Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, October 26, 2009

Inni Akhafullah...

Orang-orang yang beriman wajib mempercayai akan adanya hari kebangkitan. Beriman dengan hari kebangkitan ini termasuklah beriman bahawa semua manusia akan dibangkitkan semula, dihitung segala amalan, dan diberikan ganjaran syurga atau dibalas dengan api neraka. Malah turut beriman bahawa alam akhirat ini adalah alam yang kekal abadi. Kemewahan dan kenikmatan dunia hanyalah bersifat sementara.

Hadith Nabi yang masyhur menerangkan perihal hari kebangkitan ini antaranya

RASULULLAH SAW bersabda yang maksudnya: "Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: (1)Pemerintah yang adil, (2)pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, (3) orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, (4) dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, (5) orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: "Aku takut kepada Allah!", (6) orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan (7) orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah." (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Perkara utama yang perlu menjadi pengajaran terhadap orang-orang yang beriman ialah hari kiamat ini adalah hari milik Allah Ta'ala secara mutlak, dan Dialah Raja Yang berkuasa,. Hari di mana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah Ta'ala. Sepertimana diperjelaskan bahawa hari kiamat ini tiada naungan melain naungan Allah Ta'ala.

Jika di dunia, mungkin ada yang berbangga dengan lindungan dan pertolongan daripada pihak kerajaan, pemimpin yang berkuasa, orang-orang yang kaya atau individu-individu yang berpengaruh, maka Nabi Muhammad SAW mengingatkan kita dalam hadith ini bahawa pada hari kiamat nanti, semua individu dan mana-mana kerajaan yang besar yang pernah wujud di dunia ini akan tunduk kepada Allah Ta'ala di hari kiamat.

Hari kiamat ini adalah hari milik Allah Ta'ala secara mutlak, dan Dialah Raja Yang berkuasa. Hari di mana tiada yang lebih berkuasa melainkan Allah Ta'ala.

Seterusnya Nabi membuat klasifikasi manusia yang akan berada di bawah naungan Allah Ta'ala. Kesemua tujuh golongan ini, walaupun tidak disebutkan, adalah beriman kepada Allah Ta'ala kerana ianya menjadi syarat wajib untuk berada di dalam Parti Allah Ta'ala, firman Allah Ta'ala:

"Sesungguhnya pemimpin kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya dan orang mukmin, iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan mengeluarkan zakat, dan mereka adalah orang-orang yang rukuk (tunduk dan patuh pada perintah Allah). Barang siapa yang memilih Allah, Rasul dan orang mukmin (sebagai pemimpin), maka sesungguhnya itulah Parti Allah. Merekalah yang akan berjaya." Al-Maidah, 5:55-56)

Bagi mereka yang beriman, sudah pasti akan berebut-rebut untuk menjadi salah satu daripada golongan yang disebutkan dalam hadith dan ayat Al-Quran di atas. Mereka percaya bahawa kesusahan dan derita yang mereka alami di dunia ini hanyalah bersifat sementara, sebaliknya dalam azam dan amal mereka sentiasa mengharapkan ampunan dan rahmat Allah Ta'ala agar terhindar daripada kesusahan dan derita di Akhirat.

Maka benarlah sabda Nabi bahawa, Orang yang paing bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati dan paling bersedia untuk menghadapinya. Tidak cukup sekadar kita ingat dan bercakap tentang mati, malah kita dituntut untuk sentiasa melakukan persediaan yang cukup untuk menghadapinya.

Saya meyakini hakikat ini seluruh dan sesungguhnya, justeru saya sentiasa berharap dan berusaha ingin mencapainya. Jom ikut saya, atau jadilah rakan yang membantu saya, tetapi Jangan rosakkan impian saya untuk menggapai CintaNya. Inni AkhafuLlah.

Hanya cintaMu ku harap tumbuh, dibajai bangkai dunia yang ku bunuh!!!

Thursday, October 22, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - bahagian 5, Kuasa Pidato, Piket dan Demonstrasi.

Pidato merupakan perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW ketika diperintahkan oleh Allah Ta'ala untuk berdakwah secara terang-terangan. Baginda mengadakan PIKET di bukit safa yang dihadiri oleh kaum Quraisy yang terdiri daripada kaum kerabat dan sahabat handai Baginda.

