AlhamduliLlah, seinfiniti kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Ilahi, puji dan puji yang sebanyak-banyaknya atas kurniaan nikmat, ruang dan peluang yang cukup berharga untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah dan Madinah.
Perjalanan kali kedua ini, mengambil masa selama 13 hari. Bermula dengan transit di Bahrain, sebuah negara Pulau yang kecil, sehari bermalam di sana (boleh rujuk Peta Dunia untuk maklumat lanjut). Bahrain, Negara yang sangat cantik. Jauh bezanya pengalaman transit di Bahrain, berbanding di Dhaka, Bangladesh. Pemandangan indah tepi pantai, menghiasi pemandangan sepanjang perjalanan dari Lapangan Terbang ke Hotel kami ditempatkan.
Kebetulan, waktu itu merupakan musim sejuk bagi seluruh wilayah arab (Timur Tengah), maka suasana pagi yang cukup nyaman dan menyegarkan mengiringi perjalanan kami ke Lapangan Terbang.
Syukur, perjalanan kali ini, walaupun transit di Bahrain, tetapi kumpulan kami tidak menghadapi sebarang ujian yang berat, lancar sehinggalah kami tiba di Lapangan terbang Madinah, dan terus menuju ke Hotel As-Syaer, lebih kurang 100 meter dari Masjid Nabi.
Kami tiba agak lewat, waktu itu jam menunjukkan jam 1.00 tengahari, jemaah solat Zuhur sudah lama meninggalkan masjid. Selesai menguruskan bilik para jemaah, saya menemani mereka untuk makan tengahari, menghantar barang ke bilik dan langsung ke Masjid untuk menunaikan Solat Zuhur.
Sayu rasa hati apabila melangkahkan kaki ke Masjid Nabi yang mulia itu. Terima Kasih Ya Allah, kerana membenarkan hambaMu yang hina ini untuk menjejakkan kaki ke sini sekali lagi. Terasa kerdil dan lemah, bila mengenangkan kekuasaan dan kehebatan Allah Ta'ala yang selama ini menjaga dan memelihara diri ini. Begitu agung dan hebatnya kasih dan sayangNya sentiasa memberikan peluang untuk hambaNya mendekatkan diri kepadaNya.
Semasa di Madinah, Ust Imam, keturunan Banjar, Indonesia, membimbing kami untuk ziarah dalam dan luar. Kali ini, saya tidak lagi melepaskan peluang untuk masuk ke syurga, malam yang pertama, saya bersama-sama rakan-rakan sebilik bangun di awal pagi (selepas tidur di awal malam), untuk sama-sama merasa pengalaman berada di Syurga.
"Di Antara Mimbar dan Rumahku, Taman dari Taman-taman Syurga," Hadith Nabi Muhammad SAW.
Kaum muslimin bersesak-sesak untuk berada di situ, tidak tergambar betapa terhiburnya hati saya apabila akhirnya berkesempatan untuk berada di Raudhah. Pada mulanya, saya mencelah di celahan ruang kosong, selepas menunaikan solat dua rakaat, saya memberikan tempat saya itu kepada jemaah saya. Sebaik sahaja saya berdiri, seorang lelaki menarik-narik jubah saya, ingin memberikan tempat duduknya kepada saya. AlhamduliLlah, lama sedikit saya berada di sana.
Perjalanan yang lepas, saya agak kurang mengambil kesempatan seperti ini kerana begitu banyak perkarayang perlu saya selesaikan, terutamanya dalam memastikan jemaah di bawah kendalian saya tertunai hak dan kebajikan mereka. AlhamduliLlah, kesabaran saya kali ini dibayar berganda oleh Allah, Terima Kasih Tuhan.
Setelah melengkapkan ziarah dalam dan luar, kami berangkat ke Mekah, seperti biasa bermiqat di Bir Ali. Tidak seperti di Madinah, ke Mekah kali ini, semua jemaah di bawah kendalian saya, tiada lagi bantuan Mutawwif atau pembimbing. Peluang ini saya guna sebaiknya untuk belajar dan mencabar, memberi dan menjadi yang terbaik. Doa yang tidak putus dipanjatkan, supaya perjalanan ubudiah kali ini, benar-benar memberikan kebaikan kepada diri saya lebih-lebih lagi kepada para jemaah, yang jarang-jarang berpeluang untuk ke Tanah Suci.
