Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, January 17, 2011

TGNA mencadangkan Pertemuan Antara Tokoh Pelbagai Agama.

Syabas diucapkan kepada YAB Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat atas cadangan beliau ingin mengadakan pertemuan dengan tokoh pelbagai agama. Pertemuan yang dicadangkan itu, susulan daripada ketegangan isu pekerja Muslim yang bekerja di premis-premis arak di Selangor. Terdahulu, YB Ronnie Liu membantah keputusan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya yang melarang umat Islam bekerja di premis-premis arak. (BACA DI SINI)


TGNA dalam kenyataannya kepada pemberita menyatakan bahawa beliau amat bersetuju dengan keputusan MPSJ dan pertemuan antara tokoh pelbagai agama ini bertujuan memberikan gambaran bahawa bukan hanya Agama Islam yang melarang penjualan arak, begitu juga judi dan pergaulan bebas. 

Pertemuan seumpama ini, selain dapat menyelesaikan salah faham terhadap agama, dapat mengukuhkan kembali kefahaman umat Islam khususnya terhadap Cara Hidup Islam, selain memberikan gambaran bahawa nilai-nilai yang dianjurkan oleh Islam adalah nilai-nilai sejagat yang juga diterima oleh semua agama di dunia. Atau dengan kata lain, hanya orang-orang yang tiada agama sahaja yang akan meluluskan lesen perjudian, memberikan lesen untuk premis hiburan, memberikan lesen untuk penjualan arak, lebih-lebih lagi mereka yang ingin mewujudkan hub hiburan di Malaysia. 

Selain itu, usaha ini perlu disambut baik oleh semua pihak kerana ia adalah usaha yang baik dan murni dalam membina jambatan merentasi perbezaan pandangan dan sempadan cara hidup agama masing masing. Sekurang-kurangnya, kita jelas mengenai kondisi rakan-rakan kita dari agama buddha mahupun hindu, dan mereka sendiri akan jelas dan faham kedudukan kita sebagai seorang muslim.

Perbezaan tidak semestinya mendatangkan kekeruhan, setidak-tidaknya kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, dan "Bagi kamu agama kamu, bagiku agama ku,"

p/s: letih bila memikirkan isu perbezaan dan perbandingan agama ini. Ditambah dengan kekurang-ajaran Kerajaan dalam memahami dan memahamkan rakyat mengenai isu ini, maka kita terus hidup selama 50 tahun merdeka dengan penuh syak dan prasangka. Salah satu bukti kekejaman UMNO-BN.

Monday, January 10, 2011

Khusrin??

Saya yakin, semua rakyat di Malaysia sudah sedia maklum bahawa mesej yang ingin disampaikan oleh UMNO-BN-APCO dalam isu perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiasuaha Kerajaan Negeri Selangor hanyalah mesej politik. Tiada lain, hanyalah politik dan kegilaan untuk mendapatkan kuasa. Sebagaimana peranan yang pernah dimainkan oleh Datuk Abdul Rahman Hashim untuk menggulingkan Kerajaan Islam Perak, maka begitu jugalah peranan yang akan dimainkan oleh Datuk Khusrin di Selangor. Kita semua jelas, bahkan pimpinan Negeri juga teramat jelas dan saya juga yakin malah percaya bahawa Kerajaan Negeri Selangor, bersama-sama seluruh rakyat Negeri Selangor sudah terlebih bersedia dengan segala kemungkinan tersebut.

Datuk Abdul Rahman Hashim, ketika menjadi SUK Negeri Perak, telah menjadi pintu masuk utama kepada campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran Negeri Perak di bawah pimpinan Dato' Seri Nizar Jamaluddin. Keengganan SUK dalam memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri telah menyebabkan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri menjadi tidak menentu, sehingga akhirnya menimbulkan perbalahan antara pihak Kerajaan Negeri dengan pihak Istana. Sekali lagi, langkah yang sama cuba diaturkan oleh Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor, Najib Altantuya, dan dengan bantuan media, langkah pertama ini hampir berjaya dilaksanakan.

Jika dilihat sepintas lalu, kronologi rampasan kuasa di Perak, sememangnya mempunyai rentetan yang hampir sama di Selangor, juga negeri-negeri yang pernah dipimpin oleh parti selain UMNO yang kemudiannya dirampas oleh UMNO-BN-APCO.

