Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, July 7, 2009

Encik Otak kembali lagi.. Kali ini, dengan sesuatu yang lebih memeningkan..

Selama saya hidup, saya sering memerhatikan keadaan dan perkara yang berlaku di sekitar saya. Mungkin dengan agak teliti berbanding orang lain. Seringkali saya merasakan, setiap perkara yang berlaku seperti telah dirancang dan ada dalang disebalik setiap seuatu.



Saya masih teringat perasaan saya di darjah 3, di Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana, Ampang, Selangor. Waktu itu, awal tahun 1995, saya baru sahaja bertukar sekolah. Sebelum ini, sekolah lelaki, S.K. Saint Gabriel, Jalan Perwira, K.L. Berada di sekolah baru, semuanya menjadi sangat ganjil dan berbeza.

Saya ditempatkan di kelas 3 Fairuz, kelas ke-tiga menurut kedudukan kepandaian antara semua kelas darjah 3. Tiba-tiba ada seorang cikgu masuk ke kelas, memberi salam dan terus membuat pengumuman,

"Pada tangan saya ada 5 borang permohonan untuk menjadi pengawas sekolah, siapa yang berminat untuk menjadi pengawas?" umum beliau, berkaca mata, tinggi lampai dan agak segak gayanya. Kalau tidak silap, Cikgu Fauzi namanya, mengajar Matematik Tahap 1.

Serentak dengan pengumuman itu, maka ramailah rakan-rakan sekelas yang mengangkat tangan masing-masing menawarkan diri untuk mengisi borang menjadi pengawas sekolah. Sudah semestinya begitu, kerana pengawas bagi kami adalah suatu gelaran yang sangat suci dan dihormati. Tidak kurang ada yang membayangkan diri akan menjadi semakin segak dengan uniform biru.

Satu demi satu borang di"lelong" oleh Cikgu Fauzi, hinggalah borang ke-5. Pada awalnya, saya kurang berkeyakinan untuk merebut jawatan tersebut. Cikgu Fauzi pula seolah-olah terlalu memilih dan berhati-hati untuk memberikan borang tersebut.

Akhirnya, saya angkat tangan untuk cuba mendapatkan borang yang ke-5.

"Hah, kamu!" Cikgu Fauzi terus menunjukkan borang itu ke arah saya. Terkesima melihat muka Cikgu Fauzi yang tersenyum manis. Saya mematikan gerak, sambil menunggu kepastian.

"Ya, kamu!" Cikgu Fauzi seolah-olah dapat membaca keraguan yang terpancar pada muka saya.

Saya bingkas bangun, "Terima kasih cikgu," ujar saya kesopanan dan agak terharu dengan pengiktirafan tersebut.

"Ingat, hantar pada saya sebelum hari Jumaat, penapisan akan dibuat dalam masa terdekat," umum Cikgu Fauzi sebelum meninggalkan kelas.

Ketika waktu rehat, saya berjalan keseorangan ke kantin, tiba-tiba sufian, rakan sekelas 3 Fairuz, menyapa dari belakang.

"Kau betul-betul nak jadi pengawas ke?" soal sufian.

"Kenapa?" balas saya kembali.

"Kalau kau tak nak, bagi borang tu kat aku, aku minat jugak jadi pengawas ni," ujar Sufian, seingat saya, sufian juga tidak mengangkat tangannya. Dia berada di barisan belakang, dan semua yang berada di barisan belakang tidak mengangkat tangan kecuali aku.

"Ambiklah, kena hantar sebelum jumaat tau," sahutku spontan.

Sufian akhirnya berjaya dipilih menjadi pengawas. Kekal hingga ke darjah 6. Dia berjaya mengekalkan prestasi yang baik serta disiplin yang ternyata jauh lebih baik dari saya. Mungkin saya sendiri tidak mampu menjadi sebaik sufian sekiranya dipilih menjadi pengawas.

Dengan mengambil kira apa yang berlaku, saya rasa Cikgu Fauzi telah di"program"kan untuk menyerahkan borang itu kepada saya. Sufian pula di"program"kan untuk meminta borang itu daripada saya, maka penilaian akan dibuat berdasarkan keputusan saya sama ada ingin menyerahkan borang itu atau tidak.



Semasa di darjah 3, saya dipindahkan kelas sebanyak 2 kali. Ke kelas 3 Delima sekali, kemudiannya ke kelas 3 Berlian. Delima kelas kedua, dan berlian kelas No 1. Inipun saya rasakan hanya dugaan semata-mata. Saya kurang pasti apakah sebab dan punca perpindahan, namun saya pasti ada dalang disebaliknya.

Maka, saya terfikir. Siapa sebenarnya dalang kepada semua perkara yang berlaku dalam hidup ini? Kenapa saya sering merasakan ada pakatan-pakatan disebalik setiap yang berlaku. Malah saya juga merasakan ada pihak yang merakam tindakan saya untuk menguji sikap dan perbuatan saya.

Susah hendak digambarkan, tapi sememangnya itulah perasaan saya ketika kecil dulu, dan semakin kuat perasaan itu hingga ke hari ini. Walaupun aneh, tetapi saya selesa dengan keadaan ini. Menjadikan saya hamba yang merdeka.

1 comment:

Anonymous said...

ooo..
SKTNian jugak~

Antara Yang Menarik