Seminggu pertama untuk tahun akhir kedua di UKM sudah hampir berlalu. Walaupun di merata-rata dunia sedang mengalami kekecohan, namun suasana agak tenang dan damai di UKM.
Masyarakat kampus di UKM sedikit pun tidak terkocak walaupun hujan dan badai melanda seluruh dunia.
Di tengah-tengah ketenangan UKM, En Otak masih dengan kekalutan yang belum pernah ada rehatnya. Kali ini, dengan azam mengembalikan Farid ke UKM.
Untuk berjaya, menurut En Otak, Farid perlu segera kembali ke UKM. Kembali untuk mendapatkan apa yang sepatutnya menjadi milik Farid, kejayaan.
"Sebagaimana engkau pernah cemerlang dulu, kali ini juga sama, engkau boleh," seru En Otak.
"Engkau adalah apa yang aku fikirkan; jika aku fikirkan engkau boleh, maka engkau pasti boleh melakukan," sambung En Otak.
Teringat kata-kata nenek Orang labah-labah,
"A great ablities come with a great responsibilities".
Terima kasih atas peluang ini, semuanya kerana Kau Ya Allah...
Foto: 7 Mac 2009: Orang ramai ditembak dengan meriam air ketika berusaha mencari perlindungan di dalam Masjid Negara.
19 Julai 2002 - mesyuarat khas jemaah menteri, waktu itu perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, meluluskan dasar baru Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI)
Januari 2003 - dasar ini diperkenalkan berperingkat-peringkat dengan dimulai Tahun 1 untuk peringkat sekolah rendah, Tingkatan 1 dan Tingkatan 6 Rendah untuk sekolah menengah
Januari 2007 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah menengah
Januari 2008 - pelaksanaan penuh PPSMI untuk peringkat sekolah rendah
Mac 2009 - lebih 8,000 menyertai demonstrasi membantah PPSMI dengan berarak ke Istana Negara. Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang diketuai oleh Datuk A Samad Said dan Datuk Dr Hassan Ahmad.
Mac 2009 - Satu kajian mendapati PPSMI hanya berjaya meningkatkan empat peratus penguasaan bahasa Inggeris tetapi sebaliknya mengurangkan minat untuk mempelajari Sains dan Matematik.
Kajian 53 pakar bahasa itu, merumuskan dasar kontroversi tersebut "menimbulkan kerugian berganda kepada kepada murid, terutama kepada 75 peratus murid yang tergolong dalam kategori (pencapaian) sederhana dan lemah dalam tiga mata pelajaran terbabit, Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik."
Foto: 7 Mac 2009: Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said disembur gas pemedih mata.
Mei 2009 - kesemua lima Sasterawan Negara yang masih hidup menolak dasar ini - sekali gus buat pertama kali dalam sejarah penentangan dasar kerajaan.
Jun 2009 - Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mempertikaikan dasar tersebut dengan memberi amaran "jangan jadikan pelajar bahan ujian" dasar yang "jelas mempunyai pelbagai kelemahan ketara"
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman pula berkata "salah, tidak beretika dan tidak rasional jika dasar pendidikan negara diputuskan melalui prasangka, emosi, persepsi dan andaian individu-individu tertentu yang tidak mempunyai kepakaran dalam bidang pendidikan sebenarnya."
8 Julai 2009 - Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan dasar PPSMI dimansuhkan sepenuhnya pada 2012
Selama saya hidup, saya sering memerhatikan keadaan dan perkara yang berlaku di sekitar saya. Mungkin dengan agak teliti berbanding orang lain. Seringkali saya merasakan, setiap perkara yang berlaku seperti telah dirancang dan ada dalang disebalik setiap seuatu.
Saya masih teringat perasaan saya di darjah 3, di Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana, Ampang, Selangor. Waktu itu, awal tahun 1995, saya baru sahaja bertukar sekolah. Sebelum ini, sekolah lelaki, S.K. Saint Gabriel, Jalan Perwira, K.L. Berada di sekolah baru, semuanya menjadi sangat ganjil dan berbeza.
