Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, March 8, 2010

Semalam...

Terasa seperti baru semalam, begitu segar gambaran wajah-wajah yang sentiasa menemani perjalanan hidup aku. Satu-persatu kenangan muncul, terkadang senyum terkadang marah, terkadang sedih menghiris dan menitis air mata.

Terasa seperti baru semalam, makan bersama, tidur bersama, main bersama, beronar bersama, belajar dan mencabar bersama-sama. Jatuh dan bangun bersama-sama. Baik dan nakal juga bersama-sama. Sungguh nakal, sungguh juga baik waktu itu.

Terasa seperti baru semalam, aku dikejutkan untuk subuh. Bertapak dalam kemamaian ke surau. Tersengguk-sengguk menunggu habis bacaan imam. Dibuai kesejukan subuh, alunan merdu bacaan imam semakin membuai. Moga diterima solat itu.

Terasa seperti baru semalam, satu demi satu bumi bertuah aku tinggalkan. Meninggalkan guru dan rakan-rakan. Kaki ku gagahkan, walau hati berat merelakan. Demi cita dan masa depan.

Terasa seperti baru semalam, ingin sekali ku ulang, jika bisa diberi peluang, menukar jalan-jalan sempit yang serong dan melencong. Memulakan kembali dengan langkah yang lebih berani, memandu arah dengan pelita Ilahi.


SEMALAM, Soutul Mujahideen.

Semalam bersama titian kehidupan,
Terasa bagaikan igauan mimpi,
Ku tersesat bersama keindahan dunia,
Yang tidak menjanjikan apa-apa.

Tiada lagi sinar yang bakar menerangi,
buat diriku yang didalam kegelapan,
Tiada lagi sinar secerah sang mentari,
Diriku tersesat tiada berteman.

Kini dikau hadir ketika ku memerlukan,
Bersama sejuta pengharapan penuh sokongan,
Engkau pimpin melangkah ke destinasi yang diredhai,
Diriku terpandu ke jalan kebenaran.

Ya Allah Ampunilah Dosa-dosaku,
Ya Allah Ampunilahku,
buat diriku yang kegelapan,
Moga syukurku kan berkumandang.




Friday, March 5, 2010

Kenapa Apakah??


Perasaan membezakan antara manusia dengan binatang. Perasaan juga adalah KPI bagi menentukan sejauh mana seseorang manusia itu hidup ataupun mati. Tanpa perasaan, lebih baik jadi batu atau kayu. Bahkan kayu dan batu pun adakalanya tidak memberikan mudharat sebesar mudharat yang disebabkan oleh manusia yang tidak berperasaan.

Oleh sebab itu, RasuluLlah SAW memerintahkan umatnya supaya menjaga hati. Jika rosak hati, maka rosaklah segala-galanya.

Belum surut kegundahan masyarakat dengan peristiwa syafia humaira yang pergi dalam keadaan yang sungguh menyayatkan hati, muncul lagi satu kes. Kali ini, seorang budak berusia 18 tahun pula yang menjadi mangsa. Kejadian penderaan dan pembunuhan kanak-kanak yang semakin menjadi-jadi ini begitu memilukan, dalam masa yang sama mencetuskan seribu satu persoalan dan penyesalan, kenapa begini jadinya??

Saya tidak pasti virus apakah yang sedang meracuni masyarakat kita pada hari ini, sehingga langsung tidak mempunyai perasaan belas kepada anak-anak kecil. Buang bayi dan penderaan yang membawa kepada kematian ini, bagi saya adalah dosa yang sama sekali tidak akan saya maafkan, sekalipun saya tidak mempunyai hubungan darah dengan mangsa. Hati manusia normal mana yang tidak terhiris apabila melihat anak kecil yang "suci dan bersih" dipukul, ditendang, dipijak-pijak??

Saya pasti, anak kecil itu akan menangis sebaik sahaja dipukul oleh pendera mereka. Bagaimana agaknya perasaan tertuduh apabila melihat anak kecil itu menangis dan meronta, meminta belas supaya dimaafkan dan tidak diperlakukan sedemikan rupa??

"AMPUN PAKCIK!!! SAKIT PAKCIK!!! SAYA TAK NAK PAKCIK!!! PAKCIK!!!" tangisan dan jeritan yang semakin lama semakin perlahan dan akhirnya hilang ditelan kezaliman pemangsa syaitan bertopengkan manusia...



SAYA SAMA SEKALI TIDAK FAHAM!!!

