Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Thursday, April 12, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 2-

Bahagian 2

Tidak berapa lama kemudian, kami diarahkan turun dari bas dan membawa segala barangan dan beg untuk daftar masuk ke Negara Haram Israel dan mengimbas segala barang yang di bawa bersama kami. Walaupun prosedur imbasan bagasi ini sudah acapkali kami tempuhi (adat melancong!) tetapi suasana di Pos Kawalan Sempadan Negara Haram Israel ini benar-benar menguji kesabaran kami.

Kami diperintah untuk bergerak mengusung bagasi ke sana ke mari, dan beratur untuk masa yang agak lama. Memang tidak dinafikan factor utama ialah kerana terdapat begitu ramai orang yang kebetulan sedang melakukan urusan keluar masuk di sana, namun berdepan dengan orang-orang yahudi menyebabkan kami dengan mudah menuding jari menyalahkan pegawai-pegawai yahudi di situ.

Sedang menunggu giliran untuk diperiksa, saya meninjau keadaan Tn Hj Harun yang ditahan dan disoalsiasat oleh pegawai yahudi di situ. Tiba-tiba seorang pegawai yahudi memanggil jemaah kami, dan bertanyakan di manakah ketua kumpulan? Masing-masing lekas-lekas memanggil saya ke hadapan. Saya menghampiri pegawai yahudi tersebut lalu dia membawa saya berjumpa dengan pegawai yahudi yang menahan Hj Harun sebentar tadi.

“You speak english?” soal pegawai tersebut.

“Yes, sure. What’s the matter?” jawab saya sambil tersenyum menyembunyikan perasaan geram dan risau.

“Owh great, (sambil mengeluh lega), ask this man to delete the picture that he took from inside the bus,” arah pegawai tersebut.

Saya lantas mengambil kamera yang ada pada pegawai yahudi tersebut dan memeriksa simpanan gambar yang terdapat pada kamera tersebut. Didapati tiada gambar seperti yang didakwa oleh pegawai yahudi tersebut.

“Pakcik dah delete ke gambar yang pakcik ambil tadi? Dia ni mintak pakcik delete gambar yang pakcik ambil tadi,” ujar saya menerangkan keadaan kepada pakcik.

“Ooo, tadi dia dah amik kamera ni, tapi tak tahu dia dah delete ke tak. Pakcik cari tak jumpa pun gambar tu,” jawab Hj Harun pula.

“See, (sambil menunjukkan kamera tersebut pada pegawai itu) there is no such picture, maybe someone has already delete it,” ujar saya kepada pegawai yahudi itu lagi.

“No, ask this man to delete it,” perintah pegawai itu lagi. Mungkin tidak berpuas hati dengan penjelasan saya.

“Dia tak puas hati lagi pakcik, saya dah bagitau dia yang gambar tu dah kena delete. Tapi dia nak jugak pakcik delete gambar. Takpe pakcik, pakcik delete je mana-mana gambar,” ujar saya pula kepada Hj Harun.

Sambil menunjukkan kepada pegawai tersebut saya menunjukkan kepada Hj Harun bagaimana untuk mendelete gambar, dan satu demi satu gambar dipadam sehinggalah pegawai tersebut berpuas hati.

“Why does he take the picture? Do you bring any weapon?” soal pegawai yahudi itu pula. Terkejut saya dengan soalan tersebut. Lalu saya menjelaskan kami dating untuk melawat, sudah tentu kami tidak membawa sebarang senjata dan pastinya gambar tadi untuk tujuan kenang-kenangan.

“Tell your group, no weapon, no picture and no provocation here, ok?” jelas pegawai yahudi itu lagi. Saya Cuma mengiyakan dan mengangguk sambil membawa Hj Harun kembali ke tempat mendaftar masuk.

Selepas selesai membuat imbasan bagasi, kami beratur untuk diperiksa dokumen perjalanan kami. Masing-masing beratur dan menyerahkan passport masing-masing di kaunter untuk diperiksa. Tiba-tiba satu lagi masalah timbul, passport salah seorang jemaah kami di tahan di kaunter tersebut. Alasan yang diberikan ialah untuk pemeriksaan keselamatan. Jemaah tersebut mula menampakkan wajah risaunya, orang lain juga agak cemas dan kami terpaksa menunggu lagi.


