Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, March 1, 2010

Pengajaran Dari Saba'

Suatu ketika Nabi Sulaiman mengumpulkan seluruh tenteranya dalam saf-saf yang tersusun di mana bangsa burung telah dilantik menjadi skuad peninjau. Skuad peninjau bertanggungjawab memerhatikan saf ketenteraan Nabi Sulaiman di depan, tengah dan belakang.

Maka segala jenis makhluk pun berkumpul kecuali burung belatuk. Lalu Nabi Sulaiman memerintahkan, sekiranya burung belatuk tidak mengadap segera, maka akan aku hukumnya dengan azab yang pedih atau akan aku sembelihnya, kecuali dengan alasan-alasan yang munasabah.

Tidak lama kemudian, datanglah burung belatuk dengan membawa sebuah berita kepada Nabi Sulaiman. Burung belatuk memulakan ceritanya, "aku terjumpa sebuah kerajaan di Saba'. Negerinya sangat makmur diperintah oleh seorang permaisuri. Mereka memiliki istana yang menjadi mercu tanda negara mereka. Akan tetapi, Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk," lapor burung belatuk.


Lalu, Nabi Sulaiman membuat 'double check' terhadap berita tersebut. Setelah memastikan kesahihan maklumat tersebut, maka Nabi Sulaiman mengirimkan surat kepada Ratu Balqis menggunakan burung belatuk sebagai utusan. Burung belatuk mengirimkan surat tersebut dan meletakkan surat tersebut di atas katil di kamar Ratu Balqis. Seperti yang dirancang, Ratu Balqis kehairanan apabila mendapati surat tersebut berada di atas katilnya sedangkan Istana Ratu Balqis itu menerima kawalan ketat selama 24 jam. Burung Belatuk secara rasminya dilantik menjadi perisik Nabi Sulaiman dan bertanggungjawab membuat laporan kepada Nabi Sulaiman mengenai perbincangan Ratu Balqis di istananya itu.

"Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah)," isi surat yang diutuskan oleh Nabi Sulaiman. Maka Ratu Balqis mengadakan mesyuarat khas jemaah menterinya untuk membincangkan perkara ini. Sebagai seorang ketua kerajaan yang baik dan perlu dijadikan contoh, setelah membacakan isi surat tersebut, Ratu Balqis meminta supaya para menterinya memberikan pandangan,"Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya" ujar Ratu Balqis.

Maka jemaah menterinya, seorang demi seorang, mengutarakan pendapat dan pandangan masing-masing. Jemaah menteri Negara Saba' sebulat suara,"Kerajaan Saba' adalah kerajaan yang kuat, kita ada ramai tentera dan belum pernah tewas dalam peperangan kita sebelum ini. Jadi kita jangan tunduk sebaliknya berperang sahaja dengan kerajaan Sulaiman,"

Namun, sekalipun mereka secara majoriti malah secara sebulat suara telah mengutarakan pandangan, mereka begitu beradab, "walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan," kata wakil menteri-menteri tersebut sebagai memberi kepercayaan kepada Ratu Balqis untuk berfikir dan membuat keputusan.

Ratu Balqis seorang yang bijak. Ratu Balqis tahu mengenai kekuatan sebenar, yang tidak diketahui oleh menteri-menterinya, yang ada pada Kerajaan pimpinan Nabi Sulaiman dan sedar bahawa kerajaannya akan kalah sekiranya memilih untuk berperang. Lalu bertitah, "Seorang raja yang zalim memerintah dan menjajah kerana ingin mendapatkan harta dan kuasa. Maka, kita hantarkan kepada Raja Sulaiman harta dan ufti yang banyak sehingga tidak tercapai oleh akal akan ada orang yang akan menolak hadiah yang sebegitu banyak, setelah itu kita perhatikan apa yang dia akan lakukan dan tindakan kita bergantung kepada respon Raja Sulaiman itu nanti."

Setelah itu, beratus-ratus ekor unta yang membawa hadiah yang tersangat banyak dan mahal untuk diberikan kepada Kerajaan Nabi Sulaiman. Setelah sampai di istana Nabi Sulaiman di palestin, Nabi Sulaiman, tanpa berfikir panjang, menyuruh rombongan itu untuk pulang kesemuanya.

