Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Friday, May 21, 2010

Pembangunan Dan Pengupayaan Lelaki

p/s: tiada kaitan dengan mana-mana individu atau mana-mana kejadian. Jika ada sekalipun, semuanya berlaku secara kebetulan semata-mata. Jangan mulakan spekulasi jika benar anda inginkan perubahan.. :-) Ingatan awal supaya kita membaca secara matang dan berjiwa besar...

Belum pernah lagi saya dengar atau temui, badan-badan pembela kaum lelaki. Dalam mana-mana organisasi sekalipun, tidak pernah ada sekretariat yang ditubuhkan untuk orang lelaki. Saya masih bersetuju dan berpandangan, kami tak perlukan badan-badan atau unit-unit khas untuk menjaga dan membincangkan mengenai kami, walaupun hakikatnya, kaum lelaki sedang dilanda masalah kepupusan dari segi kewujudan dan keupayaan.

Tujuan artikel ini bagaimanapun, bukanlah untuk mengajak kepada penubuhan badan pembela dan pembangunan lelaki. Apalagi untuk menyemai semangat perkauman berteraskan jantina. Sekadar ingin menimbulkan tanda tanya kenapa ianya berlaku? Bahkan, saya merasakan badan-badan dan unit-unit yang ditubuhkan untuk kaum wanita sendiri gagal melaksanakan tugasnya dalam menjaga dan membangunkan kaum wanita di Malaysia dan dunia.

Mungkin ramai yang tidak setuju, bahawa lelaki perlu memainkan fungsi sebagai pemimpin sekaligus mengurangkan keutamaan fungsi wanita dalam bab kepimpinan. Tetapi saya yakin, ramai yang bersetuju bahawa lelaki dan perempuan diciptakan sungguh berbeza, dari segala jenis ciri manusia. Baik dari segi fizikal mahupun emosi, lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai pencirian yang berbeza.

Saya berpendapat bahawa, untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku, perubahan mesti dimulakan ke atas dan oleh kaum lelaki. Sekali lagi saya tekankan, tidak bermaksud untuk menidakkan peranan kaum wanita. Cuma proses pengupayaan dan pembangunan lelaki perlu lebih diberikan perhatian, apalagi saya juga adalah seorang lelaki. Ini kerana, lelaki diciptakan untuk memimpin dan memikul tanggangjawab.

Lelaki perlu menjadi lebih bertanggungjawab dan mengambil bahagian dalam menyelesaikan masalah yang melanda keseluruhan umat manusia pada ketika ini. Kesungguhan dan ketekunan dalam mencari dan menjadi solusi amat penting supaya perubahan itu dapat berlaku.

Di awal bicara, saya ada nyatakan bahawa kaum wanita juga pada hakikatnya, tidak terjaga disebabkan unit-unit mahupun badan-badan khusus untuk kaum wanita ini sendiri gagal menjalankan fungsinya dengan baik. Maka perlu juga digerakkan usaha ke arah mengembalikan maruah dan martabat kaum wanita ke tempat yang selayaknya.

Sudah tentu, bagi saya proses pembangunan dan pengupayaan itu perlu berlaku ke atas semua manusia tidak kira jantina, apalagi warna kulit dan identiti. Cuma, sasaran pembangunan itu mestilah jelas dan tepat dari segi punca dan hala tujunya.

Tinggalkan dulu persoalan peranan dan kedudukan, mungkin agak sukar untuk kita bersetuju. Mari kita alihkan tumpuan kepada bentuk masa depan yang kita impikan bersama. Kita perlu mengambil iktibar dari segala perkara yang berlaku. Bersetujulah bahawa umat ini memerlukan rombakan terhadap sistem hidup secara besar-besaran. Sistem hidup yang kita gunakan pada ketika ini ternyata gagal membawa keharmonian dan kesejahteraan yang kita impikan selama ini.

