Saya yakin, semua rakyat di Malaysia sudah sedia maklum bahawa mesej yang ingin disampaikan oleh UMNO-BN-APCO dalam isu perlantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai Setiasuaha Kerajaan Negeri Selangor hanyalah mesej politik. Tiada lain, hanyalah politik dan kegilaan untuk mendapatkan kuasa. Sebagaimana peranan yang pernah dimainkan oleh Datuk Abdul Rahman Hashim untuk menggulingkan Kerajaan Islam Perak, maka begitu jugalah peranan yang akan dimainkan oleh Datuk Khusrin di Selangor. Kita semua jelas, bahkan pimpinan Negeri juga teramat jelas dan saya juga yakin malah percaya bahawa Kerajaan Negeri Selangor, bersama-sama seluruh rakyat Negeri Selangor sudah terlebih bersedia dengan segala kemungkinan tersebut.
Datuk Abdul Rahman Hashim, ketika menjadi SUK Negeri Perak, telah menjadi pintu masuk utama kepada campur tangan Kerajaan Persekutuan dalam urusan pentadbiran Negeri Perak di bawah pimpinan Dato' Seri Nizar Jamaluddin. Keengganan SUK dalam memberikan kerjasama kepada Kerajaan Negeri telah menyebabkan pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri menjadi tidak menentu, sehingga akhirnya menimbulkan perbalahan antara pihak Kerajaan Negeri dengan pihak Istana. Sekali lagi, langkah yang sama cuba diaturkan oleh Pengerusi Perhubungan Negeri Selangor, Najib Altantuya, dan dengan bantuan media, langkah pertama ini hampir berjaya dilaksanakan.
Jika dilihat sepintas lalu, kronologi rampasan kuasa di Perak, sememangnya mempunyai rentetan yang hampir sama di Selangor, juga negeri-negeri yang pernah dipimpin oleh parti selain UMNO yang kemudiannya dirampas oleh UMNO-BN-APCO.
SUK sebenarnya memainkan peranan dalam mengepalai jentera pentadbiran Kerajaan Negeri, iaitu dalam melaksanakan segala dasar dan polisi yang telah ditetapkan oleh sesebuah kerajaan itu sendiri. Dalam konteks Negeri Selangor, maka SUK bertanggungjawab penuh dalam melaksanakan segala arahan, polisi dan dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan di bawah pimpinan Tan Sri Khalid Ibrahim. Atau dengan kata lain, berkhidmat untuk Menteri Besar dan barisan Exco Negeri Selangor. Maka, yang paling penting untuk dititikberatkan ialah kerjasama baik yang perlu ada antara SUK dan Menteri Besar. Membawa maksud, individu yang paling utama perlu diberikan hak untuk melantik SUK ialah bosnya sendiri iaitu Menteri Besar.
Saya tidak berniat ingin merendahkan atau memandang rendah keupayaan Datuk Khusrin untuk bertindak secara profesional ketika memegang jawatan sebagai SUK. Apalagi, di dalam Islam, mengajar kita untuk menghormati yang tua. Datuk Khusrin, seorang yang sudah tua, boleh jadi usianya juga tidak akan tahan begitu lama, maka dia berhak untuk dihormati seadanya. Faktor amanah dan profesionalisme Khusrin, walaupun boleh dipersoalkan, ianya tetap bergantung kepada keputusan MB. Saya sendiri, lebih suka melantik pembantu yang boleh membantu saya, jika saya rasa kurang berkenan, maka pada bila-bila masa saya boleh menukar atau menggantikan pembantu tersebut melalui kaedah-kaedah yang sepatutnya. Untuk hal ini, tidak perlu saya jelaskan pun, anak saudara yang berumur 5 tahun itu juga akan mengerti.