Pidato tersebut secara relatifnya menandakan permulaan peperangan Nabi menentang Jahiliyyah. Disebabkan PIKET yang ADHOC itulah, Abu Lahab dikutuk sekeras-kerasnya dalam Al-Quran yang termaktub dalam surah Al-Masad.

Sudah pasti terbayang di fikiran kita bagaimanakah suasana dakwah Nabi Muhammad SAW ketika itu. Sebenarnya, kebijaksanaan dan kepintaran Nabi dalam berpidato dapat diperhatikan apabila Nabi memulakannya dengan soalan yang sangat unik dan menarik.

"Sekiranya aku khabarkan kepada kamu semua, bahawa di belakang bukit ini ada segerombolan tentera yang datang memerangi kamu, adakah kamu mempercayaiku?" tanya Nabi Muhammad kepada sekalian Kaum Quraisy yang hadir.

"Sudah tentu, tidak pernah kami mendengar kata-kata dari lidahmu melainkan yang benar, wahai Muhammad," sahut mereka yang hadir.

Tatkala Nabi menyebut, "sesungguhnya aku adalah utusan Allah yang mengajak kamu untuk tidak menyembah selainNya dan bahawa Aku adalah pesuruhnya."

Maka Abu Lahab bingkas bangun dan menudingkan jari hinanya ke arah muka Nabi Muhammad, seraya menyumpah, "Celaka engkau wahai Muhammad! Adakah kerana repekan ini engkau kumpulkan kami?"

Nabi Muhammad menyambut sumpahan itu dengan hati yang bercampur baur. Lalu Allah Ta'ala menurunkan wahyu, "Celakalah tangan Abu Lahab(yang menuding itu) dan celakalah. Tidaklah berguna baginya hartanya dan apa yang dia usahakan. Kelak dia akan masuk ke dalam api yang bergelojak (neraka). Dan (begitu pula) isterinya, pembawa kayu bakar (penyebar fitnah). Di lehernya ada tali dari sabut yang dipintal." Al-Masad, 111:1-5.

Di sinilah bermulanya perang Nabi terhadap jahiliyyah dan perang kaum musyrikin terhadap Nabi Muhammad. Bermula dengan pidato inilah yang berjaya menyebarkan kefahaman Islam di kalangan masyarakat.

Seterusnya, mari kita imbas peristiwa pengislaman Umar R.A dan Hamzah R.A. Dua insan ini menjadi tulang belakang dan perisai kepada usaha dakwah Nabi setelah dikurniakan hidayah oleh Allah.

Ketika di rumah seorang sahabat, Umar yang baru sahaja selepas singgah di rumah adiknya datang menemui Nabi. Ramai Sahabat yang pada ketika itu bersedia menghadapi kebengisan Umar kerana ingin mempertahankan nyawa Nabi. Namun, Jaafar Bin Abu Talib dengan tenang berkata, "Biarkan Umar, jika dia inginkan kebaikan kita berikan kebaikan. Jika sebaliknya maka kita akan sentiasa bersedia menghadapinya." Demikian kegerunan lawan terhadap Umar dan keberanian yang ada pada Sahabat di masa-masa kritikal.

Akhirnya Umar menyatakan keislaman beliau di hadapan Nabi. Maka bersoraklah seluruh isi rumah itu sehingga terdangar oleh kaum musyrikin yang sedang berada di Masjidil Haram. Takbir bergema menandakan kesyukuran yang teramat sangat oleh Nabi dan para Sahabat, setelah sekian lamanya mereka berada dalam suasana yang sangat tertekan oleh penindasan dan kezaliman kaum musyrikin Mekah.

Sejurus selepas itu ini kata Umar, "Wahai Nabi, bukankah kita di pihak yang benar?"

Sambil tersenyum Nabi mengganggukkan kepalanya. Umar berkata lagi, "Kalau begitu, kenapa kita perlu bersembunyi dan berada dalam ketakutan?"

Maka berlakulah demonstrasi Keislaman (demonstrasi menyatakan keislaman secara terbuka) oleh Nabi dan para sahabat ketika itu. Dengan penuh keberanian, dua barisan Muslimin berarak menuju ke Baitullah AlHaram untuk menunaikan solat secara terbuka. Satu barisan dipimpin sendiri oleh Umar, manakala satu lagi dipimpin oleh Hamzah yang juga baru memeluk Islam.

Keberanian dan kekuatan ini telah menimbulkan gelombang kesedaran yang sangat kuat. Bermula daripada saat itulah, kaum muslimin sudah tidak lagi gentar untuk menunaikan ibadah secara terbuka dan menyatakan keislaman mereka.