Kita hidup, berjalan dan berlari di atas bumi yang sama, menghirup dan minum dari udara dan air yang sama. Lelaki dan perempuan perlu sama kuat, sama penting dan masing-masing perlu menjalankan dan meneruskan agenda pembangunan dan pengupayaan jantina masing-masing. Tubuh badan manusia tidak akan mampu bergerak dengan baik sekiranya salah satu organ atau sistem dalam badannya tidak sihat atau terencat. Begitu juga dengan gerakan pemulihan, memerlukan kepada pemulihan semua sistem dan organ. Termasuk dua jenis elemen utama yang membentuk sesebuag gerakan iaitu LELAKI DAN PEREMPUAN.

Kita bukan berbincang mengenai isu dominasi mahupun hak kesamarataan jantina. Tidak akan selesai membincangkan isu tersebut kerana masing-masing akan bercakap mengenai kuasa dan kedudukan, kononnya mempertahankan kedudukan dan kuasa masing-masing. Selagimana perbincangan kita berteraskan kuasa dan kedudukan, maka kita akan terhimpit dengan perbalahan dan pertikaian yang tidak berkesudahan. Cukuplah dengan kita menerima hakikat bahawa lelaki dan perempuan dijadikan berbeza, justeru potensi yang mampu kita gerakkan juga sudah pastinya berbeza antara satu sama lain. Memainkan peranan masing-masing tanpa perlu memikirkan peranan siapa yang lebih baik atau lebih besar. Pesan Nabi Muhammad SAW, "Setiap yang bernyawa itu punya hak, maka penuhilah hak nyawa itu"

p/s: tiada kaitan dengan mana-mana individu atau mana-mana kejadian. Jika ada sekalipun, semuanya berlaku secara kebetulan semata-mata. Jangan mulakan spekulasi jika benar anda inginkan perubahan.. :-) Ulangan ingatan supaya kita bergerak secara matang dan berjiwa besar...

Tuesday, May 18, 2010

Sdikit mengenai keputusan Sibu..

7Saya tidak pasti, adakah tempat lain yang lebih sesuai untuk UMNO-APCO-Barisan Nasional, selain daripada tong sampah dan loji kumbahan. Malah saya sendiri tidak yakin kepada kemampuan teknologi yang ada pada pusat pelupusan sampah, dan loji kumbahan untuk menyah-toksinkan segala dosa dan noda yang telah mereka taburkan atas bumi Malaysia ini.

Racunnya telah meresap masuk ke dalam jiwa dan minda rakyat yang tidak berdosa. Kesannya telah melumpuhkan segala aktiviti pembangunan material mehupun ketamadunan insan.

Sebab itu, keputusan di Sibu adalah sangat baik. Saya rasa, kita tidak perlu memberikan amaran, dan kemenangan di Sibu bukan sekadar amaran. Ianya adalah permulaan kepada proses membunuh dan melenyapkan UMNO dari muka bumi ini insyaAllah.

Dalam masa dua minggu ini, saya rasa badan saya agak sihat berbanding biasa. Rupanya rasa sihat itu adalah disebabkan saya tidak mengikuti perkembangan semasa. Kembali terasa sakit apabila UMNO-BN-APCO meluluskan lesen judi. Ya Allah, selamatkan kami dari durjana kebangangan dan kebodohan UMNO ini. Semakin hari saya merasakan, seolah menjadi suatu amalan kebaikan apabila mengutuk UMNO. Untuk bab mengutuk ni, saya masih kurang pasti, tetapi berdoa supaya UMNO ini dilenyapkan adalah wajib dan mendapat pahala.

Saya sebutkan begini, tanpa merujuk kepada ahli-ahli UMNO kerana mungkin benar pendapat segolongan manusia yang mengakui masih ada orang-orang yang baik dalam UMNO. Tetapi, saya merujuk UMNO sebagai sebuah organisasi dan kesatuan yang memimpin dan membawa kepada kerosakan. Ianya mungkin disebabkan oleh dasar, pembawaan individu yang menguasai UMNO mahupun ditentukan oleh ahli-ahlinya. Mungkin juga kerana sudah namanya UMNO maka tidak boleh lari daripada kejahilan dan kezaliman. Sekali lagi saya tegaskan, ianya merujuk kepada UMNO itu sendiri.