Ratu Balqis berasa pelik dan terkejut mengenai berita rombongan hadiahnya dihalau balik oleh Nabi Sulaiman. Peristiwa itu menyebabkan Ratu Balqis yakin bahawa niat Kerajaan Nabi Sulaiman adalah untuk membawa kebaikan untuk Negeri Saba'. Hatinya mula terbuka untuk menerima Islam. Lalu Ratu Balqis memerintahkan jemaah menterinya menyiapkan rombongan untuk mengadap Nabi Sulaiman untuk menyatakan kesediaan untuk menyerah diri kepada Kerajaan Nabi Sulaiman.

Apabila mendapat berita tentang kehadiran rombongan Ratu Balqis, Bertitah Nabi Sulaiman, (kepada golongan bijak pandainya): "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"

Lalu berkata Ifrit dari bangsa Jin, "Aku dapat mengalihkannya sebelum sempat engkau bangun dari tempat dudukmu wahai Sulaiman, sesungguhnya aku memang kuat dan amanah."

Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!"

Lalu dipindahkan Istana Ratu Balqis dalam sekelip mata dan terpacaklah istana Ratu Balqis dalam sekelip mata di hadapan Nabi Sulaiman serta para menteri. Nabi Sulaiman insaf dengan peristiwa itu lalu berdoa "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah."

Setelah rombongan Ratu Balqis tiba di Palestin, berkata Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis, "Adakah seperti ini rupa singgah sana Tuan Permaisuri?"

"Boleh jadi inilah dia," jawab Ratu Balqis yang mula diselimuti 1001 perasaan pelik dan ta'jub. Melihat pada keadaan Ratu Balqis membuatkan Nabi Sulaiman berkata di dalam hatinya, "kami telah diberikan ilmu lebih dahulu daripada kamu, tetapi kami tetap beriman. Sedangkan dia telah dihalangi untuk menyembah Allah, dan menyebabkan dia ini tergolong di kalangan orang-orang yang kafir,"

"Dipersilakan masuk," pelawa Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis dan seluruh rombongannya.

Melihat pada keadaan laman yang bersinar-sinar, Ratu Balqis menyinsing kainnya kerana menyangka laman itu adalah kolam air.

"Sebenarnya istana ini diperbuat daripada kaca yang licin dan berkilat," terang Nabi Sulaiman.

Sekali lagi Ratu Balqis dijentik hatinya dengan perasaan kagum kepada kurniaan Allah ke atas Nabi Sulaiman lalu berdoa, "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama (berbaiah kepada) Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam."

Kebijaksanaan Ratu Balqis dalam menilai dan membuat keputusan dirakamkan oleh Allah dengan panjang lebar di dalam Al-Quran. Sebenarnya, saya sengaja mewarnakan tulisan dialog di atas dengan warna merah untuk menunjukkan bahawa semua dialog tersebut adalah terjemahan daripada ayat-ayat Allah di dalam surah An-Naml, ayat 17-44, dengan sedikit penambahan untuk menjelaskan keadaan sebenar agar mudah difahami.

Apa yang menarik dalam peristiwa ini ialah kebijaksanaan yang ada pada Ratu Balqis dalam memerintah kerajaan Saba'. Ratu Balqis meminta pandangan menteri sebelum membuat keputusan, berfikiran jauh dalam membuat pertimbangan, mendapatkan kepastian dengan melakukan ujian bagi menentukan ketepatan pandangan, serta berfikiran terbuka dalam menilai sesuatu adalah antara ciri-ciri kepimpinan yang ada pada Ratu Balqis dalam peristiwa di atas.

Lebih menarik daripada itu, Ratu Balqis adalah seorang perempuan. Maka tidak mustahil untuk gerakan Islam pada hari ini untuk melahirkan pemimpin di kalangan muslimat yang hebat, bijaksana dan berpandangan jauh selain tawadhu' dan beriman seperti Ratu Balqis.

Namun, kebijaksanaan ini juga hasil cetusan pemikiran Nabi Sulaiman yang bersikap optimis terhadap mad'unya itu. Nabi Sulaiman mempertimbangkan keadaan Ratu Balqis yang belum pernah didedahkan dengan Risalah Tauhid, justeru membuat perancangan yang sangat rapi dan berkesan untuk menyebarkan dakwah dan membuka Negara Saba' untuk menerima Islam sebagai perlembagaan utama.

Paling menarik sepanjang kisah ini, segala nikmat yang Allah Ta'ala berikan kepada kedua-dua insan agung ini tidak sedikitpun menyebabkan mereka lari daripada menta'ati Allah Ta'ala.

Benarlah kata-kata Allah Ta'ala yang Maha Tinggi lagi Maha Perkasa.

No comments:

Antara Yang Menarik