Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Saturday, February 5, 2011

Kelas Keamanan..

Hari ini kelas keamanan dimulakan setelah lama ianya terhenti,
Kami di bimbing oleh guru, berjalan dan adakalanya terpaksa berlari,
Guru mengajarkan kami menanam harapan agar bumi ini kembali berseri,
Berseri dengan damai dan sejahtera apabila bebas terima dan memberi,

Sambil wayang ditayangkan untuk kami tambah mengerti,
Kami melihat sendiri saudara kami di bumi para Nabi,
Bermandi darah pun mereka sanggup, Inikan pula ke tirai besi,
Susah dan payah kawan karib yang sentiasa menemani,
Namun indah kerana itu tanda mereka disayangi,
Demi janji, mereka setia kerana kasih dan redha Ilahi.

Tapi di sini ternyata berbeza,
Hipokrasi membeli harga diri warganya,
Murah semurah harga sepinggan lauk dan nasi,
Yang kenyangnya habis sesudah mati,

Bumi ini mendahagakan darah pejuang warganya,
Tidak lagi mampu menanggung derita,
Lantaran cemar dan toksik meracuninya,
Darah dan dara dibuang semahunya.

Rintihan bumi ini ditenggelami lagu hibur yang melalaikan,
Ubat tidur yang sehingga esok belum tentu mampu dikejutkan,
Entah bilakan kesudahan,
Risau bila terhantuk, waktu itu tiada lagi penyesalan.

Kelas ini pasti berlarutan,
Kerana wayang masih ditayangkan,
Dan akan terus menjadi tayangan,
Kami akan terus berlari mahupun berjalan,
Sehingga datangnya tempoh ujian,
Semoga deria tidak lalai dari terus memberi tumpuan.

Kerana di setiap hujung jalan pasti akan ada kesudahan,
Baik buruk neraca iman yang menentukan,
Semoga berat timbangan kanan,
Doa dipanjat untuk gugur menjadi saksi yang membenarkan,

Kami yakin harapan itu sentiasa ada,
Semoga hari esok suria terus memancar sinarnya,
Menanam budi menyemai cita,
Biarpun gugur sebelum tuainya, 
Masih meniti di atas batas dan susurNya,
Ladang ini milikNya, Dialah yang selayak menjaganya,
Sentiasa akan ada yang menyambung tugas menyiramnya,

Berjalan dan berlari menuju cita dan cinta,
Untuk kembali menjadi saksi bertemu yang Maha Esa.


Mohd Farid Hamlud
Bangi,
5 Februari 2011 Bsm 2 Rabiul Awal 1432.

1 comment:

Hikari J said...

saya suka sajak ini!
darah dan air mata insani yg gugur dari bumi ini masih belum cukup untuk membasuh kekotoran yang sgt banyak, masih belum cukup untuk menghapuskan ketandusan kemarau kemanusiaan yang sangat panjang
semoga kita diberikan kekuatan untuk mencukupkannya, bimbang kelak tersungkur tak sempat memenuhi jawapan yg akan dipersembahkan kpd Ynag Esa... Allahuakbar!!!

Antara Yang Menarik