AUKU yang mereka cipta, telah mencantas puluhan ribu tunas yang mempunyai potensi yang sangat tinggi untuk negara. Pertumbuhan mereka dicantas ketika sedang membesar dengan sihat di universiti tempatan. AUKU bukan sahaja merencatkan pertumbuhan Mahasiswa malah membunuh kemuliaan dan fungsi murni puluhan menara gading. Perbukitan ilmu yang diharapkan mampu menyuburkan minda dan semangat anak muda, tidak lebih sekadar bumi gersang akibat aktiviti lalai dan mensia-siakan.

ISA sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Cengkamannya begitu terasa dan menusuk ke dasar hati para pencinta keadilan. Meratah wibawa penegak dan pengamal undang-undang. Tiada lagi rasa selamat, apalagi nak berpayungkan institusi kehakiman apabila benad dan salah ditafsir mengikut akal pemerintah yang sentiasa tidak pernah kenyang dengan harta yang dirampas daripada rakyat.

Sekali lagi, saya suka untuk tekankan, yang dirujuk dalam perkara di atas adalah UMNO itu sendiri. Persoalannya, adakah saya menerima ahli-ahli dan menteri-menteri UMNO ini?? Sudah tentu saya memulangkan jawapan itu kepada yang terlebih layak untuk menjawabnya. Tapi, dalam keadaan semasa yang seperti ini, jika mereka masih mahu bersama UMNO maka eloklah mereka lenyap bersama-sama UMNO kebanggaan mereka itu. Memang, lebih baik begitu.

Ini kerana, kita perlu sedar punca segala najis dan sampah itu sendiri. Sekiranya perubahan itu digerakkan oleh elemen tidak puas hati dan semata-mata kerana UMNO itu adalah UMNO. Sekiranya kita tidak menyelidik hal yang sebenar, suatu hari nanti mungkin akan muncul pula sampah atau najis dengan lori pengangkut yang berbeza. Berbeza dari segi luar dan kulitnya, tapi serupa dan tidak kalah pula sifat kotor dan kejinya.

Wahai UMNO dan semua yang bersangkutan dengannya!! usah menyalahkan keadaan, jika seluruh pekerjaan dan amalan yang ada dalam UMNO adalah begitu sifatnya. Tiada perkara lain yang menonjol selaian dari sampah dan najis.

Saya pesimis terhadap ruang keampunan apalagi proses pemulihan yang mampu UMNO jalani. Walaupun saya tetap beriman kepada keluasan dan kesempurnaan sifat Maha Pengampun Allah kepada semua hambaNya. Bahawa tiada dosa yang tidak diampunkan oleh Allah melainkan mereka yang syirik (menyekutukan) Allah dengan sesuatu yang lain.

Cuma, harapan pemulihan negara dan pelenyapan UMNO ini sebenarnya terletak pada rakyat. Sepertimana rakyat Sibu telah buktikan, kita juga mampu melakukan perkara yang sama. Mungkin agak sukar, terutama bagi mereka yang telah berasimilasi dengan jiwa "bangsa" bawaan UMNO-APCO. Tetapi, saya optimis, bahawa saya adalah antara jutaan rakyat sedar, bersih, ataupun mereka yang "menghampiri" suci daripada hadas berat UMNO-APCO-BN.

Ayuh kita gerakkan usaha memulihkan negara dan bumi ini dari segala belenggu kekotoran dan kezaliman. Bumi ini penuh najis dan kekotoran, maka ianya perlu dibersihkan segera. Bumi ini perlu dimerdekakan sekali lagi. Bermula dengan impian sepunya yang kita miliki untuk sebuah negara yang maju. makmur, aman diberkati dan berkebajikan.

Masa untuk MENCUCI!!!

Salam Reform Rakyat Malaysia....

Monday, May 17, 2010

Mereka tidak mahu kita berfikir seperti mereka...

Anda perlu terlebih dahulu menonton dokumentari "The Arrival" sebelum anda faham apa yang saya maksudkan dengan menguasai minda sendiri. Setelah selesai menonton, bahagian pertama dokumentari tersebut, saya membuat kesimpulan bahawa kita sebenarnya telah kehilangan akal dan fikiran tanpa kita sedari.