Sejarah membuktikan PIKET dan DEMONSTRASI mempunyai peranan yang sangat luar biasa. Sudah tentu, agenda penerangan seperti inilah yang ditakuti oleh pihak-pihak berkepentingan sambil menuding jari dan menuduh yang bukan-bukan sebagai meniru kembali apa yang dilakukan oleh Abu Lahab.


Kecanggihan dunia moden pada hari ini, sama sekali tidak menghalang kita untuk meneruskan agenda penerangan seperti ini. Cuma apa yang dikesalkan pada masa kini ialah, PIKET dan DEMONSTRASI hanya digunakan untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati yang akhirnya dipandang negatif oleh masyarakat. Sebaliknya, agenda PIKET dan DEMONSTRASI perlu digunakan sebagai aktiviti penerangan dan mendidik masyarakat.

Mahasiswa dan sekalian Anak muda juga perlu meneruskan aktiviti seperti ini. Malah kita perlu mengembalikan kegemilangan fungsi PIKET dan DEMONSTRASI dalam menjadi agen penerangan, pendidikan dan pembentukan masyarakat.

Wednesday, October 21, 2009

Budak 3 tahun didera sampai mati, KDN masih berasa selamat?

Manusia dikatakan mati dengan dua sebab, hilang nyawa dan hilang rasa.

Sebab itu jangan hairan jika terjumpa dengan manusia yang memukul anak perempuannya yang berumur 3 tahun sehingga lebam seluruh badan dan kemudian meninggal. Jangan terkejut jika doktor memberitahu bahawa budak itu juga mengalami penderaan seksual sebelum dia meninggal.

Jangan pelik jika ada anak yang mengerat ibunya hidup-hidup. Sekalipun darah ibunya yang penat mengandungkannya itu terpecik di mukanya, sedikit pun riak muka anak itu tidak berubah. Tidak mustahil untuk anak itu mengelar leher ibunya terlebih dahulu kerana terlalu geram dan tidak tahan mendengar jeritan ibunya yang meminta belas kasihan.

Sedangkan saudara kandung pun sanggup ke tahap ini, inikan pula manusia-manusia lain yang telah berbunuhan hingga jutaan nyawa telah menjadi korban. Ada yang ditikam, dilapah hidup-hidup, dimasak dan dibakar, ditembak berkali-kali walaupun sudah tidak bernadi, malah dibom sehingga berkecai segala daging dan tulang.

Mereka ini sebenarnya tidak lagi boleh dikategorikan sebagai manusia kerana telah hilang deria rasa. Mereka bukan gila, cuma akal mereka telah gagal berfungsi dengan baik akibat daripada deria yang sudah rosak. Hakikatnya, jumlah manusia-manusia seperti ini adalah sangat ramai bahkan mereka juga mungkin berada di sekeliling kita.

Terbaru, seorang ibu dan teman lelakinya ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penderaan hingga membawa kepada kematian seorang kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun. Kejadian yang berlaku di Cheras itu kembali menyegarkan ingatan rakyat Malaysia mengenai siri jenayah penculikan dan pembunuhan kanak-kanak di Malaysia.

Dalam masa yang sama, Hisyamuddin, Menteri KDN menafikan perasaan tidak selesa rakyat Malaysia dengan peningkatan kadar jenayah yang berlaku saban hari. Sambil menafikan culaan pada laman web KDN, bahawa hanya 1% rakyat Malaysia yang berasa selamat selepas perlantikan Musa sebagai KPN, beliau menyatakan bahawa peningkatan jenayah di Malaysia hanyalah sebanyak 6%, iaitu suatu kadar yang rendah.

Dua situasi gila yang biasa berlaku dalam negara dan dunia pada ketika ini, Menteri KDN(UMNO) yang gila kuasa dan satu lagi kes ialah sepasangan kekasih yang gila babi. (Sorry, I lost my word to describe this craziness)

Hilang punca untuk hidup, merasakan hidup mereka terlalu kosong dan tidak bermakna. Bermula dengan penafian wujudnya Tuhan, selesa dengan kejahatan dan keburukan, seterusnya bergelumang dengan dosa dan kezaliman. Beginilah turutan segala jenis gila yang ada di dunia. Gila nyawa, gila kuasa, gila harta, gila nama, gila seks, gila babi dan gila-gila lain yang ada.