SUK sebenarnya memainkan peranan dalam mengepalai jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, iaitu dalam melaksanakan segala dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh sesebuah kerajaan itu sendiri. Dalam konteks Negeri Selangor, maka SUK bertanggungjawab penuh dalam melaksanakan segala arahan, polisi dan dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Atau dengan kata lain, berkhidmat untuk Menteri Besar dan barisan Exco Negeri Selangor. Maka, yang paling penting untuk dititikberatkan ialah kerjasama baik yang perlu ada antara SUK dan Menteri Besar. Membawa maksud, individu yang paling utama perlu diberikan hak untuk melantik SUK ialah bosnya sendiri iaitu Menteri Besar. 

Saya tidak berniat ingin merendahkan atau memandang rendah keupayaan Datuk Khusrin untuk bertindak secara profesional ketika memegang jawatan sebagai SUK. Apalagi, di dalam Islam, mengajar kita untuk menghormati yang tua. Datuk Khusrin, seorang yang sudah tua, boleh jadi usianya juga tidak akan tahan begitu lama, maka dia berhak untuk dihormati seadanya. Faktor amanah dan profesionalisme Khusrin, walaupun boleh dipersoalkan, ianya tetap bergantung kepada keputusan MB. Saya sendiri, lebih suka melantik pembantu yang boleh membantu saya, jika saya rasa kurang berkenan, maka pada bila-bila masa saya boleh menukar atau menggantikan pembantu tersebut melalui kaedah-kaedah yang sepatutnya. Untuk hal ini, tidak perlu saya jelaskan pun, anak saudara yang berumur 5 tahun itu juga akan mengerti.

Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri telahpun menerima cadangan tiga nama yang sesuai untuk jawatan SUK tersebut. Jelas sekali, nama Khusrin atau yang hampir dengan nama Khusrin, tidak ada dalam senarai. Pemilihan dan pencalonan dibuat berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan yang relevan dengan perlantikan SUK. Misalnya pengalaman dan rekod kerja, prestasi dan kelayakan akademik, malah segala faktor akan dipertimbangkan, yang akhirnya, tapisan terakhir akan dibuat oleh Menteri Besar sendiri. Sudah pasti, MB akan memilih individu yang layak untuk memudahkan kerja beliau, dan individu yang selaras dengan misi dan visi Kerajaan Negeri pimpinan beliau, barulah kehendak dan aspirasi Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan baik oleh jentera pentadbiran dan pengurusan Negeri Selangor.

Selanjutnya, faktor campur tangan Istana dalam isu perlantikan Khusrin. Jelas sekali, seperti di Perak, pihak Istana sama sekali tidak sepatutnya dilibatkan dalam isu ini. Malangnya, media UMNO-BN-APCO membantu konspirasi jahat Najib dan konco-konconya mengheret pihak Istana untuk sama-sama bertanggungjawab dalam isu ini. Malangnya, rakyat terus mempercayai media-media tali barut UMNO-BN-APCO dan pihak Istana sekali lagi terjebak dan seolah-olah dilihat bercanggah dengan Kerajaan Negeri. Pihak Istana hanya meluluskan, sedangkan, yang bersalah dalam isu ini ialah siapa yang sebenarnya mencadangkan nama Khusrin? Iaitu, Sidek Hassan atau jembalang yang mendalanginya.

Malangnya, politik UMNO yang sempit sedaya-upaya menjadikan Istana sebagai perisai, atas nama ketuanan Melayu dan kedaulatan Sultan. Kononnya, mereka bersama dengan keputusan Sultan, sedang yang "mendesak" tindakan Sultan adalah mereka sendiri. Baginda Sultan, sendiri menegaskan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa dalam menentukan SUK, kerana kuasa perlantikan itu telah "dirampas" oleh UMNO pada tahun 1993.

Rakyat yang terlepas daripada mendapatkan maklumat akan keliru dengan kenyataan yang diberikan oleh UMNO-BN-APCO, MB Selangor dan juga Sultan kerana bahan yang disajikan oleh media tali-barut UMNO-BN-APCO adalah penipuan 197%.

