Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Monday, June 8, 2009

PAS mengorak langkah menggantikan UMNO.

Muktamar PAS kali ke-55 telah pun melabuhkan tirainya. Sekaligus menyaksikan peralihan beberapa posisi kepimpinan dalam Parti. Teka-teki siapa yang akan menerajui kepimpinan dalam PAS telah berakhir. Namun, teka-teki teragung yang perlu diselesaikan ialah, apakah yang akan berlaku terhadap corak kepimpinan danhala tuju PAS selepas ini.

Malaysia pada ketika ini bergelut dengan jutaan masalah. Daripada peringkat tertinggi, legislatif, eksekutif, institusi diraja, sehinggalah ke peringkat akar umbi. Sesuatu perlu dilakukan untuk menghentikan segala macam bala dan ujian ini dari terus menghantui rakyat Malaysia. Maka, "sesuatu" itu bagi saya adalah mengubah teraju kepimpinan Negara.

Mengubah teraju kepimpinan Negara bukan sekadar mengubah PM daripada Presiden UMNO kepada Presiden PAS. Keadaan tidak akan bertambah baik, jika hanya pemilik kerusi PM itu sahaja yang berubah. Selain mengubah kesemua pemilik kerusi dalam kabinet, kerusi-kerusi dalam DUN, Dewan Rakyat, Dewan Negara dan berbagai-bagai Dewan yang ada, Dasar utama Kerajaan juga perlu diubah.

Meletakkan kepentingan Agama di depan yang paling depan.

PAS merupakan sebuah parti Islam yang menyambung risalah Dakwah Nabi Muhammad SAW. Meniru jejak langkah Nabi untuk menegakkan sebuah negara yang berperlembagaankan ISlam dan sunnah Nabinya. Maka, sebelum daripada mengIslamkan perlembagaan Negara. PAS terlebih dahulu perlu memperbaharui dan memperkemaskan Islam Ahli-ahlinya. Tiada negara yang akan "dibuka" dengan pendokong-pendokong yang "kurang" Islamnya. Para sahabat, tentera Sultan Muhammad Al-Fateh, tentera Salahuddin Al-Ayubi, semuanya memiliki ciri-ciri yang lengkap Jemaah Islam.

Pernyataan ini bukanlah bermaksud menafikan bahawa rujukan utama PAS adalah Al-Quran dan As-Sunnah. Bahkan contoh teladan yang ada pada kepimpinan PAS sudah cukup memberikan gambaran tersebut. Namun, ajaran ini sepatutnya diperturunkan ke peringkat akar umbi melalui lajnah atau dewan yang khusus.

Aspek Pendidikan kepada Ahli dan Masyarakat

Sila perhatikan, kepentingan agama sebenarnya di depan kedudukan agama. Meletakkan kepentingan agama bermaksud, dasar-dasar yang akan dibuat oleh Kerajaan Baru nanti adalah dasar-dasar yang dipandu oleh nilai-nilai Islam yang sangat syumul dan universal.

Bagi saya, bermula dari sekarang, kita sudah mula menjadi kerajaan bayangan(lebih dari sekadar menunggu). Mengutamakan aspek pendidikan kepada masyarakat. Mungkin masih ramai yang tidak Faham mengenai hukuman-hukuman dan peraturan-peraturan yang terkandung dalam syari'at Islam. Kegagalan kita memahamkan masyarakat akan kebaikan serta kepentingan implementasi syari'at Islam ini akan membawa kesan yang tidak baik kepada pertumbuhan dan kemajuan negara nanti. Kita Tidak Boleh terlalu gopoh menghukum sehingga terlupa untuk memberikan perhatian kepada perkara yang lebih penting dan utama, iaitu Pendidikan. Kerajaan yang baik ialah kerajaan yang mampu mendidik rakyatnya dengan ilmu serta nilai yang bermanfaat.

