Suasana di Masjid Haram, macam-macam gaya. |
Saya alaminya dan merasainya sendiri, peri penting soalan pertama yang perlu anda jawab, KENAPA?
Umrah dari segi istilah ialah menziarahi Masjid Al-Haram dan melaksanakan ibadah-ibadah yang tertentu. Tertentu di sini, merujuk kepada berihram, tawaf, saie dan seterusnya bertahallul. Aktiviti tawaf dan saie hanya disyariatkan di sini. Umrah adalah WAJIB berdasarkan firman Allah,
"Dan sempurnakan haji dan umrah kerana Allah," Al-Baqarah, 2 : 196
Kalimah "Atimmu" merupakan kata perintah yang membawa kepada hukum wajib yang secara jelas mewajibkan kita menunaikan umrah dan haji kerana Allah. Namun diperjelaskan dalam hadith Nabi, ketika menjawab soalan Malaikat Jibril yang menyerupai seorang lelaki, ketika ditanyakan mengenai Islam, terakhir Nabi menyebutkan "Menunaikan haji di jalanNya bagi yang berkemampuan,"
Perintah ini, selain daripada membawa pengertian WAJIB, juga mengingatkan kita bahawa menunaikan umrah ataupun haji ini (begitu juga menguruskan pakej jemaah umrah dan haji) mestilah kerana Allah Ta'ala. Tanpa ada niat lain yang buruk. Pegangan kami di Darul Mubarak, juga saya amat yakin dan percaya, pegangan semua syarikat yang menawarkan Pakej Haji dan Umrah, kami melakukannya kerana Allah. Caj yang kami kenakan adalah caj perkhidmatan dan sama sekali tidak berniat ingin menipu atau menindas para jemaah yang merupakan tetamu-tetamu Allah dan tetamu RasuluLlah.
Kami ada pekerja yang bekerja untuk menguruskan pakej para jemaah, bagaimana dengan periuk nasi mereka? Juga pekerja-pekerja yang bekerja di Terminal Haji, di Masjid Haram dan Masjid Nabawi, mereka semuanya diberikan gaji atas perkhidmatan yang mereka berikan. Saya, seperti pembimbing lainnya, sentiasa berharap agar kelemahan dan kekurangan yang pasti akan sentiasa ada tidak menghalang para jemaah mendapatkan kemanisan beribadah sepanjang berada di Mekah dan Madinah. Itulah keutamaan kami di Darul Mubarak, juga mana-mana agensi Umrah dan Haji lainnya.
Oleh itu, sebelum anda membuat keputusan untuk pergi, terlebih dahulu tanya diri anda sendiri kenapa anda ingin benar menunaikan Umrah?
Pengalaman saya yang tidak seberapa mengajar saya kepentingan niat dalam menunaikan umrah dan ziarah ini. Kerana perjalanan ini adalah perjalanan ubudiah, perhambaan kita kepada Allah. Segala kesusahan yang kita hadapi, pastinya adalah mehnah dan ujian daripada Allah. Tepat seperti yang diingatkan oleh Nabi Muhammad SAW di dalam hadith pertama "Hadith 40 Imam Nawawi",
"Sesungguhnya setiap amalan itu dikira berdasarkan niatnya. Dan bagi setiap seseorang itu apa yang diniatkan. Barangsiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu akan sampai kepada Allah dan Rasul. Barangsiapa yang berhijrah kerana dunia yang menjadi habuan, atau perempuan yang ingin dinikahi, maka hijrahnya akan sampai kepada apa yang dia inginkan,"
Secara panjang lebar, Baginda mengingatkan kepada kita, supaya meletakkan kepentingan Allah dan Rasul dalam setiap perbuatan dan amalan kehidupan kita. Lebih-lebih lagi dalam perkara yang berkaitan dengan ibadah khusus seperti manasik haji dan umrah ini. Maka, kita perlu membulatkan niat dan tekad kita untuk mendapatkan Allah dan Rasul dalam perjalanan kita menjadi tetamuNya nanti.
Saya melihat sendiri, mereka yang begitu jujur dan ikhlas ingin melaksanakan umrah dan ziarah ini, Allah Ta'ala berikan begitu banyak kelebihan, kekuatan dan kelapangan untuk melaksanakan ibadah sepanjang keberadaan mereka di sana. Pernah saya membawa seorang nenek, usianya hampir 80tahun, sudah bongkok namun kental semangatnya sehingga mampu melaksanakan 9 kali umrah. Bukan satu dua kes, malah begitu ramai yang saya lihat dan kenali sendiri, betapa tinggi dan murninya azam mereka menyahut panggilan daripada Allah.
