35,00 kitab injil yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri menimbulkan pelbagai reaksi dari pelbagai pihak. Terbaru, semalam Pertubuhan Pembela Agama (PEMBELA) bertindak membuat laporan polis berhubung reaksi tidak puas hati penganut agama kristian yang mempersoalkan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang menahan pengeluaran Kitab Bible tersebut, dan mempersoalkan syarat yang dikenakan bagi melepaskan semua naskhah kitab bible tersebut.
Kementerian Dalam Negeri, melalui ketuanya, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein, dalam kenyataannya berkata beliau masih lagi menunggu keputusan daripada Hakim Negara sama ada penahanan 35 000 kitab injil itu boleh ditarik balik atau sebagainya.
Terdahulu, Mufti Selangor, Datuk Tamyes Abd Wahid dilaporkan sebagai berkata 5,000 naskah kitab Injil berbahasa Melayu akan dilarang pengedaran di negeri itu kerana ia tertakluk kepada Enakmen Islam Selangor bersabit penggunaan kalimah Allah di dalam kitab suci Kristian itu, lapor Tv Selangor.
Hasil desakan dan permohonan daripada NGO Kristian tersebut, kerajaan akhirnya bersetuju untuk melepaskan kesemua 35000 naskhah Kitab Bible dengan dua syarat iaitu dicop dengan "Untuk kegunaan penganut agama kristian sahaja" selain diletakkan nombor siri pada setiap naskhah.
Hal ini sebenarnya bersabit dengan penggunaan kalimah Allah di dalam kitab Injil edisi Bahasa Melayu ini dan keputusan isu penggunaan Kalimah Allah itu sendiri masih berlarutan di Mahkamah sejak 2010.
Paderi Goodnews Church ketika dihubungi wartawan merasakan tindakan kerajaan meletakkan cop tersebut dianggap mencacatkan dan mencemarkan kesucian kitab bible. Baginya tindakan tersebut membuatkan seolah-olah menjadi satu jenayah jika memiliki kitab bible tersebut dan sudah pasti tiada penganut kristian yang akan berpuas hati.
Isu ini, walaupun tidak sepanas isu video lucah pemimpin politik Negara, namun isu ini tetap perlu diselesaikan segera. Saya, seperti juga isu penggunaan Kalimah Allah, berpendapat satu dialog terbuka mengenai hubungan antara agama perlu diadakan segera. Apalagi kita juga menghadapi masalah interaksi antara agama dalam banyak isu sejak akhir-akhir ini. Isu lesen judi, penjualan arak dan masalah-masalah berkaitan undang-undang syariah yang perlu ditangani secara Negara Membangun yang menuju ke arah Negara Maju.
Walaupun saya berpendapat bahawa, oleh kerana Kerajaan sudah bersedia untuk berkompromi dengan menarik semula penahanan kitab tersebut, tetapi desakan terus diberikan oleh pihak kristian kononnya hak mereka untuk mengamalkan agama mereka telah disekat. (Harakah pun kena cop "Untuk Ahli PAS Sahaja", saya tak bising pon!)
Saya pelik, saya mempunyai pengalaman 3 kali ditolak dan dimungkiri oleh persatuan berasaskan agama kristian, untuk berdialog mengenai perbezaan agama Islam dan agama Kristian. Saya pernah bercakap sendiri dengan seorang Pastor dari Indonesia mengenai hal itu. Dia menyebut bahawa bagi pihaknya, dia khuatir sekiranya ada cubaan untuk menjatuhkan atau memburukkan agama kristian dalam sesi dialog tersebut.
Saya yakin dengan kebenaran Islam sebagai agama dan cara hidup saya. Bahawa agama Islam tidak pernah melarang dan memaksa manusia untuk memeluk agama Islam, tetapi semuanya akan terjawab sekiranya dialog itu berjaya direalisasikan.
No comments:
Post a Comment