Kita sudah tidak mampu menentukan bila kita mahu berfikir dan setinggi mana kita mampu berfikir. Ramai yang sudah hilang kepercayaan pada kemampuan dan kemahuan diri disebabkan kehilangan ini. Mungkin agak keterlaluan, tetapi ini adalah hakikat yang sebenarnya berlaku ke atas manusia yang terpengaruh dengan ideologi dan pemikiran gerakan iluminati dan freemason ini.

Secara tidak sedar, minda dan pemikiran kita telah dicorakkan oleh mereka. Mereka telah menentukan "do's and don't", mereka berjaya menanam keyakinan manusia ke atas sistem hidup yang mereka corakkan.

Bagi saya, inilah sebenarnya yang dimaksudkan dengan "The New Worldly Order", atau pemerintahan duniawi cara baru.

Sistem pendidikan, sistem sosial, dan segala sistem yang berada di sekitar kita sama sekali tidak memberikan ruang yang cukup untuk kita berfikir di luar lingkungan kebiasaan. Ada yang berpendapat, sekiranya kita mampu berfikir dan menghasilkan idea baru, maka orang ini dikatakan kreatif. Hakikatnya, dia masih lagi seorang pemikir yang biasa, sekiranya dia masih lagi bergantung kepada keadaan dan sistem yang ada.

Laman blog ini, tidak mampu memberikan solusi yang tepat untuk mengatasi batas pemikiran sebenar yang perlu dicapai oleh seorang yang kreatif. Cukup dengan kita sedar bahawa, corak dan cara hidup yang sedang kita alami pada ketika ini hanya akan membuatkan dunia semakin cepat menghampiri saat binasa.

Generasi muda zaman kini, digelar oleh sesetengah orang sebagai generasi Y yang cenderung untuk mencabar idea-idea dan pendangan semasa. Generasi yang agak sukar untuk terikat dengan amalan kebiasaan.

Pada saya, walaupun kita kononnya berada dalam kelompok Z sekalipun, kita sebenarnya masih lagi berada dalam lingkungan pemikiran yang terjajah. Selagi mana, kita tidak mampu melihat dan mengatasi batas pemikiran yang ditentukan oleh golongan yang sedang menjajah seluruh kehidupan kita. Jika kita gagal menyedari proses penjajahan ini, bukan sahaja akal kita akan terjajah malah jasad dan jiwa kita juga akan turut dikuasai oleh mereka.

Ada satu sifir mudah bagi menerangkan keadaan ini, anda perlu dengan bijak membezakan antara dua premis ini dan vice versa kepada premis berikut:

Premis 1: Semua perkara ada hukum dan sumber.

Premis 2: Al-Quran dan As-Sunnah adalah hukum dan sumber yang paling tepat dan benar.

Kesimpulan: Semua perkara perlu berhukum dan bersumberkan Al-Quran dan As-Sunnah.


Aneh, sekiranya anda meragui kenyataan ini, pada bahasa, istilah, mahupun pada keboleh-aplikasian kesimpulan di atas, maka anda sebenarnya masih belum mencapai batas pemikiran yang perlu dicapai oleh seorang manusia yang sihat akal dan fikirannya.

Bukan semua pandangan semasa adalah benar, tambahan pula jika pandangan itu diberikan oleh media mahupun orang ramai. Sekalipun semua manusia merasakan sesuatu perkara itu baik dan benar, ianya belum tentu benar selagi belum dibuktikan kebenarannya melalui hukum dan sumber Al-Quran dan As-Sunnah.

Tentu otak anda berselirat selepas membaca kata demi kata yang saya tulis, tapi jangan berhenti berfikir supaya otak itu terus berjalan dan menemui jalan keluar kepada persoalan yang sedang saya mainkan....

Berhenti dari menggunakan facebook

Angin takde, ribut takde, tiba-tiba pagi ni saya telah nyahaktifkan akaun saya dalam facebook. Haha, rupanya kalau nyahaktifkan akaun facebook ni, kita masih boleh buka kembali bila-bila yang kita mahu. Sebaik sahaja saya log in menggunakan email dan kata laluan yang lama, maka saya boleh menggunakan facebook seperti biasa.