Monday, March 1, 2010

Pengajaran Dari Saba'

Suatu ketika Nabi Sulaiman mengumpulkan seluruh tenteranya dalam saf-saf yang tersusun di mana bangsa burung telah dilantik menjadi skuad peninjau. Skuad peninjau bertanggungjawab memerhatikan saf ketenteraan Nabi Sulaiman di depan, tengah dan belakang.

Maka segala jenis makhluk pun berkumpul kecuali burung belatuk. Lalu Nabi Sulaiman memerintahkan, sekiranya burung belatuk tidak mengadap segera, maka akan aku hukumnya dengan azab yang pedih atau akan aku sembelihnya, kecuali dengan alasan-alasan yang munasabah.

Tidak lama kemudian, datanglah burung belatuk dengan membawa sebuah berita kepada Nabi Sulaiman. Burung belatuk memulakan ceritanya, "aku terjumpa sebuah kerajaan di Saba'. Negerinya sangat makmur diperintah oleh seorang permaisuri. Mereka memiliki istana yang menjadi mercu tanda negara mereka. Akan tetapi, Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk," lapor burung belatuk.


Lalu, Nabi Sulaiman membuat 'double check' terhadap berita tersebut. Setelah memastikan kesahihan maklumat tersebut, maka Nabi Sulaiman mengirimkan surat kepada Ratu Balqis menggunakan burung belatuk sebagai utusan. Burung belatuk mengirimkan surat tersebut dan meletakkan surat tersebut di atas katil di kamar Ratu Balqis. Seperti yang dirancang, Ratu Balqis kehairanan apabila mendapati surat tersebut berada di atas katilnya sedangkan Istana Ratu Balqis itu menerima kawalan ketat selama 24 jam. Burung Belatuk secara rasminya dilantik menjadi perisik Nabi Sulaiman dan bertanggungjawab membuat laporan kepada Nabi Sulaiman mengenai perbincangan Ratu Balqis di istananya itu.

"Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah)," isi surat yang diutuskan oleh Nabi Sulaiman. Maka Ratu Balqis mengadakan mesyuarat khas jemaah menterinya untuk membincangkan perkara ini. Sebagai seorang ketua kerajaan yang baik dan perlu dijadikan contoh, setelah membacakan isi surat tersebut, Ratu Balqis meminta supaya para menterinya memberikan pandangan,"Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya" ujar Ratu Balqis.

Maka jemaah menterinya, seorang demi seorang, mengutarakan pendapat dan pandangan masing-masing. Jemaah menteri Negara Saba' sebulat suara,"Kerajaan Saba' adalah kerajaan yang kuat, kita ada ramai tentera dan belum pernah tewas dalam peperangan kita sebelum ini. Jadi kita jangan tunduk sebaliknya berperang sahaja dengan kerajaan Sulaiman,"

Namun, sekalipun mereka secara majoriti malah secara sebulat suara telah mengutarakan pandangan, mereka begitu beradab, "walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan," kata wakil menteri-menteri tersebut sebagai memberi kepercayaan kepada Ratu Balqis untuk berfikir dan membuat keputusan.

Ratu Balqis seorang yang bijak. Ratu Balqis tahu mengenai kekuatan sebenar, yang tidak diketahui oleh menteri-menterinya, yang ada pada Kerajaan pimpinan Nabi Sulaiman dan sedar bahawa kerajaannya akan kalah sekiranya memilih untuk berperang. Lalu bertitah, "Seorang raja yang zalim memerintah dan menjajah kerana ingin mendapatkan harta dan kuasa. Maka, kita hantarkan kepada Raja Sulaiman harta dan ufti yang banyak sehingga tidak tercapai oleh akal akan ada orang yang akan menolak hadiah yang sebegitu banyak, setelah itu kita perhatikan apa yang dia akan lakukan dan tindakan kita bergantung kepada respon Raja Sulaiman itu nanti."

Setelah itu, beratus-ratus ekor unta yang membawa hadiah yang tersangat banyak dan mahal untuk diberikan kepada Kerajaan Nabi Sulaiman. Setelah sampai di istana Nabi Sulaiman di palestin, Nabi Sulaiman, tanpa berfikir panjang, menyuruh rombongan itu untuk pulang kesemuanya.

Ratu Balqis berasa pelik dan terkejut mengenai berita rombongan hadiahnya dihalau balik oleh Nabi Sulaiman. Peristiwa itu menyebabkan Ratu Balqis yakin bahawa niat Kerajaan Nabi Sulaiman adalah untuk membawa kebaikan untuk Negeri Saba'. Hatinya mula terbuka untuk menerima Islam. Lalu Ratu Balqis memerintahkan jemaah menterinya menyiapkan rombongan untuk mengadap Nabi Sulaiman untuk menyatakan kesediaan untuk menyerah diri kepada Kerajaan Nabi Sulaiman.