Bersambung....

Wednesday, April 11, 2012

Kenangan Manis Di Bumi Al-Aqsa. -Bahagian 1-



Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. Al-Isra', 17:1.

Meremang seluruh badan tatkala pemandu pelancong, Mr Qassim, membacakan ayat di atas sebagai permulaan bicaranya memberikan penerangan mengenai kunjungan kami ke bumi Palestin, yang kini dikuasai oleh Rejim Yahudi laknatuLlah. AlhamduliLlah, pada 21 Mac 2012 lalu, saya diberikan peluang untuk mengetuai rombongan peserta Umrah Baitul Maqdis seramai 32 orang (termasuk saya), menziarahi Jordan dan Baitul Maqdis, seterusnya membawa rombongan tersebut bagi menunaikan ibadah umrah dan ziarah di Mekah Dan Madinah.

Perjalanan kami bermula pada hari Rabu, 21 Mac 2012, menaiki pesawat Royal Jordan, berlepas pada jam 10.00 malam dan tibadi Queen Alia International Airport, Amman, Jordan pada jam 5.15 pagi. Setibanya kami di Amman, kami disambut oleh wakil Malhas Tours (Agensi pelancongan di Jordan), kami dikejutkan dengan berita bahawa pihak Israel menolak permohonan visa 3 orang peserta dari kumpulan kami. Oleh kerana mereka datang berempat, maka keempat-empat mereka terpaksa tinggal di Amman (mereka diberikan hotel di Arena Space Hotel, Amman, Jordan), sementara rombongan seramai 28 orang akan meneruskan perjalanan ke Baitul Maqdis.

Sekitar pukul 6.00 pagi, kami semua menaiki bas ke Hotel setelah selesai menunaikan solat subuh dalam waktu yang tersisa. Sesampai di hotel, kami menurunkan sebahagian beg untuk disimpan di hotel tersebut, dan sebahagian lagi di bawa ke Palestin. Selesai kami menikmati sarapan pagi (ala arab), kami pun meneruskan perjalanan ke Palestin, menuju ke Jambatan Raja Hussein (King Hussein Bridge) iaitu sempadan antara Jordan dan Negara Haram Israel.( Orang Yahudi Laknatullah menamakannya “Allenby”).

Kedudukan Amman terletak kira-kira 3000 kaki di atas paras laut, sebab itu cuaca di sana agak sejuk dan telinga kami berdengung kerana kami bergerak menuruni bukit sehingga ke bawah paras laut. Dalam perjalanan, sebelum sampai ke Palestin, kami singgah di sebuah tempat yang terdapat batu tanda menunjukkan aras paras laut, rupa-rupanya sebahagian bumi Palestin, termasuk laut mati terletak di bawah paras laut.

Laut mati, menurut papan tanda yang terdapat di situ, berada kira-kira 1000 kaki di bawah paras laut.
Pemandangan Di Jordan, dalam perjalanan menuju ke Sempadan Paelstin. Dapat diperhatikan keadaan dan perjalanan menuruni bukit
Selesai bergambar, kami meneruskan perjalanan kira-kira setengah jam sebelum sampai di Sempadan Imigresen Jordan. Pemandu pelancong kami di Jordan terpaksa turun pusat imigresen tersebut kerana hanya pelancong sahaja yang dibenarkan berada di sempadan. Segala urusan daftar masuk ke Palestin diserahkan kepada saya.

Tempat singgah yang menandakan paras aras laut. Batu Asas menunjukkan aras paras laut dan papan tanda yang menunjukkan kedudukan laut mati yang berada 1000 kaki di bawah paras laut.
Kebanyakan jemaah mula menampakkan kerisauan kerana begitu banyak pesanan yang diberikan oleh Mr Aqeef sebelum melepaskan kami ke Palestin. Menurut Mr Aqeef, sesampai di sempadan perkara yang perlu kami masing-masing hafal ialah nama agensi yang bakal menguruskan kami di Palestin dan kami dinasihatkan untuk menurut apa sahaja kehendak pegawai-pegawai yang menjaga sempadan tersebut, termasuk menjawab sahaja segala persoalan yang ditanyakan kepada kami, dan memberikan kerjasama yang baik sepenuhnya ketika berada di pintu sempadan tersebut.

