Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, February 1, 2011

Lemah sebagai alasan?

Hidup ini terlalu singkat untuk kita mengeluh dan memberikan alasan. Apalagi kalau tidak tahu, tidak pandai, lemah dan penakut dijadikan alasan. Singkat sangat dunia ini untuk kita berfikiran singkat. Maka, untuk menjadikan ianya panjang, berhentilah dari memberikan alasan.



Tidak Tahu?

Memang kita ini lemah, banyak perkara yang masih baru dan yang kita tidak tahu. Guru saya pernah berpesan, "Semakin banyak yang kita tahu maka akan semakin banyak yang kita tidak tahu." Benar sekali, semakin banyak yang kita pelajari, maka kita akan sedar rupanya lebih banyak yang kita belum pelajari dan terlalu banyak yang kita tidak tahu. Sebaliknya, kalau kita rasa kita dah tahu banyak perkara, sebenarnya kita tidak tahu apa-apa.

Tapi masih, had pengetahuan kita yang terbatas ini bukanlah penghalang sebaliknya galakan untuk kita belajar dan terus belajar. Belajarlah kerana hidup ini adalah pelajaran dan pengajaran. Maka yang beriman akan terus belajar sehingga datangnya panggilan dari Tuhan.
Jika bertembung dengan sesuatu perkara yang ganjil dan di luar kebiasaan, maka jangan segan untuk belajar, bertanya kepada yang tahu. Kesilapan juga merupakan anugerah dan pengajaran bagi mereka yang beriman. Orang yang beriman, akan belajar dari kesilapan supaya lubang yang sama tidak menjatuhkan dia untuk kali yang kedua.

Tak kuat?

Kita bukan Superman yang mempunyai kuasa luar biasa. Untuk bermutasi seperti wolverine juga jauh sekali. Kita juga tidaklah begitu kaya sehingga mampu memilii robot canggih seperti Power Rangers, atau moto yang canggih seperti Satria Baja Hitam, atau juga gadjet yang luar biasa seperti orang kelawar. Kalaulah kereta Encik Kelawar tu boleh dibeli di pasaran, belum tentu saya mampu membelinya.

Kita, saya dan anda, juga tidak kuat dan lemah seperti manusia lainnya. Tapi masih, ianya belum cukup kuat untuk dijadikan alasan. Kita masih boleh bahkan perlu berusaha sedaya yang kita mampu. Manusia zaman sekarang ni besi yang berat sudah mampu kita terbangkan dan kita apungkan di laut. Kita membina menara yang ribuan kali ganda lebih tinggi, lebih berat dan lebih besar dari badan kita. Ini semuanya adalah anugerah kebolehan dan keistimewaan yang Allah berikan kepada kita, maka apakah ada alasan dan halangan untuk kita berusaha meneroka potensi dan kemampuan kita yang sebenar?

Kita sudah mampu terbang ke angkasa, maka apakah ada halangan bagi kita untuk terus bertaburan di muka bumi yang kecil ini. Seluas-luas alam dan seindah-indah alam ini Allah jadikan untuk kita.

Dulu, masa kita kecil, siapa yang mengajarkan kita untuk berjalan, sehingga mampu berlari? 

Dulu, masa kita kecil, siapa yang mengajarkan kita untuk kuat sehingga mampu bertahan dan berdiri?

Kita melalui tempoh sukar semasa kecil, sehingga mampu berjalan, bergerak, bercakap, dan berlari. Kita yang belajar semua ini, dan ianya datang dari naluri PEJUANG yang Allah Ta'ala kurniakan kepada kita.



Dunia ini singkat, sesingkat kelipan mata. Namun jalan hidup ini panjang, dan berkekalan dunia ini dengan amal dan cita-cita. Bahkan yang beriman, dan mati dalam kesyahidan, mati itu bukan noktah baginya, kerana kematian itu menemukan dia dengan janji Tuhan Yang Maha Esa.

Kalau kita tidak pandai memandu kereta, maka belajarlah memandu. Sekiranya kita takut untuk bersuara, maka berlatih dan sentiasa tekun dan sabar untuk terus mencuba. Sekiranya kita lemah dan tidak berdaya, apa yang perlu kita terus lakukan ialah mencuba dan terus mencuba. Yang paling penting, jangan putus asa dan yakin bahawa Dia sentiasa ada untuk kita. 

Teruskan menulis...

1 comment:

Joyce said...

Good blog poost

Antara Yang Menarik