Tan Sri Khalid Ibrahim sendiri telahpun menerima cadangan tiga nama yang sesuai untuk jawatan SUK tersebut. Jelas sekali, nama Khusrin atau yang hampir dengan nama Khusrin, tidak ada dalam senarai. Pemilihan dan pencalonan dibuat berdasarkan ciri-ciri dan syarat-syarat kelayakan yang relevan dengan perlantikan SUK. Misalnya pengalaman dan rekod kerja, prestasi dan kelayakan akademik, malah segala faktor akan dipertimbangkan, yang akhirnya, tapisan terakhir akan dibuat oleh Menteri Besar sendiri. Sudah pasti, MB akan memilih individu yang layak untuk memudahkan kerja beliau, dan individu yang selaras dengan misi dan visi Kerajaan Negeri pimpinan beliau, barulah kehendak dan aspirasi Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan baik oleh jentera pentadbiran dan pengurusan Negeri Selangor.
Selanjutnya, faktor campur tangan Istana dalam isu perlantikan Khusrin. Jelas sekali, seperti di Perak, pihak Istana sama sekali tidak sepatutnya dilibatkan dalam isu ini. Malangnya, media UMNO-BN-APCO membantu konspirasi jahat Najib dan konco-konconya mengheret pihak Istana untuk sama-sama bertanggungjawab dalam isu ini. Malangnya, rakyat terus mempercayai media-media tali barut UMNO-BN-APCO dan pihak Istana sekali lagi terjebak dan seolah-olah dilihat bercanggah dengan Kerajaan Negeri. Pihak Istana hanya meluluskan, sedangkan, yang bersalah dalam isu ini ialah siapa yang sebenarnya mencadangkan nama Khusrin? Iaitu, Sidek Hassan atau jembalang yang mendalanginya.
Malangnya, politik UMNO yang sempit sedaya-upaya menjadikan Istana sebagai perisai, atas nama ketuanan Melayu dan kedaulatan Sultan. Kononnya, mereka bersama dengan keputusan Sultan, sedang yang "mendesak" tindakan Sultan adalah mereka sendiri. Baginda Sultan, sendiri menegaskan bahawa Baginda tidak mempunyai kuasa dalam menentukan SUK, kerana kuasa perlantikan itu telah "dirampas" oleh UMNO pada tahun 1993.
Rakyat yang terlepas daripada mendapatkan maklumat akan keliru dengan kenyataan yang diberikan oleh UMNO-BN-APCO, MB Selangor dan juga Sultan kerana bahan yang disajikan oleh media tali-barut UMNO-BN-APCO adalah penipuan 197%.
Ada juga yang memberikan pandangan, cukuplah dengan politicking, sebaliknya bekerjalah secara profesional. Untuk hal ini, tidak perlu dijelaskan pun, anak saya yang belum lahir pun akan mengerti. Bahkan Kerajaan Negeri Selangor serta seluruh jentera pentadbiran dan pengurusan akan terus menjalankan peranan dan tugasan masing-masing. Hari ini, mereka masih bekerja, tidak bercuti dan sibuk seperti biasa. Tetapi, dalam prinsip dan rukun demokrasi, menjadi tanggungjawab kerajaan dan setiap individu dalam negeri dan negara memastikan lunas undang-undang yang selama ini menjaga dan memelihara kedaulatan negara dipelihara dan didokong sepenuhnya.
Sekiranya undang-undang rimba yang digunakan, maka kita sudah tiada tempat lagi di Malaysia ini, kerana Singa dan harimau, serta segala binatang-binatang yang akan bermaharajalela tidak diciptakan oleh Allah dengan sifat peri kemanusiaan. Binatang-binatang tidak diajar untuk menghormati binatang-binatang yang lain, apalagi manusia. Maka, sebelum undang-undang rimba ini berkuatkuasa, maka dengan akal yang bijaksana yang dikurniakan oleh Allah Ta'ala ini, lakukanlah perubahan segera dan bertindaklah seperti seorang manusia. Pesanan khas daripada saya, untuk Najib, isterinya yang tercinta, serta seluruh tali-barut dan konco-konconya yang hampir hilang taraf manusia.
No comments:
Post a Comment