Ada juga yang memberikan pandangan, cukuplah dengan politicking, sebaliknya bekerjalah secara profesional. Untuk hal ini, tidak perlu dijelaskan pun, anak saya yang belum lahir pun akan mengerti. Bahkan Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh jentera pentadbiran dan pengurusan akan terus menjalankan peranan dan tugasan masing-masing. Hari ini, mereka masih bekerja, tidak bercuti dan sibuk seperti biasa. Tetapi, dalam prinsip dan rukun demokrasi, menjadi tanggungjawab kerajaan dan setiap individu dalam negeri dan negara memastikan lunas undang-undang yang selama ini menjaga dan memelihara kedaulatan negara dipelihara dan didokong sepenuhnya.

Sekiranya undang-undang rimba yang digunakan, maka kita sudah tiada tempat lagi di Malaysia ini, kerana Singa dan harimau, serta segala binatang-binatang yang akan bermaharajalela tidak diciptakan oleh Allah dengan sifat peri kemanusiaan. Binatang-binatang tidak diajar untuk menghormati binatang-binatang yang lain, apalagi manusia. Maka, sebelum undang-undang rimba ini berkuatkuasa, maka dengan akal yang bijaksana yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala ini, lakukanlah perubahan segera dan bertindaklah seperti seorang manusia. Pesanan khas daripada saya, untuk Najib, isterinya yang tercinta, serta seluruh tali-barut dan konco-konconya yang hampir hilang taraf manusia.


 


Saya berdoa agar ianya menjadi...

Mark Zuckerberg dalam satu keterangan menjelaskan bahawa, laman Facebook yang popular itu akan ditutup pada 15 Mac depan. Menurutnya, tanpa Facebook orang ramai akan kembali keluar untuk bertemu dengan rakan-rakan dan ianya adalah bagus baginya. "Saya hanya mahukan dunia saya kembali," jelasnya lagi.


Sudah tentu, ianya sangat bagus bagi saya. Saya berdoa agar ianya menjadi kerana saya juga tidak suka pada Facebook. Ramai yang mempelawa saya untuk kembali menggunakan Facebook. Saya akui, semasa menggunakan Facebook, saya dapat mengikuti perkembangan rakan-rakan, juga perkara yang berlaku setempat dan dunia. Tapi, sekali lagi, kerancakan di laman Facebook, anehnya tidak serancak di laman dunia. Apa yang berlaku di dalam Facebook, kebanyakannya terhenti di sana, dan penggunanya asyik dengan perkara yang berlaku di dalam Facebook hingga hilang jejaknya di dunia.


Jika benar apa yang dikatakan @ dilaporkan ini, maka pandangan saya dan Mark Zuckerberg adalah sama. :-) Kembalilah ke bumi!! Ramai juga yang bersetuju, baca di sini

Mungkin berita ini hanyalah sekadar "propaganda" yang dilancarkan oleh Mark Zuckerberg. Jelas sekali, jika dia berkehendak kepada keuntungan, isu penutupan Facebook ini akan mencetuskan minat dan tanda-tanya di kalangan pengguna untuk mencari kaedah untuk mengelakkan ianya (penutupan) daripada berlaku. Mungkin sekali, jawapan akhirnya ialah menjadikan laman ini sebagai laman berbayar atau sebagainya. Ramalan dangkal saya, Facebook ini akan terus menjadi tumpuan dan fokus dunia.

Selain itu, saya juga bimbang faktor "privasi" dan "maruah" seorang muslim dan muslimah dalam penggunaan Facebook ini. Tahniah buat mereka yang berjaya menjaga maruah masing-masing, walaupun sehingga ke saat akaun saya dinyahaktifkan, tiada seorang pun yang saya lihat, dapat menjaga "maruah" dan "privasi" mereka dengan baik. secara sengaja atau tidak sengaja, mereka akan mendedahkan diri mereka kepada bahaya fitnah. Apapun niat baik mereka yang ingin memanfaatkan dan menjadi Facebook in bermanfaat harus dipuji, teruskan usaha, semoga berjaya. Tetapi, berawaslah, bezakan antara kaca dan permata! Saya risau, permata yang dicari rupanya kaca yang tak bererti.

