Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, October 29, 2008

Islam Memimpin

Membangun bersama Islam adalah slogan penting dan penuh makna yang perlu dihayati bukan sahaja bagi mereka yang beragama Islam , malah tidak mengira kaum, bangsa mahupun agama.

Hal ini jelas disebut di dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah, bahawa Al-Quran itu diturunkan pada bulan Ramadhan menjadi petunjuk bagi semua manusia dan sebagai bukti kepada petunjuk dan pembeda. Tanpa mengira sama ada mereka percaya kepada kewujudan Allah, atau sama sekali tidak percaya kepada konsep Tuhan sekalipun termasuk dalam golongan manusia yang disebutkan di atas.

Definisi petunjuk boleh ditakrifkan sebagai penunjuk jalan, pembimbing, panduan dan sebagainya. Dalam konteks kehidupan, Islam sebagai petunjuk, saya tafsirkan sebagai Islam sebagai sumber penyelesaian masalah, juga bertindak sebagai manual panduan cara hidup manusia. Justeru kedudukan Islam dalam masyarakat bukan sahaja menjadi tempat rujukan ketika ditimpa musibah, sebagai contoh, apabila hendak menduduki peperiksaan maka berbondong-bondonglah manusia yang berhimpit ke surau dan masjid untuk membaca yasin, solat hajat dan sebagainya. Sebaliknya Islam menjadi sumber rujukan dari saat bukanya mata hinggalah terlelap dan terjaga kembali. Islam dirujuk bermula daripada aspek pengurusan individu, rumah tangga, masyarakat dan sosial, pentadbiran negara, sehinggalah pentadbiran antarabangsa.

Inilah sebenarnya takrif Islam Memimpin yang ingin saya keutarakan. Maka dalam soal pentadbiran kampus sekalipun perlulah diletakkan Islam sebagai manual utama dalam membuat keputusan. Soalnya, adakah disebut dalam Al-Quran, As-Sunnah, mahupun ijma' dam Qias tentang soal pentadbiran Institut pengajian tinggi, pilihanraya kampus, dan sebagainya??

Sememangnya tiada disebut mengenai pengajian tinggi di dalam Al-Quran ,ahupun mana-mana sumber hukum utama di dalam Islam, namun di sana terdapat beberapa garis dasar dalam soal perancangan kehidupan manusia, dari aspek ekonomi, sosial, spiritual, kebudayaan, kehakiman dan macam-macam lagi. Saya ambil contoh dalam soal kehakiman, ada disebut mengenai keadilan dan bagaimana manifestasi keadilan dalam Islam. Disebut juga mengenai Amar Makruf Nahi Mungkar(Seru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran). Maka beberapa garis dasar ini perlu dipatuhi supaya suasana hidup yang kondusif akan diperolehi. BIla mana keadilan tertegak, kebajikan dan kebaikan dipelihara, serta perbuatan jahat ditegah, sudah pasti akan lahir masyarakat yang rukun dan damai.

Kajian telah dibuat, malah kita sendiri mampu mengesahkan bahawa antara keperluan fizikal dan mental(zahir dan batin), keperluan mental itu jauh lebih penting dan mempunyai impak berbanding keperluan fizikal. Walaupun kita punya harta yang banyak, tetapi tiada teman untuk kita kongsi bersama, tiada kegembiraan dan lapangnya dada, sudah pasti kekayaan itu tidak memberi apa-apa makna. Begitu jugalah pembangunan material yang dilakukan, tanpa didikan jiwa yang berkesan, pembangunan material tadi hanya akan diisi dengan kehampaan dan tidak mampu memberi sebarang kebaikan.

Islam adalah agama yang selamat dan menyelamatkan. Islam adalah Penyelamat Ummah dan pelerai segala simpulan, jawapan kepada segala soalan. Maka jadikanlah Islam sebagai pemimpin kita, Allah Sebagai Matlamat Kita, Rasul sebagai teladan kita dan Al-Quran sebagai panduan kita. Membangun Bersama Islam.

Sumber:
Tafsir Ar-Rahman.
Fiqh Sirah, Ramadhan Al-Buti;
Fiqh Harakah, Abdul Hadi Awang;
Usul 20, Imam Hassan Al-Banna;
Islam Penyelamat Ummah, Dr Yusuf Al-Qardhawi.

No comments:

Antara Yang Menarik