Apabila mendapat berita tentang kehadiran rombongan Ratu Balqis, Bertitah Nabi Sulaiman, (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"

Lalu berkata Ifrit dari bangsa Jin, "Aku dapat mengalihkannya sebelum sempat engkau bangun dari tempat dudukmu wahai Sulaiman, sesungguhnya aku memang kuat dan amanah."

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!"

Lalu dipindahkan Istana Ratu Balqis dalam sekelip mata dan terpacaklah istana Ratu Balqis dalam sekelip mata di hadapan Nabi Sulaiman serta para menteri. Nabi Sulaiman insaf dengan peristiwa itu lalu berdoa "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah."

Setelah rombongan Ratu Balqis tiba di Palestin, berkata Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis, "Adakah seperti ini rupa singgah sana Tuan Permaisuri?"

"Boleh jadi inilah dia," jawab Ratu Balqis yang mula diselimuti 1001 perasaan pelik dan ta'jub. Melihat pada keadaan Ratu Balqis membuatkan Nabi Sulaiman berkata di dalam hatinya, "kami telah diberikan ilmu lebih dahulu daripada kamu, tetapi kami tetap beriman. Sedangkan dia telah dihalangi untuk menyembah Allah, dan menyebabkan dia ini tergolong di kalangan orang-orang yang kafir,"

"Dipersilakan masuk," pelawa Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis dan seluruh rombongannya.

Melihat pada keadaan laman yang bersinar-sinar, Ratu Balqis menyinsing kainnya kerana menyangka laman itu adalah kolam air.

"Sebenarnya istana ini diperbuat daripada kaca yang licin dan berkilat," terang Nabi Sulaiman.

Sekali lagi Ratu Balqis dijentik hatinya dengan perasaan kagum kepada kurniaan Allah ke atas Nabi Sulaiman lalu berdoa, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama (berbaiah kepada) Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam."

Kebijaksanaan Ratu Balqis dalam menilai dan membuat keputusan dirakamkan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam Al-Quran. Sebenarnya, saya sengaja mewarnakan tulisan dialog di atas dengan warna merah untuk menunjukkan bahawa semua dialog tersebut adalah terjemahan daripada ayat-ayat Allah di dalam surah An-Naml, ayat 17-44, dengan sedikit penambahan untuk menjelaskan keadaan sebenar agar mudah difahami.

Apa yang menarik dalam peristiwa ini ialah kebijaksanaan yang ada pada Ratu Balqis dalam memerintah kerajaan Saba'. Ratu Balqis meminta pandangan menteri sebelum membuat keputusan, berfikiran jauh dalam membuat pertimbangan, mendapatkan kepastian dengan melakukan ujian bagi menentukan ketepatan pandangan, serta berfikiran terbuka dalam menilai sesuatu adalah antara ciri-ciri kepimpinan yang ada pada Ratu Balqis dalam peristiwa di atas.

Lebih menarik daripada itu, Ratu Balqis adalah seorang perempuan. Maka tidak mustahil untuk gerakan Islam pada hari ini untuk melahirkan pemimpin di kalangan muslimat yang hebat, bijaksana dan berpandangan jauh selain tawadhu' dan beriman seperti Ratu Balqis.

Namun, kebijaksanaan ini juga hasil cetusan pemikiran Nabi Sulaiman yang bersikap optimis terhadap mad'unya itu. Nabi Sulaiman mempertimbangkan keadaan Ratu Balqis yang belum pernah didedahkan dengan Risalah Tauhid, justeru membuat perancangan yang sangat rapi dan berkesan untuk menyebarkan dakwah dan membuka Negara Saba' untuk menerima Islam sebagai perlembagaan utama.

Paling menarik sepanjang kisah ini, segala nikmat yang Allah Ta'ala berikan kepada kedua-dua insan agung ini tidak sedikitpun menyebabkan mereka lari daripada menta'ati Allah Ta'ala.

Benarlah kata-kata Allah Ta'ala yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.

Sunday, February 21, 2010

Sejahteralah hati...


7 Rabi'ul Awal 1431 Hijrah / 21 Februari 2010 Masehi.

"Tidak beriman seseorang di kalangan kamu, sehingga dia kasihi untuk saudaranya, seperti dia mengasihi untuk dirinya sendiri" (Riwayat Ahmad, At-Tirmizi dan Al-Hakim).

