Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, March 25, 2010

Pemimpin dan Keputusan

Kita pernah belajar bagaimana proses membuat sesuatu keputusan semasa di bangku sekolah. Bermula dengan mengenal pasti masalah serta puncanya, menyenaraikan seberapa banyak pilihan yang ada, kaji baik buruk setiap pilihan, membuat pilihan dan melaksanakan pilihan. Ini proses biasa yang kita perlu lalui. Saya yakin, ini adalah soalan cepu emas sekiranya keluar di dalam peperiksaan, mungkin sekali sambil tersenyum kita akan membulatkan jawapan yang betul.

Kehidupan sangat akrab hubungannya dengan pilihan. Sehingga ke hari ini, manusia sekali lagi menjadi makhluk pilihan Tuhan yang diberikan keistimewaan sebagai "Memiliki pilihan yang paling banyak di dunia". Tiada makhluk yang berpeluang untuk membuat pertimbangan sebagaimana haiwan yang paling berakal seperti kita.

Satu kaedah yang biasa selalu diamalkan(juga selalu dipromosikan oleh pakar-pakar motivasi) dalam proses membuat keputusan adalah, Think like what success people think. But make a change from that.

Bayangkan insan-insan yang pernah berjaya sebelum ini, bagaimana mereka berfikir. Menyerap gaya serta corak pemikiran mereka dalam proses membuat keputusan semasa yang kita perlukan. Kaedah ini sebenarnya telah lama diajarkan oleh Al-Quran dan As-Sunnah. Kisah umat-umat terdahulu menjadi pedoman dan teladan kepada kita.

Sebagai contoh, bagaimana keputusan yang diambil oleh Nabi Sulaiman A.S ketika menguruskan kerajaannya di Palestin. Bagaimana ijtihad yang dibuat oleh Nabi Khaidir A.S.ketika di dalam kembara ilmunya bersama Nabi Musa A.S. Juga peristiwa-peristiwa yang terakam dengan begitu banyak di dalam Al-Quran dan Sunnah akan dapat membantu kita membuat keputusan yang baik. Di tambah dengan sirah kehidupan Nabi Muhammad SAW yang merupakan contoh paling ideal dalam proses membuat keputusan. Baginda merupakan decision maker terbaik bumi.

Saya katakan baik, kerana manusia tidak akan dapat lari daripada melakukan kesilapan, juga tidak dapat lari daripada membuat keputusan dan pemilihan. Maka, satu bentuk pemikiran yang paling penting dan perlu ada pada diri setiap muslim ialah, meletakkan sepenuh kepercayaan pada hikmah yang tersurat dan tersirat dalam setiap takdir yang ditentukan Allah Ta'ala.

Pemimpin juga begitu sifatnya, perlu sentiasa menginsafi diri bahawa kita bukan dan tidak akan jadi yang terbaik, itu hakikat. Tetapi kita dipilih untuk berada di posisi pemutus, maka dengan segala usaha dan tenaga yang sedaya mampu kita keluarkan, kita tetap perlu membuat keputusan, untuk diri juga orang yang dipimpin.

Maka benarlah, bahawa tiada ruang untuk dukacita bagi hamba yang merdeka. Kemerdekaan itu bermula apabila kita membuang segala jenis perhambaan kepada makhluk kepada memperhambakan diri kepada Pencipta segala makhluk.


No comments:

Antara Yang Menarik