Taybah

Taybah
Ilmu Itu Cahaya...

Tuesday, April 7, 2009

Belajar Mencabar




Istilah “Mahasiswa” sangat sinonim dengan pelajaran. Dengan kata lain, Mahasiswa sebenarnya adalah pelajar yang belajar daripada tenaga pengajar yang mengajarkan pelajaran yang khusus untuk golongan terpelajar. Silibus yang diajarkan kepada Mahasiswa di menara gading tidak diajarkan di sekolah, pusat latihan industry, mahupun di kedai-kedai kopi. Menerusi pemahaman seperti ini, keunikan dan keistimewaan Mahasiswa sebenarnya sudah terbukti sekalipun Mahasiswa tidak melibatkan diri mereka dengan aktiviti selain daripada aktiviti “kekuliahan”.

Prof Ungku Aziz pernah menyarankan agar Mahasiswa belajar sambil mencabar. Jika belajar, maka Mahasiswa akan terdedah kepada pengetahuan, namun jika Mencabar, Mahasiswa akan terdedah kepada kemahiran. Proses belajar, lebih melibatkan deria otak dan komunikasi verbal, sedangkan mencabar melibatkan komunikasi secara aktual dan praktikal.

Mahasiswa yang mencabar, akan menggunakan seluruh anggota dan pancainderanya untuk merasai sesuatu yang baru. Menyelami sendiri apakah sebenarnya perasaan ketika senang, sudah, gembira, sedih, ramai, sedikit, kaya, miskin dan sebagainya.

Untuk mencabar, pencairan diri dengan masyarakat dan keadaan persekitaran merupakan perkara yang paling awal perlu dilakukan. Ibarat, ketika hendak bermain bola, kita perlu terlebih dahulu mengenali pemain lawan dan kawan, dan lokasi gol yang ingin dijaringkan. Begitu juga undang-undang dan sempadan permainan. Persediaan seperti ini melatih Mahasiswa untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan situasi yang diramal, apalagi situasi yang tidak diramal dan tidak terkawal.

Sejak akhir-akhir ini, budaya mencabar semakin kurang diterapkan kepada Mahasiswa. Mahasiswa lebih cenderung untuk belajar kerana hanya menadah dan menurut segala yang diperintah. Tiada keinginan untuk mencuba sesuatu yang baru. Tidak cenderung untuk bertindak dan berfikir di luar kotak. Penerapan system kompetensi generic, mewajibkan penglibatan Mahasiswa dalam aktiviti ko-k dan kolej, sebenarnya tidak boleh dikategorikan sebagai mencabar. Kerana aktiviti ini masih berada di dalam lingkungan “Saya suruh, anda buat, Saya tak suruh, tak perlu buat” atau “putih kata ketua, putih kata kita, hitam kata ketua, hitam kata kita”.


Proses mencabar memerlukan daya imaginasi dan kreativiti yang sangat tinggi. Keupayaan otak diperah secukupnya untuk melahirkan idea yang bernas. Perancangan disusun dengan teliti dan kemas, serta dilaksanakan dengan penuh kesungguhan dan dedikasi. Setiap tingkatan kerja dimulakan dan disudahkan oleh Mahasiswa sendiri. Adapun, bagi mereka yang belum atau sudah tidak lagi bergelar Mahasiswa berfungsi sebagai pensihat yang tidak memainkan peranan utama.

Ayuh, kita teruskan dan menggilap kembali budaya mencabar. Kehebatan akan terbukti apabila dicabar. Kesungguhan dan keberanian juga hanya akan terbukti apabila dicabar. Mencabar ruyung untuk mendapatkan sagunya, Mencabar pahit untuk mendapatkan manisnya, mencabar diri untuk membuktikan keunggulannya.

1 comment:

Sarah Azizul said...

tak ramai nak mencabar dah sekarang..suma tunduk ikut arus..takut pada cabaran...
Takut belaka..takut kena kutuk..takut kena maki..takut belaka...dah kuar u atau abes belajar..baru tau...jadi penakut selama ni satu yang tidak bagus sekali..sbb dunia luar lebih banyak cabaran. bagus entri ni. Galakkan cabar mencabar pada diri setiap mahasiswa. Biar bukak bijik mata lebih besar.

Antara Yang Menarik