Ketika saya meninggalkan facebook, saya mempunyai 1180 orang rakan, hampir separuh daripada jumlah itu merupakan kawan-kawan yang baru. Setidak-tidaknya saya telah menepati "Berkawan biar seribu..."

Alasan?? takde.. Seperti ketika saya mula membuka akaun, begitu juga keadaan saya menutupnya.. Saje suka-suka..

Facebook pada pandangan saya, tak lebih dari ruang sosial seperti semua jenis laman sosial yang lain. Mungkin dengan beberapa fungsi yang lebih up-to-date dan mesra pengguna, menjadikan laman ini lebih popular berbanding yang lain. Tapi, cukuplah sekadar itu.

Saya rasa lebih selesa melakukan kemas-kini maklumat semasa menggunakan blog mahupun ym. Tapi, kalau ada maklumat-maklumat dan peristiwa-peristiwa penting, mungkin saya akan menjengah sekali-sekala ke laman facebook.

Tuesday, May 11, 2010

Bagaimana perlu Encik Otak mulakan???

Sudah sekian lama Encik Otak memintal urat saraf dan menghubungkan antara neuron yang ada pada tubuhnya. Setelah menyemak laporan kegiatan Encik Otak, didapati aktiviti Encik Otak sudah tidak semeriah dulu. Beberapa insiden yang berlaku mengekang Encik Otak untuk berfungsi dengan baik. Lalu pemeriksaan menyeluruh dijalankan untuk mengesan sektor yang mengalami masalah.

Laporan lengkap pemeriksaan menyeluruh tersebut masih lagi belum disiapkan sepenuhnya, namun beberapa punca dan faktor utama telah pun berjaya dikenal pasti. Antara faktor paling utama, jaringan sosial sudah berkurangan menyebabkan Encik Otak semakin kerap menjalankan proses pintalan secara solo. Encik Otak pula hanya akan lebih giat memintal sekiranya berdepan dengan konflik yang dialami dalam perhubungan sosialnya.

Faktor kedua mengikut turutan keutamaan, dominasi Encik Otak dalam peranannya sebagai penggerak utama telah diganggu oleh beberapa sektor yang cuba mengambil alih tempatnya. Emosi antara yang paling kuat mencampuri urusan, dibantu oleh faktor cuaca yang agak lembap dan panas. Semuanya menyumbang kepada pembentukan suasana kerja yang tidak kondusif. Cuaca yang lembap dan panas ini pula berpunca daripada salah faham yang timbul antara Encik Mulut dan Encik Usus. Seringkali Encik Mulut gagal memahami kehendak dan keperluan sebenar Encik Perut menyebabkan Encik Usus gagal melaksanakan tugasnya dengan baik.

Namun begitu, Encik Otak mula berfikir dan merancang untuk menyelaraskan kembali seluruh sektor supaya kerjasama dan hubungan antara sektor dapat diperbaiki dan dikemaskini. Sudah sampai masanya untuk Encik Otak melakukan rombakan terhadap polisi dan sistem yang diamalkan. Proses rombakan terbesar akan berlaku dalam masa yang terdekat, tetapi mungkin sebelum rombakan terbesar itu berlaku beberapa rombakan kecil perlu dilakukan supaya dapat menyediakan ruang dan platform yang sesuai untuk menerima dan melakukan rombakan terbesar itu nanti.

Selain daripada melakukan rombakan, Encik Otak juga mendapati pembantu-pembantu yang selama ini membantu melicinkan perjalanan proses pintalan sudah jarang digunakan. Agak lama Encik Nota dan Encik Jadual tidak berhubung, mungkin khidmat Encik Nota dan Encik Jadual perlu dimanfaatkan kembali di samping mengadakan beberapa siri latihan yang mampu meningkatkan kualiti dan efficiency kerja-kerja Encik Nota dan Encik Jadual.