Saya ditempatkan di kelas 3 Fairuz, kelas ke-tiga menurut kedudukan kepandaian antara semua kelas darjah 3. Tiba-tiba ada seorang cikgu masuk ke kelas, memberi salam dan terus membuat pengumuman,
"Pada tangan saya ada 5 borang permohonan untuk menjadi pengawas sekolah, siapa yang berminat untuk menjadi pengawas?" umum beliau, berkaca mata, tinggi lampai dan agak segak gayanya. Kalau tidak silap, Cikgu Fauzi namanya, mengajar Matematik Tahap 1.
Serentak dengan pengumuman itu, maka ramailah rakan-rakan sekelas yang mengangkat tangan masing-masing menawarkan diri untuk mengisi borang menjadi pengawas sekolah. Sudah semestinya begitu, kerana pengawas bagi kami adalah suatu gelaran yang sangat suci dan dihormati. Tidak kurang ada yang membayangkan diri akan menjadi semakin segak dengan uniform biru.
Satu demi satu borang di"lelong" oleh Cikgu Fauzi, hinggalah borang ke-5. Pada awalnya, saya kurang berkeyakinan untuk merebut jawatan tersebut. Cikgu Fauzi pula seolah-olah terlalu memilih dan berhati-hati untuk memberikan borang tersebut.
Akhirnya, saya angkat tangan untuk cuba mendapatkan borang yang ke-5.
"Hah, kamu!" Cikgu Fauzi terus menunjukkan borang itu ke arah saya. Terkesima melihat muka Cikgu Fauzi yang tersenyum manis. Saya mematikan gerak, sambil menunggu kepastian.
"Ya, kamu!" Cikgu Fauzi seolah-olah dapat membaca keraguan yang terpancar pada muka saya.
Saya bingkas bangun, "Terima kasih cikgu," ujar saya kesopanan dan agak terharu dengan pengiktirafan tersebut.
"Ingat, hantar pada saya sebelum hari Jumaat, penapisan akan dibuat dalam masa terdekat," umum Cikgu Fauzi sebelum meninggalkan kelas.
Ketika waktu rehat, saya berjalan keseorangan ke kantin, tiba-tiba sufian, rakan sekelas 3 Fairuz, menyapa dari belakang.
"Kau betul-betul nak jadi pengawas ke?" soal sufian.
"Kenapa?" balas saya kembali.
"Kalau kau tak nak, bagi borang tu kat aku, aku minat jugak jadi pengawas ni," ujar Sufian, seingat saya, sufian juga tidak mengangkat tangannya. Dia berada di barisan belakang, dan semua yang berada di barisan belakang tidak mengangkat tangan kecuali aku.
"Ambiklah, kena hantar sebelum jumaat tau," sahutku spontan.
Sufian akhirnya berjaya dipilih menjadi pengawas. Kekal hingga ke darjah 6. Dia berjaya mengekalkan prestasi yang baik serta disiplin yang ternyata jauh lebih baik dari saya. Mungkin saya sendiri tidak mampu menjadi sebaik sufian sekiranya dipilih menjadi pengawas.
Dengan mengambil kira apa yang berlaku, saya rasa Cikgu Fauzi telah di"program"kan untuk menyerahkan borang itu kepada saya. Sufian pula di"program"kan untuk meminta borang itu daripada saya, maka penilaian akan dibuat berdasarkan keputusan saya sama ada ingin menyerahkan borang itu atau tidak.
Semasa di darjah 3, saya dipindahkan kelas sebanyak 2 kali. Ke kelas 3 Delima sekali, kemudiannya ke kelas 3 Berlian. Delima kelas kedua, dan berlian kelas No 1. Inipun saya rasakan hanya dugaan semata-mata. Saya kurang pasti apakah sebab dan punca perpindahan, namun saya pasti ada dalang disebaliknya.
Maka, saya terfikir. Siapa sebenarnya dalang kepada semua perkara yang berlaku dalam hidup ini? Kenapa saya sering merasakan ada pakatan-pakatan disebalik setiap yang berlaku. Malah saya juga merasakan ada pihak yang merakam tindakan saya untuk menguji sikap dan perbuatan saya.
Susah hendak digambarkan, tapi sememangnya itulah perasaan saya ketika kecil dulu, dan semakin kuat perasaan itu hingga ke hari ini. Walaupun aneh, tetapi saya selesa dengan keadaan ini. Menjadikan saya hamba yang merdeka.
