Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, October 12, 2011

Polemik Malaysia dan Hudud


AlhamduliLlah, isu Hudud yang digembar-gemburkan oleh UMNO dan Media Rasmi mereka, menyebabkan ramai yang mencari kebenaran di sebalik kerelavanan perlaksanaan hukum Hudud atau lebih tepat lagi Hukum Jenayah Islam.

Hukum Jenayah Islam lebih tepat dalam membincangkan isu Hukum Hudud ini kerana di dalam undang-undang jenayah Islam, bukan hudud sahaja yang wajib dilaksanakan, sebaliknya ada dua hukuman yang juga wajib diberikan perhatian serius. Hudud seperti yang kita tahu, jumhur Ulama' menetapkan hukum hudud ini hanya untuk pesalah-pesalah yang telah disabitkan terhadap enam jenis kesalahan sahaja. Iaitu Zina, Qazaf, Mencuri, Merompak, Minum arak, dan juga Murtad. Ada juga pendapat yang mengatakan hudud juga melibatkan mereka yang terlibat dengan kesalahan Bughat (derhaka).

Hudud, tiada kompromi kerana ianya adalah ketetapan Mutlak daripada Allah seperti yang diterangkan oleh Allah Ta'ala di dalam Al-Quran mengenai hukuman yang dikenakan ke atas pesalah-pesalah yang melakukan kesalahan-kesalahan di atas. Allah Ta'ala menjelaskan secara terang-terangan hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang berzina, mencuri, dan sebagainya.

Selain Hudud, di dalam Undang-undang jenayah Islam juga terdapat hukum Qisas. Ianya juga wajib dilaksanakan. Hukum Qisas pula berkaitan dengan kesalahan yang melibatkan manusia dengan manusia. Jenis kesalahan yang melibatkan hukuman Qisas ini pula ada tiga iaitu, membunuh orang lain dengan sengaja, menghilangkan atau mencederakan salah satu anggota badan orang lain dengan sengaja atau melukakan orang lain dengan sengaja.

Hukuman yang dikenakan ke atas mereka yang melakukan kesalahan di dalam Undang-undang Qisas ini ialah dibalas dengan perbuatan atau kesalahan yang sama. Misalnya bunuh dibalas bunuh, terpotong tangan akan dibalas dengan dipotong tangan, dan sebagainya. Walaubagaimanapun, tahap hukuman bergantung kepada budi bicara mangsa ataupun keluarga mangsa. Sekiranya keluarga mangsa mengampunkan dan memaafkan kesalahan pesalah yang telah disabitkan hukuman tesebut, maka dia bebas daripada menjalani hukuman Qisas tersebut dan hanya perlu membayar denda atau pampasan yang ditetapkan oleh keluarga mangsa tersebut.

Ketiga, ialah hukuman ta'zir. Ta'zir ialah hukuman yang selain daripada hukuman Qisas dan Hudud. Kadar dan jenis hukuman tidak ditetapkan sama sekali. Maka kadar dan jenis hukuman tertakluk kepada ketetapan mahkamah dan pemerintah.

Namun begitu, ketiga-tiga hukuman jenayah Islam ini tetap perlu dijalankan dengan Adil dan saksama. Proses perbicaraan yang telus dan adil tetap perlu dijalankan dengan berkesan kerana di dalam Islam, mereka yang bersalah perlu dibuktikan bersalah sebelum dihukum. Masing-masing ada hak untuk dibicarakan. Hukuman Jenayah Islam pula menjadikan matlamat pencegahan dan pendidikan sebagai matlamat utama ianya ditegakkan.

Perkara paling penting dalam membincangkan soal jenayah ialah bagaimana ianya diputuskan dan bagaimana pula ianya dilaksanakan. Menurut Pakar dan penganalisis Undang-undang Malaysia, Prof Abd Aziz Bari, untuk melaksanakan Hukuman Jenaayah Islam ini, kita sebenarnya tidak memerlukan kepada pindaan perlembagaan. Satu-satunya yang perlu diubah ialah bidang kuasa Mahkamah Syariah. Maka segera akan dapat difahami bahawa, Bidang Kuasa Mahkamah Syariah ini hanyalah untuk digunakan oleh orang-orang Islam sahaja.

