Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, February 26, 2011

PAS hanyalah salah satu daripada Solusi

Saya suka untuk mengulas artikel Dr Faisal Tehrani berkaitan pendirian Parti Islam SeMalaysia, Pas mengenai Syiah dan masalah yang dihadapi mereka di Malaysia. Artikel beliau “Mengapa Pula Tuhan Tidak Akan Tanya PAS?” amat menarik minat saya untuk memberikan sedikit pandangan.

Saya tidak berminat untuk menyentuh isu siapa yang benar dan siapa yang salah dalam soal pertembungan Mazhab dan Pemikiran di kalangan Gerakan Islam, mahupun kelompok-kelompok tertentu di kalangan Umat Islam. Biarlah mereka dengan pandangan mereka, saya yakin mereka juga sama seperti saya, ada hujah tertentu yang menjadi pegangan mereka.

Walaupun isunya ialah berkaitan dengan Syiah, amalan dan pengikutnya, saya lebih gemar melihat isu ini sebagai isu yang berkaitan dengan kepentingan Islam. Memang tidak dapat dinafikan, apabila berbincang mengenai perbezaan aliran dan pemikiran, kita tidak dapat lari dari kepentingan-kepentingan tertentu, juga sangat sukar untuk kita berbincang secara objektif bagi menyatukan semua pendapat. Tapi, saya yakin jika kita melihat kepada kepentingan Islam, yang jauh lebih tinggi dan murni, maka kita mungkin akan dapat menemui jalan keluar daripada masalah yang ada.

Ayuh, kita mulakan dalam konteks Negara kita Malaysia. Apakah sebenarnya yang kita mahukan ke atas negara yang kita cintai ini? Benar, kita mahukan kesejahteraan, kemakmuran, kedamaian, keharmonian, kebajikan ketenangan dan segala macam bentuk kebaikan. Saya pasti, tiada siapa yang mahu melihat rakyat di negara ini berpecah belah, dengki mendengki antara satu sama lain, malah tiada siapa yang mahukan masyarakat, di kalangan ahlinya, masing-masing seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing.

Kita lebih gembira dan menginginkan masyarakat yang saling tolong-menolong, tiada prejudis dan prasangka di kalangan ahlinya. Percayalah, jika kita mahukan semua ini, maka yang kita mahukan dan perlukan sebenarnya ialah ISLAM sebagai Cara Hidup.

Justeru, apakah jalan yang mampu membawa kita mencapai Negara seperti yang dinyatakan di atas? Atau persoalan yang selalu dimainkan oleh kita semua ialah, siapakah yang mampu membimbing umat untuk mencapai matlamat di atas? Pelik, saya tidak rasa kita perlu berbincang secara mendalam tentang “siapa” atau “apakah yang mampu dilakukan oleh mana-mana ‘siapa’ yang ada”. Saya lebih gemar bincangkan, tentang “apakah yang kita perlu lakukan untuk mencapai matlamat meletakkan Islam di tempat asalnya. Menegakkan Kalimah Allah yang Maha Tinggi.

Saya mulakan dengan perkongsian kenapa saya memilih jalan untuk bersama dengan PAS. Pertamanya, kita kena sedar bahawa yang kita perlukan bukanlah idea atau pemikiran. Bahkan kita sudahpun mempunyai gagasan yang tersangat besar dan tersangat berat yang telah sekian lama kita pikul iaitu menjadikan Allah Matlamat Hidup dan Mati kita. Tiada idea yang lebih baik daripada idea ini, dan tiada rujukan, perlembagaan yang lebih baik daripada Al-Quran dan hadith RasuluLlah SAW.

Maka kita tidak perlu berbalah dalam soal idea, kerana hakikatnya idea kita adalah sama iaitu Islam. Ayuh, kita teruskan dan focus kepada persamaan ini, dan bergerak ke langkah yang seterusnya, iaitu kita perlukan Pemimpin yang mampu membawa Islam.

Ayuh, kita buka minda kita menerima kelebihan dan kekurangan semua manusia. Bahkan setiap parti dan gerakan itu juga punya lemah dan hebatnya yang tersendiri. Kita perlu bersetuju dengan kenyataan ini terlebih dahulu supaya kita punya alternative yang lebih terbuka dan pelbagai dalam nak mencari solusi kepada masalah ini.

UMNO, adalah parti yang memperjuangkan kepentingan Melayu. Menurut perlembagaan Malaysia, Melayu dibaca sebagai Islam, dan begitulah sebaliknya. Kita ketepikan dahulu “kesahihan” pernyataan ini. Fakta yang menarik mengenai UMNO ini ialah, mereka adalah peluang terbaik yang Umat Islam Malaysia miliki untuk mengembalikan Islam, dan melaksanakan Islam sebagai system dan cara hidup masyarakat Malaysia.

Saya faham dan sedar mengenai kelebihan yang ada pada UMNO ini maka saya mengambil peluang yang ada untuk cuba memberikan teguran kepada pemimpin UMNO, terutamanya yang sedang berada di dalam cabinet supaya mengambil peluang memegang jawatan dalam Kerajaan untuk mengimplementasikan apa yang diajarkan dalam Al-Quran dan As-Sunnah. Sekalipun, jika mahu meneruskan dengan “label Sekular”, dan meletakkan Perlembagaan Persekutuan oleh Lord Reid itu sebagai rujukan utama perlembagaan Malaysia, saya rasa tiada masalah jika kita mahu berusaha dan mencuba.

