“Telah Berjaya orang-orang yang Beriman, iaitu mereka yang khusyu’ mengerjakan solat, dan mereka yang meninggalkan perkara-perkara lagha(sia-sia)”
(Al-Mu’minun, 23:1-3)
“Diampunkan bagi kamu dosa-dosa, dan dimasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan tempat tinggal yang baik di dalam syurga ‘Adn. Demikian itulah Kejayaan yang agung”
(As-Saf, 61:12)
Sabda Nabi Muhammad SAW,
“Barangsiapa yang dikehendaki oleh Allah akannya kebaikan, Allah akan memberikan orang itu kefaqihan dalam Ad-Deen”
Sedar atau tidak, hakikat kehidupan manusia ialah sentiasa akan ada kerja ataupun perbuatan yang dilakukan sepanjang 24 jam sehari, 7 hari seminggu, setiap saat, detik dan waktu. Sama ada pada ketika itu seseorang itu tidur, bercakap, makan, minum, berjalan, termenung, menyanyi dan apa jua kelakuan akan dikira sebagai amalan. Bagi setiap amalan itu pula, akan dicatit oleh Malaikat Raqib dan ‘Atid.
Setiap kelakuan tersebut akan dicatit sama ada sebagai kebaikan yang akan membawa kepada ganjaran pahala, mahupun keburukan yang akan dibalas dengan azab dan seksa. Segala tindak-tanduk manusia akan dicatat dan tidak akan terlepas walau pun sesaat dari tempoh kehidupan setiap manusia yang hidup di atas muka bumi ini.
Maka, Apakah yang akan membezakan sesuatu tindakan itu baik atau buruk? Bagaimana pula caranya memastikan kita sentiasa berada di dalam kebaikan?
Persoalan mengenai pekerjaan yang baik bergantung kepada 2 kata kunci utama, niat dan syari’at.
1. Soal Niat = Disebut dalam hadith pertama dalam Kitab Hadith 40: Imam Nawawi, bahawa setiap amalan itu bergantung kepada niat, keikhlasan kita melakukan sesuatu perkara. Orang yang ikhlas, betul niatnya, ialah orang yang melakukan sesuatu perkara itu hanya kerana Allah dan Rasul. Manakala orang yang salah niatnya ialah mereka yang melakukan sesuatu perkara selain daripada kerana Allah dan Rasul. Boleh jadi kerana harta, manusia, mahupun sebab-sebab yang lain.
2. Soal syariat = sekalipun niat seseorang itu ikhlas kerana Allah, tak bermakna dia boleh melakukan sesuatu sesuka hati. Definisi Islam sebagai Ad-Deen(cara hidup) menunjukkan bahawa ada peraturan dan sempadan yang telah diturnkan untuk memandu manusia dalam setiap gerakgeri kehidupan. Digariskan lima jenis perbuatan iaitu wajib, sunat, harus, makruh, haram yang perlu diketahui oleh setiap manusia.
Telah diperjelaskan di atas bahawa kita berada dalam kondisi “beramal” pada setiap saat dan ketika. Maka pada setiap saat dan ketika itulah kita perlu sentiasa betulkan amalan kita supaya ikhlas dan menepati syariat. Sebab itulah RasuluLlah SAW berpesan bahawa jika kita dipilih oleh Allah untuk mendapat kebaikan, Allah akan memberikan kita kefahaman dalam Islam(cara hidup).
Saya sejujurnya tidak setuju dengan penggunaan “agama” untuk Islam kerana ia akan menyempitkan pemikiran. Islam sebagai Ad-Deen ataupun cara hidup adalah definisi terbaik supaya kita jelas dengan tuntutan untuk membetulkan dan memperbaiki amalan kita. Kita perlu sentiasa memilih dan meneliti perbuatan kita supaya tergolong di kalangan orang-orang yang Berjaya.
Oleh itu, bagi memastikan kita sentiasa berada di dalam kebaikan, beberapa asas penting perlu difahami, iaitu
1. Sifat iman manusia yang bertambah dan berkurang.
2. Fitrah kejadian manusia yang dikurniakan naluri(baik) dan nafsu(jahat).
3. Sumber rujukan menentukan hokum, Al-Quran dan As-Sunnah.
4. Ilmu dan teladan sebagai pembimbing dan panduan.
Kita akan sentiasa terdedah kepada “kilauan kaca yang menipu”, bahkan acapkali kita sengaja memilih kaca walaupun kita tahu permata itulah yang berharga. Di tambah dengan kedangkalan ilmu mengenai Islam, menyebabkan kita tersalah dan terpedaya secara sedar ataupun sebaliknya.
Maka kita perlu sentiasa menyibukkan diri kita dengan kerja-kerja Islam dan merapatkan hubungan kita dengan sebarang perkara yang berkaitan dengan Islam. Termasuklah bergaul dengan orang Islam, menyertai persatuan Islam, membaca buku-buku Islam, mendengar ceramah Islam, berbual mengenai Islam, menulis mengenai Islam, malah berfikir dan berangan-angan mengenai Islam.
Saya berpandangan inilah yang sebenarnya dimaksudkan dengan MenSIBUKkan diri kita dengan Islam. Saya juga berpandangan sekiranya kita tidak menSIBUKkan diri kita dengan perkara yang baik, maka sudah pasti perkara yang tidak baik akan menSIBUKkan kita. Maka saya berpesan kepada Farid, dan semuanya Marilah Beramal! Beramal Kerana Allah.
“Dalam kilauan permata, pasti ada kilauan kaca yang menipu.”
No comments:
Post a Comment