Susulan kegemparan protes "anti-Rosmah" yang berlaku di Universiti Malaya, saya berpendapat Pimpinan Mahasiswa UM perlu mengambil pendekatan yang lebih professional. Kedua-dua Mahasiswa yang terbabit dalam kes tersebut tidak perlu melumpuhkan keseluruhan gerakan Mahasiswa yang sepatutnya perlu terus digerakkan.
Bagi saya, kita serahkan 2 Mahasiswa itu untuk diadili oleh pihak berkuasa. Walaupun pihak berkuasa yang ada ibarat pagar, pagar makan padi, namun adatnya biarlah sesuatu perkara itu diselesaikan dengan "baik" terlebih dahulu sebelum menggunakan cara yang lain.
Saya sama sekali menyanggah cadangan untuk membuat bantahan secara besar-besaran terhadap isu ini. Bimbang dilihat sebagai sanggup melindungi penjenayah semata-mata untuk kepentingan politik.
Jika benar, kita berani. Sebaliknya pula kalau berasa di pihak yang salah. Contohi kesabaran 7 Mahasiswa dalam ISA 7 yang bertarung habis-habisan. Sepanjang perjuangan mereka terdapat terlalu banyak tragedi pahit dan manis. Akhirnya, walaupun hak mereka diperkosa, masih lagi mereka didendang oleh masyarakat kerana kebenaran mereka.
Dalam kes di UM, mereka masih belum dibuktikan bersalah, jadi kita bersama mereka untuk memperjuangkan. Sekiranya mereka bersalah, kita perlu bersedia untuk berlaku jujur dan menjadikan peristiwa ini sebagai iktibar. Kemenangan bukanlah apabila kita sentiasa berada pada tempat pertama, bahkan kemenangan itu diperolehi apabila ia menjadikan kita lebih baik dari sebelumnya.
Isu ini pastinya menjanjikan suasana yang lebih menarik dalam senario Gerakan Mahasiswa. Ia akan menjadi lebih menarik kerana peluang inilah yang ditunggu-tunggu oleh "pendengki" kepada Gerakan Mahasiswa untuk cuba melenyapkan dan memadam api kemaraan Mahasiswa.
Jangan biarkan walau seinci musuh kita mendahului perancangan dan kemaraan perubahan yang ingin kita bawakan. Justeru, Mahasiswa perlu berfikir dengan kritis dan kreatif serta memandang jauh ke hadapan dalam menghadapi segala tipu daya musuh apalgi dalam suasana genting seperti ini.
Pimpinan UM perlu bertanggungjawab dan bersikap lebih profesional. Sekadar nasihat dan teguran ikhlas dari seorang sahabat.
Kebetulan, aku telah pun dimasukkan ke dalam kumpulan Usrah Timbalan Presiden ISIUKM, Ustaz Abd Syukor B Othman, FST/3. Dalam satu perjumpaan Usrah di Masjid UKM, kami membincangkan mengenai bab Aqidah. Sejurus sebelum tamat sesi usrah, dia mengingatkan kami untuk menyertai program KKI II. Aku seorang sahaja yang memberi respon negative(sekali lagi aku salahkan doktrin PC-PC 3M). Dia memaksa aku pergi dengan jaminan bahawa aku akan rugi seumur hidup kalau tak pergi.
Setelah “gagal” menghadirkan diri ke beberapa sesi taklimat yang dianjurkan oleh pimpinan ISIUKM, aku dihubungi oleh Exco Tarbiyyah ISIUKM, Ustaz Faizal Ibrahim, FPI/3.
“Ana ada hal sikit hujung minggu ni,” respon aku spontan kepada soalan pertama Ust Faizal.
“Kalau nta ada masalah duit, bagitau, ana boleh bagi diskaun pada anta,” balas Ust Faizal.
Aku terkelu, kagum kerana dia dapat meneka bahawa aku sedang bergelut mencari alasan.
“Farid, esok taklimat terakhir, ana cadangkan enta pergi je dulu taklimat. Lepas taklimat kalau nta tak dapat pergi pun takpe.
Akhirnya, aku pun hadir ke taklimat di bilik seminar FPI. Hari itu, Ust Faizal terus memikat dengan hujah dan kaedah yang sangat menarik.
Aku “terpedaya” dan akhirnya melangkahkan kaki ke KKI II.
