p/s: tiada kaitan dengan mana-mana individu atau mana-mana kejadian. Jika ada sekalipun, semuanya berlaku secara kebetulan semata-mata. Jangan mulakan spekulasi jika benar anda inginkan perubahan.. :-) Ingatan awal supaya kita membaca secara matang dan berjiwa besar...
Belum pernah lagi saya dengar atau temui, badan-badan pembela kaum lelaki. Dalam mana-mana organisasi sekalipun, tidak pernah ada sekretariat yang ditubuhkan untuk orang lelaki. Saya masih bersetuju dan berpandangan, kami tak perlukan badan-badan atau unit-unit khas untuk menjaga dan membincangkan mengenai kami, walaupun hakikatnya, kaum lelaki sedang dilanda masalah kepupusan dari segi kewujudan dan keupayaan.
Tujuan artikel ini bagaimanapun, bukanlah untuk mengajak kepada penubuhan badan pembela dan pembangunan lelaki. Apalagi untuk menyemai semangat perkauman berteraskan jantina. Sekadar ingin menimbulkan tanda tanya kenapa ianya berlaku? Bahkan, saya merasakan badan-badan dan unit-unit yang ditubuhkan untuk kaum wanita sendiri gagal melaksanakan tugasnya dalam menjaga dan membangunkan kaum wanita di Malaysia dan dunia.
Mungkin ramai yang tidak setuju, bahawa lelaki perlu memainkan fungsi sebagai pemimpin sekaligus mengurangkan keutamaan fungsi wanita dalam bab kepimpinan. Tetapi saya yakin, ramai yang bersetuju bahawa lelaki dan perempuan diciptakan sungguh berbeza, dari segala jenis ciri manusia. Baik dari segi fizikal mahupun emosi, lelaki dan perempuan masing-masing mempunyai pencirian yang berbeza.
Saya berpendapat bahawa, untuk menyelesaikan segala masalah yang berlaku, perubahan mesti dimulakan ke atas dan oleh kaum lelaki. Sekali lagi saya tekankan, tidak bermaksud untuk menidakkan peranan kaum wanita. Cuma proses pengupayaan dan pembangunan lelaki perlu lebih diberikan perhatian, apalagi saya juga adalah seorang lelaki. Ini kerana, lelaki diciptakan untuk memimpin dan memikul tanggangjawab.
Lelaki perlu menjadi lebih bertanggungjawab dan mengambil bahagian dalam menyelesaikan masalah yang melanda keseluruhan umat manusia pada ketika ini. Kesungguhan dan ketekunan dalam mencari dan menjadi solusi amat penting supaya perubahan itu dapat berlaku.
Di awal bicara, saya ada nyatakan bahawa kaum wanita juga pada hakikatnya, tidak terjaga disebabkan unit-unit mahupun badan-badan khusus untuk kaum wanita ini sendiri gagal menjalankan fungsinya dengan baik. Maka perlu juga digerakkan usaha ke arah mengembalikan maruah dan martabat kaum wanita ke tempat yang selayaknya.
Sudah tentu, bagi saya proses pembangunan dan pengupayaan itu perlu berlaku ke atas semua manusia tidak kira jantina, apalagi warna kulit dan identiti. Cuma, sasaran pembangunan itu mestilah jelas dan tepat dari segi punca dan hala tujunya.
Tinggalkan dulu persoalan peranan dan kedudukan, mungkin agak sukar untuk kita bersetuju. Mari kita alihkan tumpuan kepada bentuk masa depan yang kita impikan bersama. Kita perlu mengambil iktibar dari segala perkara yang berlaku. Bersetujulah bahawa umat ini memerlukan rombakan terhadap sistem hidup secara besar-besaran. Sistem hidup yang kita gunakan pada ketika ini ternyata gagal membawa keharmonian dan kesejahteraan yang kita impikan selama ini.
Kita hidup, berjalan dan berlari di atas bumi yang sama, menghirup dan minum dari udara dan air yang sama. Lelaki dan perempuan perlu sama kuat, sama penting dan masing-masing perlu menjalankan dan meneruskan agenda pembangunan dan pengupayaan jantina masing-masing. Tubuh badan manusia tidak akan mampu bergerak dengan baik sekiranya salah satu organ atau sistem dalam badannya tidak sihat atau terencat. Begitu juga dengan gerakan pemulihan, memerlukan kepada pemulihan semua sistem dan organ. Termasuk dua jenis elemen utama yang membentuk sesebuag gerakan iaitu LELAKI DAN PEREMPUAN.
Kita bukan berbincang mengenai isu dominasi mahupun hak kesamarataan jantina. Tidak akan selesai membincangkan isu tersebut kerana masing-masing akan bercakap mengenai kuasa dan kedudukan, kononnya mempertahankan kedudukan dan kuasa masing-masing. Selagimana perbincangan kita berteraskan kuasa dan kedudukan, maka kita akan terhimpit dengan perbalahan dan pertikaian yang tidak berkesudahan. Cukuplah dengan kita menerima hakikat bahawa lelaki dan perempuan dijadikan berbeza, justeru potensi yang mampu kita gerakkan juga sudah pastinya berbeza antara satu sama lain. Memainkan peranan masing-masing tanpa perlu memikirkan peranan siapa yang lebih baik atau lebih besar. Pesan Nabi Muhammad SAW, "Setiap yang bernyawa itu punya hak, maka penuhilah hak nyawa itu"
p/s: tiada kaitan dengan mana-mana individu atau mana-mana kejadian. Jika ada sekalipun, semuanya berlaku secara kebetulan semata-mata. Jangan mulakan spekulasi jika benar anda inginkan perubahan.. :-) Ulangan ingatan supaya kita bergerak secara matang dan berjiwa besar...
No comments:
Post a Comment