Menurutnya, kebanyakan pegawai yang menjaga sempadan tersebut adalah orang yahudi, maka adalah lebih baik kita menurut sahaja apa yang diminta oleh orang-orang yahudi tersebut untuk mengelakkan sebarang masalah.

Bertemankan pemandu Bas, kami menuju ke sempadan Palestin. Disepanjang perjalanan ke sempadan tersebut, kami bertukar-tukar cerita mengenai kejahatan dan kezaliman orang-orang yahudi dan bagaimana kejamnya mereka memperlakukan orang-orang Palestin.

Seketika terimbau peristiwa perjanjian Balfour 1948, persitiwa Shabra dan Shatila, juga kekejaman dan nasib yang menimpa umat Islam di Baitul Maqdis dan juga di Gaza. Perasaan geram bercampur sedih menyelubungi kami semua tatkala menyeberangi Jambatan Malik Hussein (Orang Yahudi menamakannya Allenby). Namun, saya mengingatkan para jemaah supaya menyimpan segala perasaan dan menurut apa sahaja prosedur yang ditetapkan oleh pegawai imigresen yang menjaga sempadan masuk ke Palestin.

“Kita sebenarnya tak iktiraf pun Negara Israel ni, bagi kita Negara Israel ni Negara Haram dan tak wujud pun dalam peta dunia. Tapi, atas kelemahan kita (orang-orang Islam) sendiri, bumi ini dijajah dan dikuasai oleh orang-orang yahudi, maka kita terpaksa menurut arahan mereka,” pesan saya kepada jemaah.

Sesampainya kami di pintu masuk sempadan Negara Haram Israel (Pelestin) kami terpaksa menunggu agak lama sebelum bas tersebut dibenarkan untuk masuk ke Pusat Imigresen tersebut. Menurut pemandu bas, kami terpaksa menunggu giliran yang ditentukan oleh orang yahudi. Kerana, orang yahudi tidak mahu begitu banyak bas berada di kawasan sempadan tersebut.Mereka hanya membenarkan 2 buah bas berada di kawasan tersebut pada satu-satu masa.

Pintu Masuk ke Kawasan Pemeriksaan Sempadan Masuk ke Negara Haram Israel. (tertera tulisan hebrew, bahasa Israel) Hampir sejam kami menunggu di sini sebelum dibenarkan masuk.
Setelah hampir setengah jam menunggu barulah bas kami dibenarkan masuk. Sesampai di kawasan sempadan tersebut, kami tidak dibenarkan turun dan terpaksa menunggu lagi sebelum dibenarkan turun. Kelihatan orang-orang yahudi, semuanya mengenakan baju kalis peluru menjaga kawasan tersebut.

Kami terpaksa menunggu di dalam bas kerana ada sebuah rombongan dari Turki sedang melakukan pemeriksaan bagasi dan sedang mendaftar masuk ke Negara Haram Israel. Semua bagasi diperiksa dengan cukup teliti. Malah, botol air zam-zam juga dibuka satu persatu bagi memastikan tiada bahan selain dari air zam-zam di dalam botol tersebut. Setiap mesin pengimbas di sana dilengkapi dengan teknologi mengesan bahan letupan dan senjata api keran dikhuatiri pelancong yang masuk ke Negara Haram Israel ini membawa bekalan senjata untuk orang-orang Palestin yang tertindas di sana.

Seketika memerhatikan keadaan di sempada tersebut, tiba-tiba seorang pegawai yahudi menghampiri bas kami dan meminta pemandu bas membukakan pintu. Setelah pintu bas dibuka dia meminta salah seorang jemaah yang duduk di belakang untuk turun.