Dua perkara utama ini, sebenarnya sudah lama diamalkan oleh PAS. Bahkan usaha ke ara mencapai hasrat dan cita-cita ini sebenarnya semakin bertambah dan bunga-bunga kefahaman Islam itu semakin harum dan berkembang mekar. Walaubagaimanapun, kembangan bunga ini berlaku serentak dengan kemuncupan akhlak dan ketamadunan masyarakat lainnya. Semakin ramai golongan yang menegakkan Islam, semakin ramai pula musuh-musuh yang lahir untuk menghapuskan Islam.


Friday, May 29, 2009

Islam: Kawalan Ke Atas Keterbatasan Pemikiran


Islam dan Muslim sering dilabel dengan label anti-establishment, jumud, kuno, dan sebagainya. Agama Islam pula dilihat sebagai agama yang membataskan umatnya mengeluarkan segala potensi akal, emosi, social, mahupun jasmani. Pendapat ini dikuatkan lagi dengan isu feminisme, di mana wanita-wanita muslim seolah-olah di kurung dan disekat kebebasan mereka untuk bersosial dan terlibat secara aktif dalam kegiatan bermasyarakat.




Peraturan-peraturan yang ada dalam Agama Islam disifatkan terlalu mengongkong. Sikap dan pendirian umat Islam yang sentiasa berada dalam mode “limitasi” menguatkan lagi hujah pandangan masyarakat umum terhadap Islam. Kononnya orang-orang Islam terlalu terpengaruh dengan ajarannya sehingga menyebabkan mereka gagal bertoleransi dan kurang mengecapi kemewahan disebabkan “limitasi” yang ada pada diri dan ajaran mereka. Sehingga ramai yang percaya bahawa Islam agama kemunduran, keganasan, penyekat hak asasi dan sebagainya.


Anehnya, walaupun umat Islam sering diberikan label yang negatif, sehingga ke saat ini, perkara-perkara berikut terus berlaku dan tidak berjaya dinafikan. Iaitu:-


  1. Nabi Muhammad SAW masih menduduki tempat pertama dan belum lagi berjaya ditewaskan oleh mana-mana manusia sebelum, semasa apalagi selepas zamannya.
  2. Kitab Al-Quran masih lagi kekal dengan sifatnya yang sangat benar, tepat dan relevan.
  3. Kajian National Geographic menunjukkan Umat Islam mencatatkan peratusan penambahan penganut tertinggi didunia iaitu sebanyak 2.7%, sedangkan pertambahan penduduk bumi hanyalah sebanyak 2.5% setahun.


Malangnya, fakta tersebut tetap tidak dapat disangkal oleh umat Islam, bahawa Umat Islam tercorot dari segi kedudukan politik, ekonomi, sukan, social, sains, dan segala macam bidang yang ada didunia.


Kekangan yang membatasi kemampuan umat Islam ini sebenarnya bukanlah datangnya daripada ajaran Islam yang syumul. Sebaliknya kegagalan fungsi otaku mat Islam itu sendiri.


Bayangkan, apabila Allah SWT menyatakan bahawa diciptakan segala isi langit dan bumi ini untuk kegunaan manusia, sepatutnya dengan akal yang waras kita mampu menafsirkan bahawa segala yang ada di dunia ini diciptakan oleh Allah untuk kita. Maka sewajarnya, bagi mereka yang yakin kepada kebenaran Al-Quran perlu menjadi orang yang pertama yang merebut segala macam bentuk nikmat dan kemudahan ini.

Bayangkan, apabila dunia mengiktiraf Nabi Muhammad sebagai seorang manusia yang paling hebat dalam sejarah kewujudan manusia. Sepatutnya, umat Islam terlebih utama menjadikan Nabi Muhammad sebagai ikutan dan teladan. Cuba sedaya-upaya untuk mencontohi kehidupan Nabi Muhammad dengan memperbanyakkan bahan bacaan mengenai sirah Nabi, seterusnya manifestasi penghayatan hidup Rasulullah ke dalam kehidupan kita seharian.


Namun, apa yang sebaliknya berlaku. Kita terlalu mengagungkan buku-buku ciptaan manusia dan kajian-kajian manusia terhadap dunia. Walaupun hakikatnya kita semua tahu bahawa kita sewajarnya mengagumi Zat Yang Mencipta, bukan orang yang menemui barang yang dicipta.