Umrah kali pertama berjalan dengan sangat lancar, AlhamduliLlah, pengalaman lalu yang sangat berharga menjadi bekalan penting untuk saya memastikan semua jemaah berada dalam keadaan yang baik dan dapat menunaikan umrah mereka yang pertama dengan baik dan sempurna.
Hari berikutnya, saya bersama-sama dengan Abang Zam, rakan sebilik, berusaha untuk mengucup hajarul aswad. keadaan begitu sesak, begitu ramai yang berhimpit-himpit namun akhirnya dapat juga saya mengucup batu hitam itu.
"Jikalau bukan aku melihat Nabi Muhammad mengucupmu, nescaya aku tidak akan mengucupmu," kata Saidina Omar kepada hajarul Aswad, yang pernah dikucup oleh Nabi dan mengucupnya merupakan satu sunnah.
Terima Kasih Ya Allah, kerana menghiburkan hatiku...
Saya dan Abang Zam terpisah setelah bersesak-sesak. Walaupun ketika beratur tadi, dia betul-betul berada di belakang saya, katanya, "AlhamduliLlah, dapat juga, lebih kurang 5 minit selepas ustaz," sewaktu kami berjumpa kembali di dewan makan. Petang itu, saya menghabiskan masa saya, melepaskan rindu saya kepada Kaabah dan Masjid Haram.
Lawatan kami bermula keesokan harinya, iaitu hari ketiga kami di Mekah. Kali ini, saya yang menjadi mutawwif. Mujur sempat saya mentelaah sedikit sejarah mengenai tempat-tempat yang bakal kami ziarahi. Namun, masih ada soalan yang belum mampu saya jawab, terima kasih juga kerana ini adalah motivasi yang baik untuk belajar dan terus belajar, lagi dan lagi.
Mengiringi Jemaah Di Masjid Siti Aisyah Miqat Tan'im, |
Antara yang menarik, melawat Jabal Rahmah. AlhamduliLlah, semuanya dapat saya rasakan kali ini, di Jabal Rahmah (dalam bahasa Melayu, Bukit Kasih Sayang), saya memanjatnya bersama-sama para jemaah. Pemandangan luar biasa Padang Arafah dapat diperhatikan dengan jelas dari atas bukit ini. Kelihatan begitu ramai manusia yang bermunajat berdoa di sini. Syahdu sungguh melihat suasana tersebut. Barangkali mengenangkan peristiwa agung, pertemuan semula Adam dan Hawa yang terpisah sejak sekian lama, maka ramai yang berdoa agar dipereratkan hubungan kasih sayang dalam keluarga. Bahkan ada juga yang berdoa untuk mendapatkan jodoh.
"Hai, nampak bersemangat lain macam je Ust bila kat Jabal Rahmah ni,Semoga dipercepatkan dan dipermudahkan, paling penting bertemu jodoh yang terbaik," usik seorang jemaah.
"Ameen, InsyaAllah," ringkas sahaja saya menjawab sambil membalasnya dengan senyuman.
Semasa dalam bas, kami tidak putus membincangkan mengenai kehebatan perjuangan dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW dan para Sahabat R.A. Peristiwa Hujjatul Wida' Nabi bersama para Sahabat di Padang Arafah, kerja-kerja Haji di Muzdalifah dan Mina, uzlah Nabi dan peristiwa penurunan Al-Quran di Jabal Hira' (Jabal Nur), juga peristiwa agung hijrah Nabi Muhammad SAW bersama Saidina Abu Bakar As-Siddiq di Gua Thur menemani sepanjang perjalanan kami pada hari itu.
"Bayangkan, Asma' Binti Abu Bakar dipertanggungjawabkan untuk membawa bekalan makanan kepada Nabi dan ayahnya, Saidina Abu Bakar, di Jabal Thur ini. Kita ni, nak panjat bukit Safa dan Marwah pun dah lenguh-lenguh lutut," ujar saya ketika memberikan penerangan. Diriwayatkan, ketika peristiwa tersebut, Asma' dikatakan mengandung 4 bulan dan bertanggungjawab membawa bekalan makanan di Gua Thur tersebut untuk tempoh tiga hari sementara Nabi SAW dan Abu Bakar R.A bersembunyi di sana.