“Ada seorang penumpang kamu yang menangkap gambar, minta dia turun sekarang!” perintah pegawai yahudi tersebut.

Kerana saya menurut arahan pegawai yahudi tersebut, saya pun meminta jemaah yang berkenaan, Hj Harun untuk turun dari bas. Kami masih tidak dibenarkan turun, dan saya hanya mampu memerhatikan Hj Harun disoal siasat oleh pegawai Yahudi tersebut. Keadaan agak cemas ketika itu, dan saya hanya mampu berdoa semoga tiada masalah yang berat yang menimpa kami ketika itu.

Tuesday, April 10, 2012

Sikit

Satu ketika, di dalam kenderaan ala-ala SUV model keluaran GMC, buatan Amerika yang dipandu oleh Samsudin di Lebuhraya Mekah-Jeddah, kami berdua bersembang mengenai kereta yang terdapat di lebuhraya berkenaan. Rupa-rupanya, di Arab Saudi, kenderaan yang memiliki CC kurang daripada 1500CC tidak dibenarkan berada di lebuhraya atau keluar dari kawasan bandar yang dihuni pleh pemiliknya sahaja.


Maka, sebab itulah kereta yang dilihat berada di atas jalan-jalan di Arab Saudi semuanya berCC besar dan mewah. Malah, minyak dan harga kereta di sana juga teramat murah jika dibandingkan dengan harga di Malaysia. Cuba tuan-tuan dan puan-puan bayangkan, Harga kereta GMC, 4500CC yang dipandu Samsudin, baru sekitar SR60k (SR=saudi riyal) jika dibeli second hand. 

Samsudin menunjukkan model Hyundai Sonata yang baru sahaja keluar di pasaran, memang sangat cantik. Kemudian, lalu pula sebuah kereta model Cadillac, juga buatan Amerika yang CCnya mungkin mencecah 3000CC. "SubhanAllah, cantiknya,"kata Samsudin.

Kemudian, Samsudin bertanya kepada saya, "Farid, kamu pakai kereta apa?".

"Saya pakai kereta proton, kereta biasa je," jawab saya..

Sambil tersenyum, Samsudin membalas jawapan saya dengan satu persoalan, "Farid, kereta apakah yang paling baik?"

Terkesima dengan soalan tersebut, saya tidak membalas, sekadar tersenyum menanti jawapan daripada beliau.

Samsudin lalu membalas, "Kereta yang paling baik, ialah kereta yang kita syukuri,"

Katanya lagi, kereta kecil atau besar tidak penting yang penting ialah syukurnya. Sebab nikmat itu hanya akan terasa indah jika kita tahu bersyukur. Begitu juga keluarga, akan terasa indahnya berkeluarga jika kita tahu bersyukur dan menghargai nikmat berkeluarga.

SubhanAllah...

Terima kasih Ya Allah atas segala nikmat dan kurniaMua yang tidak terhingga.. Ilhamkan daku untuk terus bersyukur, juga kepada kaum keluargaku...

Wednesday, March 14, 2012

Berbuat Baik

AlhamduliLlah, baru-baru ni diberikan peluang sekali lagi untuk menunaikan Umrah, membawa rombongan yang mengikuti pakej Umrah bersama Darul Mubarak Travel & Tours Sdn Bhd. Rombongan seramai 81 orang termasuk saya ini, merupakan rombongan penerbangan yang paling ramai pernah saya bawa, dan sekali lagi Bangladesh menjadi destinasi transit saya bersama para jemaah. 

AlhamduliLlah, walaupun transit selama 23 jam, kami tidak berdepan dengan ujian yang berat, dan perjalanan kami dipermudahkan sehinggalah kami tiba di Jeddah dan seterusnya menaiki bas ke Madinah.