Sepertimana ketika Nabi Muhammad SAW memimpin Negara Islam Madinah, yang pada ketika itu turut menaungi mereka yang beragama Nasrani(kristian), yahudi, dan agama-agama yang lain, Nabi Muhammad SAW tetap melaksanakan hukuman Hudud, Qisas, dan juga takzir ini ke atas orang Islam. Bagi mereka yang tidak beragama Islam, mereka boleh memilih sama ada ingin dibicarakan dalam Mahkamah Syariah ataupun mahkamah Sivil.

Maka, bantahan oleh mereka yang bukan Islam tidak sepatutnya menjadi masalah kerana undang-undang jenayah Islam ini, sedikitpun tidak mengganggu dan menjejaskan perlembagaan Persekutuan dan sedikitpun tidak bersangkutan terhadap orang-orang bukan Islam.

Inilah antara kesan buruk dan kegagalan UMNO paling besar di Malaysia, iaitu GAGAL sama sekali memahami tuntutan Islam ke atas penganutnya.

Islam mengkehendaki agar kita berhukum dengan hukum Islam, hukum yang diturunkan oleh Allah melalui perantaraan para Nabi dan Rasul. Islam mengajar kita agar berlaku Adil iaitu meletakkan sesuatau kena pada tempatnya. Juga berbuat kebaikan sesama kita. Islam merupakan cara hidup yang sangat seseuai, relevan dan memenuhi keperluan hidup semua manusia, malah mereka yang bukan Islam juga tidak terlepas daripada berpeluang melaksanakan Islam dalam kehidupan mereka.

UMNO hanya faham Islam itu pada Solat, puasa, zakat dan haji. Sebab itu mereka tidak nampak kewajaran kita berkongsi Islam yang kita amalkan ini dengan mereka yang bukan Islam. Sedangkan di dalam Islam ini, syumul dan lengkap, meliputi segala bidang kehidupan manusia, dari sudut Undang-undang jenayah, ekonomi, sosial, budaya, kesihatan, sumber alam dan segala macam bentuk kegiatan dan keperluan umat manusia, semuanya terkandung lengkap di dalam cara hidup Islam.

Selagi rakyat terus membiarkan UMNO berkuasa,selagi itulah kuasa yang ada pada UMNO itu disia-siakan dan akhirnya akan menghancurkan Malaysia dan seluruh rakyatnya. Maka, ayuh! Ubah Sekarang Selamatkan Malaysia!!!!

Sekiranya semua rakyat membaca artikel ini, maka segera akan dapat difahami dan diakui, bahawa golongan yang mungkin akan menolak hukum jenayah Islam ini hanyalah mereka yang terlibat dan sudah tentu hanya Orang Islam sahaja yang agak logik ingin memberontak. Sememangnya, penghalang untuk melaksanakan hukum jenayah Islam ini di Malaysia, bukanlah orang-orang bukan Islam. Tetapi orang-orang yang tidak faham dan tidak mahu menerima Islam.

Semoga kita tergolong di kalangan mereka yang terus mengaku bahawa Tuhan kita ialah Allah Ta'ala, dan kita cukuplah Allah bagi kita dan Islam itu agama dan cara hidup kita....


Thursday, September 8, 2011

Bukannya susah sangat nak faham...

1Malaysia kecoh dengan kecaman yang dilemparkan ke atas Timbalan Presiden Parti Islam SeMalaysia, PAS, Tn Hj Mohammad Bin Sabu, kerana ceramahnya yang kononnya mengangkat perjuangan Parti Komunis Malaya, PKM. Berita-berita arus perdana begitu bertungkus-lumus menjelaskan perkara "sebenar" di sebalik ucapan Tn Hj Mohammad Sabu yang disifatkan sebagai "celupar" itu.

Saya pelik, adakah 1Malaysia sudah lupa, bilakah tarikh Malaysia Merdeka? Tidakkah mereka tahu bahawa Bukit Kepong diserang pada 23 Februari 1950. Saya sempat mencari serba sedikit maklumat mengenai Tragedi Bukit Kepong, dan apa yang saya temui, walaupun tidaklah begitu menyebelahi Tn Hj Mohammad Sabu, tetapi ucapan beliau di dalam ceramahnya itu, jika dikaji secara mendalam dan teliti ada bernas dan relevannya.