Perasaan menjadikan kita ini manusia yang bernyawa. Jika terasa berdosa dan bersalah, lekas-lekaslah bertaubat. Jangan biarkan perasaan bersalah berlalu meninggalkan kita, kerana perasaan itu menjadikan kita hamba kepada Yang Esa. Nabi bersabda, salah satu di antara 3 perkara yang dapat membuatkan kita merasai kemanisan iman ialah apabila kita benci untuk kembali kepada kekafiran sebagaimana kita benci dicampakkan ke dalam api neraka, hadith riwayat Al-Bukhari.

"Ku harapkan pintu taubatMu terbuka luas
Untuk hambaMu yang sering leka,
Dengan rahmatMu dan kasih sayangMu,
Kau ampunilah segala dosaku,
Moga selamat di dunia dan akhirat"
- InTeam, Tuhan Yang Esa -

Tuesday, October 20, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - Bahagian 4, Mencari kebenaran dan penyelesaian.

Izinkan saya mengalihkan tumpuan encik otak kepada agenda Memimpin Perubahan. Tapi tak bermakna agenda sayur ini diluputkan, cuma disimpan dalam perhatian (KIV) sebentar untuk memberi laluan kepada agenda yang lebih besar. Namun tidak bermakna agenda sayur ini kecil, cuma ianya perlu kekal dengan sifat keUBIan dan kekal di bawah pengawasan dan ketentuan Ilahi.


Otak
merupakan organ bagi pusat kawalan utama bagi badan. Ia menerima maklumat melalui deria dari dalam dan luar tubuh. Ia menganalisa maklumat ini dan kemudiannya menghantar perutusan kepada badan yang mengawal fungsi dan tindakannya. Otak meningati pengalaman lepas, dan merupakan punca fikiran, mood, dan emosi. - wikipedia

Jika kita adalah seorang manusia kita seharusnya mampu untuk berfikir mencari kebenaran dan penyelesaian. Berfikir untuk mencari kebenaran merujuk kepada kemampuan kita untuk mencari dan menganalisis segala maklumat yang ada untuk menentukan kebenaran sesuatu perkara. Corak berfikir seperti ini sering dikaitkan dengan pemikiran vertikal atau paralel oleh Edward De Bono.

Dalam proses mencari kebenaran ini, kita memerlukan maklumat yang secukupnya dan pertimbangan akal yang waras untuk membuat analisis terhadap maklumat yang diperolehi. Berfikir jenis ini memerlukan seseorang itu untuk mencari maklumat dan ilmu dengan banyak sehingga sampai ke peringkat membuat tapisan terhadap ilmu dan maklumat yang mereka perolehi.

Corak berfikir yang kedua, Mencari Penyelesaian. Jika dalam proses mencari kebenaran, kita akan berhadapan dengan situasi betul atau salah yang akhirnya akan bertumpu kepada satu jawapan yang benar sahaja, maka dalam situasi mencari penyelesaian kita berdepan dengan pelbagai jenis jawapan dan kemungkinan.

Kita akan mendapati sebenarnya terlalu banyak ruang dan peluang yang masih belum diterokai serta dieksploitasi dengan sebaiknya oleh manusia.

Anak muda, seperti kita memerlukan kedua-dua fungsi otak yang ada ini untuk menjadikan diri kita agen perubahan yang baik. Kita perlu membuat analisis yang kritikal pada masa yang sama kita juga perlu mencari dan merebut segala peluang dan meneroka setiap jalan yang ada untuk mencapai kejayaan, lebih-lebih lagi dalam proses memimpin perubahan.

Walaupun Edwar De Bono menyatakan bahawa kebanyakan manusia akan bertumpu kepada satu-satu bentuk pemikiran sahaja, namun tiada salahnya jika kita menggunakan segala potensi otak yang ada untuk menjadikan diri kita manusia yang lebih baik. Nabi Muhammad adalah contoh pemikir yang baik. Baginda mempunyai kemampuan vertikal dan lateral yang baik. Maka kita sebagai umatnya juga perlu berazam untuk meneladani pemikiran Baginda.

Tiada yang mustahil dalam hidup. Yang lemah itu semuanya datang dari persepsi negatif akal kita sendiri, sedangkan yang baik sentiasa terhidang daripada Tuhan untuk manusia yang mahu berfikir.

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): "Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka."
Ali-Imran, 3:190-191.


