Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman. Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka katakanlah (wahai Muhammad): "cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepadaNya aku berserah diri, dan Dia lah yang mempunyai Arasy yang besar." At-Taubah, 9 : 128,129.
Surah At-Taubah terkenal sebagai surah yang paling banyak menekankan soal politik dan pentadbiran Islam. Surah yang diturunkan di Madinah ini memuatkan begitu banyak perintah yang Allah Ta'ala berikan kepada Nabi dalam urusan pentadbiran. Di awalnya, Allah Ta'ala memerintahkan Nabi Muhammad SAW memberikan kata dua kepada golongan musyrik, agar meninggalkan kota Mekah selepas peristiwa Fathul Makkah. Secara terang-terangan memberikan tempoh 4 bulan kepada kafir musyrik untuk meninggalkan kota Mekah.
Perintah memerangi orang-orang Kafir juga dimuatkan di bahagian akhir surah ini, iaitu perintah Allah Ta'ala untuk memerangi orang kafir sehingga timbulnya perasaan gerun dan hormat mereka ke atas umat Islam, ketika itu di pimpin sendiri oleh Junjungan Besar, Nabi Muhammad SAW.
Menariknya dua ayat terakhir surah ini, mengandungi pelbagai peringatan yang cukup bernas kepada kita sebagai hamba Allah Ta'ala, umat Nabi Muhammad yang juga memegang amanah sebagai khalifah dan penyeru kepada Cara Hidup Islam di atas muka bumi ini.
1. Dimulakan ayat ini dengan menyatakan bahawa Nabi Muhammad diutuskan kepada kaumnya sendiri. Benar, Nabi merupakan keturunan arab Quraisy, dan Nabi menerima tentangan yang paling hebat daripada kaum musyrikin Quraisy, malah ahli keluarganya sendiri. RasuluLlah SAW juga merupakan seorang manusia yang sama seperti kita, Baginda makan, minum, kahwin, mengalami luka, dan ketika tiba ajalnya, Baginda wafat meninggalkan kita menemui Tuhan 'Azzawajalla.
Sifat sepunya yang ditonjolkan, manusia dan kaum arab, menjadi dalil yang jelas bahawa kita mampu dan perlu mencontohi Nabi Muhammad SAW. Akhlak dan karakter yang dimiliki oleh Nabi Muhammad SAW sememangnya tiada bandingan walau dari sudut mana pun kita memandang. Namun bukan kesempurnaan itu yang kita kejar, tetapi kembali merintis jalan yang ditinggalkannya itu, semoga menjadi hamba yang paling hampir kepada hamba yang paling hampir dengan Tuhannya.
2. Sifat empati dan simpati yang ada pada Nabi Muhammad SAW ke atas umatnya. Baginda sedar dan jelas mengenai keadaan kita, juga keadaan para Sahabat RidhuanulLlah 'Alaihim Ajmain, yang menderita kerana mempertahankan Islam. Baginda sedih dengan keadaan umatnya di akhir Zaman, juga mereka yang diseksa dan akan diseksa oleh api neraka kelak. Empati Baginda, bukan pada nasib umatnya di dunia. Jika Melayu Islam di Malaysia mundur, ianya belum tentu menarik minat Nabi, tetapi jika Melayu Islam di Malaysia kufur, itulah yang sebenarnya yang menjadi kerisauan Nabi Muhammad SAW.
Menyedari hakikat ini, maka kita perlu sedar betapa kasih dan sayangnya Nabi Muhammad SAW kepada kita. Maka kerana kasih dan sayangnya kita kepada Nabi Muhammad SAW, maka kita perlu mengasihi diri sendiri dengan melaksanakan segala suruhan dan meninggalkan segala larangan. Juga mengasihi umat Nabi Muhammad SAW. Perlu ada sedikit perasaan risau di dalam hati dan fikiran kita mengenai masalah umat. Tahniah bagi mereka yang begitu merisaukan nasib Umat Melayu di Malaysia, namun cubalah pandang kita semuanya adalah manusia dari keturunan yang sama, punya hak antara satu sama lain. Bak kata Maher Zain, kita tetap akan berjiran kerana bumi ini kita diami bersama, tak boleh sembunyi dan tak boleh nafi.
3. Kerisauan tentang umat yang dilahirkan oleh Nabi Muhammad SAW ialah kerana betapa inginnya Baginda SAW melihat umatnya beriman. Kesakitan yang dirasai oleh Nabi tidak terbanding dengan kesakitan yang dirasainya bila melihat umatnya berada di dalam kekufuran. Malah seluruh kehidupan Baginda dikorbankan untuk berjuang menegakkan kalimah Allah Ta'ala di setiap pelusuk dunia dan di dalam setiap jiwa manusia yang hidup di zamannya sehinggalah ke zaman sekarang. Nikmat Iman dan Islam yang ada pada kita, adalah hasil titik peluh, usaha dan pengorbanan Nabi Muhammad SAW.
4. Disebabkan kerisauan dan keinginannya yang tinggi mahukan keimanan untuk umatnya, maka Nabi Muhammad SAW sentiasa bersikap lemah lembut, pengasih dan pemaaf. Tiada manusia yang lebih tegas daripada Nabi Muhammad SAW, dalam masa yang sama tiada manusia yang dapat menandingi sifat kasih dan pemaaf yang ada pada Nabi, terutama sifat kasih dan sayangnya Nabi kepada orang-orang yang Beriman. Nabi Muhammad SAW menyifatkan para Sahabat ibarat bintang di langit. Bintang yang menerangi alam dan menjadi petunjuk mencari jalan kehidupan.
