AlhamduliLlah, mungkin ketika anda membaca artikel ini, saya sedang berada di Tanah Haram, bagi melaksanakan ibadah Umrah dan Ziarah. Ketika ini, saya dan jemaah saya mungkin sudah berada di Madinah Al-Munawwarah, Tanah Haram yang dimuliakan oleh Allah, seperti mana doa RasuluLlah SAW Di dalam Hadith Baginda, "Sesungguhnya Ibrahim telah mengharamkan Makkah dan berdoa untuknya dan aku mengharamkan Madinah sepertimana Ibrahim mengharamkan Makkah dan aku berdoa untuk (keberkatan) cupak dan gantangnya sepertimana Ibrahim berdoa untuk Makkah."
Segala puji dan puja dipanjatkan ke hadrat Ilahi kerana diberikan peluang untuk sekali lagi menjejakkan kaki ke bumi Barakah ini. Rindu yang terpendam di hati, kali ini akan terlerai apabila sekali lagi diberikan peluang dan kepercayaan untuk membawa jemaah seramai 31 orang untuk menunaikan umrah.
Benar, walau sehebat mana pun saya menceritakan pengalaman berada di Tanah Suci, tentu tidak sama dan tidak akan dapat digambarkan betapa syahdu, hebat dan istimewanya menjadi tetamu Allah dan tetamu RasuluLlah. Bayangkan sahaja, kita memijak bumi yang dahulunya dipijak oleh Nabi SAW dan para Sahabat Baginda yang tercinta. Menunaikan solat di Masjid Baginda yang mulia, tempat di mana disemadikan jasad Baginda yang sehingga kini masih dipelihara oleh Allah SWT. Di situlah juga rumah Baginda, tempat Baginda tidur, makan, bersama-sama dengan isterinya Aisyah R.A. juga para Sahabat.
Berada di Raudah, tempat yang Nabi Muhammad SAW selalu bercerita, berpesan dan menasihati para Sahabat di mimbar, dan adakalanya bersandar di tiang-tiang Masjid. Sehingga ada pohon tamar yang menangis ketika mimbar dibina kerana cemburu tidak lagi dapat berkhidmat untuk kekasih Allah yang mulia itu.
Di Masjid itu jugalah, disemadikan jasad Sahabat Baginda yang paling dikasihinya, Saidina Abu Bakar As-Siddiq, yang sentiasa membenarkan setiap kata-kata Nabi. Beliau menangis kerana terharu apabila dipilih menemani RasuluLlah SAW dalam peristiwa Hijrah yang agung, menangis kerana mempertahankan Nabi SAW daripada bisa patukan ular, dan diabadikan peristiwa itu di dalam Al-Quran ketika Allah Ta'ala berfirman:
"Dan sekiranya kamu tidak mahu menolongnya (RasuluLlah SAW), maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, ketika Dia mengeluarkannya (RasuluLlah SAW) daripada (kezaliman dan niat jahat) orang-orang kafir, secara berdua-duaan, ketika mereka berdua berada di dalam gua, ketika dia (RasuluLlah SAW) berkata kepada sahabatnya (Saidina Abu Bakar R.A) 'Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama dengan kita'..." At-Taubah, 9:40.
Juga terdapat maqam Saidini Omar R.A, khalifah kedua selepas Saidina Abu Bakar. Insan yang dikurniakan hidayah oleh Allah sehingga menjadi pembela Nabi yang paling utama. Dengannya Dakwah dan perjuangan Islam menjadi semakin kuat sehingga musuh Islam takut dan gerun kepada Islam. Lihat sahaja kata-katanya, "Sesiapa yang mahu isterinya menjadi balu, dan anaknya menjadi yatim, silalah menghalang aku daripada berhijrah," kata-kata Omar kepada kaum musyrikin Mekah. Walaupun begitu sekali kehebatan beliau, tetap tawaddu' dan tunduk kepada Allah dan RasulNya. Begitu juga Maqam Saidina Othman dan lebih 70,000 maqam Sahabat R.A yang disemadikan di Baqi' (kompleks perkuburan) berdekatan Masjid Nabi.