Sunday, October 18, 2009

Saya nak tulis pasal Baitul Muslim - Tolong Jangan Ketawa!

Topik Baitul Muslim(BM) ini merupakan topik yang tergolong dalam senarai topik-topik sayur. Kenapa sayur? Mungkin kerana kebanyakan tumbuhan sayur-sayuran ialah tumbuhan yang tidak berkayu atau bahasa mudahnya "lembik". Sekalipun lembik, kebanyakan Pakar Jiwa mendapati, ianya adalah ubat mujarab untuk merawat penyakit sosial yang merebak dengan bahayanya di kalangan remaja.

Aneh, BM mempunyai sifat yang hampir serupa dengan sayur yang ada di pasaran. Oleh itu, kita sebenarnya sudah boleh mula membuat penilaian dan pemilihan jenis sayur yang macam manakah BM kita?

Seperti kebanyakan sayur, ianya akan hilang zat dan kelebihan sekiranya di masak secara berlebihan. Semakin lama dimasak, semakin berkurangan zatnya, malah rasanya juga tidak sesegar sayur yang dimasak dengan tempoh masa yang sedikit. Begitu juga BM, ianya tidak boleh terlalu lama dditangguhkan, juga tidak boleh terlalu panjang dan kerap untuk diperkatakan, malah kesan yang amat buruk akan diterima oleh orang yang suka menyebar-luaskan berita mengenainya.

Kita perlu bersikap matang mengenai hal ini. Matang ketika memikirkan halnya, juga matang ketika berbicara mengenainya. Ianya melibatkan kehidupan yang sangat panjang. BM bukanlah soal yang boleh dipermainkan, bukan untuk dijadikan bahan ketawa, apalagi untuk menjadi bahan ujikaji.

Justeru pemilihan sayur adalah sangat penting dalam kehidupan. Kagagalan kita berfikir secara matang mengenainya akan membawa kepada kerugian yang sangat-sangat akan dikesali. Ibarat terlajak perahu boleh diundur, terlajak BM buruk padahnya.

Maka, buatlah pilihan dengan baik. Berikut merupakan amalan rutin untuk memilih sayur masing-masing.

1. Kenali diri anda. Ketahui zat yang ada mahupun yang tiada pada diri anda.

2. Kenali sayur pilihan anda. Selidik zat dan perhatikan jika ada sebarang kerosakan pada sayur. pilihlah sayur yang segar.

3. Jangan simpan sayur terlalu lama kerana ianya akan mudah layu.

4. Masak juga tidak boleh terlalu lama kerana seperti yang telah saya tekankan, zatnya akan hilang.

5. Sebelum makan, baca bismillah.(kawin)

6. Ucapkan AlhamduliLlah. Bersyukur dan memanfaatkan dengan baik zat yang telah dimakan.(pasangan masing-masing)

Saya pilih ubi, sebab diam-diam ubi berisi... :-)

Thursday, October 15, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - bahagian 3, situasi selepas (UKM)

Sepertimana yang telah saya tekankan dalam bahagian sebelum ini, sekali lagi saya tekankan bahawa proses transformasi sepatutnya menjadi proses biasa dalam hal kepimpinan dalam mana-mana organisasi apalagi dalam sesebuah negara yang strukturnya adalah lebih kompleks. Maka situasi di UKM juga tidak lari daripada hakikat dan kenyataan ini.

Sejarah menunjukkan jatuh bangun beberapa kelompok utama yang pernah menerajui PMUKM. Bermula dengan Angkatan Tindakan Mahasiwa, ATMA yang menerajui PMUKM sejak dari awal penubuhannya, 1971. Kemudian bersilih ganti dengan Tindakan Siswa Bersatu, TSB, yang muncul membawa fahaman politik pro-kerajaan pada tahun 1982. Setelah perpecahan dalam ATMA berlaku ekoran kemasukan DSAI ke dalam UMNO, tertubuh pula Islam Penyelamat Ummah, IPU yang juga menempatkan diri mereka dalam sejarah penguasaan PMUKM. Silih pergantian itu terus-menerus berlaku sehingga IPU melalui front Membina Mahasiswa Penggerak Ummah, MAMPU menguasai PMUKM untuk 7 tahun berturut, rekod paling lama selepas kewujudan sistem 2 parti di UKM, selain pernah mencatat keputusan 51-0 untuk menyapu bersih kesemua kerusi di dalam PMUKM.

