Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, January 7, 2019

Perjalanan Penyucian Jiwa- Umrah Hilton Dis 2018

"Aku memulakan seperti mana telah dimulakan oleh Allah Ta'ala dan RasulNya, 'Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian dari syiar (lambang) Agama Allah, maka sesiapa yang menunaikan Haji di Baitullah atau mengerjakan Umrah, maka tiadalah salah ia bersaie (berjalan berulang-alik) di antara keduanya. Dan sesiapa yang bersukarelah mengerjakan perkara kebajikan, maka sesungguhnya Allah memberi balasan pahala, lagi Maha Mengetahui" 

Inilah doa ketika memulakan perjalanan mendaki Bukit Safa untuk memulakan perjalanan Ibadah Saie yang wajib ke atas semua tetamu-tetamu Allah yang ingin mengerjakan Umrah mahupun Haji.

Perjalanan UMRAH Disember 2018 sebenarnya memberi makna yang begitu mendalam. Walaupun setiap perjalanan Umrah mahupun Haji itu sememangnya istimewa, namun setiap perjalanan Allah tetapkan kelainan. Selain ini adalah umrah pertama sejak kali terakhir pada empat tahun yang lalu, ini juga adalah umrah pertama yang saya bimbing menetap di hotel berhadapan Masjid Haram (Sangat dekat), dan ini juga kali pertama saya menjejakkan kaki ketika musim sejuk berada di kemuncaknya, dan pertama kali membawa jemaah ziarah ke bumi Taif.

Kesemua pengalaman pertama termasuk kali pertama bilik dimasuki pencuri, dan kali pertama kehilangan wang yang cukup besar nilainya.

Allah Maha Besar.

Saya sedih dan menitiskan air mata, bukan kesal kerana kehilangan duit , tetapi bimbang, adakah ujian yang berat ini tanda Allah murka dan marah dengan saya. Saya tak tahu jawapannya, tetapi saya menyerahkan segalanya kepada Allah dan memohon maaf kepada yang terlibat dalam hal tersebut.

Setiap kali saya ditugaskan untuk membawa jemaah umrah, saya sentiasa memfokuskan tujuan saya untuk memberi khidmat kepada Jemaah. Setiap trip, saya akan membayangkan itu sebagai tugas untuk saya memastikan jemaah mendapat apa yang sepatutnya mereka dapat. Untuk saya secara peribadi, ada, namun keperluan jemaah adalah lebih utama.

Jika difikirkan, memang kalau boleh saya nak beriktikaf sepanjang masa, menghabiskan masa menunaikan umrah sebanyak mungkin, tawaf sunat sebanyak mungkin, solat setiap waktu di belakang imam, menghabiskan 30 juz Al-Quran di Masjid Haram, merebut kelebihan berpuasa pada setiap isnin dan khamis, begitu juga hari-hari putih sepanjang masa berada di sana, mengikuti kelas-kelas kuliah agama di sebanyak sudut yang ada di Masjid, dan banyak lagi kelebihan amal dan ibadah yang boleh direbut di sana.

Namun, keutamaan Jemaah adalah lebih utama.

Misi kali ini tidak ubah seperti misi-misi trip Umrah saya yang sebelumnya. Memastikan Jemaah dapat menunaikan ibadah dengan baik, lengkap dan sempurna.

Kita tidak akan dapat lari dari melakukan kesilapan, namun, janganlah sampai kesilapan dan kekurangan kita memberi kesan kepada orang lain.

Perjalanan kali ini juga sangat mendebarkan. Ketika awalnya saya dijadualkan membawa jemaah pada tarikh 15 Disember 2018, iaitu trip biasa (Bukan Hilton). Namun, kemudiannya saya diminta untuk membawa jemaah pada tarikh 19 Disember 2018, sedikit lewat, dan akan menetap di Hilton. Jauh di sudut hati ada sedikit kerisauan, kerana cabaran hotel dekat ini sebenarnya berbeza dengan cabaran hotel jarak sederhana yang lain, biasalah, lain padang lain belalang.

Ternyata, perancangan Allah sangat sempurna, rupanya tarikh yang dilewatkan ini ada hikmah yang banyak dan besar. Rupanya, tarikh peperiksaan pengajian saya (sambung belajar) ialah pada 17 dan 18 Disember, ini hikmah pertama, dan hikmah kedua ialah saya sempat menyiapkan beberapa persiapan awal sebelum buka sekolah. 

Alhamdulillah. Saya hanya sempat menelaah kembali ibadah umrah, buku-buku dan perkara-perkara berkaitan umrah ini minggu-mingu akhir sebelum berangkat. Terima kasih kepada sepupu saya, Ust Falihin, kerana memberi banyak tunjuk ajar, sempat menuntut dulu dengan beliau sebelum berangkat.