Seperti perjalanan yang sebelum ini, tumpuan dan fokus utama saya dan syarikat adalah memberikan khidmat yang terbaik kepada para jemaah untuk melaksanakan ibadah. Perjalanan melaksanakan ibadah umrah ini, sebenarnya bukanlah perjalanan yang biasa. Ianya penuh dengan tarbiyah dan mau'izah daripada Allah Ta'ala. Sememangnya, Allah Ta'ala itu sentiasa dekat dengan hambaNya. Dia menunaikan permintaan orang yang meminta ketika orang itu meminta (Ayat Al-Quran), lebih-lebih lagi ketika berada di Tanah Haram, dan tempat yang sangat berkat ini, mereka yang menjadi tetamu Allah di Mekah dan Madinah ini akan menerima "perhatian dan layanan" yang jauh lebih istimewa.

Ujian sentiasa ada. Kerana Allah Ta'ala menciptakan ujian untuk menentukan nilaian iman seseorang hamba. 

Ibadah yang kita lakukan ditujukan kepada Allah. Dialah yang lebih berhak menerima segala amalan yang kita lakukan. Maka beribadah dan berbuat baiklah kerana Allah.

Persoalannya, apakah ibadah yang paling baik dan paling afdal untuk kita lakukan ketika di Mekah dan Madinah?

Jika di Madinah, kita digalakkan untuk beri'tikaf di Masjid Nabawi, mengejar kelebihan solat fardhu berjemaah di Masjid Nabi, menunaikan solat di Masjid Quba' dan menziarahi RasuluLlah SAW bersama para Sahabat di Baqi' dan juga di Pergunungan Uhud.

Manakala di Mekah, kita digalakkan untuk memperbanyakkan ibadah tawaf, menunaikan umrah, dan beri'tikaf di Masjid Haram. Meluangkan kebanyakan masa kita di Masjid untuk menunaikan solat, berzikir, membaca Al-Quran dan sebagainya. Malah, melihat kaabah sendiri mendapat pahala.

Akan tetapi, sekiranya kita menghayati maksud sebenar ibadah dan perhambaan diri kita kepada Allah. kita akan dapati bahawa rahmat Allah bersama dengan mereka yang beribadah dan berbuat baik keranaNya. Ibadah dalam erti kata yang sebenar, ialah menjadikan seluruh kehidupan kita sebagai ibadah kepada Allah. Kita berjalan, berlari, bercakap, makan, minum, tidur dan sebagainya, semuanya dilakukan kerana Allah. Berbuat baik juga adalah ibadah. Bersangka baik antara saudara seagama juga adalah ibadah. Menerima taqdir dan ujian  yang dikurniakan ke atas kita juga adalah ibadah.

Menjadi hamba yang taat dan patuh, ialah menjadikan seluruh kehidupan kita patuh syariat dan dilakukan hanya kerana Allah. Menjadikan Nabi sebagai role model kerana, jika benar-benar mencintai Allah, maka kita pasti akan mengikut jejak langkah Nabi SAW.

Nabi merupakan manusia yang berakhlak mulia malah pekerti Baginda merupakan yang tertinggi dan penyempurnaan akhlak pekerti yang mulia.

Berakhlak mulia juga adalah ibadah yang dituntut.

Rugilah sekiranya kita berlumba-lumba untuk mengerjakan umrah dan solat sunat dengan sebanyak-banyaknya, tetapi lupa akan hakikat bahawa tujuan ibadah tersebut ialah memperhambakan diri kita kepada Allah. 

Kesan ibadah ialah pada hati. Di antara kesannya, ialah pada kelapangan dan kebersihan hati.

Semoga perjalanan kita menunaikan umrah atau haji nanti, menjadi perjalanan kerohanian yang terbaik untuk kita, dan benar-benar menepati apa yang disarankan oleh Allah Ta'ala dalam Alquran:

""Supaya mereka menyaksikan berbagai perkara yang mendatangkan faedah kepada mereka serta memperingati dan menyebut nama Allah" Surah Al-Haj, 22 : 28.