Menziarahi Masjid Quba, Pergunungan Uhud, Masjid Qiblatain, dan pelbagai tempat-tempat yang sungguh bersejarah dan menyentuh hati.
Namun, kerinduan ini, tidak sehebat kerinduan untuk menjadi tetamuNya, menunaikan umrah di BaituLlah Al-Haram. Tiada pengalaman yang lebih manis dan menarik, selain beribadah di Masjid Al-Haram, melihat dan menyentuh binaan Ka'abah yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan anaknya suatu ketika dulu. Tidak tergambar betapa kasih dan rindunya hati ini untuk kembali ke sana. Melihat sendiri betapa agung dan hebatnya syiar Islam, agama yang dibawa oleh Para Nabi dan Rasul.
Menunaikan tawaf di BaituLlah, melaksanakan ibadah Saie dari Bukit Safa ke Bukit Marwah. Menghayati kisah agung, ubudiah hamba Allah yang mulia, Nabi Ibrahim A.S. yang patuh melaksanakan perintah Allah, meninggalkan isterinya yang dikasihi, Siti Hajar dan anaknya yang disayangi, Nabi Ismail A.S. yang ketika itu masih bayi dan belum boleh berjalan.
Bayangkan ketabahan Siti Hajar dan anaknya Ismail, ditinggalkan berdua-duaan di bumi yang kering kontang, langsung tiada tumbuhan apalagi air untuk sekadar membasahkan tekak. Bekalan roti dan air untuk bertahan, yang pasti tidak akan cukup, tidak mematahkan semangat mereka yang sentiasa yakin kepada perintah dan peraturan Tuhan. Akhirnya jadilah lembah Bakkah itu, bumi yang masyhur, dipelihara dan diberkati sehingga ke akhir zaman. Telaga Zamzam yang tidak pernah kering menjadi lambang keagungan dan kehebatan Allah, mukjizat Nabi Ismail yang kekal sehingga ke hari ini.
AlhamduliLlah, doakan perjalanan saya menjadi tetamu Allah ini dipelihara dan diberkati oleh Allah. Dikurniakan keberkatan dan kerahmatan, tidak menjadikan kunjungan ini yang terakhir, dan kalaupun ini adalah kunjungan yang terakhir, diberikan ganjaran syurga.
Maafkan segala salah dan silap saya, halalkan segala makan dan minum saya. Andai pemergian ini tiada kembali, doakan saya ditempatkan dikalangan kekasihNya dan ditempatkan di dalam rahmat dan syurga Ilahi. Terima kasih atas segala ilmu dan pengalaman bersama, yang insyaAllah tidak akan dapat saya lupakan. Segala kebaikan, hanya Tuhan yang layak membalasnya.
Sekiranya dipanjangkan umur, doakan saya kembali dengan sihat dan selamat, diberikan kekuatan untuk terus menjadi Daie dan pejuang agamaNya. Berjalan dan berlari dengan bangga meninggikan NamaNya yang Maha Mulia.
Saya mendoakan kalian semua, insyaAllah, diberikan peluang untuk sama-sama menjejakkan kaki ke sana.
Rindu dan cinta, membawa saya kembali ke sana... Dengan rindu dan cintaNya juga, doakan saya dan kita semua bersama...
Taybah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Antara Yang Menarik
-
DEFINISI Sirr dari segi bahasa bermaksud rahsia, sementara Hazar bermaksud kewaspadaan. Antara perkara yang wajib ada pada sesebuah geraka...
-
Mungkin ada yang pernah berkata, "Zaman sekarang susah nak cari orang yang jujur. Masing-masing akan berlumba mengejar dan menjaga kep...
-
Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palesti...
-
Bulan Ramadhan merupakan bulan yang dilipat gandakan segala ganjaran amalan, di tutup pintu neraka dan dibuka pintu syurga. DIjanjikan oleh ...
-
Ilham asal program ini ialah program MABIT - Malam Bina Iman Dan Taqwa, iaitu inspirasi daripada ibadah haji iaitu bermalam di Mina atau di...
No comments:
Post a Comment