Maksud hadith di atas adalah mafhum, mengenai perhubungan di kalangan muslim yang bersaudara. Apa pula yang dimaksudkan dengan mengasihi saudara seperti mengasihi diri sendiri? Ir Ahmad Jais, Pengarah Radio IKIM, di dalam sebuah Forum Bicara Ad-Deen menjelaskan bahawa maksud hadith di atas ialah sekiranya kita sukakan buah oren dan merasakan buah oren itu baik untuk diri kita, maka jika ada buah oren, kita pasti inginkan saudara muslim kita memiliki buah oren yang sama.

Mendahulukan sahabat pula adalah tingkatan yang paling tinggi. Iaitu, sekiranya kita hanya memiliki sebiji buah oren, maka kita akan mengahadiahkan buah oren itu untuk saudara muslim kita tadi. Sesuai dengan tingkatan tertinggi yang disebut oleh Imam Hassan Al-Banna, Al-Ithar(melebihkan) sahabat.

Tingkatan terendah dalam indikator perhubungan sesama saudara muslim ialah Salamah As-Sadri(Sejahtera hati) daripada keburukan saudara muslimnya. Istilah yang lebih popular digunakan ialah "Husnu Adz-Dzhan" iaitu baik sangka. Hakikatnya, kita bukan sahaja perlu berbaik sangka terhadap perbuatan saudara seagama kita, bahkan kita juga perlu menerima keburukan dan kekurangan yang ada pada saudara kita. Perasaan kita terhadap saudara kita perlu sentiasa murni, walau seburuk mana peribadi saudara kita.

Bertentangan dengan sikap baik sangka, ialah buruk sangka ataupun "Su'u Adz-Dzhan". Buruk sangka pula hanyalah sebahagian daripada kegagalan mencapai Salamah As-Sadri. Mereka yang tidak sejahtera hatinya terhadap saudaranya, akan mengungkit-ungkit keburukan peribadi saudaranya sama ada melalui perkataan, perbuatan mahupun sekadar lintasan hati. Sekiranya terlintas di hati kita perasaan tidak senang dengan peribadi sahabat kita, maka tidak sejahteralah hatinya itu.

Masalah peribadi di sini hanyalah menyentuh perkara-perkara yang berkaitan dengan sifat dan kelemahan peribadi seseorang. Sebagai contoh gagap dalam berkata-kata, kulit yang gelap, gigi yang berterabur, tahi lalat yang menonjol, saiz badan yang tidak ideal, dan pelbagai sifat-sifat yang berbentuk peribadi. Kelemahan peribadi ini, jika dilihat dari segi hukum hakikatnya adalah harus. Harus untuk seseorang itu gagap, lembab, gemuk, keding dan sebagainya.

Kesalahan yan biasa saya dan anda lakukan dalam persoalan Salamah As-Sadri ini ialah, kita berbaik sangka dalam perbuatan salah dan dosa yang dilakukan oleh saudara kita. Tiada istilah baik sangka dalam perkara-perkara dosa, syubhah, dan sebagainya. Istilah yang biasa kita gunakan ialah "meraikan sahabat".

Merujuk kepada hadith di atas, perkara yang sama juga perlu berlaku dalam hal-hal yang boleh membawa mudharat. Perlakuan dosa boleh membawa ke neraka. Wajib ke atas kita untuk elakkan, maka wajib juga ke atas kita, atas dasar kasihkan saudara, untuk mengelakkan saudara kita melakukan dosa tersebut.

Dalam organisasi dan gerak kerja berjemaah. Sekiranya kawan kita tidak pandai dalam bertutur, hukumnya adalah harus. Tetapi sekiranya kawan kita enggan bertutur, disebabkan faktor malas dan yang sewaktu dengannya, hukumnya adalah .....(tak berani meletakkan hukum). Saya yakin, kita sudah terlalu matang untuk membezakan antara perkara yang harus, makruh, sunat, wajib dan dosa.