Wednesday, February 15, 2012

Resepi: Ikan Siakap Masak Tiga Rasa

Ikan Siakap Tiga Rasa


Bahan-bahan yang diperlukan:

Yang penting dan utama.
1. Ikan Siakap (seekor / separuh)
2. Minyak Masak (untuk goreng dan tumis kuah tiga rasa)
3. Bawang besar - dua biji
4. Bawang merah - 4 biji
5. Bawang putih - setengah biji (5 ulas)
6. Halia - sebesar ibu jari kaki (kalau tak suka rasa halia ni, boleh ganti dengan serai atau kurangkan)
7. Sos cili dan tomato (3 sudu besar)
8.. Cili boh - 5 sudu besar
9. Garam dan gula secukup rasa

Tak berapa penting (untuk tujuan hiasan dan penambah rasa)
1.Lobak merah - 50gram
2. Nenas - 50 gram (untuk dapatkan rasa masam manis,eloklah diletakkan nenas ni, tapi kalau susah sangat nak cari, sos cili dan sos tomato tu pun dah cukup.
3. Daun salad - untuk hiasan.


Cara menyediakan:

1. Panaskan minyak dalam kuali.
2. Goreng ikan siakap sehingga cukup masak (untuk mendapatkan kualiti goreng yang baik, isteri saya pesan, biar minyak tu cukup panas dan cukup banyak untuk "merendamkan" ikan itu sepenuhnya)
3. Sambil menunggu ikan digoreng secukupnya, bolehlah mula menyediakan bahan perasa(tiga rasa) di kuali yang berbeza.
4. Mula-mula, panaskan kuali dengan minyak dalam 2 sudu besar. 
5. Masukkan bawang besar dan bawang merah.Tunggu sehingga naik bau.
6. Kemudian masukkan halia, bawang putih, cili boh, sos cili dan sos tomato. Masukkan sedikit air dan tunggu sehingga 2 atau 3 minit (sehingga timbul minyak di permukaan kuah)
7. Masukkan lobak, nenas, gula dan garam dan gaul sehingga sebati..
8. Tunggu sehingga cukup masak (tak lama, dalam 2-3 minit jugak)
9. Sementara itu,bolehlah sediakan pinggan, dihiasi dengan daun salad.
10. Ikan yang dah siap digoreng tadi, letakkan di atas daun salad, dan kemudian tuangkan kuah yang telah siap di masak tadi.
11. Makan ketika panas dengan nasi, dan sedap juga diratah begitu sahaja... (kalau makan dengan keluarga, lagi syok!)

Sunday, January 29, 2012

Mengurus Persepsi

Persepsi merupakan pendapat masyarakat umum mengenai sesuatu perkara. Persepsi terbentuk melalui interaksi, pengamatan dan proses penyampaian maklumat yang berlaku dalam masyarakat. Persepsi semakin mudah dibentuk disebabkan oleh perkembangan teknologi maklumat yang berlaku dengan pesatnya. Maklumat-maklumat yang diterima akan diproses dan membentuk persepsi individu yang menerima maklumat tersebut. 

Pengurusan yang pertama dan utama yang perlu dilakukan untuk  menguruskan sesebuah organisasi atau kumpulan manusia ialah pengurusan persepsi. Menguruskan tanggapan dan pendapat umum mengenai sesuatu perkara akan membantu melicinkan proses interaksi yang seterusnya.




Seorang pengurus dan pemimpin yang baik, perlu memberikan "First Impression" yang baik dengan individu yang berada di bawah tanggungannya. First impression ini adalah contoh persepsi yang selalu berlaku. 

Walaupun persepsi bukanlah kenyataan yang sebenar, ianya mampu mencorak dan mempengaruhi pemikiran dan tindakan seseorang. Maka uruskanlah persepsi anda dan mereka yang berada di sekeliling supaya persepsi yang dibentuk ialah persepsi yang sihat dan benar.

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia! (Apa kaitannya?)


Kuasa Ketiga: IMR

Saya sebenarnya kurang senang dengan kempen IMR yang dijaja oleh Dato' Hassan Mohamed Ali. Walaupun kempen utamanya untuk membela Islam menampakkan ketelusan dan keikhlasan perjuangan beliau untuk mendaulatkan Islam sebagai cara hidup, tetapi saya aga kurang senang dengan kempen Melayu dan Raja yang beliau bawakan.