Tanah Melayu, yang dibangga-banggakan oleh Pejuang Melayu UMNO, sebenarnya dibina pada pertengahan kurun ke-13 oleh Malik Salih, atau nama sebenar beliau Merah Silu. Diberikan nama Malik Salih kerana beliau merupakan seorang Sultan yang beragama Islam, yang baik dan membawa kebaikan. (Malik = raja, Salih = Baik)

Bermula daripada Kerajaan Islam Samudera Pasai, agama Islam tersebar sehinggalah ke seluruh Kepulauan Melayu. Parameswara, atau nama lain beliau, Sultan Mahmud Iskandar, menyambung dan menyebarluaskan pemerintahan Islam di Kepulauan Melayu ini apabila mentadbir Negeri Melaka, juga berteraskan Islam.

Kemakmuran dan kemajuan Kepulauan Tanah Melayu pada ketika itu, berada di kemuncak zamannya, apabila kemakmuran dan ketamadunan Tanah Melayu menjadi tarikan kepada Pedagang-pedagang dari seluruh dunia sehinggalah Bahasa Melayu(yang turut dibangga-banggakan oleh Pejuang Melayu UMNO) menjadi Lingua Farnca, bahasa pertuturan antarabangsa. Bayangkan, pedagang-pedagang yang datang dari seluruh dunia, berdagang di sini, dan mereka menggunakan Bahasa Melayu. UMNO, walaubagaimana kuat pun Kemelayuan mereka, tetap menggunakan Bahasa Penjajah untuk berdagang, bukti kemelayuan mereka tercalar.

Sehinggalah pada tahun 1511, berlaku pencerobohan pertama Penjajah dan golongan Imperialisme Barat ke tanah Melayu, apabila rombongan dari Portugal, yang diketuai oleh Alfonso De Albuquerque datang mengganggu kesejahteraan Kerajaan Islam Melayu Melaka. Sejak daripada pencerobohan yang pertama itu, bersusulan penjajahan dan pencerobohan yang tidak pernah henti oleh Barat dan Kafir. Mereka bukan sahaja merampas hak raja-raja Melayu, bahkan segala hasil bumi kepulauan Melayu yang makmur dan mewah ini dirampas oleh mereka.

Segala kekayaan dikaut oleh penjajah, hanya sedikit sahaja diberikan kepada tuan tanah kepulauan Melayu ini, iaitu orang-orang Melayu sendiri. Sejak kedatangan penjajah, mereka turut membawa masuk buruh-buruh India dan pelombong-pelombong Cina untuk mengusahakan Tanah Melayu yang makmur dan mewah ini.

Ironinya, perjuangan membebaskan Tanah Air, bermula sejak kedatangan Portugis lagi. Yang mereka pertahankan ialah Tanah Air ini, bebas dari cengkaman penjajah. Penjajah bukan sahaja merampas dan mengurangkan kuasa Sultan-sultan Melayu, sehingga ke tahap sekarang, mereka juga melantik wakil mereka untuk terus mengamalkan Perlembagaan yang mereka cipta. Ideologi Penjajah masih kekal sehingga sekarang bahkan, Kerajaan 1Malaysia, masih belum berani menyatakan betapa "bangsat"nya British dan lain-lain penjajah yang telah memporakperandakan Agama dan Kekayaan Tanah Melayu ini.

Sehinggakan, tragedi Bukit Kepong sendiri dirujuk sebagai Peristiwa Mempetahankan Kemerdekaan. Padahal, Balai Polis Bukit Kepong pada ketika itu adalah milik British, dan Tanah Melayu belum lagi diperintah oleh UMNO mahupun datuk-datuk Pejuang Melayu yang ada sekarang ini. 

Polis yang diserang itu, ialah polis british yang berbangsa Melayu. Polis-polis yang mempertahankan Kerajaan British, bermakna polis-polis itulah yang mempertahankan kerajaan Penjajah British. Maka, siapakah sebenarnya pejuang kemerdekaan? Polis @ Mohammad Indera?

Jom, Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia.....
 

Wednesday, September 7, 2011

Garis mula kehidupan...

