Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Wednesday, February 23, 2011

Saya anak Polis...




Semalam dalam perjalanan pulang dari Parit, Perak, sebanyak 3 sekatan jalan yang saya tempuhi. Bermula dengan satu di Seri Iskandar, Perak, satu di Gopeng, Perak, dan satu lagi di susur keluar ke hentian rehat sebelah Ulu Bernam, Selangor. Dua sekatan jalan yang awal, iaitu di Perak tidak begitu mengganggu fikiran saya sehingga sanggup untuk menulis blog pada pagi ini. Namun, sekatan di Ulu Bernam benar-benar mengecewakan dan menyebabkan saya begitu bersemangat untuk menulis sekalipun tenaga masih belum dikumpul sepenuhnya.


Saya suka merancang perjalanan saya. Bagi saya, masa dan jarak adalah kira-kira yang sangat mengujakan hati saya ketika memandu dan melancong. Saya merancang untuk berhenti di RnR Ulu Bernam tersebut, untuk sekurang-kurangnya 4 urusan. Solat Jama' Ta'akhir, Isi Minyak, kumpul tenaga dan yang paling mendesak ketika itu ialah ingin ke Restroom, (kadang-kadang berhenti untuk membeli buah yang sangat segar, atau apa jua ole-ole di sini). Malangnya, sesampai di susur keluar tersebut, sekitar jam 1.00 pagi, Pasukan Polis DiRaja Malaysia melakukan sekatan jalan dan hanya kenderaan berat sahaja yang dibenarkan untuk masuk ke RnR tersebut untuk siasatan selanjutnya. Manakala bagi kenderaan ringan, diarahkan untuk meneruskan perjalanan, dilarang untuk berhenti.

Rupa-rupanya, RnR tersebut telah dijadikan markas sementara Pasukan Polis yang menahan dan memeriksa secara rapi semua kenderaan berat yang melalui lebuhraya tersebut. Sepanjang jalan di RnR tersebut dipenuhi dengan Pasukan Polis yang membuat siasatan dan sekatan jalan.

Mujurlah saya memandu tidak begitu laju, maka ada sedikit minyak yang mampu saya jimatkan. Langsung sahaja saya memecut dengan pedal rapat ke lantai, saya terpaksa memandu untuk ke RnR yang seterusnya iaitu Rawang, lebih 30km dari Ulu Bernam.

Ya, saya kecewa kerana tidak dibenarkan berhenti. Walaupun saya akur dan sangat mengerti, bahawa apa yang dilakukan oleh PDRM ialah menjaga keselamatan dan barangkali ada operasi khusus yang sedang mereka jalankan ketika itu. Saya tidak bermaksud ingin meletakkan kesalahan 100% kepada Pasukan Polis, tetapi sedikit pertimbangan barangkali boleh menyelamatkan keadaan, terutama bagi mereka yang menghadapi masalah seperti saya, bahkan pasti ada yang lebih teruk keadaannya.

Walaubagaimanapun, ada sudut pandang yang lebih menarik daripada cerita di atas mengenai Polis dan Penjawat Awam di Malaysia.

Tahukah kita, bahawa sebenarnya Polis mengadakan sekatan jalan atas beberapa tujuan, antaranya mengurangkan kekerapan jenayah, operasi khusus untuk menahan penjenayah atau mengesan salah laku jenayah, memantau kesalahan lalulintas, dan ada juga yang berpendapat sekatan dibuat untuk mencari kesalahan supaya ada saman dikeluarkan untuk mendapatkan wang daripada rakyat. Pendapat keempat ini, walaupun ada logiknya, bagi saya ianya tidak boleh dipandang selapis.

Di kawasan-kawasan tertentu, pihak Polis akan melakukan sekatan jalan mengikut kekerapan tertentu bagi mengurangkan kadar jenayah dan juga kesalahan lalu lintas oleh pengguna jalanraya. Sekatan yang dilakukan memberikan amaran kepada penjenayah selain meningkatkan tahap kepekaan penggguna terhadap kesalahan lalu lintas dan jenayah. Misalnya, apabila berlaku kejadian curi motor dan kereta yang sangat kerap, maka sekatan jalan diadakan selain untuk mengesan kereta dan motor yang telah dicuri, dapat memberikan isyarat dan amaran kepada penjenayah tersebut.