Kasih dan sayangnya kepada para Sahabat tidak akan dapat ditandingi, sehingga menyebabkan para Sahabat juga begitu kasih dan sayang terhadap Nabi Muhammad SAW. Para Sahabat R.A. sanggup mengorbankan harta dan jiwa untuk mempertahankan Nabi Muhammad SAW. Ka'ab Bin Malik, kisahnya termaktub di dalam surah At-Taubah ini, menceritakan betapa dia kesal di atas perbuatannya, sekalipun kesalahan yang dia lakukan hanyalah lewat ke medan perang. Namun, demi kasih dan sayangnya ke atas Nabi Muhammad SAW dan perjuangan Islam, dia sanggup dipulaukan oleh orang-orang Islam. Sehingga pada suatu ketika, Raja Parsi menawarkan kerjasama dan pembelaan, dia menolak kerana kesetiaan dan kukuhnya ikatan Iman dan Islam di dalam hatinya.
Sehingga Allah Ta'ala sendiri yang meleraikan hukuman ke atasnya, maka seluruh kaum muslimin termasuk Nabi Muhammad SAW bergembira dan kembali memeluk erat Ka'ab tanda kasih dan kuatnya ikatan ukhuwah yang terjalin antara mereka. Dengan penuh sedar, bahawa hukuman dan denda itu sebenarnya adalah sangat baik untuk sahabatnya, dan mereka masing-masing menanti dengan penuh harapan. Indahnya Ukhuwah kerana Allah.
4. Allah Ta'ala mendidik Nabi, walaupun betapa kuat mana sekalipun keinginan Nabi Muhammad untuk membawa perubahan dan kebaikan kepada umatnya, setinggi mana pun kasih dan sayang yang telah dicurahkan oleh Nabi Muhammad SAW, maka sekiranya orang-orang musyrik dan munafiq itu berpaling, maka katakanlah, "Cukuplah Allah Bagiku". Mengakui, bahawa kita tidaklah hebat, dan hanya bergantung kepada kehebatan dan kekuasaan Allah yang menentukan segalanya. Dan hanya Allah sahaja tempat kita menuju, merayu dan mengadu. Tiada tuhan yang layak disembah, dipuji, dipuja, melainkan Allah, Tuhan yang memiliki arasy yang agung.
Saya berharap saya juga begitu, berjuang untuk mati, kembali menemui rabbi. Ingatan dan sandaran yang tertinggi dalam hidup saya, hanyalah DIA YANG MAHA ESA...
Kita perlu berusaha, sedaya upaya kita untuk melakukan pencerahan dalam diri dan masyarakat. Mereka sebenarnya sangat memerlukan kita. Bahkan kita juga hakikatnya memerlukan mereka kerana mereka dan kita menghuni bumi dan menghirup udara yang sama. Sejauh mana pun kita berlari, setinggi mana pun kita mendaki, bumi ini tetap bumi Tuhan, kita pijak bersama-sama manusia lainnya.
Maka, kita dan mereka ada tanggungjawab besar yang diamanahkan oleh Allah Ta'ala, menjadi hamba, khalifah dan penyeru ke jalanNya.
Ust Abu Bakar Chik, pernah mengingatkan dalam suatu ucapan beliau, di dalam Al-Quran, ada dua tempat Allah Ta'ala sebut perihal orang-orang yang dikasihiNya. Pertama di dalam surah Ali Imran, 3:31, "Katakanlah, "Jika kamu mencintai Allah, ikutlah aku, dan Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu atas kesalahan-kesalahan kamu; Allah Pengampun, Pengasih."
Makna ayat ini umum, mengikuti Nabi Muhammad SAW boleh difahami secara luas. Namun, ada satu lagi ayat yang Allah Ta'ala terangkan secara spesifik ciri-ciri orang yang dikasihNya, iaitu di dalam Surah As-Saf, 61:4, "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang di jalanNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh."
Maka, ada jalan yang Allah Ta'ala jelaskan kepada kita bagaimana ingin meraih cintaNya, iaitulah berjuang di jalanNya di dalam Jemaah, yang mempunyai tanzim yang munazzamah (Organisasi dan perancangan yang tersusun). Berada di dalam jemaah, mengaku sebagai ahli sahaja tidak cukup, maka kita perlu menggerakkan segala keupayaan, tenaga dan kemahiran yang ada untuk merebut kasih dan redhaNya. Kita tidak akan sewenang-wenangnya dibiarkan mengaku sebagai seorang yang beriman dan menyerahkan diri kepada Allah Ta'ala, tanpa terlebih dahulu dicabar iman dan islam. Jika kita berpeluk tubuh, maka kita gagal dalam ujian yang pertama.
Dalam persoalan usaha ini pula, bukan soal kita sampai atau tidak ke puncak yang kita daki, tetapi pendakian itulah yang akan dilihat oleh Allah Ta'ala. Di dalam surah At-Taubah, 9:105, Allah mengingatkan,
"Dan katakanlah (wahai Muhammad): Ber'amallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan RasulNya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) Yang Mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Ia menerangkan kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan".
Ya, kita buat dan lakukan sahaja apa yang telah diperintahkan, Allah Ta'ala yang akan menilai dan melihatnya.
Benarlah kata-kata Allah Yang Maha Tinggi dan Maha Agong.
No comments:
Post a Comment