Kepada mereka yang sudah mula ragu dengan kewajaran Facebook, saya ingin mengajak untuk bersama-sama saya meninggalkan Facebook ini. Percayalah, hidup anda sebenarnya akan lebih bermakna tanpa Facebook. Anda mampu mengubahnya.. :-)

Friday, January 7, 2011

Maaf kerana menyebabkan anda membuat dosa!

Ribuan kemaafan saya pohonkan kepada sekalian yang pernah melawat blog ini dari Hari Selasa, 4 Januari 2011, terutamanya kepada semua lelaki-lelaki Muslim. Saya baru tersedar, rupanya tanpa sengaja saya mempamerkan gambar wanita yang membuka aurat (isteri Perdana Menteri). Sekali lagi, saya mohon maaf dan bersama-samalah kita pastikan Negara kita ini aman dari kemunculan wanita yang membuka aurat di khalayak ramai, di dalam blog-blog, facebook2, segala macam laman yang ada, apalagi di kaca televisyen, menunjukkan lagaknya menjadi wanita no 1 negara. Isk3...

Agama dalam bonet kereta.

Menarik KelantanTV, menyiarkan ceramah agama dengan kupasan-kupasan isu-isu semasa yang disampaikan oleh Pimpinan Kerajaan Negeri. Baru ni, dengar ceramah Yb Dato' Mohd Amar Nik Abdullah. Antara yang disebut, mempertikaikan rungutan yang dibuat oleh UMNO melalui medianya, terhadap perbuatan YB Pakatan Rakyat yang membuat SenamRobik di kawasan tempat letak kereta berhampiran sebuah masjid. 


Beliau mengulas, inilah jahiliyyah. Kerana agama diletakkan di dalam bonet kereta. Menggunakan agama hanya ketika perlu dan mahu. Bila tiada kepentingan, maka agama disimpan kembali ke dalam bonet kereta. Beliau sendiri mengakui, sekiranya beliau berada di  tempat kejadian, beliau sendiri akan membuat teguran. Tetapi, padan dengan status YB tersebut yang bukan beragama Islam, maka teguran tetap perlu diberikan.

Namun, yang peliknya ialah, kenapa media dan UMNO sendiri sehingga ke hari ini, tidak berani membuat teguran kepada sesetengah pemimpin UMNO yang tidak berakhlak. Bersalaman dengan yang bukan muhrim sehingga berlaga pipi. Usah cerita bab aurat, dari dahulu sehingga sekarang begitulah keadaan aurat mereka.Semoga Allah memberi hidayah kepada kita dan mereka.

Begitu juga halnya dengan kenaikan harga minyak. Betul, harga minyak di pasaran dunia telah meningkat dan mencapai harga yang tertinggi. Namun, sebagai negara pengeluar minyak kita tidak sepatutnya terjejas kerana kita adalah pengeluar minyak dan minyak sentiasa cukup di negara kita. Aneh, kerana kita terlalu mengikut telunjuk barat khususnya Amerika. Tambahan pula, rakyat dibiarkan menanggung kesan akibat daripada kenaikan harga minyak, sedangkan kerajaan perlu mempertimbangkan untuk mengurangkan "kemewahan" sesetengah pemimpin yang kerap membazirkan duit rakyat dan juga mengalihkan subsidi yang diberikan kepada syarikat-syarikat tertentu dan mengutamakan pemberian subsidi kepada rakyat.

Bila berlakunya kemerosotan ekonomi, kerajaan dilihat melebihkan syarikat dan agensi sedang rakyat dibiarkan menanggung kesannya. Rakyat diajar untuk berjimat, sedang isternya sendiri membazir tidak tahu hala. Inilah antara bentuk jahiliyyah yang perlu ditangani. 

Syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Kelantan atas inisiatif penerangan yang cukup menarik dan berkesan. Memang, maklumat adalah kunci penting kepada perubahan, dan maklumat juga yang akan memastikan perubahan itu bertahan untuk tempoh yang lama.


Wednesday, January 5, 2011

Telah datang kepada kita seorang rasul...

Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." At-Taubah, 9 : 128,129.


Surah At-Taubah terkenal sebagai surah yang paling banyak menekankan soal politik dan pentadbiran Islam. Surah yang diturunkan di Madinah ini memuatkan begitu banyak perintah yang Allah Ta'ala berikan kepada Nabi dalam urusan pentadbiran. Di awalnya, Allah Ta'ala memerintahkan Nabi Muhammad SAW memberikan kata dua kepada golongan musyrik, agar meninggalkan kota Mekah selepas peristiwa Fathul Makkah. Secara terang-terangan memberikan tempoh 4 bulan kepada kafir musyrik untuk meninggalkan kota Mekah.