Jumaat petang, kami berkumpul di Masjid UKM, menaiki bas ke Masjid KLIA. Hari pertama dan hari kedua kami nikmati dengan indahnya di sekitar Masjid KLIA. Walaupun hanset aku hilang, sedikitpun tidak terbanding dengan nilai mutiara yang aku terima semasa di KKI II ini.
Pagi hari ketiga, kami dikejutkan pada awal pagi. Pukul 3, kami sudah bangun dan bersiap untuk pertukaran tempat. Kami menaiki bas beramai-ramai ke Kem Rebutia, Gombak. Kami tiba di Kem Rebutia sekitar jam 5 pagi, menapak lebih dari sekilo ke tapak kem rebutia dari jalan besar. Setelah selesai solat subuh, bermulalah aktiviti kembara hutan. Macam-macam perkara menarik dengan modul yang sangat menguji Intelek, Emosi, Fizikal, dan spiritual kami.
Di penghujung kembara, ada aktiviti Tali Tinggi(High Rope), berjalan atas tayar, bergayut dan kemuncaknya terbang musang(Flying Fox).
Allahu Akbar!!!
Sambil duduk menantikan teman-teman yang lain, aku terfikir.
Apa agaknya yang aku tengah buat sekarang kalau aku tidak memilih untuk menyertai KKI II?
Apa agaknya nasib iman dan islamku jika aku memilih untuk duduk membatu di kolej tanpa sebarang aktiviti yang berfaedah?
AlhamduliLlah.
Tahun ni, ISIUKM akan menganjurkan program yang sama yang diberi nama KERIS. Sepanjang 4 tahun aku di UKM, sudah tiga kali program ini bertukar nama. Dan setiap pertukaran nama itu didahului dengan karenah birokrasi yang melampau. Semoga Allah menerima taubat pihak-pihak yang menghalang dan menunjukkan mereka ke jalan yang benar.
Kepada semua pelajar UKM, anda dijemput dan digalakkan untuk menyertai program ini. Tiada had umur, tiada sempadan bangsa, ideologi apalagi fakulti. Saya dengan yakinnya memberi amaran...
Anda akan menyesal seumur hidup kalau terlepas peluang mengikuti program ini!!!
Aku sememangnya bernasib malang apabila terpilih di antara ribuan sialan yang lahir pada tahun 1986 untuk menjadi bahan uji Jabatan Latihan Khidmat Negara, Kementerian Pertahanan Malaysia(Di bawah Najib). Tiga bulan di neraka, telah merosakkan 90% daripada kehidupan aku. Kerosakan terbesar, menyebabkan aku gagal menyambung STAM di KISAS. Aku mula pandai bersoSIAL dan terjebak dalam keliaran. Iman aku waktu itu terasa begitu dahsyat pasang dan surutnya.
Akhirnya, tercampaklah aku ke Kolej Matrikulasi Kedah, Changlun, Kedah. Sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Di peringkat awal aku di KMK, saki baki kerosakan PLKN masih melekat pada badan aku. Agak sukar untuk dibuang. Sehinggalah aku bertemu dengan rakan yang baik, yang mampu membimbing aku keluar dari malapetaka dunia. Aku menyesal kerana terlalu banyak hati yang aku lukakan, terlalu banyak kerosakan yang aku lakukan.
Ke UKM akhirnya...
AlhamduliLlah, berjaya menamatkan dengan baik sehinggalah aku masuk ke UKM. Aku meletakkan 7 dari 8 pilihan aku di UKM, dan pilihan kedua aku dikabulkan.
Minggu Mesra Mahasiswa yang mendukacitakan...
Aku sebenarnya menaruhkan harapan tinggi ketika berada di UKM. Aku hampir-hampir dibunuh sekali lagi dalam Minggu Mesra Mahasiswa Baru, sesi kemasukan 2005/2006, atau 3M. Aku lebih rela tidak hadir ke majlis penutup, dan terlepas untuk naik pentas menerima hadiah Johan Bola Sepak, daripada terus dibunuh dan dipermainkan oleh PC dan pentadbiran Kolej waktu itu, Pengetua KKM waktu itu Idris Zakaria(FPI) dan Pengurus En Syed dan En Nizam(sekarang pengurus di KIY).
Mereka begitu bangang menyajikan Mahasiswa baru dengan telatah keji mereka yang langsung tidak mencirikan keintelektualan mereka sebagai warga UKM. Menyanyi dan menari yang entah apa-apa. Seingat aku lebih daripada 50 orang Mahasiswa yang keluar meninggalkan dewan pada malam itu kerana tidak mampu menahan rasa mual terhadap gelagat beruk jelmaan manusia.