Sebenarnya beberapa siri retreat telah pun diadakan beberapa minggu yang lalu, hasil daripada retreat tersebut banyak kelemahan-kelemahan yang telah dikenalpasti. Walaupun, berdasarkan laporan yang telah dibuat, prestasi dan mutu persembahan Encik Otak masih lagi berada di tahap yang memuaskan, namun untuk memastikan proses pendakian ke puncak menjadi lebih lancar dan laju, maka proses penambahbaikan perlu dilakukan segera.

Encik Otak menyedari bahawa, untuk menawan puncak yang tertinggi, ada harga yang perlu dibayar. Biarpun terpaksa berdepan dengan risiko kehilangan, kerugian, tersalah dan terkalah, namun pendakian perlu terus dilakukan. Tidak perlu kecewa dan berputus asa, kerana rahmat Allah di mana-mana.Justify Full

Encik Otak yakin dengan janji Penciptanya, bahawa hidup ini sementara dan bekal yang dibawa hanyalah amal dan taqwa. Sekalipun tewas, biarlah nyawa diambil ketika tempoh percubaan...


Maka, bermulalah pintalan Encik Otak memandu jalan hidup tuannya....

Encik Otak cuba berfikir mengenai globalisasi...

Kali pertama saya mendengar istilah globalisasi ialah ketika darjah enam, dalam kelas Bahasa Melayu, Penulisan. Puan Noritawati, ketika itu menjelaskan bahawa globalisasi ini ialah dasar langit terbuka, dan juga mudah difahami sebagai dunia tanpa sempadan. Menurut Kamus Dewan, globalisasi membawa maksud "fenomena yang menjadikan dunia kelihatan mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan perkembangan teknologi maklumat". Pembacaan lewat mendapati, istilah globalisasi ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru di dunia. Malah "Era pertama Globalisasi" dikatakan bermula pada abad ke-19 apabila barat dan eropah mempergiatkan penguasaan mereka terhadap kegiatan ekonomi dunia dan mula memperkenalkan dasar keterbukaan dalam perdagangan.

Apabila kita mengkaji dengan lebih dalam, globalisasi ini ternyata suatu usaha tersusun yang direncanakan oleh barat, khususnya Amerika Syarikat dalam meng"amerika-syarikat"kan seluruh dunia. Bermula dengan kegiatan perdagangan dan ekonomi, menjalar ke struktur budaya dan akhirnya meresap ke dalam seluruh aplikasi kehidupan manusia di seluruh dunia.

Tahun 2000, Y2K menjadi propaganda utama mereka dalam memperkenalkan bidang teknologi maklumat. Di Malaysia khususnya, rakyat sudah boleh menerima kepentingan dan kewajaran bidang Teknologi Maklumat ini sebagai subjek utama yang perlu diajarkan di sekolah-sekolah. Bermula dengan mendedahkan pelajar-pelajar kepada dunia maklumat yang kononnya penuh dengan aktiviti pendidikan dan pelajaran, kini pendedahan kepada dunia teknologi maklumat menjadikan jaringan perhubungan antara manusia menjadi lebih cepat dan meluas.

Secara tidak sedar, manusia sedang dijajah pemikiran, tindakan dan jadual kehidupan mereka oleh dasar globalisasi ini. Mungkin sekali, penulisan ini juga adalah kesan rasukan dasar globalisasi ini sendiri. Dasar langit terbuka ini menyediakan medium terbaik untuk penyebaran fitnah. Hanya dengan satu klik, kita boleh menyumbang kepada penyebaran fitnah kepada hampir kesemua 4 bilion penduduk bumi. Sama ada kita sedar atau tidak, kita sedang berada di dalam dunia yang sangat penuh dengan Fitnah. Fitnah di hujung jari, dan fitnah di mana-mana sahaja.

Dr. Yusuf al-Qaradawi berpendapat:

"Adapun globalisasi, kami melihat - berdasarkan seruannya sehingga ke hari ini - ia adalah pemaksaan penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial daripada Amerika Syarikat terhadap dunia, khususnya dunia timur dan dunia ketiga, bahkan secara lebih khusus, dunia Islam."