Perintah memerangi orang-orang Kafir juga dimuatkan di bahagian akhir surah ini, iaitu perintah Allah Ta'ala untuk memerangi orang kafir sehingga timbulnya perasaan gerun dan hormat mereka ke atas umat Islam, ketika itu di pimpin sendiri oleh Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.

Menariknya dua ayat terakhir surah ini, mengandungi pelbagai peringatan yang cukup bernas kepada kita sebagai hamba Allah Ta'ala,  umat Nabi Muhammad yang juga memegang amanah sebagai khalifah dan penyeru kepada Cara Hidup Islam di atas muka bumi ini.

1. Dimulakan ayat ini dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad diutuskan kepada kaumnya sendiri. Benar, Nabi merupakan keturunan arab Quraisy, dan Nabi menerima tentangan yang paling hebat daripada kaum musyrikin Quraisy, malah ahli keluarganya sendiri. RasuluLlah SAW juga merupakan seorang manusia yang sama seperti kita, Baginda makan, minum, kahwin, mengalami luka, dan ketika tiba ajalnya, Baginda wafat meninggalkan kita menemui Tuhan 'Azzawajalla.



Sifat sepunya yang ditonjolkan, manusia dan kaum arab, menjadi dalil yang jelas bahawa kita mampu dan perlu mencontohi Nabi Muhammad SAW. Akhlak dan karakter yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW sememangnya tiada bandingan walau dari sudut mana pun kita memandang. Namun bukan kesempurnaan itu yang kita kejar, tetapi kembali merintis jalan yang ditinggalkannya itu, semoga menjadi hamba yang paling hampir kepada hamba yang paling hampir dengan Tuhannya.

2. Sifat empati dan simpati yang ada  pada Nabi Muhammad SAW ke atas umatnya. Baginda sedar dan jelas mengenai keadaan kita, juga keadaan para Sahabat RidhuanulLlah 'Alaihim Ajmain, yang menderita kerana mempertahankan Islam. Baginda sedih dengan keadaan umatnya di akhir Zaman, juga mereka yang diseksa dan akan diseksa oleh api neraka kelak. Empati Baginda, bukan pada nasib umatnya di dunia. Jika Melayu Islam di Malaysia mundur, ianya belum tentu menarik minat Nabi, tetapi jika Melayu Islam di Malaysia kufur, itulah yang sebenarnya yang menjadi kerisauan Nabi Muhammad SAW.

Menyedari hakikat ini, maka kita perlu sedar betapa kasih dan sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada kita. Maka kerana kasih dan sayangnya kita kepada Nabi Muhammad SAW, maka kita perlu mengasihi diri sendiri dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Juga mengasihi umat Nabi Muhammad SAW. Perlu ada sedikit perasaan risau di dalam hati dan fikiran kita mengenai masalah umat. Tahniah bagi mereka yang begitu merisaukan nasib Umat Melayu di Malaysia, namun cubalah pandang kita semuanya adalah manusia dari keturunan yang sama, punya hak antara satu sama lain. Bak kata Maher Zain, kita tetap akan berjiran kerana bumi ini kita diami bersama, tak boleh sembunyi dan tak boleh nafi. 

3. Kerisauan tentang umat yang dilahirkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah kerana betapa inginnya Baginda SAW melihat umatnya beriman. Kesakitan yang dirasai oleh Nabi tidak terbanding dengan kesakitan yang dirasainya bila melihat umatnya berada di dalam kekufuran. Malah seluruh kehidupan Baginda dikorbankan untuk berjuang menegakkan kalimah Allah Ta'ala di setiap pelusuk dunia dan di dalam setiap jiwa manusia yang hidup di zamannya sehinggalah ke zaman sekarang. Nikmat Iman dan Islam yang ada pada kita, adalah hasil titik peluh, usaha dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW. 