Sukar untuk saya lupakan detik-detik awal saya bergelar Mahasiswa, serta segala pengalaman yang saya timba sepanjang berada di lembah keilmuan, UNiversiti Kebangsaan Malaysia. Di sini, saya belajar begitu banyak perkara yang pastinya tidak akan saya sia-siakan sepanjang hidup yang berbaki ini.

Hargailah masa emas ketika kalian bergelar Mahasiswa. Belajar seberapa banyak ilmu tentang kehidupan dan hakikat kematian. Terokai segala bidang ilmu yang ada di dunia supaya kalian temui lazatnya belajar dan seronoknya menyedari diri ini serba tidak tahu lantas menjadikan kita tamak dan haloba mencari ilmu.

Gunakan pentas yang ada untuk mencabar segala potensi dan kemampuan diri. Di sini, adalah medan yang tiada sempadan dan batas. Anda bebas menjelajah dan mengembara seluas langit dan bumi. Satu-satunya yang akan menghalang dan menyekat kebebasan itu ialah diri anda sendiri. Jika anda kata Ya, maka sudah pasti tidak akan ada tidaknya...

Belajar dan mencabarlah sebebasnya. Percayalah, jika anda belajar dan mencabar, satau-satunya perkara yang akan anda kesalkan ialah, "kenapalah sehari cuma ada 24 jam?" kerana begitu seronok dan indahnya belajar dan mencabar.

Belajar mengenali diri, dan cabar kemampuan diri. 

Hidup ini, bukan semudah yang kita impikan dan yang pernah kita bayangkan. Pelbagai cabaran dan ujian akan menemui kita, silih berganti tidak surut dan tidak pernah henti. Ujian dan cabaran ini pula, tidak memilih bulu dan rupa, setiap orang akan menempuh ujian masing-masing. Kata orang, semakin tinggi keupayaan, semakin tinggi pula cabaran. Pedulikan kata mereka, kerana kita tahu apa sebenarnya yang kita mahukan dan lakukanlah yang terbaik untuk memenuhi impian dan kepuasan diri kita sendiri.

Hiduplah dengan apa yang kita mahu, belajarlah dengan apa yang kita perlu tahu. Jumpa kalian di puncak!


Tuesday, August 16, 2011

Pembinaan Generasi



"Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka - dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki - dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar."

Kalim Siddiqui di dalam sebuah buku karangannya, "The Phase Of Islamic Revolution" pernah menyebut Gerakan Islam sebagai "Mini Islamic State" kerana ciri-ciri yang ada pada gerakan tersebut, dan juga ciri-ciri yang dimiliki oleh mereka yang mengepalai dan mengganggotai gerakan Islam tersebut.

Beliau merujuk Gerakan Islam sebagai Mini Islamic State, kerana sekalipun berada di sebuah negara yang Sekular dan tidak melaksanakan Islam, gerakan Islam menyediakan suasana yang membolehkan ahli-ahlinya komited dalam melaksanakan Islam sebagai cara hidup dan melindungi nilai-nilai Islam yang suci dan syumul daripada anasir-anasir yang bertentangan dengannya.

Namun begitu, untuk kekal wujud sebagai "Mini Islamic State", sesebuah gerakan Islam itu perlu melaksanakan tiga tugasan utama yang wajib, tugasan mendidik ahli yang juga disebut sebagai Tugasan Tarbiyah, amanah menyampaikan dan mengembang risalah Islam iaitu Amanah Dakwah, dan mentadbir setiap urusan di dalam dan di luar Gerakan Islam, yang disebut Tanggungjawab Siasah.

Tanggungjawab inilah yang memastikan aspirasi Islam yang didokong oleh sesebuah Gerakan Islam itu tersebar luas selain memastikan kemandirian dan kelangsungan Gerakan Islam itu sendiri. Mahu atau tidak, setiap tugasan itu mestilah menepati apa yang disampaikan dalam ayat di atas, iaitu ciri-ciri mereka yang bersama dengan Nabi Muhammad SAW. Tepat seperti yang digambarkan di dalam ayat di atas, iaitu mereka sentiasa membuahkan tunas, tumbuh subur yang akhirnya menjadikan mereka bertambah kuat sehingga menimbulkan kegerunan dalam hati orang-orang yang engkar dan memusuhi Islam.