Sudah semestinya, ruang yang terbuka ini perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh gerakan Islam dalam memasarkan produk dan nilai-nilai Islam yang lebih syumul dan sejagat. Justeru pengaruh globalisasi ini perlu dijadikan senjata yang memakan tuannya(Amerika dan Sekutu) sendiri.

Rakyat (malah saya sendiri) seakan dilanda kegilaan dunia teknologi maklumat. Hampir kesemua perbincangan dalam kehidupan seharian kita melibatkan internet dan keterbukaan hubungan hasil dari gerakan globalisasi ini. Sepatutnya, sebagaimana mudahnya fitnah itu tersebar, maka begitu jugalah penyebaran dakwah dan kesedaran. Menjadikan alam maya ini sarat dengan ilmu dan kebenaran.

Kita perlu berhati-hati, dan sentiasa berusaha menyebarkan kesedaran untuk kewaspadaan ini. Dalam masa yang sama, menumpukan usaha ke arah meletakkan Kalimah Allah, tinggi di mana-mana.

Ayuh, belajar untuk mempengaruhi diri dan orang lain, saya berdoa dan berlindung dengan Allah agar kita sentiasa teguh dan tidak terpengaruh....

Saturday, May 8, 2010

Sistem: Keperluan menyediakan alternatif.

Malaysia sudah semakin tenat. UMNO-APCO telah berjaya merosakkan segala jenis sistem dan kehidupan yang ada di bumi ini. Kerosakan yang paling besar yang telah mereka lakukan ialah menjadikan rakyat tidak sedar dengan kerosakan yang telah berlaku. Sekalipun kesedaran di kalangan masyarakat sudah semakin baik, namun kesedaran untuk mengubah dan berubah masih lagi berada di tahap yang membimbangkan.

Malaysia memerlukan rakyat yang lebih dari sekadar sedar dan prihatin terhadap kebobrokan yang berlaku. Sebagai rakyat, perlu mengambil inisiatif untuk mencari jalan keluar kepada masalah yang berlaku. Rata-rata menyerahkan tanggungjawab menjalan proses reformasi kepada pemimpin-pemimpin politik. Saya setuju, namun bukan ini satu-satunya solusi.

Untuk memastikan kestabilan perubahan yang akan berlaku nanti, maka alternatif kepada sistem hidup yang sedia ada perlu diwujudkan. Sistem pendidikan negara misalnya, telah mengalami kerosakan yang sangat teruk dan hampir 90% gagal dalam mencapai tujuan kewujudannya.

Akta Pendidikan 1996 misalnya, menyebut mengenai memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu. Sebaliiknya, apa yang berlaku hanyalah proses pemandulan dan penumpulan. Minat dan kecenderungan pelajar-pelajar di Malaysia untuk menuntut ilmu telah dibantutkan dengan kecelaruan perancangan di peringkat tertinggi. PPSMI adalah satu contoh terbaik untuk menggambarkan kegagalan kerajaan mengawal dan menguruskan sistem pendidikan negara dengan baik.

Kajian dan analisis yang dibuat oleh kerajaan tidak lebih dari sekadar ingin mengaut seberapa banyak keuntungan menerusi projek-projek pembangunan dan juga mengekalkan kuasa dan pengaruh mereka ke atas rakyat Malaysia.

Saya masih dalam proses mengkaji, bagaimanakah produk-produk ilmuan Islam yang terkemuka seperti Ibnu Sina, Ibnu Khaldun, Al-Jazari, Al-Khawarizmi, dan ramai lagi dapat dilahirkan semula. Saya dapat merasakan, insan-insan hebat ini belajar kerana ingin mendalami ilmu dan tidak terhenti di dewan-dewan peperiksaan. Fokus utama mereka ialah mencari seberapa banyak ilmu dan praktikal kepada ilmu itu tidak terhad pada pekerjaan mereka semata-mata. Ayuh kita menggerakkan usaha, tenaga dan pemikiran untuk membina kilang-kilang yang berkualiti. Ke arah mencari dan menjadi solusi...

Antara Yang Menarik