Minggu Pengenalan dan Pendaftaran Persatuan M3P.
Sebelum masuk ke UKM, aku berhubung dengan senior aku di KISAS, Suzaimee Zakaria, yang juga Mahasiswa FUU tahun 2 waktu itu. Awal-awal lagi dia mengajak aku menyertai Ikatan Studi Islam, ISIUKM. Pada awalnya aku bersetuju. Aku ponteng program hujung minggu 3M di kolej semata-mata untuk berjumpa dengan pimpinan ISIUKM di Masjid UKM. Dengan berjalan kaki bersama seorang sahabat, Ahmad Farhan Bin Jusoh, dari KKM ke Masjid UKM.
Namun begitu, aku akui bahawa semasa pendaftaran persatuan, tetap ada perasaan takut dan prasangka negative terhadap ISIUKM hasil doktrin durjana PC-PC dalam 3M. Jenuh aku berfikir dan membuat pertimbangan, akhirnya kata-kata seorang pimpinan ISIUKM di Masjid selepas Solat Jumaat menyebabkan aku terus ke Pusanika untuk mendaftar sebagai ahli ISIUKM.
Dia menyebut, “Kalau orang Islam pun takut nak sertai Persatuan Islam, baik jangan jadi Islam. Sia-sia belajar agama tinggi-tinggi kalau takut dengan Persatuan Islam,” Fahzan, Fpend/3, Exco LASAK ISIUKM.
Jadilah aku ahli ISIUKM yang ke-300an mendaftar pada sesi tersebut. Pada minggu berikutnya, semua ahli ISIUKM yang baru diajak untuk mengikuti satu program yang di beri nama Kem Kembara Insan II, KKI II. Diberi nama II kerana tahun sudah telah pun dianjurkan yang pertama.
Sebelum ini... Siapa aku sebenarnya... Walaupun menggelarkan diri dengan gelaran albariti(maksud = asal dr Parit), tapi 18 tahun hidup aku habiskan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur. Walaupun dilahirkan di rumah Ketua Polis Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, aku berpindah ke Cheras, Kuala Lumpur seawal usiaku 4 tahun. Kemudian terus membesar sehingga usiaku 12 tahun dan menyambung pelajaran di kampungku, Parit,Perak. Terkadang aku mencipta sebab kenapa aku dipindahkan untuk bersekolah di kampung. Hanya ada satu sebab yang terlintas, Nakal. Waktu darjah 4 hingga 6, begini jadual seharianku, 7 pg keluar rumah, 7 malam pulang ke rumah. Keluar baju putih, balik baju warna warni. Mungkin itulah sebabnya aku dipindahkan ke Parit, Perak. Tapi di sana, aku mula mengenal diri. Pak cik dan Mak cik yang berada di kampung benar-benar memberikan suasana kehidupan yang berbeza bagi aku. Terlalu jauh hiruk-pikuk kota dengan riuh rendah di desa. Aku mula menanam azam untuk membaiki diri dan menyemai cita-cita dalam hidup. Sepanjang aku di Sek Men Sultan Muhammad Shah, Parit, Perak, hanya ada tiga nombor yang pernah aku dapat dalam semua ujian, 1, 2, dan 8. Akhirnya PMR, 9A, dan terus ke bumi waqafan, Kolej Islam Sultan Alam Shah, Kelang, Selangor. Dilahirkan untuk kali ke-3... Aku dilahirkan buat kali ketiga semasa di KISAS. Justeru, kalau ditanya, nikmat apa yang paling berharga selepas Iman dan Islam? Bagi aku, KISAS. 2 Tahun yang berharga berlalu dengan pantasnya. Sesekali deru air mata mengalir terasa ingin diulang manisnya perasaan dicubit Ustaz Fazdi, ditampar Ustaz Sheikh, ditengking Miss Linn dan ramai lagi murabbitun yang menggasak dan menyental segala daki dan kotor jijik keburukan yang ada pada aku. Hasil yang tidak dapat membanggakan, aku memperolehi 7A 4B dalam SPM. Keputusan tersebut menaikkan lagi semangat aku untuk menyambung di KISAS, mungkin STAM.