"Betullah ustaz, tak terbayang betapa hebatnya, kenapa ek kita ni agak manja?" ujar salah seorang jemaah yang memikirkan terlalu banyak mendengar rungutan para tetamu Allah ketika menunaikan umrah dan haji, sedangkan perjuangan dan pengorbanan Nabi, jauh lebih hebat dan lebih tinggai cabaran dan dugaannya. Semoga Allah menempatkan Baginda di kedudukan yang Terpuji yang telah Allah janjikan...
Setelah selesai ziarah, kami bermiqat diMasjid Ja'aranah, Miqat yang pernah Nabi gunakan ketika ingin menunaikan Haji Wida', yang pertama dan terakhir bagi Nabi Muhamad SAW. Dikatakan, miqat inilah miqat yang terbaik, dan Nabi Muhammad SAW berniat ihram untuk Haji Wida' Baginda di belakang batu-batu di Ja'ranah, iaitu di Masjid yang didirikan pada hari ini.
Keesokan harinya, Ahad, meneruskan ziarah ke Muzium Dua Tanah Suci, Ladang Ternakan Unta, dan akhirnya bermiqat di Hudaibiyyah. Miqat Hudaibiyyah ini pula sempena peristiwa perjanjian Hidaibiyah. Menunaikan umrah bersama-sama dengan sebahagian jemaah dan kali ini bertahalul hanya dengan melalukan gunting kerana sudah ketiadaan rambut.
Setibanya di Hotel mendapat panggilan daripada Ust Ismi, saya perlu ke lapangan terbang untuk menyambut jemaah yang baru sampai dari Malaysia, melalui penerbangan Pakistan di Terminal Haji di Jeddah. Petang, selepas solat asar, saya bergerak menaiki GMC, milik Samsudin, menuju ke Jeddah. Lebih kurang 4 jam saya menunggu di sana, kerana sedikit masalah teknikal yang begitu kerap berlaku di Lapangan Terbang tersebut. Jam 10.30 mlm saya sudah berada seorang diri di Terminal haji, namun pukul 2.00 pagi barulah semua urusan jemaah yang baru sampai selesai.
AlhamduliLlah, saya memimpin rombongan ini ke Madinah, berjalan sejauh 400 km dari Jeddah. Setibanya di Madinah, memimpin untuk ziarah dalam dan seterusnya membawa rombongan yang diketuai oleh Ayah saya sendiri ke Mekah. AlhamduliLllah, inilah hikmahnya.
AlhamduliLlah, puji yang tidak terhingga sekali lagi dipanjatkan. Kali ini, saya sempat merasa semuanya, bahkan seluruh Masjid Haram sempat saya jelajah. Hajarul Aswad, Hijr Ismail, mendaki jabal rahmah, bersolat di Raudhah, berdoa di Multazam, dan lain-lain keistimewaan dapat saya rasakan sepenuhnya kali ini.
Paling manis, merasai hujan di Mekah. Pergh, Terasa sejuknya sehingga ke tulang sumsum.(bak kata jemaah saya). Memang sangat menarik dan sangat seronok. AlhamduliLlah, terima kasih sekali lagi Ya Allah!!!
Semoga akan datang, dapat saya memberikan khidmat yang lebih baik kepada para tetamu Allah, dan tetamu RasuluLlah... Semoga diizinkan membawa keluarga kecil dan besar ke sana.
4 comments:
Ya Allah..seronoknya. InsyaAllah, kami akan sampai juga ke sana. Doakan kami ye Farid.
Ummi Hasif sekeluarga
Ameen... Semoga K.Aisyah dan keluarga juga diberikan peluang, kemudahan dan kelapangan untuk menjadi tetamuNya..
Alhamdulillah~
Perkongsian yang sangat menarik... Moga diri ini jua berpeluang untuk ke sana. Ameen ya rabb
Salam Kembara di bumi Tuhan.
Assalamu'alaikum wbt.
Rasulullah S.A.W. bermiqat di Ji'ranah bukan semasa haji wida'. Baginda bermiqat di situ selepas perang Hunain iaitu selepas Pembukaan Makkah pada tahun 8H.
Post a Comment