Setelah mendapati TSB semakin ditolak oleh Mahasiswa, golongan Pro-kerajaan menubuhkan sebuah kumpulan baru yang diberi nama Aspirasi pada tahun 2002. Penubuhan Kelab Aspirasi berlaku serentak di semua kampus di seluruh negara pada ketika itu dalam misi mengembalikan sokongan golongan muda khususnya Mahasiswa terhadap kerajaan.

Isu utama yang dimainkan oleh Mahasiswa dalam Pilhanraya Kampus, PRK kebanyakannya berkisar mengenai hal-hal kebajikan Mahasiswa itu sendiri. Yuran, penempatan di kolej, kemudahan asas, dan penganjuran program merupakan persoalan biasa bagi Mahasiswa dalam menentukan pemimpin yang akan mereka pilih dalam mana-mana pilihanraya.

Namun begitu, jika diperhatikan kebebasan Mahasiswa untuk bergiat secara aktif dalam kegiatan berpersatuan dan kemasyarakatan sudah semakin kecil dan terbatas. Selepas kewujudan AUKU dan perubahan sistem yang berlaku di IPTA, Mahasiswa semakin sukar untuk memilih dan dipilih sebagai pemimpin persatuan, khususnya bagi persatuan yang popular seperti PMUKM, Jawatankuasa Kebajikan Siswa/i Kolej-Kolej, JAKSA, Persatuan Mahasiswa Fakulti, PMF dan beberapa persatuan-persatuan lain yang secara langsung berada di bawah pentadbiran bahagian Hal Ehwal Pelajar, HEP.

Bermula dengan larangan untuk bergerak dalam persatuan yang tidak berdaftar, larangan membuka akaun persatuan pelajar, menggantikan sistem pilhanraya JAKSA kolej kepada pemilihan oleh Pentadbiran Kolej, sehinggalah kepada perubahan sistem PRK yang semakin lesu dan tidak serancak dahulu.

Jika sebelum ini, calon-calon yang bertanding diberi peluang untuk menyampaikan pidato dalam satu majlis yang dinamakan Malam Manifesto, kini bukan sahaja Malam Manifesto dihapuskan malah sempadan dan tatacara berkempen juga disempitkan sehingga menyekat kreativiti Mahasiswa khususnya calon-calon yang bertanding untuk memasarkan diri mereka.

Hal ini menjadi kerugian yang sangat besar kerana Universiti, sebagai pusat melahirkan cendekiawan, sepatutnya menjadi medan terbaik untuk Mahasiswa mengasah bakat kepimpinan dan melatih mereka mengurus dan merancang hala tuju persatuan mereka. Kesannya, Mahasiswa sudah tidak lagi berminat dengan pilihanraya kampus, dan kurang kritikal dalam soal kepimpinan sehingga menyebabkan hal-hal kebajikan mereka sendiri tidak mampu diperjuangkan dengan baik.

Suara-suara Mahasiswa tidak lagi menjadi suara keramat, malah Mahasiwa sendiri tidak mampu memberikan pandangan yang baik terhadap dasar dan sistem yang ada di UKM, apalagi untuk mengambil bahagian dalam soal dasar dan sistem yang ada dalam Negara Malaysia.

""...Kesannya, Mahasiswa sudah tidak lagi berminat dengan pilihanraya kampus, dan kurang kritikal dalam soal kepimpinan sehingga menyebabkan hal-hal kebajikan mereka sendiri tidak mampu diperjuangkan dengan baik.""

Justeru, perubahan yang perlu dilakukan adalah merubah sistem pemikiran Mahasiswa supaya membuka minda Mahasiswa untuk menerima perubahan yang bakal memberikan kesan yang positif terhadap kelangsungan Kepimpinan Negara. Ini kerana Mahasiwa dan seluruh rakyat perlu melihat Mahasiswa sebagai pengganti kepada kepimpinan Negara di semua peringkat baik di dalam bidang politik, ekonomi, pendidikan dan sebagainya.