"An-Nu'man bin Basyir berkata, "Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda, 'Yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas, dan di antara keduanya terdapat hal-hal musytabihat (syubhat / samar, tidak jelas halal-haramnya), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Barangsiapa yang menjaga hal-hal musytabihat, maka ia telah membersihkan kehormatan dan agamanya. Dan, barangsiapa yang terjerumus dalam syubhat, maka ia seperti penggembala di sekitar tanah larangan, hampir-hampir ia terjerumus ke dalamnya. Ketahuilah bahwa setiap raja mempunyai tanah larangan, dan ketahuilah sesungguhnya tanah larangan Allah adalah hal-hal yang diharamkan-Nya. Ketahuilah bahwa di dalam tubuh ada sekerat daging. Apabila daging itu baik, maka seluruh tubuh itu baik; dan apabila sekerat daging itu rusak, maka seluruh tubuh itu pun rusak. Ketahuilah, dia itu adalah hati.'" (HR. Bukhori)

Berbalik kepada persoalan perhubungan antara saudara muslim, merujuk kepada konflik perhubungan yang ada di sekitar kita, saya merasakan kita perlu menyerap kembali semangat persaudaraan yang ditonjolkan oleh para Sahabat RasuluLlah R.A. Mereka bukan sahaja sentiasa sunyi daripada berbicara mengenai kelemahan peribadi saudara-saudara muslim mereka, malah mereka komited dalam menjaga perhubungan dan meraikan saudara-saudara muslim mereka dalam konteks yang sebenar dan sangat mengharukan.

Abdullah Nasir Al-'Ulwan dalam kitabnya "Ukhuwah FiLlah" menjelaskan bahawa ikatan persaudaraan sebenar bukanlah semata-mata dalam tempoh perjuangan. Iaitu, kita kasihkan saudara kita kerana perjuangan dan susah-payah yang dilalui bersama. Akan tetapi, ikatan persaudaraan yang sebenar ialah ikatan yang bertitik tolak daripada kasih kita kepada Allah, iaitu mengasihi saudara kita kerana kasih dan sayang kita kerana Allah.

Di antara 7 golongan yang akan berada di bawah naungan Allah Ta'ala di hari yang tiada naungan selain naunganNya ialah 2 orang pemuda yang bertemu dan berpisah kerana Allah Ta'ala.

Semoga sejahtera hati saya daripada kelemahan dan keburukan peribadi saudara-saudara saya, juga sejahtera hati seluruh Umat Islam daripada keburukan dan kelemahan saudara-saudara mereka.

Bumi Allah ini terlalu luas untuk kita berasa sedih dan dukacita, tetapi masa kita terlalu singkat untuk berasa benci dan mencetus sengketa.

“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakekatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu(Muhammad) hakim dalam perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa keberatan dalam hati mereka terhadap putusan yang kamu berikan, dan mereka menerima dengan sepenuhnya.” An-Nisa' - 4:65.

Thursday, February 18, 2010

Tahanan tanpa bicara...

Saya diajar untuk tidak mudah meletakkan harapan dalam hidup ini kecuali pada perkara-perkara yang saya benar-benar pasti. Ibarat berpaut pada ranting atau dahan, tidak selamanya ia akan memberi jaminan keselamatan. Sekiranya ingin berpaut, kita mestilah mencari pautan terbaik yang tidak akan melukakan dan sentiasa menjamin keselamatan.

Perlembagaan Malaysia, seperti yang diketahui umum, merupakan sistem aturan yang dicorakkan manusia. Hakikat bahawa sistem ini terdedah kepada manipulasi dan eksploitasi pihak-pihak tertentu sama sekali tidak boleh dinafikan. Untuk status perlembagaan di Malaysia, eksploitasi telah lama berlaku, bahkan saya yakin ramai yang boleh bersetuju dengan kenyataan ini.

Saya sama sekali tidak memaksudkan kita perlu mengubah kandungan perlembagaan, juga tidak bermaksud saya selesa dengan kandungan perlembagaan sedia ada. Jauh sekali untuk mengagung-agungkan perlembagaan sedia ada. Cuma saya terasa, kita perlu meletakkan sedikit kepercayaan perlembagaan sedia ada mampu membawa kedamaian dan keadilan kepada seluruh warganegara Malaysia sekiranya dilakukan beberapa penekanan terhadap 2 aspek penting perlaksanaan perlembagaan tersebut.

1. Melaksanakan konsep Pengertian Keadilan yang sejagat. Adil dari segi istilah yang paling ideal ialah "meletakkan sesuatu kena pada tempatnya". Konsep keadilan ini sama sekali lebih baik daripada konsep kesama-rataan, atau mana-mana pemahaman istilah keadilan selainnya. Manusia dibezakan mengikut jantina, kaum, umur, jawatan, status ekonomi, keadaan geografi, dan macam-macam lagi. Maka sudah pastinya keperluan dan kehendak setiap manusia adalah berbeza. Pada masa-masa tertentu, konsep sama-rata boleh dilaksanakan, namun adakalanya sama-rata tidak akan membawa solusi yang berkesan.