Pertama mengenai Melayu. Perjuangan membela nasib Melayu ini sebenarnya bagus dan perlu diteruskan. Tetapi ia tidak sepatutnya menjadi dasar perjuangan. Memang, Nabi juga mengasihi orang Arab kerana bangsa Arab adalah kaum kerabat Baginda. Bahkan Bahasa Arab diiktiraf oleh Nabi dan disebut di dalam Al-Quran bahawa Bahasa Arab itu dipilih kerana Nabi merupakan orang Arab. 

Tetapi, penegasan ini tidak bermakna Bangsa Arab bebas melakukan apa sahaja yang mereka suka dan terus berkomplot dengan semangat asabiah sehingga mengakibatkan kerugian terhadap dunia Islam seluruhnya. Sokongan dan dokongan terhadap bangsa menunjukkan kita menghargai jatidiri, tetapi sokongan dan pembelaan mestilah tidak sampai mengkesampingkan dan menidakkan peranan dan hak orang-orang bukan Islam.

Kedua, mengenai peranan institusi Raja. Sejak berlakunya penjajahan Barat ke Tanah Melayu, kuasa Raja telah dikurangkan. UMNO pula meneruskan legasi tersebut dengan menuntut kemerdekaan dan meneruskan perlembagaan yang direka penjajah dengan mengekalkan kuasa raja sepertimana yang dianjurkan penjajah. Sekarang, portfolio bagi seorang Raja dan Sultan hanyalah menjaga perkara-perkara yang berkaitan dengan Islam dan adat resam. Penjagaan ini pula hanya melibatkan perkara-perkara rasmi kerana Islam hanyalah agama Rasmi Malaysia. 

Raja dan sultan di Malaysia tidak mempunyai apa-apa kuasa untuk membela dan mendaulatkan Islam sebagai cara hidup. Pernahkah Raja dan Sultan bertindak dalam isu-isu yang melibatkan Akidah umat ISlam? Di manakah Sultan dan Agong ketika isu murtad Lina Joy? Apa pula tindakan para sultan dan Raja ketika heboh dengan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab bible? Bagaimanakah pendirian para Raja dan Sultan apabila rakyat Malaysia dihidangkan dengan pelbagai cerita yang karut dan marut sehingga menjejaskan akidah dan kepercayaan umat ISlam? Bagaimana dengan masalah sosial yang kebanyakannya melibatkan anak muda yang tertera pada IC mereka "Agama ISlam"?

Untuk apa sebenarnya membela dan mempertahankan kedudukan Sultan dan Raja?

Bagi saya, memang raja dan sultan perlu dikembalikan kuasa mereka jika dan hanya jika mereka cenderung untuk menjadikan ISlam sebagai cara hidup dan meletakkan kepentingan ISlam melebihi kepentingan diri dan orang lain. Saya mengemukakan cabaran kepada institusi Raja di Malaysia ini untuk membuktikan kerelevanan kewujudan mereka dan tidak menjadi terlalu eksklusif sehingga langsung tidak boleh ditegur.

Kalaulah artikel ini pun tidak mampu disambut dengan baik, saya bimbang dengan masa depan Islam sekiranya ianya diserahkan kepada raja dan sultan yang ada.

Saya sangsi dengan matlamat sebenar perjuangan IMR ini, apalagi ia melibatkan orang melayu dan raja. 

Saya mengulangi komitmen saya dan menyeru kepada semua Umat Islam untuk terus memberkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Islam. Mungkin cara dan kaedah kita berbeza, tetapi perbezaan pendekatan tidak sepatutnya menjadikan kita bermusuhan. Saya bersama dengan PAS, walau apa pun wadah kalian, kita perlu saling bantu-membantu dan dialog yang sihat perlu berterusan supaya kita terus mencapai persefahaman dalam perbezaan yang masing-masing kita miliki. Kembali kepada ajaran Islam, bermakna kita melaksanakan segala perintah Allah dan Rasul, mematuhi pemimpin yang adil kerana kepatuhan kita kepada Allah dan Rasul.




Antara Yang Menarik