Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, February 16, 2011

Kebaikan tidak memerlukan musim.



Durian mahal kerana musimnya. Hanya ketika musim buah sahaja durian boleh didapati. Tetapi ketika musim durianlah, harga durian menjadi sangat murah. Walaubagaimanapun, kebaikan tak sama seperti memakan durian. Kebaikan tidak memerlukan musim bahkan setiap waktu ianya akan dipandang oleh Allah Ta'ala. Apalagi amalan kebaikan yang ikhlas, sudah tentu dicatat oleh Malaikat sebagai pahala.

14 Februari diiktiraf sebagai hari memperingati kekasih. Dari satu sudut, ada yang melihatnya sebagai amalan masyarakat kristian, walaupun kenyataan ini pernah dinafikan oleh Gabungan Gereja-gereja Malaysia (CCM). Malah mereka pernah mengemukakan tuntutan supaya Fatwa yang dibuat oleh Majlis fatwa Kebangsaan berhubung sambutan Hari Valentine ini dikaji semula khusus dalam perkaitan antara agama kristian dengan sambutan itu.
Jelas mereka, melalui Setiausaha agung CCM Hermen Shastri berkata, majlis fatwa itu telah membuat kesimpulan yang salah dengan menyatakan Hari Valentine sebagai satu acara keagamaan Kristian.

Hermen dalam satu kenyataan berkata kesimpulan itu telah "mengguris perasaan masyarakat Kristian" di Malaysia.

“Hari Valentine merupakan satu amalan sekular, dan ia tidak disambut secara keagamaan di Malaysia atau mana-mana tempat di dunia," katanya.



Majlis Fatwa Kebangsaan, pada tahun 2005 pula mewartakan bahawa sambutan hari Valentine tidak terdapat dalam ajaran Islam malah roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah dilarang oleh Islam yang jelas bercanggah dengan aqidah, syariah dan akhlak Islamiah. Menurut Majlis Fatwa Kebangsaan lagi, di dalam Islam tidak ada hari tertentu untuk meraikan kekasih ataupun kasih sayang. Islam merupakan agama yang menitikberatkan kasih sayang, dan SETIAP DI DALAM ISLAM ADALAH HARI KASIH SAYANG. 

Memperingati kelahiran Nabi Muhammad SAW juga perlu dilihat sebagai sambutan yang sepatutnya tidak memerlukan musim, malah setiap hari dan sepanjang waktu lapang yang kita ada, kita digalakkan untuk memperbanyakkan selawat dan ucapan salam yang sebaik-baiknya ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Maka, dalam hal pertikaian sambutan ini ada beberapa perkara yang perlu kita nilai sebaiknya:

Pertama: Sekularisme Dalam Sambutan Perayaan.

Hari Valentine yang pada asalnya merupakan sambutan keagamaan bagi masyarakat Rom Kuno, selain sejarah-sejarah yang melibatkan paderi-paderi kristian, sebenarnya sudah lari dari maksud asal sambutannya. Budaya Hari Valentine sudah bertukar kepada bentuknya yang moden pada hari ini, malah sedikitpun tidak berkaitan dengan upacara membesarkan mana-mana agama tertentu di dunia.

Budaya yang jauh menyimpang ini, diambil kesempatan oleh masyarakat dunia amnya untuk kononnya memperingati dan menghargai kekasih masing-masing. Lebih parah, apabila pesta sambutan ini disambut secara melampaui batas oleh pasangan-pasangan yang tidak terikat secara sah. Mereka mensekularkan sambutan ini sehingga menjadi ruang dan peluang untuk melakukan dosa. Tiada salahnya untuk berkasih sayang, tetapi biarlah melalui perhubungan dan ikatan yang sah. Bagi yang belum kahwin, kahwinlah cepat. Yang belum mampu, atau belum sampai masa, bersabarlah, sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar.

Sambutan Maulidur Rasul juga, pada hari ini dipertikaikan oleh sesetengah pihak yang kononnya mendakwa bahawa sambutan itu adalah bid'ah. Ada juga yang mengkritik bentuk sambutannya yang mengelirukan dan menimbulkan salah faham mengenai konsep sebenar sambutan Ulang Tahun Kelahiran Nabi Muhammad SAW yang jatuh pada 12 Rabi'ul Awal menurut kalendar hijrah. Sambutan ini tidak lebih dari sekadar ajakan untuk berselawat sedang sunnah-sunnah terbesar Nabi Muhammad SAW diabaikan.

Kedua: Kebaikan Tidak Memerlukan Musim.

Kasih sayang dianjurkan di dalam Islam. Malah Islam sangat menitik-beratkan kasih sayang. Kasih sayang adalah fitrah kejadian manusia dan ia tidak memerlukan musim apalagi medium atau kaedah-kaedah tertentu untuk membuktikan dan menghargai perasaan kasih dan sayang kita terhadap seseorang. Pun begitu, Islam meletakkan had-had dan sempadan. Sebaliknya, Islam sangat memandang tinggi hubungan kasih dan sayang yang dibina antara suami isteri, keluarga, saudara, kawan-kawan, dan masyarakat. Hubungan kasih sayang diterjemahkan melalui seruan memperkukuhkan hubungan persaudaraan Islam melalui tuntutan Allah di dalam surah Al-Hujurat yang sarat dengan peringatan mengenai hubungan sosial antara manusia.

Begitu juga halnya dengan sambutan Maulidur Rasul SAW. Sambutan Maulidur Rasul SAW dilihat tidak lebih dari sekadar demonstrasi selawat secara besar-besaran, seolah ada hari khusus untuk berselawat dan kembali melakukan maksiat pada hari berikutnya. Ini adalah apa yang benar-benar berlaku kepada media-media tempatan yang bermusim dalam mempromosikan kebaikan. Lebih teruk, promosi kebaikan itu sendiri berselang-seli malah bercampur dengan unsur-unsur maksiat. Selain menjadikan sambutan ini sebagai sambutan bermusim, perarakan dan majlis yang maksiat (melibatkan percampuran lelaki dan perempuan, dan perempuan yang tidak menutup aurat) menjadikan ruh dan falsafah sebenar sambutan ini gagal dihayati dan difahami dengan baik oleh umat Islam.

Ketiga: Islam Sebagai Cara Hidup

Mengamalkan Islam tidak cukup dengan pengakuan lisan. Juga tidak cukup dengan kita berpakaian sebagai seorang Islam, serta berkata dengan ucapan-ucapan seorang Islam. Malah melaksanakan semua rukun Islam juga belum sepenuhnya muslim sekiranya kita tidak menjadikan Islam sebagai cara hidup. Menjadikan Islam sebagai cara hidup bererti menjadikan Al-Quran dan As-Sunnah sebagai panduan dan rujukan utama dalam kehidupan.

Tidak cukup sekadar menjadikan Islam sebagai agama rasmi, baik dalam pentadbiran negara mahupun dalam majlis-majlis serta penganjuran acara, bahkan setiap hukum-hakam yang terdapat di dalam Islam, meliputi wajib, sunat, harus, makruh, dan haram, hendaklah dipatuhi sepenuhnya. Malang bagi umat Islam Malaysia, kerana walaupun memiliki forum sehebat Majlis Fatwa Kebangsaan, namun suara Majlis itu tidak lebih dari sekadar perabot yang menghiasi bicara politik sesetengah pihak.

Kesimpulan, kembalilah kepada Islam dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan, agar kelak kita tidak menyesal ketika dibicarakan dihadapan Tuhan.


No comments:

Antara Yang Menarik