4. Disebabkan kerisauan dan keinginannya yang tinggi mahukan keimanan untuk umatnya, maka Nabi Muhammad SAW sentiasa bersikap lemah lembut, pengasih dan pemaaf. Tiada manusia yang lebih tegas daripada Nabi Muhammad SAW, dalam masa yang sama tiada manusia yang dapat menandingi sifat kasih dan pemaaf yang ada pada Nabi, terutama sifat kasih dan sayangnya Nabi kepada orang-orang yang Beriman. Nabi Muhammad SAW menyifatkan para Sahabat ibarat bintang di langit. Bintang yang menerangi alam dan menjadi petunjuk mencari jalan kehidupan. 

Kasih dan sayangnya kepada para Sahabat tidak akan dapat ditandingi, sehingga menyebabkan para Sahabat juga begitu kasih dan sayang terhadap Nabi Muhammad SAW. Para Sahabat R.A. sanggup mengorbankan harta dan jiwa untuk mempertahankan Nabi Muhammad SAW. Ka'ab Bin Malik, kisahnya termaktub di dalam surah At-Taubah ini, menceritakan betapa dia kesal di atas perbuatannya, sekalipun kesalahan yang dia lakukan hanyalah lewat ke medan perang. Namun, demi kasih dan sayangnya ke atas Nabi Muhammad SAW dan perjuangan Islam, dia sanggup dipulaukan oleh orang-orang Islam. Sehingga pada suatu ketika, Raja Parsi menawarkan kerjasama dan pembelaan, dia menolak kerana kesetiaan dan kukuhnya ikatan Iman dan Islam di dalam hatinya.

Sehingga Allah Ta'ala sendiri yang meleraikan hukuman ke atasnya, maka seluruh kaum muslimin termasuk Nabi Muhammad SAW bergembira dan kembali memeluk erat Ka'ab tanda kasih dan kuatnya ikatan ukhuwah yang terjalin antara mereka. Dengan penuh sedar, bahawa hukuman dan denda itu sebenarnya adalah sangat baik untuk sahabatnya, dan mereka masing-masing menanti dengan penuh harapan. Indahnya Ukhuwah kerana Allah.

4. Allah Ta'ala mendidik Nabi, walaupun betapa kuat mana sekalipun keinginan Nabi Muhammad untuk membawa perubahan dan kebaikan kepada umatnya, setinggi mana pun kasih dan sayang yang telah dicurahkan oleh Nabi Muhammad SAW, maka sekiranya orang-orang musyrik dan munafiq itu berpaling, maka katakanlah, "Cukuplah Allah Bagiku". Mengakui, bahawa kita tidaklah hebat, dan hanya bergantung kepada kehebatan dan kekuasaan Allah yang menentukan segalanya. Dan hanya Allah sahaja tempat kita menuju, merayu dan mengadu. Tiada tuhan yang layak disembah, dipuji, dipuja, melainkan Allah, Tuhan yang memiliki arasy yang agung.

Saya berharap saya juga begitu, berjuang untuk mati, kembali menemui rabbi. Ingatan dan sandaran yang tertinggi dalam hidup saya, hanyalah DIA YANG MAHA ESA...

Kita perlu berusaha, sedaya upaya kita untuk melakukan pencerahan dalam diri dan masyarakat. Mereka sebenarnya sangat memerlukan kita. Bahkan kita juga hakikatnya memerlukan mereka kerana mereka dan kita menghuni bumi dan menghirup udara yang sama. Sejauh mana pun kita berlari, setinggi mana pun kita mendaki, bumi ini tetap bumi Tuhan, kita pijak bersama-sama manusia lainnya.

Maka, kita dan mereka ada tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh Allah Ta'ala, menjadi hamba, khalifah dan penyeru ke jalanNya.

Ust Abu Bakar Chik, pernah mengingatkan dalam suatu ucapan beliau, di dalam Al-Quran, ada dua tempat Allah Ta'ala sebut perihal orang-orang yang dikasihiNya. Pertama di dalam surah Ali Imran, 3:31, "Katakanlah, "Jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih."

Makna ayat ini umum, mengikuti Nabi Muhammad SAW boleh difahami secara luas. Namun, ada satu lagi ayat yang Allah Ta'ala terangkan secara spesifik ciri-ciri orang yang dikasihNya, iaitu di dalam Surah As-Saf, 61:4, "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang di jalanNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."