Akal fikiran manusia yang cetek dan dangkal pastinya tidak akan terjangkau hikmah dan pengajaran yang tersirat di sebalik ketetapan yang telah Allah Ta'ala ciptakan ke atas manusia. Allah Ta'ala yang menciptakan manusia terdiri daripada kepelbagaian jenis ini. Kemudian dilengkapkan ciptaan ini dengan segala nikmat, seterusnya menurunkan PERINGATAN untuk manusia dan seluruh makhluk di dunia ini. Allah Ta'ala memberi jaminan penjagaanNya terhadap peringatan ini. Peringatan yang terkandung perintah dan larangan, serta pelbagai kisah dan pengajaran yang perlu menjadi keutamaan di kalangan manusia. Lebih-lebih lagi, manusia yang diberikan kelebihan dan amanah di antara mereka.

2. Memelihara Hak Asasi Manusia. Memahami konsep amanah dalam perkara pentadbiran duniawi ini akan memastikan kita menghormati hak-hak sesama manusia. RasuluLlah mengajar mengenai hak sesama manusia dalam aplikasi konsep kejiranan dan persaudaraan. RasuluLlah juga menunjukkan model kepimpinan dan pentadbiran yang paling cemerlang dalam hal-hal yang berkaitan dengan "Hak Asasi Manusia" ini.

Sila rujuk kisah layanan RasuluLlah terhadap orang Yahudi semasa menjadi ketua kerajaan Islam Madinah. Baginda memberikan perlindungan dan jaminan kebajikan serta keselamatan kepada semua rakyat termasuk di kalangan Yahudi. Jaminan kebajikan ini diberikan oleh RasuluLlah merentasi sempadan kaum, agama, dan warna kulit. Sekalipun Baginda lebih 'arif mengenai perihal orang yahudi yang suka mengkhianat dan berbuat kerosakan di muka bumi ini.

Baginda terus membela dan memelihara kebajikan orang-orang kafir dan yahudi ini sehinggalah terbukti secara terang-terangan pengkhianatan yang dibuat oleh orang Yahudi terhadap RasuluLlah dan negara Islam pada ketika itu. Malah, RasuluLlah sempat memberikan amaran dan meminta orang-orang Yahudi Bani Quraizah untuk bertaubat dan berhenti daripada usaha khianat yang mereka lancarkan dalam peristiwa Perang Ahzab (Tentera Bersekutu). Pada ketika itu, barulah Nabi Muhammad SAW mengambil tindakan yang tegas ke atas mereka.

Peristiwa ini mengajar kita mengenai kepentingan pihak pentadbiran dalam memberikan layanan yang Adil dan menghormati Hak Asasi Manusia.

Malangnya, terlalu banyak kekarutan yang berlaku di Malaysia. Akta Keselamatan Dalam Negeri misalnya, membuat tangkapan dan penahanan tanpa bicara yang secara jelas menyalahi konsep keadilan dan Hak Asasi Manusia.

Walaupun Akta ini SAH dari segi undang-undang dan perlembagaan Malaysia, namun samalah Malaysia seperti Kerajaan Diktator Nazi suatu ketika dulu yang menggunakan Akta untuk melakukan "ethnic cleansing" ke atas bangsa Yahudi pada perang dunia ke-2. Sama jugalah Malaysia dengan Amerika dan Britain yang melancarkan perang terhadap Gerakan Islam melalui "Kempen Anti Keganasan" dan menggunakan undang-undang untuk menghalalkan perbuatan terkutuk mereka.

Amerika dan sekutu mereka-reka bukti mengatakan keganasan datang daripada tentera Mujahideen, padahal telah dibuktikan secara teknikalnya bahawa peristiwa 11 September hanyalah semata-mata rekaan untuk mereka melakukan keganasan ke atas umat Islam. Contoh tepat untuk situasi perbicaraan DSAI. Semua bukti adalah palsu bahkan terbukti dalam tuduhan terdahulu bahawa DSAI tidak bersalah. Kerajaan masih dengan usahanya mengawal segala institusi untuk kepentingan mereka.

Maka saya berazam dan sentiasa komited untuk meletakkan harapan saya hanya padaAllah Yang Maha Esa. Saya yakin akan kebenaran janjiNya. Saya yakin dengan janjiNya kepada orang-orang yang beriman dan melakukan amal-amal soleh.