Bersama dengan Nabi Muhammad, ialah meletakkan sepenuh kepercayaan, wala', dan kepatuhan kepada Nabi dan bersama dengan Baginda dalam perjuangan yang diteruskan oleh Nabi, warisan turun-temurun daripada Nabi-nabi dan Rasul-rasul 'Alaihimussolatu wasssalam. Kehadiran dan kelahiran Gerakan Islam di seluruh dunia pada hari ini, ialah hasil pendidikan, seruan, dan siasah para Nabi, khususnya RasuluLlah SAW.

Pembinaan generasi yang dilakukan oleh RasuluLlah berkekalan sehingga ke hari ini, seperti janjinya bahawa tidak akan sepi dunia ini daripada golongan yang sentiasa menzahirkan kebenaran. Golongan ini pula tidak akan mampu digugat oleh mereka yang menentang dan membantah aspirasi Islam yang mereka bawa. Sama ada hidup mulia, atau mati sebagai saksi kepada Yang Esa. Seperti mana sabda Nabi Muhammad:

Sentiasa akan ada taifah(golongan) dari kalangan umatku yang sanggup menzahirkan kebenaran. Mereka tidak dapat dirosakkan (dikalahkan) oleh orang-orang yang menentangnya sehinggalah datang perintah Allah (mati syahid atau tibanya Hari Kiamat

Ciri utama golongan yang dimaksudkan itu ialah mereka diberi keupayaan untuk menzahirkan kebenaran. Mereka tidak hanya memperkatakannya sahaja, malah menjadi perbualan dan perbincangan tentang kebenaran itu mengalir dalam urat nadi mereka sehingga membuahkan dalam segala tindak-tanduk kehidupan mereka. Islam adalah yang paling tinggi dalam kehidupan mereka, dan yang paling tinggi itulah yang mereka jadikan sebagai cara hidup, tidak selainnya.

Ciri kedua, ialah mereka tidak dapat dikalahkan oleh mana-mana pihak yang menentangnya. Bermakna, mereka mendapat pertolongan langsung daripada Allah. Bantuan dalam bentuk ketenteraan yang tidak ternampak, mahupun dalam bentuk ketenangan yang hanya dirasai oleh mereka yang benar-benar menjiwai perjuangan untuk menegakkan kebenaran yang sebenar-benarnya ini.

Ciri ketiga, ialah mereka dipimpin oleh orang yang selayaknya memimpin mereka, iaitu yan bertaraf mujaddid. Nabi pernah mengingatkan kita, bahawa akan dibangkitkan seorang mujaddid dalam setiap kurun, yang mana tugas mujaddid ini ialah membawa perubahan kepada dunia, iaitu kembali kepada agama Islam, seluruh dan sesungguhnya. Seperti mana yang telah dilakukan oleh Asy-Syahid Imam Hassan Al-Banna kepada paradigma umat Islam dan mereka yang menyertai gerakan hampir 90 tahun yang silam. Maka kita sudah memasuki kurun yang seterusnya, dan dunia benar-benar sedang menantikan kemunculan Mujaddid baru, yang akan mengembalikan Islam kepada kedudukan asalnya, paling tinggi dan tiada yang lebih tinggi daripadanya.

Golongan inilah yang disebutkan oleh Allah Ta'ala di dalam ayat di atas. Disebut juga sebagai "Qaedah Sulbah", yang bermakna tulang belakang. Kerana, golongan inilah yang menjadi teraju utama, pekerja dan pemikir kepada perjuangan Gerakan Islam ini. Mereka sanggup menjadikan batang tubuh mereka sebagai umpan dan perisai daripada serangan musuh-musuh Islam. Mereka menginfaqkan seluruh jiwa, masa, harta dan tenaga untuk memastikan aspirasi Islam tersebar dan menaungi Dunia.

Di dalam diri mereka, tertanam hasrat untuk mengabdikan diri sepenuhnya kepada Allah dan perjuangan menegakkan Islam. Tidak akan goyah apalagi resah dan gelisah kerana yakin akan pertolongan dan rahmat Allah di sebalik setiap ujian dan dugaan. Segala suka dan duka, sentiasa manis kerana Tuhan sentiasa bersama mereka dalam tindakan dan pekerjaan mereka. Hanya mereka yang dapat memahami betapa pertolongan Allah sangat hampir, meskipun perjalanan yang bakal mereka tempuh seakan terlalu jauh dan tidak terjangkau bila akan berakhir. 