Ustaz Ismi dan Ustaz Salim, tidak perlu diceritakan lagi banyaknya jasa dan pertolongan yang mereka berikan. 






18 Disember 2018, setelah selesai menduduki peperiksaan, saya bingkas balik, menyiapkan beberapa tugasan sepanjang peninggalan saya. Beberapa wasiat perlu ditinggalkan, untuk Pusat Pengajian Taybah, dan SRITI At-Ta'alim. Pada awalnya kami bercadang nak bergerak lewat pagi sekitar jam 4 pagi, ke Kelang, lokasi pemukiman Isteri dan 5 orang cahaya mata kami, namun perjalanan dimulakan awal. Sekitar jam 12 malam kami tiba di kelang, dan keesokan harinya selepas Subuh saya dihantar oleh Isteri, ditemani adiknya ke KLIA.

Sudah agak kekok, kerana 4 tahun lamanya tidak menguruskan jemaah, namun Staf Darul Mubarak Kajang, Darul Mubarak Batu Caves, begitu cekap menguruskan hal-hal daftar masuk penumpang dan bagasi, urusan selesai agak awal, sekitar jam 10 pagi, kami sudah boleh masuk ke dalam terminal menuju ke pintu untuk menaiki Kapal Terbang (Boarding Gate).

Pada awalnya, jadual solat zuhur dan Asar ialah di dalam Kapal Terbang, kerana masa berlepas ialah 11.50 minit pagi. Namun, sekali lagi, Takdir mengatasi tadbir, Allah lewatkan perjalanan kami, sehingga dapat kami menunaikan solat secara jamak zuhur dan asar di Lapangan Terbang.

Tepat 2.30 petang kami menaiki pesawat dan berlepas ke Lapangan Raja Muhammad Bin Abdul Aziz, Madinah, Arab Saudi. Kami tiba sekitar jam 6.30 petang, waktu tempatan, setelah menempuh penerbangan selama lebih kurang 8 jam setengah.

Selesai menuntut bagasi dan menunaikan Solat Jamak Taakhir Maghrib dan Isya', kami disambut oleh petugas Darul Mubarak di Madinah, Ustaz Jajang. Di Madinah, ketika musim sejuk, malamnya lebih awal, masuk waktu Isya jam 7 malam, maka malam lebih panjang dari siang. Jika musim panas, siang lebih lama dari malam, masuk maghrib sekitar jam 7 seperti di Malaysia.

Perasaan yang begitu menggembirakan, menenangkan, dan begitu bersemarak tatkala melihat bangunan-bangunan, bukit-bukit dan orang ramai yang berada di bumi bersemadinya Insan Agung, RasuluLlah SAW. Hampir sahaja mulut kelu dari berkata-kata, Allahumma Salli 'Ala Habibina Al-Mustafa Saiyidina Muhammad Wa 'Ala aalihi wa ashabihi ajmain.


Usai memberikan taklimat kepada jemaah, sesampai di hotel, sambil menunggu kunci bilik masing-masing, dan barang-barang di angkat oleh عمال hotel, saya menetapkan temu janji untuk berkumpul di lobi jam 4.00 pagi untuk saya bawa ke Masjid, bagi menunaikan solat Subuh keesokan harinya. Saya memberi peluang kepada jemaah untuk berehat.

Tepat Jam 4.00 pagi, saya menunggu di Lobi, setelah dipastikan tiada lagi jemaah yang mahu turut serta, kami bergerak perlahan-lahan menuju ke Masjid. Suhu dianggarkan sekitar 19 darjah celcius. Sejuknya, masyaAllah. Setiap langkah dipenuhi dengan tuturan selawat dan salam buat Baginda. "Ya Allah, segala puji bagiMu Ya Allah, Engkau izinkan hambaMu yang berdosa ini untuk menjejakkan kaki ke bumi RasulMu ini. Segala puji bagiMua Ya Allah."

Terasa besarnya anugerah Allah, atas peluang menziarahi Nabi, beribadah di Masjid Nabawi ini dan menyampaikan Salam buat Baginda. Selesai memberi panduan perjalanan pergi dan balik kepada jemaah, kami berpisah, lelaki dan perempuan. Saya membawa sebahagian bersama yang ingin masuk ke masjid bersama.


Selesai solat subuh, kami pulang ke hotel, menikmati sarapan. Jadual kami pagi tersebut ialah Ziarah Dalam. Janji temu dibuat jam 7.30 di Lobi untuk memulakan Ziarah, dibimbing oleh saya sendiri.


Bersambung....

No comments:

Antara Yang Menarik