bertukar-tukar cerita mengenai kejahatan dan kezaliman orang-orang yahudi dan bagaimana kejamnya mereka memperlakukan orang-orang Palestin.

Seketika terimbau peristiwa perjanjian Balfour 1948, persitiwa Shabra dan Shatila, juga kekejaman dan nasib yang menimpa umat Islam di Baitul Maqdis dan juga di Gaza. Perasaan geram bercampur sedih menyelubungi kami semua tatkala menyeberangi Jambatan Malik Hussein (Orang Yahudi menamakannya Allenby). Namun, saya mengingatkan para jemaah supaya menyimpan segala perasaan dan menurut apa sahaja prosedur yang ditetapkan oleh pegawai imigresen yang menjaga sempadan masuk ke Palestin.

“Kita sebenarnya tak iktiraf pun Negara Israel ni, bagi kita Negara Israel ni Negara Haram dan tak wujud pun dalam peta dunia. Tapi, atas kelemahan kita (orang-orang Islam) sendiri, bumi ini dijajah dan dikuasai oleh orang-orang yahudi, maka kita terpaksa menurut arahan mereka,” pesan saya kepada jemaah.

Sesampainya kami di pintu masuk sempadan Negara Haram Israel (Pelestin) kami terpaksa menunggu agak lama sebelum bas tersebut dibenarkan untuk masuk ke Pusat Imigresen tersebut. Menurut pemandu bas, kami terpaksa menunggu giliran yang ditentukan oleh orang yahudi. Kerana, orang yahudi tidak mahu begitu banyak bas berada di kawasan sempadan tersebut.Mereka hanya membenarkan 2 buah bas berada di kawasan tersebut pada satu-satu masa.

Pintu Masuk ke Kawasan Pemeriksaan Sempadan Masuk ke Negara Haram Israel. (tertera tulisan hebrew, bahasa Israel) Hampir sejam kami menunggu di sini sebelum dibenarkan masuk.
Setelah hampir setengah jam menunggu barulah bas kami dibenarkan masuk. Sesampai di kawasan sempadan tersebut, kami tidak dibenarkan turun dan terpaksa menunggu lagi sebelum dibenarkan turun. Kelihatan orang-orang yahudi, semuanya mengenakan baju kalis peluru menjaga kawasan tersebut.

Kami terpaksa menunggu di dalam bas kerana ada sebuah rombongan dari Turki sedang melakukan pemeriksaan bagasi dan sedang mendaftar masuk ke Negara Haram Israel. Semua bagasi diperiksa dengan cukup teliti. Malah, botol air zam-zam juga dibuka satu persatu bagi memastikan tiada bahan selain dari air zam-zam di dalam botol tersebut. Setiap mesin pengimbas di sana dilengkapi dengan teknologi mengesan bahan letupan dan senjata api keran dikhuatiri pelancong yang masuk ke Negara Haram Israel ini membawa bekalan senjata untuk orang-orang Palestin yang tertindas di sana.

Seketika memerhatikan keadaan di sempada tersebut, tiba-tiba seorang pegawai yahudi menghampiri bas kami dan meminta pemandu bas membukakan pintu. Setelah pintu bas dibuka dia meminta salah seorang jemaah yang duduk di belakang untuk turun.

“Ada seorang penumpang kamu yang menangkap gambar, minta dia turun sekarang!” perintah pegawai yahudi tersebut.

Kerana saya menurut arahan pegawai yahudi tersebut, saya pun meminta jemaah yang berkenaan, Hj Harun untuk turun dari bas. Kami masih tidak dibenarkan turun, dan saya hanya mampu memerhatikan Hj Harun disoal siasat oleh pegawai Yahudi tersebut. Keadaan agak cemas ketika itu, dan saya hanya mampu berdoa semoga tiada masalah yang berat yang menimpa kami ketika itu.

5 comments:

Prof Harizz said...

wow!excited gile bace...

indah islam said...

kisah yg menarik..

Mardihah said...

salam tuan,

Menarik. saya ingin membuat sebuah cerpen. Mahu mengambil beberapa nukilan di dalam blog ini dan akan mengkreditkan di dalam cerpen saya. Mohon kebenaran dan tuan boleh emel kepada saya di mardihahadam@yahoo.com

Anonymous said...

Gmbr diatas ialah msjid dome of rock. Bukan masjid al aqsa. Sila ambil perhatian dan google masjid al aqsa yg sebenar

Farid Albariti said...

Betul, gambar di atas adalah gambar Dome Of The Rock..

Tapi, ianya terletak dalam kawasan masjid Al-Aqsa... Sebab, masjid Al-Aqsa ni bukan sahaja dewan masjid yang berwarna putih tu, tapi melibatkan seluruh kawasan yang dilingkari oleh Kota Lama yang dibina Oleh Sultan Sulaiman...

Antara Yang Menarik