Ingatlah Firman Tuhan,


Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. Al-Ahzab, 33:23

Semoga kita tergolong di dalam golongan ini, dan tidak berganjak sehingga datangnya perintah Allah kepada kita...

Monday, August 8, 2011

Benarkah kawen itu seronok???

Saya belum ada jawapan untuk soalan di atas. Tapi, teman saya di Mekah pernah menyebut secara bergurau, "Kalaulah aku tahu macam mana seronoknya kawen tu, kalau boleh sebelum ayah aku kawen lagi aku nak nikah dah,". Apa sebenarnya yang dia maksudkan? Soalan ini lebih baik ditanyakan kepada mereka yang telah mendirikan rumah tangga, pasti mereka lebih arif. Bagi saya, seronok itu kawalan minda.

Walaubagaimanapun, jauh di sudut hati, saya dapat merasakan yang ungkapan di atas sebenarnya bertujuan untuk menggalakkan saya lekas-lekas mendirikan rumah tangga. Sebagai menyahut seruan Nabi Muhammad SAW, "Wahai Pemuda, barangsiapa di antara kamu yang sudah sanggup untuk berkahwin, maka kahwinlah, kerana kahwin itu lebih merendahkan pandanganMU dan memelihara kehormatanmu. Barangsiapa yang tidak sanggup kahwin, maka berpuasalah, kerana puasa itu akan menurunkan keinginan syahwat." (HR Bukhari dan Muslim)

Saya agak kurang menulis mengenai Baitul Muslim sebelum daripada ini kerana beberapa sebab. Antaranya ialah agak kurang senang dengan tanggapan orang mengenai "urusan membina masjid" ini. Walaupun saya yakin mereka yang memberikan respon terhadap berita-berita atau kupasan mengenai Baitul Muslim ini sebenarnya langsung tidak berniat ingin "melaghakan" perbincangan, tetapi itulah yang biasa terjadi.

Mereka berbincang dan bersembang, seperti tiada hala tuju yang jelas dan dilihat seperti mempersendakan urusan membina masjid. Sedangkan kita tahu, bahawa urusan membina masjid ini, sebenarnya ialah urusan kebaikan dan kebajikan. Kita sepatutnya berlumba-lumba menyelesaikan masalah ini dengan matang dan dengan penuh semangat untuk melakukan kebaikan. Seingat saya, pernah sekali saya tuliskan mengenai urusan Baitul Muslim di laman ini, boleh baca lanjut di sini...

Urusan Baitul Muslim selalu dikaitkan dengan cerita "geli-geli" dan penuh dengan gosip-gosip liar di antara pasangan yang telah mempunyai hubungan, begitu juga gosip di antara mereka yang mungkin belum memiliki apa-apa status. Maaf, individu-individu yang kerap kali "bergosip" seperti ini sebenarnya telah mencemarkan "institusi keluarga Islam" yang hakikatnya lebih indah dan lebih hebat nilaiannya di sisi Allah dan Rasul.

Punca utama berlakunya konflik penilaian dan persepsi orang ramai terhadap Pernikahan dan perkahwinan ini ialah soal Jodoh dijadikan topik utama perbincangan. Soal jodoh yang saya maksudkan ialah, ramai yang teruja untuk mengetahui kesudahan Jodoh masing-masing mahupun kesudahan jodoh orang lain. Selalu yang bermain di fikiran mereka ialah, siapa agaknya pasangan sifulan dan sifulan, atau sifulanah dan sifulanah. Minat ini bukan hanya mencemarkan nama baik institusi keluarga Islam, bahkan telah menjadi punca utama tersebarnya fitnah.

Ya, saya tidak nafikan, soal jodoh ialah soal yang penting. Namun, institusi keluarga Islam ini sebenarnya mempunyai misi dan objektif yang jauh lebih besar daripada sekadar "melengkapkan" kehidupan bujang seseorang. Bahawa perkahwinan itu, bukanlah penamat kepada zaman bujang, tetapi permulaan kepada bentuk kehidupan yang baru yang jauh lebih indah dan mencabar.