Maka, ada jalan yang Allah Ta'ala jelaskan kepada kita bagaimana ingin meraih cintaNya, iaitulah berjuang di jalanNya di dalam Jemaah, yang mempunyai tanzim yang munazzamah (Organisasi dan perancangan yang tersusun). Berada di dalam jemaah, mengaku sebagai ahli sahaja tidak cukup, maka kita perlu menggerakkan segala keupayaan, tenaga dan kemahiran yang ada untuk merebut kasih dan redhaNya. Kita tidak akan sewenang-wenangnya dibiarkan mengaku sebagai seorang yang beriman dan menyerahkan diri kepada Allah Ta'ala, tanpa terlebih dahulu dicabar iman dan islam. Jika kita berpeluk tubuh, maka kita gagal dalam ujian yang pertama.

Dalam persoalan usaha ini pula, bukan soal kita sampai atau tidak ke puncak yang kita daki, tetapi pendakian itulah yang akan dilihat oleh Allah Ta'ala. Di dalam surah At-Taubah, 9:105, Allah mengingatkan,

"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Ber'amallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".

Ya, kita buat dan lakukan sahaja apa yang telah diperintahkan, Allah Ta'ala yang akan menilai dan melihatnya.

Benarlah kata-kata Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agong.

Tuesday, January 4, 2011

Apakah yang UMNO cuba buktikan??

Apakah sebenarnya yang UMNO cuba buktikan ketika mereka melemparkan pelbagai tuduhan kepada wakil rakyat DAP mahupun PKR mengenai segala salah laku peribadi dan kepimpinan yang ada? YB Teo Nie Ching dipersoalkan ketika menghadiri program senamrobik. Mungkinkah mereka berniat untuk berdakwah dan menyedarkan masyarakat betapa Islam itu, syariatnya hadir untuk memelihara? Mungkinkah mereka melakukan demikian kerana ingin memelihara kesucian Masjid, surau, dan kehormatan umat Islam di Malaysia.

Jika benar, maka tahniah diucapkan kepada UMNO-BN-APCO di atas usaha murni kalian. Sebagai seorang muslim, saya menyambut baik tegurani itu dan memang ada baiknya teguran tersebut, apalagi teguran adalah sangat bermanfaat bagi manusia yang berakal lebih-lebih lagi yang beriman.

Saya setuju, bahawa syariat Islam sebenarnya mampu dan wajar dilaksanakan oleh semua golongan di setiap lapisan masyarakat, baik lelaki mahupun perempuan, tidak dibatasi oleh warna kulit, umur, budaya mahupun agama. Kerana Islam itu adalah cara hidup yang fitrah. Setiap manusia memerlukan suatu undang-undang yang mampu memelihara kebajikan dan keselamatan mereka. Kebajikan dan keselamatan yang merangkumi pembelaan ke atas akal, nyawa, maruah, kesihatan fizikal tubuh badan, harta, dan juga nyawa. 

Syariat Islam, selain daripada hukum Hudud terdapat banyak lagi undang-undang yang mampu membela kesemua keperluan asas manusia seperti yang dinyatakan di atas. Tidak syak lagi, teguran UMNO-BN-APCO itu boleh(jika mahu) untuk disifatkan sebagai teguran yang baik dan perlu dilakukan jika syariat Islam ini yang dijadikan asas.

Namun, UMNO-BN-APCO sebenarnya layak juga mampu melakukan lebih dari sekadar itu. Mereka yang memegang amanah dan tanggungjawab mengawal dan menetapkan segala perkara yang berlaku di dalam Malaysia. Aneh, jika mereka mengeluarkan "teguran" kepada YB Teo, sedang dalam masa yang sama berlaku begitu banyak ketirisan maksiat dari segenap sudut kehidupan di Malaysia. Saya tidak menyanggah apa yang dilakukan, barangkali ada benarnya dakwaan atau teguran yang dilakukan oleh UMNO-BN-APCO itu, teruskan usaha moga-moga diberkati. Malah, untuk menjadi sebuah negara yang maju dan bertamadun, kita perlu bebas mengamalkan aktiviti "check and balance". Walaupun logiknya, kerajaan tidak sepatutnya berada di posisi "check and balance" ini kerana merekalah sebenarnya yang menjadi pemegang amanah dan melaksnakan segala keputusan.