"Ada di kalangan orang-orang yang beriman, lelaki yang dibenarkan janji Allah ke atasnya. Maka ada dikalangan mereka yang telah menunaikan janji setianya(gugur dan syahid) dan ada yang masih menunggu(terus berjuang dan menanti giliran untuk syahid), dan mereka sekali-kali tidak akan berganjak dan berpaling,". Al-Quran.


Wednesday, February 17, 2010

Nasib Penduduk Kampung Baru Ditentukan Secara Majoriti?

Kampung Baru, Kuala Lumpur tergolong di dalam kawasan Tanah Rezab Melayu, merupakan satu-satunya kawasan penempatan dan perniagaan yang dimiliki oleh orang Melayu secara keseluruhannya di Kuala Lumpur. Melihat kepada kehendak pembangunan, sememangnya kawasan terbabit mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk dibangunkan. Di tambah dengan kedudukannya yang sangat strategik.

Akhbar Sinar Harian, 17 Februari melaporkan kenyataan Raja Nong Chik selaku Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mengenai peruntukan undang-undang yang akan digunakan bagi membolehkan kerajaan melaksanakan cadangan pembangunan semula kawasan tersebut.

Beberapa isu pokok perlu diperhatikan oleh kerajaan dalam isu ini. Pertamanya ialah, Kampung Baru sebagai kawasan penempatan orang-orang Melayu. Nasib dan kebajikan penduduk di kawasan terbabit sewajarnya menjadi keutamaan bagi kerajaan dalam melaksanakan sebarang bentuk pelan pembangunan di kawasan terbabit.

Keduanya, selain daripada menjadi kawasan penempatan, Kampun Baru sudah terkenal sebagai pusat perniagaan dan tumpuan usahawan orang-orang Melayu yang sudah sekian lama menghuni di kawasan terbabit. Bermakna, Kerajaan bukan sahaja berdean dengan masalah penempatan, bahkan masalah mata pencarian penduduk di kawasan terbabit. Siapa yang tidak kenal dengan "Nasi Lemak Antarabangsa" yang mula bertapak di Kampung Baru. Selain restoran-restoran yang terkenal, terdapat pelbagai perkhidmatan lain seperti rumah tumpangan, hotel, pusat rawatan Islam dan pelbagai bentuk perniagaan milikan Melayu di kawasan terbabit yang perlu ditangani secara serius dan berkesan oleh Kerajaan.

Implikasi perancangan pembangunan ini bukan sekadar Melayu dan Bumiputera, bahkan ia melibatkan keseluruhan perancangan pembangunan yang selama ini diaturkan oleh Kerajaan. Rekod buruk kerajaan dalam mengatasi masalah penempatan amat meragukan, apalagi dalam hal yang melibatkan kesan jangka panjang terhadap status ekonomi penduduk terbabit.

Justeru Kerajaan perlu bertanggungjawab dalam perkara ini dan melaksanakan apa yang mereka canang dalam slogan "1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan". Kemahiran urustadbir yang baik adalah perlu dalam mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap pengurusan kerajaan.

Krisis Berpanjangan: Masihkah ada harapan untuk Rakyat Malaysia?

Seawal bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW, UMNO telah pun memulakan krisis dalam usaha merampas kekuasaan di Negeri Pakatan Rakyat. Selepas berjaya mengalahkan Pakatan Rakyat di Mahkamah untuk Negeri Perak, UMNO menyambung misi mereka membuat onar di Pulau Pinang. Mungkin kerana ingin menutup malu MB Kudeta yang menyambut TBC di kediaman sendiri, UMNO cuba mengalihkan tumpuan ke Negeri Pulau Pinang, pimpinan Lim Guan Eng.

Malaysia berdepan dengan krisis kepimpinan terbesar pada tahun ini, lebih teruk apabila krisis itu semakin berlarutan dan meleret sehingga tidak ternampak jalan keluar. Setelah slogan 1 Malaysia Najib ditolak bulat-bulat oleh rakyat kebanyakan, pelbagai kempen untuk memburukkan lawan dirancang dan dicanang. Walaupun kebanyakan senjata mereka akhirnya memakan tuan, UMNO dilihat seperti terus menyondol tanpa arah dan tujuan.

UMNO masih tidak sedar mengenai nasib yang bakal menimpa mereka di mahkamah rakyat. Sekalipun terlepas di mahkamah Rakyat, penindasan dan kezaliman mereka sudah pasti tidak akan terlepas daripada penghakiman Allah di Mahsyar kelak. Alangkah baiknya jika pemimpin kerajaan sedar dan faham akan hakikat ini.