Kita lebih mengagumi guru-guru, pemimpin-pemimpin yang kita kenal

pada zaman ini, malah ada yang mengagumi artis kerana sifat fizikal yang ada pada mereka. Sedangkan mereka tahu, tiada manfaat yang besar yang pernah kita terima daripada artis, mahupun sesiapa sahaja yang kita kagumi, berbanding manfaat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad SAW.


Pernahkah kita terbayang kesusahan yang dihadapi oleh Nabi Muhammad untuk memperjuangkan Negara Islam, seterusnya mengembangkannya sehingga membuka 2/3 dunia?


Pernahkah kita kagum akan kemampuan akal yang dimiliki oleh Nabi, sehingga menjadi Raja, Suami, Peniaga, Panglima Tentera, Ulama’, Guru, Pembimbing, Rakan yang terbaik dalam sejarah kehidupan manusia?


Pernahkah kita mengagumi, kehebatan mukjizat Al-Quran yang terpelihara hingga ke hari ini? Belum ada ayat atau perkataan di dalam Al-Quran yang tersalah, baik dari segi bahasa, sastera, sains, ekonomi, politik, social mahupun segala macam bidang yang ada di dunia ini.


Islam bukanlah sekatan, sebaliknya kawalan penjagaan terhadap akal dan kemampuan berfikir manusia.


Friday, May 22, 2009

Jangan Cabar Mahasiswa!!!



Pihak Hal Ehwal Pelajar, HEP di IPT-IPT tempatan sudah sinonim dengan gelaran Hisap Ekonomi Pelajar. Mahasiswa seringkali dilihat sebagai sumber pendapatan, modal berbentuk insan. Keutamaan gerak kerja mereka ialah memastikan Mahasiswa tidak datang dengan tangan "kosong", seterusnya hanya yang "kosong" sahaja yang akan dilepaskan kembali.

Seboleh mungkin, Mahasiswa perlu lebih bodoh daripada mereka, kerana hanya yang bodoh sahaja yang mudah diperbodohkan. Mahasiswa perlu diisi dengan program yang tidak sihat, kerana Mahasiswa yang "sakit" akan mendatangkan lebih banyak keuntungan.

Mac 2008, selain tsunami politik Malaysia, kegemparan berlaku di UKM apabila hampir kesemua kolej-kolej kediaman dan beberapa persatuan-persatuan Mahasiswa menganjurkan program berbentuk hiburan. ISIUKM, mempengerusikan 22 gabungan persatuan Mahasiswa telah menghantar memorandum bantahan penganjuran konsert-konsert tersebut. Turut sama dibantah, konsert anjuran Persaudaraan Kristian UKM secara terbuka di DECTAR.

Antara isi kandungan memorandum tersebut, sekalipun jika pihak kolej masih ingin menganjurkan konsert seharusnya dipastikan tiada perlanggaran adab, menjaga percampuran, dan mengawal bahan-bahan hiburan yang disajikan. Malang sekali, memorandum tersebut tidak diendahkan, malah ISIUKM dituduh sebagai perusuh dan pemecahbelah masyarakat.

Isu kebajikan misalnya, Mahasiswa/i diperbodohkan dengan isu "stay kolej" dengan merit aktiviti kolej sebagai maudhu'(tajuk) utama dakyah mereka. JAKSA sebagai daie (pendakyah), sementara Mahasiswa tahun 1 sebagai Mad'u(kelompok sasaran) utama mereka. Uslub(kaedah) yang mereka gunakan pula adalah pelbagai, ada yang diugut, ada yang dinasihat secara lembut, malah ada juga yang diberi amaran keras jika tidak menurut.

ISIUKM, dan beberapa persatuan Mahasiswa yang lain turut menjadi mangsa Agenda BODOH mereka. Terbaru, saya mendengar khabar dari meja Rosmah Ayu, ISIUKM tidak lagi dibenarkan untuk menganjurkan program. Karenah birokrasi yang melampau menunggu setiap exco ISIUKM yang akan menganjurkan program. Akibatnya, tiada lagi program bermutu untuk Mahasiswa. Kepada siapa lagi hendak diharapkan untuk membuat program yang menjana keintelektualan Mahasiswa? PMUKM jauh sekali. 12 MPP Mahasiswa yang telah diberikan mandat sebelum ini, bukan sahaja dianaktirikan, malah telah dianakpungutkan...