Sepenting mana kita menumpukan usaha ke arah mencari jodoh, sepenting itu jugalah kita mengambil berat mengenai soalan pokok yang perlu kita jawab dalam soal perkahwinan ini, iaitu "Kenapa kita berkahwin?"

Sebenarnya, menjawab persoalan "kenapa kita berkahwin" akan dapat menyelesaikan hampir separuh daripada masalah utama perkahwinan. Hidup ini akan lebih terarah dan terurus apabila kita punya matlamat, misi dan visi yang jelas. Begitu juga hal perkahwinan, akan lebih terurus dan terarah sekiranya kita tahu dan sedar apakah tujuan utama kita mendirikan rumah tangga. 

Berkahwin, seperti yang saya sebutkan tadi, tidak terhenti setakat proses mencari dan mendapatkan pasangan. Visi kita jelas, untuk mencari redha Allah. Justeru, kita akan sedar dan mengerti, kepentingan bersabar dan bertahan sementara menunggu proses ini selesai.

Menggariskan objektif-objektif tertentu yang ingin kita capai dalam usaha membina rumah tangga ini juga, akan membantu kita mengawal segala tindak-tanduk dan perancangan hidup kita supaya menjadi lebih tersusun dan bermakna. 

Kita juga perlu akur, urusan jodoh bukanlah urusan yang mudah, dan sangat-sangat tidak boleh dibincangkan secara terbuka kerana melibatkan hal-hal yang bersifat peribadi. Maka, rancang dan bincanglah hal jodoh masing-masing dalam suasana yang terkawal dan berbincang secara matang dan profesional, apa sebenarnya yang anda mahu dan perlu lakukan untuk mencapai objektif dan misi perkahwinan anda yang tersendiri. Dibimbangi, jika kita tidak begitu jelas dengan perihal sebenar urusan membina masjid ini, menyebabkan usaha kita akan terbantut, dan masjid yang dibina menjadi masjid dhirar yang menjadi punca dan faktor kepada perpecahan umat dan keengkaran kepada Tuhan, kita berlindung dengan Allah dari hal-hal yang demikian.


Saya sekadar ingin berpesan kepada diri saya dan teman-teman saya yang masih bujang di luar sana. Sama ada bincangkan perkara ini secara serius, matang, secara objektif dan terarah, atau besabar dan bertahan sehingga tibanya masa yang sesuai untuk anda mula membuka mata.

Jom, berlumba ke arah kebaikan...

Thursday, August 4, 2011

Amanah

Sebagaimana kalamNya di dalam Al-Quran, "sesungguhnya Allah tidak memberatkan kamu kecuali dalam limitasi kemampuan kamu sendiri," Al-Baqarah, 2 : 286. Maka setiap manusia sememangnya ada kemampuan dan keupayaan yang tersendiri. Paling menarik, gabung jalin kemampuan inilah sebenarnya yang membentuk ketumbukan yang hebat seperti di zaman RasuluLlah SollaLlahu 'Alaihi wa sallam. Sinergi yang dibentuk oleh Nabi Muhammad SAW bersama para Sahabat, telah meletakkan Islam tertinggi mengatasi segala jenis kekuasaan, fahaman dan ideologi.

Pengajaran yang boleh diperolehi daripada ayat di atas, salah satunya ialah kita wajib mengenal pasti potensi dan posisi kita masing-masing. Ayat di atas, sebenarnya bertujuan memberikan galakan dan rangsangan motivasi untuk manusia mencuba dan memberikan yang terbaik dalam hidup. Kenapa Allah Ta'ala menyebut "tidak akan membebankan kita kecuali dengan apa yang mampu kita lakukan"? 

Pertama, untuk menyedarkan kita bahawa setiap cabaran, dugaan dan ujian yang datang itu sebenarnya bersifat mampu-dihadapi. Benar, tiada yang mustahil dan setiap penyakit apalagi masalah, tetap akan ada penawar dan penyelesaiannya.