Satu demi satu institusi dalam negara ini mengalami keruntuhan. Kepercayaan rakyat terhadap status ekonomi Negara sudah hampir setahun lenyap. Harga barang keperluan masih di paras bahaya, di samping status bekalan makanan yang sangat meragukan.

Keselamatan Negara juga terjejas apabila laporan mengenai jenayah terus meningkat dan semakin mengancam nyawa, maruah dan harta benda. Kerajaan lebih senang dan tenang mengatasi demonstrasi jalanan daripada menumpukan usaha menyelamatkan rakyat kebanyakan yang sentiasa terdedah dengan bahaya.

Ekoran krisis ekonomi yang berlarutan, peluang pekerjaan juga menipis menyebabkan kadar pengangguran meningkat. Justeru menyumbang kepada pemesatan industri "panjang tangan" di kalangan warganya.

Sektor pendidikan juga dilihat semakin terumbang-ambing. PPSMI, dasar 10 subjek SPM, SBT dan pelbagai pelan pendidikan tidak lebih dari sekadar eksperimen yang akhirnya memakan anak-bangsanya sendiri. Kekurangan belanjawan menyebabkan kerajaan terpaksa menggantung peluang pekerjaan di sektor pendidikan. Sudahlah pendidikan tidak cukup berkesan mendidik anak bangsa, murid-murid pula ketagihan guru yang cukup untuk mengajar mereka.

Saya pernah berbincang dengan beberapa orang guru, termasuk seorang Pengetua di Tapah, Perak. Beliau menyebut, sebenarnya masalah sosial yang berlaku di kalangan remaja pada hari ini berpunca daripada kerajaan 125%. KPM melaksanakan PPSMI yang gagal membawa penambahbaikan terhadap prestasi pelajaran anak-anak luar bandar. Pelajar-pelajar sudah tidak lagi berminat dengan proses pembelajaran yang terlalu asing buat mereka. Natijahnya, mereka kerap ponteng sekolah, melepak dan akhirnya terjebak dalam gejala-gejalan negatif.

Guru-guru pula tidak mampu berbuat apa-apa, kerana tertakluk di bawah sistem yang mengawal pergerakan mereka. Guru-guru hanyalah buruh yang hanya boleh terlibat dalam proses PnP di sekolah, lebih dari itu bukan lagi menjadi urusan guru-guru malah seolah-olah dilarang untuk berbuat demikian.

Sumber maklumat, selain kawalan terhadap laporan yang boleh menjejaskan kedudukan kerajaan, tiada panduan khusus untuk mengawal bahan-bahan siaran. Rakyat dari semua lapisan terdedah kepada bahan hiburan yang melampau dan akhirnya mempengaruhi corak kehidupan seharian. Perkembangan dunia hiburan dan teknologi maklumat berlaku dengan begitu pantas, ibu bapa sudah tidak lagi mengenali anaknya walaupun hanya seminggu tidak bersama.

Rakyat sudah kehilangan tempat berlindung. Setelah semua badan-badan dan institusi-institusi penting di negara ini diperkosa oleh UMNO, badan kehakiman menjadi mangsa rogol terburuk dalam sejarah apabila keputusan mahkamah membenarkan rampasan kuasa yang berlaku ke atas negeri perak.

Dalam satu artikel di Malaysiakini, pemimpin dunia mengutuk tindakan pemimpin Malaysia dengan berkata, "Awak sendiri yang meludah pada perlembagaan, dan sekarang awak mahu rakyat hormat padanya(perlembagaan)?"

Prinsip Kerajaan Persekutuan sudah tidak lagi dihormati apabila kerajaan Pusat seringkali melanggar sempadan kuasa dan mencampuri urus tadbir negeri di bawah penguasaan Pakatan Rakyat. Kerajaan juga tergamak merampas wang royalti yang hakikatnya adalah milik rakyat kelantan yang perlu diuruskan secara bebas oleh kerajaan negeri.

Setelah satu demi satu institusi dalam negara ini dicelarukan, Masihkah ada harapan untuk Rakyat Malaysia? Selamatkah Malaysia untuk setahun dua yang akan datang?

Mujurlah sebagai seorang Rakyat Malaysia yang beragama Islam, saya mengimani bahawa kebenaran itu tetap akan muncul, dan kesudahan yang baik hanyalah untuk orang-orang yang beriman. Maka saya sanggup bersabar melihat kehancuran ini berlaku, dan menumpukan usaha menegakkan kebenaran pada PRU akan datang. Hancurlah Rejim BN-UMNO. Hiduplah keadilan dan kebenaran.

Islam Memimpin Perubahan.

Antara Yang Menarik