Ini amaran saya, JANGAN CABAR MAHASISWA, bertaubatlah sebelum terlewat...

"Mereka sentiasa berusaha hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tetap menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang demikian)." As-Saff, 61:8.

Masih ada ruang untuk UMNO bertaubat!!!

Malaysia pada ketika ini berada dalam keadaan nazak. Krisis perlembagaan di Perak sudah semakin parah dan agak sukar diubati. Kegopohan Pemimpin Negara dalam menyelesaikan isu status agama anak di bawah umur 18 tahun sahaja sudah menceritakan betapa teruknya kondisi negara pada ketika ini. Malah, tidak pernah berlaku dalam sejarah politik Malaysia, BN enggan meletakkan calon untuk bertanding di Penanti. Setelah pukulan maut bertubi-tubi diberikan kepada BN, dalam siri-siri pilihanraya sebelum ini, BN, Barisan Najib, seakan tidak mahu menerima hakikat bahawa rakyat mahukan perubahan.

Perubahan ini, jika dilihat secara kasar sememangnya memberi petunjuk bahawa sudah tiba masanya rakyat menukar teraju kepimpinan negara. Rakyat seolah-olah memberi petunjuk bahawa sudah tiada tempat untuk BN di hati, apalagi atas kertas semasa mengundi. Rakyat sudah sampai ke tahap membenci BN dan menjadikan BN sinonim kepada segala macam bentuk kejahatan dan penipuan. Maka, mungkin selepas daripada ini, di dalam kamus DBP, kita akan mendapati bahawa UMNO, selain daripada Pertubuhan Bangsa Melayu Bersatu, juga membawa erti TIPU, KHIANAT, GILA KUASA, RASUAH, dan pelbagai sifat mazmumah yang lain.

Namun begitu, sebenarnya masih ada ruang untuk BN khususnya UMNO untuk kembali memenangi hati rakyat. UMNO masih boleh kembali perkasa jika perubahan drastik dilakukan kepada keseluruhan pembawaan, pendekatan, dasar dan pengurusan parti tersebut.

Perubahan pertama, melaksanakan amanah kepimpinan dengan berkesan. Tanggungjawab memakmurkan dan memajukan bumi Malaysia ini adalah tanggungjawab mereka. Menjadikan ilmu pengetahuan sebagai tongkat memandu perjalanan, pergerakan dan proses membuat keputusan.

Mengutamakan kebajikan rakyat dengan sesungguhnya. Slogan "Rakyat didahulukan, Pencapaian Diutamakan" tidak sepatutnya berhenti di corong-corong pembesar suara atau terpampang megah di dada-dada akhbar. Segala masalah keselamatan, pendidikan, kesihatan, akhlak, agama, perlu diselesaikan dengan sesegera mungkin serta dengan penuh bijaksana.

Perubahan kedua, kepimpinan melalui teladan. Najib perlu membuktikan bahawa beliau bersih dari segala macam tuduhan dan cacian yang dilemparkan. Begitu juga skandal-skandal yang melingkari kehidupan pemimpin-pemimpin UMNO dan BN. Seruan saya, kembalilah kepada Islam, mengamalkan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Ketahuilah bahawa yang menguasai segala kerajaan Bumi dan Langit ini adalah Allah Ta'ala, maka segala tindak tanduk kita tidak pernah terlepas daripada pengetahuan dan pengawasan Allah. Cukuplah dosa dan noda yang telah dilakukan sebelum ini. Ayuh mulakan langkah pembersihan dalam diri dan masyarakat.

Pertama di antara yang pertama, bubarkan DUN perak. Biarkan rakyat bersuara menghakimi dan mengadili pemimpin yang mereka suka atau sebaliknya.

Sunday, May 10, 2009

Tolong aku ulangi betul, kurangi salah gerak hidupku...