Kita tidak perlu menggantikan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, malah Jalur Gemilang juga tidak perlu digantikan dengan yang lebih “islamik” semata-mata untuk mengamalkan Islam. Cukup dengan mengamalkan kaedah urustadbir yang baik dan berkesan, menegakkan keadilan dan mendidik masyarakat dengan nilai-nilai agama yang syumul. Menyekat sebarang anasir jahat yang mampu menghalang negara dan rakyatnya daripada melihat keindahan Islam dan kehebatan ajarannya.

Ini adalah pilihan pertama, setelah sekian lama, saya bersama-sama rakan-rakan saya di dalam PAS, di bawah kepimpinan Ulama’ yang ada dalam PAS, meneruskan usaha untuk menyampaikan nasihat ini. Kami tidak pernah berputus asa daripada mendidik dan menasihati rakyat supaya mengenali hakikat kejadian diri, juga mengenali Pencipta dan Agama yang diturunkan olehNya.

Dalam masa yang sama, mengambil bahagian secara aktif dalam system demokrasi Negara, melalui penglibatan dalam Pilihanraya. Dengan tujuan, menawarkan diri untuk menjadi alternative kepada kerajaan UMNO yang masih belum mampu membawa negara ini kea rah yang lebih baik. Sesiapa pun berhak mengambil bahagian dalam demokrasi ini. Kita ketepikan dahulu “Ketidakadilan” yang berlaku dalam Pilihanraya di semua peringkat di Negara ini, supaya (sekali lagi) alternative dan pilihan yang kita ada luas dan terbuka.

Menyertai Pilihanraya adalah pilihan kedua selepas pilihan pertama tadi tidak dapat memenuhi matlamat. Selama 54 Tahun kita merdeka, kedua-dua pilihan ini, telah menjadi gelombang penentu yang paling utama kepada iklim politik Negara. Jatuh bangun UMNO-BN, juga PAS yang kini bersama Pakatan Rakyat, dilihat terlalu banyak mempengaruhi Iklim Politik dan kaedah urustadbir negara. Selain menggearkkan dan mendidik Massa, PAS berjaya memimpin “pressure group” yang terdiri daripada rakyat yang mempunyai pelbagai latarbelakang ekonomi, social, agama dan budaya.

Kejayaan mengadakan demonstrasi besar-besaran, menunjukkan kemampuan PAS untuk membentuk solidarity rakyat sedar yang mahukan perubahan. Tetapi, tekanan ini masih belum cukup kerana masih ramai lagi yang tidak sedar dan belum memahami perjuangan yang ingin PAS bawakan.

Tuan Guru Nik Aziz, berkali-kali menyebut di dalam ceramahnya, sekiranya UMNO bersedia untuk membawa Islam, maka PAS akan dibubarkan. Menunjukkan, kepentingan yang ingin diperjuangkan di sini bukanlah kepentingan PAS dan para pemimpinnya, tetapi kepentingan Islam yang jauh lebih tinggi dan lebih utama. Bukan wajah yang kita utamakan, tetapi natijah kebangkitan Islam itu jauh lebih utama dari segala macam keutamaan. Jika anda Tanya saya, saya masih memilih wajah PAS, tetapi ketepikan dahulu wajah ini, supaya minda kita mampu mencari solusi dan pilihan yang jauh lebih banyak, terbuka dan sangat luas sebenarnya.

Hanya Islam yang mampu menjadi solusi kepada masalah rakyat di semua lapisan dan peringkat masyarakat.
Kita perlu bekerjasama sebaiknya, untuk mencapai matlamat ini. Saya tidak bermaksud ingin mengajak secara langsung untuk menyertai PAS, tetapi ayuh kita bekerjasama, bantu-membantu untuk sama-sama menegakkan Islam dengan apa jua jalan dan kemampuan yang ada pada kita tanpa memperlekeh mana-mana kelompok tertentu.

Sama ada kita sedar ataupun tidak, semasa kita sibuk berhujah mengenai “ketulenan” perjuangan kita masing-masing, nyawa saudara-saudara kita sedang melayang dan terabai tanpa pembelaan. Sangat kelakar, kita menyalak di sini, mereka diseksa di sana.

Dunia ini memerlukan Islam sebagai pemimpin, sekalipun orang bukan Islam yang lebih cenderung untuk membantu, maka kita perlu meraikan bantuan itu. Ayuh, sekali lagi saya mengajak kepada kesatuan matlamat sekalipun kappa kita berbeza. Kita berganding bahu, menjatuhkan thoghut dan menegakkan Islam dalam diri, masyarakat dan negara. Sekadar menunggu dan menanti kemunculan Imam Mahadi perlu diletakkan sebagai pilihan terakhir, kerana kita akan dipersalahkan jika hanya mengharap bulan jatuh ke bumi.

Islam ajaran yang syumul dan sesuai untuk semua. Orang-orang bukan Islam, sekalipun enggan mengakui Keesaan Allah, mereka tetap berhak dan perlu menjadikan nilai-nilai dan ajaran Islam ini sebagai cara hidup.

Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!

1 comment:

Nur Hafizah said...

Saya setuju.Jangan sampai politik memutuskan silaturahim sesama umat Islam=)

Antara Yang Menarik