Dalam kes yang berbeza, saya ditemukan oleh Allah dengan seorang jemaah yang begitu sombong dan berlagak dengan kelebihan dirinya untuk menunaikan umrah, akan tetapi hanya sekali sahaja diberikan kesempatan untuk menunaikan umrah disebabkan ujian yang Allah Ta'ala berikan kepadanya. Semoga kita terpelihara dari kemurkaanNya.
Sebenarnya saya sendiri, terkadang tidak begitu kuat untuk menghadapi dan menguruskan jemaah yang pelbagai karenah ini. Ketika mula-mula menguruskan jemaah, ada sahaja yang tidak kena, complain yang macam-macam, bahkan ada yang memaki-hamun dan sebagainya. Namun Ust Mahyoni, teman saya, wakil Darul Mubarak di Mekah, pernah menasihatkan saya, "kita buat kerana Allah, jangan biarkan manusia menggagalkan kita! Lupakan jangan pendamkan, kerana memang inilah cabarannya" Ingatan yang cukup menyentuh dan menyentak hati saya. Setiap kali saya berhadapan dengan ujian, saya selalu ingat kata-kata ini, supaya perjalanan saya mencari Pencipta tidak dihalang oleh yang dicipta.
Apa yang ingin saya tekankan sekali lagi di sini, ialah kepentingan Niat. Niat anda akan memberikan apa yang anda mahukan sepanjang berada di Tanah Suci. Sudah tentu, Niat yang baik memerlukan keazaman yang tinggi. Kerana kita sesekali tidak akan dibiarkan oleh Allah berkata bahawa kita beriman, selagi kita belum diuji. Bahkan dalam segenap aspek kehidupan kita juga akan diuji, inikan pula dalam proses kita ingin menjadi tetamuNya, pasti akan ada ujian dan hanya hambaNya yang benar-benar ikhlas, akan melepasi ujian ini dengan mudah. Saya juga hamba yang lemah yang masih sangat memerlukan bantuan dan petunjuk dariNya. Moga ingatan ini baik untuk tuan-tuan dan puan-puan, lebih-lebih lagi kepada diri saya yang sekadar menyampaikan pesanan.
Kemanisan dan keindahan perasaan menjadi tetamuNya, hanya Allah yang tahu. Sukar digambarkan dengan kata-kata. "Sejuta kata tak cukup untuk melukis indahMu" (Bak kata Opick). Betapa terhibur dan terisinya hati kita tatkala dibentangkan dan diperlihatkan kehebatan ciptaan Allah Subhanahu Wa Ta'ala. Berada di bumi kekasihNya, menghirup dan merasai udara yang pernah dihirup dan dirasa oleh Nabi. Berjalan atas bumi yang dahulunya dipijak oleh Nabi, menziarahi tempat-tempat bersejarah yang juga pernah menumpahkan darah Nabi yang mulia itu.
Penyucian dan pembersihan jiwa yang sangat berkesan, apalagi jika kita membaca dan mentadabbur ayat-ayat suci Al-Quranul Karim yang diturunkan di sana. Menghayati setiap perjalanan dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW yang tiada tolok tandingnya. Apalah sangat derita yang kita alami nak dibandingkan dengan Nabi? Bahkan setiap waktu hanya memikirkan tentang kita, sedangkan kita sendiri tidak mampu menjawab apakah benar ada Nabi di hati kita?
Layakkah kita untuk berhadapan dengan Nabi dia akhirat kelak setelah segalanya kita korbankan untuk dunia yang sentiasa menipu dan melalaikan kita?
Perjalanan menjadi tetamu Allah dan RasuluLLah, adalah perjalanan ubudiah, seorang hamba yang mencari Rabb dan kekasih Rabbnya. Sepertimana Allah Ta;ala menghiburkan Nabi dalam peristiwa Isra' dan Mikraj, begitu jugalah harapan kita tatkala diizinkan oleh Allah untuk berjalan menjadi tetamuNya nanti.
Semoga segala usaha dan urusan kalian dipermudahkan, diberikan kelapangan dan menemui hakikat sebenar kejadian insan. Sama-sama kita doakan supaya diri kita, orang-orang yang bersama kita, malah seluruh manusia di dunia ini diberikan petunjuk oleh Allah, dan menjadikan kita asbab kepada petunjuk mereka. Ameen Ya Rabbal Alameen..
Jom, berusaha dan beramal, kerana dan ke arahNya..
Labbaika Allahumma Labbaika!!!
Oleh Mohd Farid Bin Hamlud,
Pembimbing dan Pengurus
Darul Mubarak Travel and Tours Sdn Bhd,
(cawangan Kuala Lumpur, Selangor)
+6013-6727 827 / +603-8739 3018
2 comments:
Salam ustaz..terima kasih atas post ini..
AMIN YA RABB
Post a Comment