Kedua, sebagai rangsangan untuk memberikan yang terbaik dalam hidup dan di dalam setiap pekerjaan. Bahawa kemampuan manusia sebenarnya adalah jauh lebih hebat daripada apa yang dia sangka. Tidak terjangkau dek akal. Seolah-olah ingin memberitahu kepada kita bahawa, semuanya mampu kita selesaikan selagi kita mahu berusaha. Kemampuan kita tidak terhad selagi kita mahu untuk mencuba.

Begitulah halnya dengan amanah. Manusia, sekalipun tidak memegang apa-apa jawatan sentiasa memikul amanah daripada Allah. Manusia merupakan wakil Allah di atas muka bumi ini. Setiap manusia, memikul tanggungjawab asasi iaitu, menegakkan Islam dan mentadbir dunia ini dengan cara hidup Islam.

Sekiranya kita tidak terpilih untuk memegang apa-apa jawatan sekalipun, tanggungjawab asasi ini tetap perlu dipikul dan sentiasa berada di atas bahu kita semua, tanpa kita sedar atau tidak, dan tidak peduli sama sekali adakah kita mahu ataupun tidak.

Mungkin, ada manusia yang dimuliakan oleh Allah, maka dikurniakan pelbagai kelebihan sehingga dia mampu memimpin orang lain, seterusnya membawa perubahan ke atas dunia dan seluruh warganya. Seperti mana yang telah dilakukan oleh para Nabi dan Rasul yang terdahulu. Kesemua mereka pernah melakar sejarah agung yang tersendiri.

Namun begitu, sekalipun tiada lagi Nabi atau Rasul, selepas Nabi Muhammad SAW, tetap akan ada manusia yang dipilih dan dimuliakan oleh Allah untuk melakukan perubahan dan pencerahan kepada manusia di dunia ini. Tiada satu zaman pun yang terlepas daripada dilahirkan seorang Mujaddid, yang bertanggungjawab melakukan pencerahan terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW.

Sehingga kini, sumbangan para ilmuwan dan pejuang Islam yang terdahulu telah meninggalkan kesan yang sangat dalam dan penting terhadap kehidupan kita. 

Ini cerita dahulu. Sekarang, masing-masing di kalangan kita ada tugas dan tanggungjawab untuk meneruskan aktiviti pencerahan. Pencerahan dalam diri dan orang lain. Pencerahan dan perubahan perlu dilihat sebagai sesuatu yang sentiasa mampu dicapai oleh semua orang. Anda dan saya, kita mampu berubah dan melakukan pencerahan. 

Apa yang kita perlukan bukanlah jawatan, kerana tanpa jawatan sekalipun, tetap di bahu kitalah diletakkan segala beban pencerahan. Jawatan pula, perlu dilihat sebagai batu loncatan untuk membolehkan kita pergi lebih jauh... Peluang untuk memberikan yang terbaik..

Kita perlu berjuang kerana kita mampu, yang menentukan kejayaan ialah sejauh mana kita benar-benar mahu berjuang....


Jom,

Ubahlah Sekarang, Selamatkan Malaysia.....

Monday, August 1, 2011

Nasihat Ramadhan...



AlhamduliLlah, sempat juga akhirnya bertemu sekali lagi dengan bulan Ramadhan. Bulan diturunkan di dalamnya Al-Quran, dibukakan pintu Syurga, dan ditutup pintu Neraka. Syaitan dibelenggu, dan segala amalan dilipatgandakan pahala dan kebaikan. Ramadhan ialah anugerah bagi mereka yang beriman. Anugerah yang tiada tolok bandingnya. Bukti kasih dan sayang Allah kepada manusia. 

Seperti mana seronoknya orang yang berpuasa ketika mereka berbuka, begitulah seronoknya mereka beraya setelah sebulan berpuasa. Keseronokan berbuka kerana berjaya menahan dari lapar dan dahaga, serta daripada perkara-perkara yang membatalkannya. Keseronokan beraya, kerana berjaya mengharungi sebulan berpuasa, menambah koleksi ibadah kita yang dilakukan tulus dan mulus kerana Allah 'Azza wa Jalla...

Semoga ramadhan kali ini bermakna, dan meninggalkan kesan yang mendalam dalam diri dan peribadi kita. Ayuh, mulakan ramadhan kali ini dengan perlumbaan mengecap jiwa hamba!!!

Antara Yang Menarik