Wednesday, October 14, 2009

BERSAMA MEMIMPIN PERUBAHAN - bahagian 2 (situasi selepas)

Dalam konteks perubahan, pertama melalui revolusi, kedua melalui tarnsformasi. Revolusi Iran adalah contoh terbaik untuk menerangkan bagaimana revolusi itu berlaku. Ianya melibatkan perubahan keseluruhan sistem dan pemerintahan sesebuah negara. Sepertimana yang berlaku di Iran. Terdapat beberapa contoh lain yang molek untuk dikaji mengenai revolusi ini antaranya revolusi Perancis (1789 -1799), revolusi Amerika 1763, Revolusi Xinhai 1911, dan revolusi terbesar ialah revolusi Madinah apabila Nabi Muhammad bersama-sama golongan Ansar dan Muhajirin menubuhkan Negara Islam Madinah, yang juga merupakan Negara Berpelembagaan dan diiktiraf sebagai perlembagaan bertulis pertama di dunia.

(lain-lain revolusi dan tokoh-tokoh revolusi dunia, klik di sini)

Jika disorot setiap peristiwa di atas, revolusi ini adalah proses perubahan yang menyeluruh dan bersepadu. Bagi mereka yang tidak mengalami proses itu, pasti akan menamakan revolusi ini dengan gelaran radikal dan sebagainya. Namun, bagi mereka yang berada di tempat kejadian, misalnya rakyat Iran sekitar tahun 1963, kesemuanya menjulang Ayotullah Khomeini sebagai wira dan sanggup turun ke jalanan beramai-ramai sebagai tanda protes terhadap penangkapan beliau pada Jun 1963.

Tuntutan Ayatollah Khomeini untuk dilakukan beberapa pindaan dasar pemerintahan Shah Iran pada ketika itu telah membangkitkan kesedaran rakyat untuk bangkit menggulingkan kerajaan. Penangkapan Ayatollah Khomeini juga berpunca daripada pengisyhtiharan terbuka beliau terhadap Shah Iran, sebagai "Pemula Proses Kehancuran Islam Di Iran"

Seruan ini disambut dengan baik oleh rakyat Iran sehingga membawa kepada proses penggulingan dan akhirnya kerajaan Islam Iran terbentuk setelah hampir 20 tahun rakyat menderita sehingga mengakibatkan ribuan nyawa terkorban. Demonstrasi 2 Juta rakyat Iran pada akhir 1970-an telah menjadikan undang-undang Islam sebagai yang tertinggi dan satu-satunya undang-undang yang diterima di Iran.

Sebagimana proses revolusi, Proses tranformasi juga memerlukan kepada pertembungan idea. Transformasi boleh berlaku sekiranya rakyat tidak berpuas hati dengan corak pemerintahan sedia ada dan ingin menukar selera kepada parti pemerintah yang baru.

Contoh terkenal proses tranformasi ini ialah kemenangan Barrack Obama di Amerika Syarikat. Rakyat Amerika memilih Parti Demokrat dalam Pilihanraya Presiden dan menolak parti republikan yang sebelum ini memrintah Amerika Syarikat. Di Jepun, Parti Liberal Demokratik Jepun(LDP) yang telah memimpin Jepun lebih 50 tahun sejak perang dunia ke-2 tewas kepada Parti Demokratik Jepun (DPJ) dalam pilihanraya september tahun ini dan Fukio Hatoyama telah dipilih menjadi Perdana Menteri yang baru.

Daripada dua contoh di atas menunjukkan sebenarnya proses transformasi itu adalah proses biasa yang akan dilalui oleh setiap kerajaan yang ada di dunia.

Di Malaysia, status perjuangan masih lagi berada di dalam mood transformasi, PAS sebagai parti pembangkang yang konsisten sejak lebih 50 tahun di Malaysia memilih untuk menentang dengan cara yang baik (muwajahah silmiyyah) melalui pendekatan pilhanraya. Sekiranya rakyat memilih untuk melakukan perubahan, sudah pasti PAS dan Pakatan Rakyat yang baru ditubuhkan itu akan mengikut jejak langkah Parti Demokrat Amerika dan juga DPJ di Jepun.

Sekiranya proses transformasi berlaku, maka Malaysia dan semua badan-badan yang bertanggungjawab terhadap pemerintahan negara ini akan kekal berada dalam sistem demokrasi berparlimen dan juga Raja Berlembagaan. Maknanya, peranan ketiga-tiga badan akan diteruskan seperti yang sewajarnya ia berlaku. Adapun, Dewan rakyat dan Dewan Negara pada ketika itu boleh menggubal dan meminda Akta dan Dasar negara sekiranya perlu bagi memastikan corak pentadbiran yang ditolak pleh rakyat ditukar sepenuhnya.

Antara Yang Menarik