Jika sumpah itu amalan yang tidak dikeji, maka sudah pasti manusia akan mendapati bahawa Akulah orang yang paling banyak bersumpah. Sambil tanganku digenggam erat, aku menyeru kepada seluruh manusia, "Dunia ini sudah tiba kepada klimaks kekusutan minda dan perilaku warganya!".

Kegagalan fungsi mata, telinga, hati dan segala deria yang telah dikurniakan FOC oleh Tuhan, menambah rumit kusut masai pergolakan manusia. Hanyut di tengah arus buatan minda ciptaan karut pemikiran mereka. Walhal arus Tuhannya sentiasa mengalir segar secapai tangan menggapai.

Manusia, sekalipun reti bahasa yang indah untuk ditutur, faham perihal kesucian dan kesaktian bahasa alam tetapan Tuhan, masih menuturi kesat, loghat akal yang menyesatkan.

Akal telah sekian lama menggulingkan Tuhan dari takhta keputusan jalan kehidupan. Kerajaan Hati dipimpin nafsu yang kelaparan. Tiada ruang walau sekecil lubang tirisan untuk cahaya iman. Sekalipun ada, hadirnya tidak ubah bak cahaya bintang, terkadang berkelip, kerapnya malap dilitupi awan.

Tuhan, hati ini penuh dengan kehitaman. Jangan Kau tambahkan malangku Ya Allah dengan melunaskan tuntutan nafsuku yang tiada berkesudahan. Kau sinarilah Hati ini dengan cahaya HidayahMu, bak terangnya bumi dipancari suriaMu.

Kau mudahkanlah jalanku menghampiriMu, agar ingatanku tidak terpaling dari redha dan kasihMu. Leburkanlah dosa dan silapku, agar terpadam api murka nerakaMu. Golongkan aku dalam puak kanan yang mencintaiMu. Ameen.

Thursday, April 30, 2009

Siapa kita, dan siapa peduli siapa kita?

Aku dinamakan dengan nama yang diberikan oleh ibu bapa ku. Begitu juga manusia-manusia yang lain, dinamakan oleh orang-orang penting dalam kelahiran mereka sendiri. Dinamakan Singh, richard, leonardo, melissa, fizwan, diana, maimunah, dan sebagainya. Di awal kelahiran, nama-nama inilah yang dipakai.

Ketika sudah mula mampu berinteraksi dan bertindak-balas dengan keadaan sekeliling, maka nama-nama lain pula yang akan muncul. Acu, kak yang, taiko, comel, putih, hitam, muncung, dogol, jebon, pendek, tonjang, dan sebagainya. Sehingga ada yang dipanggil squirt kerana lemah-gemalai lelaki itu berjalan.

Sehinggalah usia meningkat dewasa, pelbagai gelaran yang akan kita terima, refleksi kepada perlakuan kita dan respon kita terhadap sekeliling.

Maka, kita akan menentukan gelaran yang akan manusia lain berikan kepada kita. Ingin digelar bos, maka mengarahlah dan menjadi pulalah kita ketua pengarah. Ingin digelar sweetie, maka berdandan-soleklah muka kita dan penampilan kita yang serba terhias. Ingin menjadi perkasa, atau raksasa, atau mereka yang bercita-rasa sekalipun, semuanya terpulang kepada kita.

Walaupun, sejauh mana kita benar-benar layak untuk mendapatkan gelaran yang baik atau buruk, semuanya bergantung kepada usaha dan pembawaan diri kita, namun pengadil yang akan menilai adalah mereka yang kita gelarkan "masyarakat sekeliling".

Nah, di sinilah bermulanya konflik identiti apabila kita terlalu bergantung kepada penilaian yang diberikan oleh "masyarakat sekeliling". Remaja akan terpedaya dengan budaya mesyarakat sekitarnya. Mahasiswa akan terpedaya dengan masyarakat sekitarnya dan saya juga terpengaruh dengan masyarakat yang ada di sekitar saya.