Namun, masalah yang kerapkali berlaku, dan semakin kerap berlaku ialah pengguna sudah tidak lagi menghormati Pasukan Polis dan menganggap sekatan jalan sudah tidak lagi relevan sambil mengaitkan dengan kerendahan integriti di kalangan Anggota Polis di Malaysia. Hasilnya, ialah kecelaruan sistem dan undang-undang lalulintas sehingga menyukarkan Malaysia untuk mewujudkan sistem pengurusan Lalulintas yang lebih berkesan dan lancar. Kamera litar tertutup yang digunakan untuk mengesan kenderaan yang memandu melebihi had laju itupun tidak mampu membuatkan pengguna berfikir panjang. Semuanya adalah tidak baik asal ada kaitan polis di dalamnya.

Apabila pengguna sudah tidak lagi menghormati jalan raya, dan menjadikan akal sendiri sebagai rujukan utama dalam membuat keputusan, maka kita akan mendapati jumlah kesalahan, kemalangan dan kesesakan lalu lintas akan bertambah. 

Jika ditanya kepada saya, bagaimana ingin menyelesaikan masalah di atas? Maka saya akan menjawab, berdasarkan Kaedah Urustadbir yang Baik, (Good Governance), undang-undang mestilah berdaulat dan dipatuhi. Undang-undang yang berdaulat ialah undang-undang yang tinggi dan tiada siapa yang lebih tinggi daripada undang-undang. Bermaksud, pegawai polis pun, sekiranya didapati menyalahgunakan kuasanya, harus dibawa ke muka pengadilan.

Apabila kesalahan pihak Polis tidak boleh dipertikai, dan ada pula sesetengah pihak yang cuba menutup kesalahan yang dilakukan oleh Pihak Polis, maka rakyat akan mula sangsi dan tidak lagi menghormati mereka sebagai penguatkuasa undang-undang.

Selain salahlaku rasuah yang semakin membarah dalam institusi PDRM, kes kritikal yang melibatkan salahlaku (misconduct) anggota polis seperti Kematian adik Aminulrasyid, benar-benar menghilangkan keyakinan rakyat ke atas integriti pasukan beruniform kedua tertua di Malaysia itu.

Kerajaan perlu memandang serius hal ini. Pendidikan mengenai undang-undang adalah sangat penting supaya semua rakyat tahu mengenai hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengguna. Jika diteruskan dengan keadaan begini, undang-undang ditafsir dan dieksploitasi sewenang-wenangnya oleh pihak-pihak tertentu, maka kita seolah-olah kembali ke zaman batu, di mana undang-undang yang kita gunakan hanyalah undang-undang rimba ditafsir oleh mereka yang berkuasa, menindas dan menzalimi yang lemah.

Undang-undang rimba hanya layak digunakan oleh haiwan, dan produk utamanya juga hanyalah haiwan yang buas dan kurang pertimbangan akal yang waras. 

Jika diteliti, kebangkitan Mahasiswa di UKM juga adalah hasil Undang-undang rimba yang digunakan oleh pentadbir, juga seluruh jentera pentadbirannya terutama pegawai keselamatan. Undang-undang bertulis hanyalah untuk pameran dan senjata yang berniat melumpuhkan akal dan perasaan. Maka, manusia sedar tidak akan mampu ditahan akal dan perasaannya. Hasilnya, kemenangan dan pembebasan yang mereka mahukan. Begitu juga halnya yang berlaku di Dunia ketika ini. Kebangkitan Rakyat yang menolah akal dan perasaan mereka diperbodohkan.

Saya anak Polis, yang dilahirkan di Rumah Ketua Polis Daerah Balik Pulau. Tetapi saya sayangkan intitusi Polis kerana ia adalah institusi yang selama ini menjaga keamanan dan keselamatan negara. Apabila fungsi itu dimanipulasi, maka jadilah mereka penguasa rimba yang kebinatangan.


Ubah Sekarang, Selamatkan Malaysia!!!

1 comment:

Unknown said...

ubah sekarang dan selamatkan Malaysia!

Antara Yang Menarik