Media yang disajikan kepada rakyat, telah berulang kali ditegur oleh begitu banyak pihak, agar dikurangkan segala bentuk hiburan yang melalaikan. Namun, penguatkuasaan "klasifikasi" penyiaran dilihat seolah-olah melepaskan batok di tangga. Tiada pengawasan dan penapisan kecuali dalam perkara-perkara yang melibatkan hal politik dan kepentingan kerajaan. Inilah perkara yang sangat dibimbangi oleh rakyat. Bahawa Kerajaan Malaysia, di bawah pimpinan UMNO-BN-APCO hanya memberikan perhatian terhadap isu-isu yang boleh memberikan mereka kelebihan atau menjejaskan kedudukan mereka sahaja. Semuanya berkisar mengenai kedudukan dan kekuasaan mereka. Tanpa terlebih dahulu memikirkan logik atau rasional di sebalik setiap tindakan. 
Sebab itu, kalau kita perhatikan di Malaysia ini, hanya hujan sahaja yang turun, yang lain semuanya naik. Tak lama lagi minyak masak. Walaupun azam tahun baru ini ialah mengurangkan makan di luar, namun memasak di rumah juga memerlukan minyak. Mungkin saya perlu tukarkan azam, mengurangkan makan benda-benda yang berminyak. Jawabnya, tiada lagi tempe goreng.

Politik, bukan semata-mata kuasa. Ianya sepatutnya menjadi seni menyelesaikan masalah. Masalah akan berlaku sekiranya politik ini tidak digunakan untuk menyelesaikan masalah.

Perlukah kita buktikan yang kita ini berkuasa? Perlukah sedaya-upaya kita mendapatkan, mengekalkan kuasa? Apakah sebenarnya yang perlu kita lakukan sekiranya kita berkuasa? Berkuasakah kita sekiranya yang kita lakukan hanyalah mengekalkan kuasa? Kuasa membawa kepada kegilaan dan kehancuran, kuasa yang mutlak akan membawa kepada kemusnahan dan kehancuran yang mutlak. "POWER IS CORUPT, ABSOLUT POWER CORUPT ABSOLUTELY".

Islam mengajar dan mendidik kita untuk memimpin menggunakan pengaruh, bukan menggunakan kuasa. Malah kuasa itu sebenarnya hanyalah amanah dan tanggungjawab yang wajib kita tunaikan. 

Sedih bila melihat kedangkalan UMNO-BN-APCO dalam mempertahankan "amanah dan tanggungjawab" mereka. Tetapi yang lebih menyedihkan ialah rakyat terus menerus berada dalam keadaan tidak tahu serta tidak sedarkan diri, akibatnya mereka hidup-hidup ditipu oleh UMNO yang mati-mati mereka percaya.

Saya berpesan kepada diri saya, teman-teman gerakan, teman-teman Pakatan Rakyat(jika ada yang membaca), UMNO-BN-APCO, dan sesiapa sahaja yang membaca entri kali ini, bahawa tidak ada benda sekecil zarah pun yang menjadi milik mutlak kita di dunia. Sedang tahi hidung yang melekat itupun tidak mampu kita miliki, inikan pula harta dan kekayaan dunia, yang jika kita miliki semuanya perlu dijaga dan diagihkan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi jika kita memegang amanah kepimpinan dalam negara, negeri, masyarakat mahupun sekecil-kecil keluarga. Semuanya akan dipersoalkan. 

Beban negara pada ketika ini, selain daripada kekurangan dan kelemahan pada pentadbiran dan kepimpinan UMNO-BN-APCO, yang paling utama pada ketika ini ialah kefahaman dan kesedaran rakyat. Rakyat yang maju dan bertamadun, ialah rakyat yang bermaklumat. Suatu ketika dulu, ketika berpencak di perbukitan ilmu di Bangi, persoalan inilah yang sering menjadi halangan kepada setiap perubahan yang ingin dilakukan. Perubahan yang hakikatnya, adalah sangat diperlukan oleh setiap jiwa yang berada di situ. Namun, disebabkan oleh pandangan dikelabui tipuan dan hasutan, maka maklumat gagal diberikan dan disampaikan dengan baik.

PENCERAHAN TERLETAK DI ATAS BAHU KITA!!!

Antara Yang Menarik