Kita akan terus berubah dan terpengaruh dengan konflik identiti ini, selagi kita terus menjadikan "masyarakat sekeliling" sebagai subjek utama pembawaan identiti kita. Sebab itu, soalan "Siapa kita, dan siapa yang peduli siapa kita?" perlu kepada jawapan yang tuntas.

Kita adalah kita, dan hanya kita yang peduli serta menanggung akibat daripada siapa kita?

Anda pilih jalan yang lurus, maka persetankan mereka yang memilih jalan bengkang-bengkok. Anda memilih untuk bersama dengan Tuhan yang orang lain tidak nampak, maka persetankan orang lain yang memuja tuhan yang tidak mampu mencipta malah diciptakan...

Siapa kita, dan siapa peduli siapa kita???

Tuesday, April 28, 2009

The Art of Soluble...



Politik merupakan suatu seni. Seni politik menurut barat adalah seni serba mungkin. Iaitu, memungkinkan segala sesuatu untuk mencapai sesuatu. Jika difahami, pelbagai kaedah boleh digunakan termasuklah membunuh, menipu, propaganda media, penyamaran, rasuah dan sebagainya.

Politik menurut fahaman ini, akan membolehkan seseorang itu berbuat apa sahaja demi keuntungan peribadi mahupun kepentingan diri dan kroni. Sanggup menipu untuk menjaga nama, sentiasa berhelah untuk memelihara kedudukan pangkat, sanggup mengkhianat asal mendapat keuntungan. Walaupun terpaksa melanggar hukum-hukum agama, semua itu baginya tidaklah sepenting matlamat yang ingin dicapai.

Namun begitu, tujuan berpolitik menurut Islam bukanlah untuk mencapai sesuatu, tetapi menyelesaikan sesuatu. Segala masalah yang berlaku, halangan dan cabaran untuk menyebarkan Islam diselesaikan melalui seni berpolitik. Sebab itu, ianya dipanggil sebagai "the art of soluble", seni menyelesaikan masalah.

Penyelesaian melalui seni politik ini pula, bukanlah berdasarkan andaian dan pemahaman oleh individu. Sebaliknya, ianya mestilah didasari dua panduan utama iaitu, Al-Quran dan As-Sunnah. Tiada jalan penyelesaian terbaik melainkan jalan yang telah diberikan oleh Allah kepada manusia.

Menyedari hakikat ini, sebenarnya tidak bermaksud untuk membataskan pergerakan umat dalam merangka strategi untuk mencapai kemenangan dan pembukaan. Sebaliknya, sebagai satu tuntutan untuk meningkatkan kreativiti, imaginasi, dan produktiviti bagi mencari jalan keluar kepada permasalahan utama umat dunia, iaitu kembali kepada Tuhannya.

Berpolitik untuk mencari penyelesaian bermaksud, mencipta formula untuk menyelesaikan masalah seterusnya menjadikan formula itu diterima oleh semua, dan akhirnya dilaksanakan. Matlamat utama dalam menyelesaikan masalah umat, adalah mengembalikan manusia kepada Tuhannya. Keadilan, kedamaian, kesejahteraan, perpaduan, kemajuan dan kekayaan adalah natijah kepada usaha berpolitik dengan politik Islam. Tiada semangat perkauman, kepartian, kebangsaan, kebangsawanan, mahupun apa sahaja prejudis dan penindasan sesama manusia.

Mendapatkan hak memerintah, kekuasaan, dan pangkat bukan untuk kepentingan sesebuah institusi ataupun individu, sebaliknya berusaha mendapatkan kekuasaan semata-mata untuk menyedarkan manusia akan hak dan tanggungjawab sebagai hamba dan wakil "kerajaan langit" di bumi.

Untuk itu, first thing fisrt, meletakkan kepentingan Tuhan, melebihi segala kepentingan yang ada. Kepentingan Tuhan, adalah kata kunci paling utama dalam pemikiran rasional. Menjadikan Rasul sebagai ikutan pula adalah kata kunci utama kepada segala bentuk pemikiran kritis dan kreatif. Mencontohi Baginda, bermakna meletakkan diri kita di dalam golongan manusia yang paling krtits, kreatif, bijaksana dan profesional.

Antara Yang Menarik